Home Novel Cinta Sabar Denganku
Sabar Denganku
Zulaikha Rizal
13/9/2021 00:01:31
64,497
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Ain membuka matanya, kelihatan Zaarif masih sedang tidur. Ain mulai berdiri lalau mencapai tuala dan terus menuju ke arah bilik air. Kata-kata Puan Dahlia terngiang-ngiang ditelinganya. Seperti Puan Dahlia berada disebelahnya dan mengulangi ayat itu. ain mengeluh perlahan. 

Ain mulai menyediakan sarapan tanpa mempedulikan Zaarif. Dia menjadi takut untuk mendekati suaminya namun, dia perlu mendekati Zaarif. Ain buntu. Akhirnya Ain meninggalkan meja makan dan terus menenangkan dirinya di muka pintu. Ain duduk tanpa beralaskan apa-apa dan menyandarkan kepalanya pada dinding.

Apa patut aku buat? takkan aku nak abaikan Hubby? Aku nak ikut cakap Ibu atau abaikan? Tapi…….. entahlah aku buntu.

Setelah agak lama Ain berteleku di muka pintu, tiba-tiba Ain dapat merasakan bahunya disentuh. Dengan pantas Ain terus berdiri dan menghadap ke belakang. Ain melepaskan nafas lega.

“Hubby, terkejut Ain” Ain memandang wajah Zaarif yang tersengih kepadanya.

“Hubby tengok Ain daripada tadi lagi, termenung saja. Itu yang Hubby datang tegur sayang” Zaarif mencapai tangan Ain dan membawa wanita itu ke arah meja makan.

“Kenapa sayang tak kejut Hubby?” soal Zaarif lembut. Tanpa menjawab, Ain terus mengambil pinggan dan menyediakan sarapan untuk Zaarif.

“Sayang, Hubby nak mandi dulu boleh? Nanti Hubby makan, ya? Sayang dah makan?” pandangan Zaarif terus tertumpu ke arah Ain yang masih menyediakan makanan buatnya.

“Pergilah mandi. Nanti Hubby terus makan sajalah. Ain dah makan dah tadi” jawab Ain tanpa nada. Dia juga tidak memandang ke arah Zaarif. Zaarif mulai meneliti isterinya. Tiba-tiba mata Zaarif tertumpu pada pergelangan tangan isterinya memandangkan Ain hanya mengenakan baju berlengan pendek pada pagi itu. Zaarif mengerutkan dahi.

“Ain” panggil Zaarif. Ain yang sedang menuang air hanya membalas panggilan Zaarif dengan memandang ke arah mata lelaki itu.

“Kenapa dengan tangan kiri tu?” soal Zaarif hairan. Setahunya, dia tidak pernah melihat kesan berwarna merah yang mengelilingi pergelangan tangan Ain. Ain terus menyembunyikan tangannya apabila ditegur oleh Zaarif.

“Tak ada apa” Ain terus menuju ke arah dapur untuk menyimpan baki air. Zaarif bangun dan mengikuti langkah Ain. Setelah Ain menyimpan baki air itu ke dalam peti ais, Ain menoleh dan kelihatan Zaarif berada betul-betul di belakangnya sebentar tadi.

“Apa ni, Hubby?” soal Ain. Ain mulai menuju ke arah kiri namun dihalang oleh Zaarif. Zaarif memegang kedua belah bahu Ain.

“Ain, Ain ada apa-apa yang Ain tak puas hati dengan Hubby? Atau Ain ada sorok apa-apa daripada Hubby?” soal Zaarif lembut sambil memandang ke arah Ain. Ain memalingkan wajahnya, mengelak daripada bertembung mata dengan Zaarif. Ain hanya berdiam diri. 

Pegangan tangan Zaarif berpindah ke wajah Ain. Kedua belah wajah Ain dipegang dan dihadapkan ke arahnya secara lembut.

“Kenapa ni, sayang? Hubby ada buat salah dengan sayang, ya? Hubby ada tersalah kata?” ain tak mampu mengelak lagi. Dia hanya mampu menjawab. Selagi dia tidak menjawab pertanyaan Zaarif selagi itulah Zaarif pasti akan terus menerus bertanya.

