Home Novel Cinta Sabar Denganku
Sabar Denganku
Zulaikha Rizal
13/9/2021 00:01:31
8,273
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Ain mengenakan baju kurung Pahang berwana kelabu. Rambutnya dilepaskan namun dirapikan supaya tampak lebih kemas. Ain tidak mengenakan sebarang alat solek malah hanya menggunakan bedak bayi serta pelembap bibir. Jarang untuk dirinya bersiap sebegini rupa. Biarpun apa yang dikenakan olehnya tampak ringkas namun kecantikan serta keayuan Ain jelas terserlah.

Syafiq hanya menunggu Ain di kereta memandangkan dia yang akan menghantar adiknya berjumpa dengan ibu kepada sahabatnya dan mungkin ibu Zaarif juga akan menjadi ibu kepada adiknya suatu hari nanti. Syafiq tersenyum sendiri.

Ain mulai keluar dari biliknya lalu terus menuju ke arah Raida. Perasaan Ain pada ketika itu sungguh cemas. Dia bimbang akan ada apa-apa yang dilakukan olehnya serba tidak kena. Dia juga bimbang bahawa dia akan dikeji oleh bakal ibu mentuanya. Raida tersengih melihat wajah Ain yang dilanda cemas.

“Akak, okey tak?” soal Ain. Raida membetulkan rambut adik iparnya serta kedudukan baju. Raida mulai tersenyum.

“Cantik dah lah, adik Akak. Ni, bawa beg biar nampak sikit yang awak tu perempuan” Raida menyerahkan slingbag yang sesuai warnanya dengan baju yang dipakai oleh Ain. Raida telah pun meletakkan pelembap bibir dan bedak bayi ke dalam beg itu.

“Akak, tak selesa lah bawa beg” rengek Ain. Raida menyarungkannya pada bahu Ain lalu mengemaskannya.

“Pakai saja, baru mak mentua tahu yang menantu dia ni sebenarnya pandai bergaya” Ain mula merasakan kesejukan pada tubuhnya. Pada saat itu, Raida mulai melepaskan tawanya setelah menahan sekian lama. Sungguh dia dapat melihat diri Ain pada sisi yang berbeza.

“Akak, janganlah gelak.Tak kelakar lah” Ain memandang wajah Raida dengan pandangan yang tidak puas hati. Raida menghentikan tawanya perlahan-lahan. Raida tersenyum memandang wajah Ain.

“Kelakar lah, muka Fiqah tak pernah macam ayam berak kapur. Hilang darah dekat muka” Raida menyambung tawanya.

“Akak, apa ni” Ain mulai memasamkan wajahnya. Raida segera menghentikan tawanya lalu mencubit perlahan kedua-dua belah pipi Ain dengan dua-dua belah tangannya.

“Akak gurau saja” Raida memujuk Ain.

“Mentang-mentanglah Akak tak ada jumpa mak mentua, kan? Sukalah gelak dekat kita” Raida memandang wajahAin dengan kasih sayang.

“Fiqah, walaupun Akak tak jumpa dengan mak mentua Akak, Akak tetap jumpa adik ipar Akak kan? Samalah perasaan dia. Berdebar, risau, takut dan bercampur baur. InsyaAllah, Fiqah boleh. Abang dah tunggu dekat bawah tu, pergilah” Raida menghulurkan tangannya supaya dapat disalam oleh Ain. Ain menghulurkan senyuman lalu tunduk bersalaman dengan kakak iparnya.

“Hati-hati” pesan Raida. Ain hanya tersenyum lalu melambai ke arah wanita itu. Sempat Ain menyinggah ke arah bilik abang dan kakaknya untuk mencuim dahi si kecil yang sedang lena dibuai mimpi.

Ain menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Dia bimbang dia bakal terpijak kain baju kurungnya yang agak labuh memandangkan baju itu ialah milik kakak iparnya. Masuk sahaja Ain kedalam perut kereta Proton Saga milik abangnya. Syafiq memandang ke arah Ain lalu meneliti satu per satu pemakaian adiknya. Syafiq tersenyum lalu mengusap lembut ubun-ubun adiknya.

“Dah siap dah? Jom” untuk pertemuan Ain bersama Puan Dahlia telah diaturkan oleh Zaarif. Mereka berdua akan bertemu di restoran tanpa ditemani oleh Syafiq. Pada awalnya, Zaarif akan turut serta dalam pertemuan itu namun dia perlu menyelesaikan beberapa kerja yang diminta oleh pengurus syarikatnya.

Semakin hampir mereka dengan destinasi restoran, semakin laju jantung Ain berdegup. Tangannya juga terasa sejuk. Syafiq menoleh ke arah adiknya yang berada di sebelahnya. Syafiq tersenyum kecil lalu mencapai tangan adiknya yang kelihatan kaku. Ain menoleh laju memandang abangnya.

“Bukan main sejuk tangan adik abang, kenapa? Gementar?” soal Syafiq lembut sambil memberikan perhatiannya kepada pemanduan. Genggaman tangan mula dilepaskan.

