Home Novel Cinta Sabar Denganku
Sabar Denganku
Zulaikha Rizal
13/9/2021 00:01:31
64,499
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Ain menuju ke arah Syafiq serta anak dan bininya yang khusyuk menonton televisyen. Sedang Ain mahu merapati mereka bertiga, dia teringat sesuatu dan membuatkan dirinya mengundur secara perlahan-lahan dan menutup semula pintu biliknya.

“Apa kau ni Fiqah. Jangan kacau Abang lah” marah Ain terhadap dirinya. Ain terus menunggu abangnya meluangkan masa bersama keluarga pada malam itu. Sehinggalah pada jam 12 tengah malam, bilik Ain diketuk perlahan. Gaya ketukan itu amat dikenali oleh Ain. Dengan muka yang agak teruja, Ain membuka pintu bilik. Wajah Syafiq mucul di hadapan matanya. Riak wajah Syafiq bertukar dek kerana hairan dengan sikap dan riak wajah adiknya.

“Yang teruja semacam ni kenapa?” soal Syafiq.

“Abang, lusa Fiqah kahwin kan?” soal Ain. Syafiq menganggguk perlahan tanpa mambuka mulut.

“Semua persiapan dah siap, kan?” soal Ain lagi. Sekali lagi Syafiq menjawab soalan Ain hanya dengan anggukan.

“Urm Fiqah nak jumpa dengan ustaz sekejap esok, boleh?” wajah Syafiq bertambah berkerut.

“Nanti Abang tanya dekat Zaarif tapi Fiqah nak buat apa?” soal Syafiq ingin tahu. Tangannya di silangkan.

“Betul ni, boleh?” soal Ain sekali lagi untuk kepastian.

“Iya, boleh tapi” belum sempat Syafiq menghabiskan kata-katanya, Ain terlebih dahulu mencelah.

“Baik, Abang. Selamat malam” Ain terus menutup pintu. Sengaja dia ingin mengelakkan dirinya daripada disoal oleh Syafiq. Pasti banyak soalan yang akan diajukan oleh lelaki itu. Ain menghela nafas lega.

Syafiq yang dibiar di hadapan pintu agak terpinga-pinga dengan kelakuan adiknya. Ingin sekali dia mengetuk pintu itu namun, dibatalkan niatnya memandangkan jam telah melebihi tengah malam dan pastinya Raida sedang menunggu. Syafiq melangkah kaki.

 

Seperti yang diminta oleh Ain, pertemuan antara Ain dan Zaarif telah diatur oleh Syafiq namun Ain lebih memilih untuk mengadakan pertemuan itu di kawasan taman perumahan mereka. Syafiq dan Zaarif hanya menurut tanpa membantah.

Syafiq mengambil tempat yang tidak terlalu jauh dari tempat duduk Ain dan Zaarif. Mereka berdua duduk secara berhadapan. Keadaan menjadi agak janggal buat seketika sebelum Ain memulakan bicaranya.

“Tujuan saya nak jumpa dengan ustaz hari ni sebab saya nak pastikan yang ustaz sempat batalkan perkahwinan kalau saya terus terang dengan ustaz” Zaarif hanya menanti kata-kata Ain dengan sabar.

“Saya ada satu syarat untuk ustaz” tutur Ain perlahan namun masih mampu di dengari oleh Zaarif. Ain menundukkan wajahnya.

“Silakan, saya sedia untuk dengar syarat Ain” ujar Zaarif lembut.

“Syarat saya, sepanjang perkahwinan saya tak sedia untuk ada zuriat. Itu sahaja syarat saya” Zaarif mengangguk perlahan.

“Saya faham dengan kata-kata Ain. Memandangkan Ain mengenakan syarat terhadap saya, izinkan saya pula untuk mengenakan syarat pada Ain, boleh?” Ain mengangkat mukanya memandang ke arah Zaarif.

“Silakan” ucap Ain sepatah.

“Ain perlu patuh pada kata-kata saya dan meminta izin kepada saya jika Ain ingin melakukan sesuatu seperti untuk pergi ke kedai dan sebagainya”

“Saya juga tak mengharapkan cinta, rindu dan zuriat daripada Ain sebab matlamat saya berkahwin dengan Ain bukanlah kerana itu semua tapi andai Allah bukakan hati Ain untuk membalas perasaan saya dalam tempoh perkahwinan kita, sesungguhnya hebat rezeki Allah kepada saya”

“Baik, saya terima. Kalau tak ada apa-apa, saya pergi dulu” Ain mulai berdiri dan ingin melangkah.

“Ain, tunggu sekejap” tutur Zaarif lembut. Langkah Ain terhenti. Ain menolehkan badannya memandang Zaarif. Zaarif turut berdiri berhadapan dengan Ain.

“Jumpa awak di hari pernikahan kita” Ain tersenyum.

“Tengoklah macam mana ustaz” Ain terus berlalu menuju ke arah Syafiq.