Belum sempat Ain membuka mulut, pegangan tangan Zaarif pada wajahnya dilepaskan. Zaarif mendekatinya dan mendakap tubuh Ain.

“Hubby mandi dulu” ujar Zaarif dalam nada yang mendatar. Lelaki it uterus menuju ke arah bilik terlebih dahulu sebelum menuju ke arah bilik air. Ain menjadi serba salah namun, mustahil untuk dia berterus terang mengenai perkara sebenar. Akan percayakah lelaki itu? dia sendiri tiada jawapan.

Ain masuk ke dalam bilik untuk menyeadiakan bajunya dan Zaarif. Mengikut rancangan Zaarif, mereka berdua akan ke rumah Mak Long pada hari ini dah Mak Long telah pun sedia maklum mengenai hal itu. Selesai sahaja mengemas beg pakaian, Ain terus mengambil tempat ke arah ruang tamu. Mungkin skrin televisyen sedang memaparkan perkara-perkara atau cerita yang menrik namun, fikirannya telah jauh melayang. 

“Sayang, teman Hubby makan?” soal Zaarif di hadapan Ain. Ain mengangkat muka dan mencapai alat kawalan jauh. Dia terus mematikan televisyen dan menuju ke arah meja makan.

“Sayang, cakaplah dengan Hubby. Hubby ada buat salah, ya? Kenapa dengan tangan tu? Hubby sapukan ubat, ya?” 

“Hubby” Zaarif memandang wajah Ain. Menanti dengan penuh kesabaran.

“Hubby tak ada salah apa-apa dengan Ain. Ain cuma nak minta satu perkara, boleh?”

“Apa dia, sayang?” Zaarif mencapai tangan kanan Ain.

“Lepas ini, Hubby utamakan Ibu daripada Ain boleh?” Zaarif harian dengan permintaan yang dibuat oleh Ain.

“Apa maksud sayang?” soal Zaarif tidak faham dengan kata-kata isterinya.

“Sebelum apa-apa, Hubby kena utamakan Ibu dulu barulah Ain. Setiap hari Hubby kena telefon Ibu, tanya khabar. Kesian Ibu sorang-sorang kat rumah” Zaarif mulai dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh Ain.

“Sayang, Ibu mengadu kat sayang ya? Sayang jangan risau, Insha-Allah Hubby tahu apa yang Hubby patut buat. Sayang janganlah buat macam tadi, Hubby risau” hati Ain tersentuh. Zaarif melepaskan tangan Ain perlahan dan menuju ke arah bilik. Zaarif kembali dengan sebotol minyak di tangannya.

“Hubby sapukan ubat untuk sayang, ya?” Zaarif mencapai tangan kiri Ain perlahan-lahan. Terasa perit apabila Zaarif tersentuh bahagian pergelangan tangannya namun, dia cuba sedaya upaya untuk bertahan.

“Lepas ini, kita siap. Lepas itu, kita terus gerak pergi rumah Mak Long, ya?” Ain tersenyum memandang Zaarif lalu mengangguk perlahan sambil tersenyum.



Dengan bacaan doa yang diketuai oleh Zaarif, mereka berdua memulakan perjalanan mereka menuju ke arah rumah Mak Long yang terletak di kawasan sempadan Selangor dan Perak. Zaarif mengenakan tali pinggang keledar pada dirinya dan memastikan Ain turut melakukannya. 

Hari ini mereka berdua hanya mengenakan pakaian yang ringkas. Ain mengenakan baju kurung Pahang berwarna kelabu dan tudung bawal  manakala Zaarif mengenakan kurta yang pernah dibeli oleh Ain pada awal perkahwinan mereka dan disertakan dengan seluar jean berwarna hitam. Cermin mata dipakai oleh Zaarif memandangkan dia mempunyai rabun jauh.

“Sayang” panggil Zaarif. Ain yang membuang pandangannya ke arah tingkap terus menoleh memandang Zaarif. Zaarif mencapai tangan kanan Ain.

“Sajalah panggil, orang tu termenung saja nampaknya” Ain tersenyum kecil.

“Mana ada termenung, Ain saja nak tengok arah luar” terang Ain lembut. 