“Risau sajalah, Abang” tutur Ain dalam nada mendatar. Tiba-tiba dia teringat akan satu perkara lalu segera menoleh ke arah Syafiq.

“Abang waktu nak jumpa mak mentua Abang kan, Abang rasa macam mana?” soal Ain ingin tahu.

“Abang rasa biasa saja, jumpa sajalah. Macam jumpa orang baru, mana ada rasa apa-apa. Fiqah saja yang banyak sangat tengok drama” Ain memandang wajah Syafiq tanda tidak puas hati. Ain menoleh semula ke arah jalan raya.

“Tipulah, takkan tak rasa apa-apa” Ain memeluk tubuh.

“Betul, tak percaya sudah” Syafiq membelok ke arah kiri lalu mereka telah pun sampai di restoran.

“Abang doakan Fiqah tau” Ain bersalam dengan Syafiq dan terus membuka pintu kereta. Dia menutup pintu kereta dengan perlahan. Dia menarik nafas lalu menghembuskannya dengan berat.

“Ain Nursyafiqah, kau boleh” Ain mengangguk kepalanya perlahan lalu menuju ke arah restoran itu. Apabila dia melangkah masuk ke pintu utama, dia disapa oleh seorang pelayan wanita.

“Ain Nursyafiqah Binti Ain NurSyazwan?” soal pelayan wanita itu. Ain hanya mengangguk sambil memberikan senyuman manis.

“Sila ikut saya” pelayan itu berjalan dihadapan Ain. Ain hanya mengikuti langkah wanita itu sehingga ke satu ruang yang agak tersembunyi. Kelihatan seorang wanita yang telah berusia melebihi separuh abad menunggu di dalam ruangan itu.

Ain mengucapkan terima kasih lalu melangkah masuk perlahan-lahan. Tangan wanita itu disalam dan tanpa disangka wajah Ain diusap lembut oleh wanita itu.

“Dah lama Mak Cik sampai?” soal Ain lembut. Sengaja dia ingin bermesra dengan wanita itu biarpun dia terasa janggal.

“Mak Cik baru saja sampai. Tak sampai sepuluh minit pun” Ain tersenyum.

“Mak Cik dah pesankan makanan untuk Ain. Ain tak kisah kan?” soal Puan Dahlia lembut.

“Ain tak kisah, Mak Cik”

 

Ain meletakkan beg milik kakak iparnya di atas meja kecil yang berada di tengah ruang tamu itu lalu bersandar di sofa. Syafiq pula hanya mampu mentertawakan adiknya. Dari awal perjalanan pulang ke rumah sehinggalah sampai di rumah, Syafiq masih tidak mampu menghentikan tawanya. Raida pelik melihat keadaan Ain dan Syafiq yang jauh bezanya. Seorang sedang tertawa manakala seorang lagi sedang lesu bersandar di sofa. Raida menyentuh lembut bahu suaminya lalu mengambil tempat di sebelah Syafiq. Ain yang berada di hadapan mereka berdua masih memejamkan mata. Muka gadis itu kelihatan sungguh pucat.

“Apa jadi, sayang?” soal Raida ingin tahu. Tiba-tiba, Fina yang muncul dari bilik tidur ibu dan ayahnya terus menerpa ke arah Ain. Ain membuka matanya lalu memeluk Fina perlahan. Entah mengapa tetapi apabila Fina berada dalam dakapan Ain, kanak-kanak itu pasti akan berdiam sahaja seperti menikmati suasana itu. Ain memejamkan matanya kembali sambil mendakap tubuh Fina.

“Fiqah, ada ke dia pergi muntah dekat situ” Syafiq tidak mampu meneruskan cerita. Dia perlu melepaskan tawanya.

“Sayang, janganlah gelak.Ceritalah betul-betul” Raida menepuk perlahan peha Syafiq.

“Fiqah, gementar sangat macam jumpa alien. Dia gementar punya fasal, bila dah habis makan saja terus dia muntah. Nasib baik Mak Cik Dahlia tu boleh terima apa yang jadi kat Fiqah. Kalau tidak, awal-awal Fiqah dah kena reject” Syafiq menyambung tawanya.

“Habis tu, macam mana sayang tau Fiqah muntah?” soal Raida.

“Sebelum Fiqah muntah,dia sempat datang kat sayang. Fiqah kata dia tak sedap perut, minta sayang teman masuk dalam. Sekali, muntah dia. Mak Cik Dahlia pun datang sekali tengok dia muntah” Syafiq menyambung tawanya.

“Gelaklah Abang puas-puas. Nak buat macam mana, dah nak keluar bukannya boleh paksa masuk balik” Ain berkata-kata dalam keadaan matanya masih terpejam. Tanpa sedar, Fina telah pun terlena dalam dakapan Ain.

Ain membuka matanya lalu mendukung Fina dan meletakkan si kecil itu di atas katil milik kedua ibu bapanya. Bantal diletakkan di sisi Fina. Dari dalam bilik, tawa Syafiq masih kedengaran. Ain hanya menggeleng kepala lalu memasuki biliknya untuk merehatkan diri.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulaikha Rizal