“Abang, Fiqah balik rumah dulu eh” pinta Ain. Syafiq mengangkat muka memandang wajah Ain. Syafiq tersenyum lalu mengangguk.

“Baliklah. Kata dekat Akak yang Abang nak sembang dengan Zaarif sekejap. Kalau ada apa-apa nanti telefon Abang” pesan Syafiq lembut kepada Ain.

“Baik” Ain mulai melangkah meninggalkan kawasan taman itu.

“Hati-hati” Syafiq menguatkan sedikit suaranya agar dapat didengari oleh Ain yang sudah agak jauh dari dirinya. Ain yang sedang berjalan hanya mengangkat tangan dan menunjukkan simbol tangan ‘bagus’ untuk mengatakan baik tanpa menoleh ke arah Syafiq.

Melihat kepada keadaan itu, Zaarif terus menuju ke arah Syafiq dan mengambil tempat berhadapan dengan lelaki itu.

“Kau sembang apa dengan Fiqah?” soal Syafiq ingin tahu. Zaarif memandang wajah Syafiq dengan pandangan yang tajam.

“Kau ni kan, tak ubah macam orang yang suka jaga tepi kain orang” usik Zaarif kasar.

“Alah, apa salahnya. Adik aku, kawan aku punya masalah. Tak salah untuk aku tahu, kan?” Syafiq tersenyum ibarat kerang busuk.

“Masalahnya sekarang, bukan masalah apa pun. Kau tak usahlah tahu, ini hal kami saja” Zaarif tersenyum.

“Wah, dah pandai berahsia sekarang!” seloroh Syafiq.

“Dah lama dah, cuma kau saja yang tak perasan” usik Zaarif lagi. Syafiq memasamkan wajahnya salin tak tumpah seperti anaknya sendiri.

“Hei, kau tu dah tua tau. Jangan nak merajuk macam tu. Kau dengan isteri kau pun mesti ada rahsia jadi inilah rahsia aku dengan Ain”

“Aku gurau jelah. Iya saja nak usik kau”

“Yelah tu” Zaarif tersenyum melihat gelagat Syafiq.

‘Kalau abang dia macam ni, agak-agak adik dia macam manalah nanti’ Zaarif menduga dalam hati.


 

Malam itu, Ain terlihat abangnya sedang menyendiri di ruangan balkoni rumah. Ain tersenyum kecil dan mengambil peluang tersebut untuk mendekati serta berbual berdua bersama abangnya.

“Buat apa duduk luar malam-malam ni?” soal Ain lembut. Syafiq menoleh memandang Ain sekilas dan mengalihkan semula pandangannya.

“Sajalah Abang nak bagi Kak Raida tu rehat seorang sekejap. Selalunya abang kacau dengan Fina. Kali ni Abang baringkan Fina dekat ruang tamu dulu” Ain menganggukkan kepalanya. Ain mulai meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas penghadang balkoni itu.

“Fiqah rasa dah sampai masa untuk Fiqah jujur dengan Abang” tutur Ain perlahan. Syafiq hanya menanti kata-kata Ain tanpa menoleh ke arah adiknya.

“Selama ni, Fiqah boleh nampak kecemburuan yang ada pada mata Akak disebabkan layanan abang kepada Fiqah. Fiqah tak salahkan abang dalam hal ini sebab mungkin abang terlupa mana satu yang sepatutnya menjadi keutamaan abang, sama ada adik abang yang tiada sandaran tanpa abangnya atau seorang isteri yang disayangi, dicintai dan dikasihi.”

“Mungkin disebabkan Akak fikir bahawa Fiqah lebih perlukan keutamaan tu daripada abang, Akak tak pernah terus terang kepada abang mahupun Fiqah. Jadi lepas ni, Fiqah harap keutamaan abang tertumpu sepenuhnya kepada anak dan isteri abang yang lebih memerlukan abang dalam hidup mereka. lupakan Fiqah buat sementara. Fiqah yakin, abang dah serahkan Fiqah kepada tangan yang betul, orang yang betul dan pada masa yang betul” Syafiq memandang wajah Ain lalu merapatkan jarak antara mereka berdua. Bahu adiknya dipeluk lembut.

“Terima kasih sebab berterus terang dengan abang. Insha-Allah, abang akan buat semua tu. Fiqah doakan abang” mereka berdua berpandangan lalu membalas senyuman.

“Lepas Fiqah dah bergelar seorang isteri, jangan sesekali melawan kata-kata suami. Utamakan suami Fiqah. jangan tinggikan suara. Jaga makan pakai suami Fiqah. tanggungjawab Fiqah dah lain dah” pesan Syafiq lembut.

“Abang, Fiqah dah banyak kali dengar.  Abang jangan risau lah. Tahulah Fiqah nanti”

Raida yang melihat keadaan itu mulai menguntumkan senyuman.

‘Terima kasih adik Akak, Akak janji akak akan jaga abang dengan sangat baik sebagai seorang isteri’

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulaikha Rizal