“Sayang rapat dengan Mak Long?” sengaja Zaarif ingin mencari topik untuk mereka berbual.

“Rapat. Macam hubungan mak dan anak kandung, bukannya anak saudara” Zaarif tersenyum dan memandang Ain sekilas sebelum menumpukan semula perhatiannya.

“Cuba cerita antara peristiwa yang menunjukkan sayang betul-betul rapat dengan Mak Long” Ain mulai berfikir. 

“Apa eh?” Ain menyoal dirinya sendiri.

“Oh, ada satu. Waktu ni, Kak Awin dan Kak Awina pergi rombongan sekolah jadi tinggal Ain dan Abang saja dekat rumah dengan Mak Long”

“Waktu tu Mak Long ajak main. Mak Long bawa tiga kotak kosong lepas tu, Mak Long suruh hias sendiri guna krayon. Ain dengan Abang buat kereta biasa, Mak Long pula buat polis maksudnya waran biru kotak tu. Ain dengan Abang berlari satu rumah sebagai perompak sebab tak nak kena kejar dengan polis”

“Sampai lah satu masa, Ain nak turun tangga tapi kotak tu kan kedepan jadi Ain tak nampak. Dengan segala hormatnya, Ain jatuh tangga tapi nasib baik ada kotak tu, Ain terduduk atas kotak dan menggelongsor lah Ain ke bawah. Hubby tahu tak Abang buat apa? Abang terus turun pergi ambik kotak baru lepas tu, tulis ambulans dekat kotak tu. Terus Abang datang dekat Ain dengan mengajuk bunyi ambulans” ketawa Zaarif pecah.

“Orang tengah sakit boleh pula buat lawak” Zaarif mulai menyokong kata-kata Ain.

“Tahu tak apa, tapi lepas tu Ain tak sakit apa pun. Maklumlah, ambulans datang untuk merawat” gurau Ain. Tawa mereka berdua pecah. 

“Hubby nampak keakraban tu” ujar Zaarif. Ain mengangguk sambil tersenyum.

“Kalau waktu sayang remaja?” soal Zaarif ingin tahu.

“Waktu remaja, Ain jarang pergi rumah Mak Long sebab ada Kak Awin dan Kak Awina. Tambahan pula, jauh jarak rumah Ain dengan Mak Long”

“Tapi setiap kali Ain datang rumah Mak Long dulu, Mak Long akan ajak Ain tengok wayang cerita Melayu sebab Kak Awin dan Kak Awina tak minat cerita Melayu. Itu yang tambah rapat” sambung Ain.

“Lepas ini, boleh lah sayang tengok wayang dengan Hubby?” soal Zaarif. Sengaja ingin menduga reaksi isterinya.

“Mestilah boleh, bila-bila masa sahaja” seloroh Ain. Zaarif tergelak kecil. Genggaman tangannya dieratkan.


“Mak Long” panggil Ain. Zaarif menoleh ke arah Ain lalu mencapai tangan kanan isterinya.

“Bagi salam kan, lebih manis sayangku” tutur Zaarif lembut. Ain tersengih.

“Assalamualaikum, Mak Long” Ucap Ain dengan suara yang dikuatkan sedikit. Pintu rumah dibuka dari dalam kelihatan wajah Puan Wafa yang menyarungkan tudung pada kepalanya memandangkan Zaarif turut berada di situ.

Puan Wafa tersenyum memandang wajah Ain. Sejujurnya dia terkejut dengan penampilan Ain yang sangat berbeza berbanding sebelumnya namun, riak wajah terkejut itu disimpan dengan kemas. Belum sempat Puan Wafa menjawab salam, tubuh Puan Wafa telah pun didakap erat oleh Ain.

“Waalaikumsalam, Fiqah rindukan Mak Long, ke?” duga Puan Wafa. Ain meleraikan pelukan.

“Mestilah, siapa yang tak rindu” wajah Puan Wafa ada iras-iras dengan arwah ibunya namun tidak ketara.

“Jom, ajak Zaarif masuk. Kesian suami kamu asyik tengok saja” Zaarif tersenyum.

“Tak adalah, Mak Long. Apa salahnya” Ain mencapai tangan Zaarif dengan senyuman pada wajahnya.

“Jom” ujar Ain penuh ceria. Melihatkan sinar kegembiraan pada wajah isterinya, Zaarif turut tersenyum.

“Mak Long ada masak kari ayam untuk Zaarif” ujar Puan Wafa sambil meletakkan buah manga yang telah dipotong di atas meja dan diikuti oleh Ain yang meletakkan air yang baru sahaja dibancuh. Ain mengambil tempat di sebelah Zaarif manakala Puan Wafa mengambil tempat di sofa berhadapan dengan mereka.

Zaarif tersenyum mendengar kata-kata Puan Wafa.

“Mak Long, Mak Long nak tahu tak? Ada orang ni kalau boleh hari-hari nak makan ayam Mak Long. Entah-entah, nanti mana-mana ayam yang tengok Abang Zaarif jadi takut” tawa Zaarif pecah begitu juga Puan Wafa.

“Biarlah dia, kamu tu yang ambil peduli sangat. Tak salah pun, lagi pun sedap juga kalau makan ayam. Betul, Zaarif?” Zaarif memandang wajah Mak Long lalu tersenyum.

“Betul, ada orang tu saja Mak Long yang tak tahu kenikmatan rasa makan ayam” 

“Eh, nak kenakan kita pula” Ain menyerahkan secawan Air kepada Zaarif dan kemudiannya kepada Mak Long.

“Hubby nak mangga?” soal Ain lembut. 

“Boleh juga” Ain mengambil sepotong manga lalu disuakan kepada Zaarif. Zaarif ingin mengambil mangga itu kepada Zaarif namun Ain menghalang. 

“Nganga” 

“Hubby malu lah” tutur Zaarif perlahan. Puan Wafa yang melihat keadaan itu tersenyum kecil. 

“Mak Long nak pergi sediakan lauk sekejap. Nanti datang dekat meja makan, ya?” Puan Wafa terus berdiri dan menuju ke arah dapur. Ain kembali menyuakan potongan mangga kepada Zaarif. Dengan perasaan yang bercampur baur, Zaarif hanya menerima suapan Ain.

“Manis” tutur Zaarif perlahan. Ain menyuapkan sepotong lagi kepada Zaarif sebelum mereka berdua berjalan beriringan ke arah dapur.

Sedang Ain mencedok nasi dan lauk buat Puan Wafa dan Zaarif, Puan Wafa kerap memandang wajah Ain.

“Fiqah” panggil Mak Long lembut. Ain menoleh ke arah Puan Wafa sekilas sebelum meyambung mencedokkan makanan.

“Apa dia, Mak Long?” soal Ain tanpa memandang wajah Puan Wafa.

“Mak Long bersyukur, akhirnya doa Mak Long makbul untuk berjumpa Fiqah yang dulu” tutur Puan Wafa dengan penuh emosi yang dicurahkan. Ain memandang wajah Puan Wafa lalu tersenyum kecil. Ain kembali meneruskan kerjanya.

Zaarif mengerutkan dahinya. Ingin sekali dia bersuara pada ketika itu untuk bertanyakan mengenai apa yang sebenarnya dikatakan oleh Puan Wafa namun, dia hanya mendiamkan diri. Dia pasti, jika dia bertanya kepada Ain mengenai hal itu pada detik itu juga pastinya Ain akan mengelak untuk menjawab pertanyaannya.

“Jom, jemput makan ya Zaarif. Kalau sedap alhamdulillah tapi, kalau tak sedap diam saja” seloroh Puan Wafa. Tawa mereka bertiga pecah. 

“Sedap lah Mak Long masak. Mana pernah tak sedap” ujar Ain.

“Dah, dah jom makan. Zaarif bacakan doa, ya” Zaarif mengangguk lalu menadah tangan dan seperti biasa dia akan mengetuai bacaan doa.


Zaarif melangkah masuk ke dalam rumah memandangkan dia baru sahaja pulang dari surau yang berdekatan dengan kawasan rumah Puan Wafa. Memandangkan isterinya dan Puan Wafa sedang berada dalam fasa haid, jadi dia terus meminta izin untuk pergi ke surau. 

Zaarif mendapati Ain sedang duduk di sofa yang berhadapan dengan televisyen. Baru sahaja dia mengambil tempat di sebelah Ain, terasa ada kepala yang sedang menyandar pada bahunya. Zaarif menoleh. 

“Eh, tido?” soal Zaarif sendiri apabila melihat Ain dalam keadaan mata yang terpejam. Zaarif menggeleng perlahan. Matanya melilau mencari kelibat Puan Wafa namun tidak kelihatan dan dia hanya terus duduk di sofa.

“Dah lama balik, Zaarif?” soal Puan Wafa. Puan Wafa yang hanya bertudung sarung dan berstoking hitam mengambil tempat di sofa bersebalahan mereka berdua. Tiba-tiba Ain terbangun dan terus menegakkan badannya.

“Baru saja sampai Mak Long” jawab Zaarif. Ain kemudiannya menyandar pada sofa dan memejamkan matanya. Zaarif tergelak kecil melihat telatah isterinya.

“Fiqah” panggilan Puan Wafa membuatkan Ain menegakkan badannya dan mencelikkan mata.

“Pergilah tidur dalam bilik, apa tidur kat sini” 

“Tak adalah Mak Long, Fiqah mana mengantuk” Ain mneyangkal kata-kata Puan Wafa.

“Dah tersengguk macam itu, tak mengantuk lagi. Pergilah tidur kat atas, nanti malam ada lagi” Ain akhirnya menurut. Ain menaiki tangga sendirian tanpa diikuti Puan Wafa dan Zaarif. 

Zaarif dapat merasakan bahawa inilah peluang yang septutnya digunakan olehnya untuk bertanya kepada Mak Long mengenai kehidupan isterinya sebelum ini. 

“Apa yang mengantuk sangat Fiqah tu?” soal Puan Wafa ingin tahu.

“Biasalah, Mak Long. Ada orang baru nak belajar tahajud, itu yang mengantuk tu” jawab Zaarif sambil tersenyum. Serta merta, Zaarif terbayang kejadian pada malam tadi. Walaupun dia tahu bahawa wanita itu sedang berada dalam fasa haid, namun sengaja dia mengajak Ain untuk menemaninya. Biarpun dia telah terima apabila Ain menolaknya buat kali pertama dia mengajak, namun tiba tiba terasa ada badan yang menyandar pada bahagian belakang tubuhnya. Zaarif tersenyum mengingati peristiwa itu.

“Oh, iya ke? Alhamdulillah. Mak Long dah lama tak dengar Fiqah bangun malam. Selalunya yang Mak Long dengar, Fiqah berjaga malam. Buat kerja lah katanya” mereka berdua tergelak kecil.

“Mak Long, Zaarif nak tanya sikit boleh?” soal Zaarif berhati-hati.

“Pasal apa tu?” 

“Fiqah” jawab Zaarif sepatah.

“Kalau Mak Long rasa keberatan nak jawab, tak usahlah jawab sebab Zaarif cuma tertanya” Puan Wafa mengangguk perlahan.

“Kalau Mak Long mamou jawab, Mak Long akan jawab”

“Apa maksud Mak Long, Fiqah yang dulu?” soal Zaarif.

“Kalau Zaarif nak tahu Fiqah sebelum pemergian Ibu dan Ayah, dengan Fiqah selepas pemergian Ibu dan Ayah merupakan Fiqah yang berlainan. Sebelum pemergian Ibu Fiqah dan Ayah Fiqah, Fiqah seorang yang sangat solehah. Pakai tudung labuh, baju longgar, mengaji, solat. Hampir semuanya sempurna walaupun masih digelar kanak-kanak. Ajaran Ibu dan Ayah Fiqah tu, sangat baik dan teliti”

“Tapi bila Ibu dan Ayah Fiqah pergi, Fiqah mula berubah. Mula menyalahkan takdir, perlahan-lahan meninggalkan solat, hafazan yang selama ni ada dalam diri dia pun, mula hilang. Perlahan-lahan buka tudung. Mula-mula Fiqah akan pakai tudung setiap kali depan Mak Long dan buka tudung bila di belakang Mak Long. Sejak Mak Long dah tau Fiqah buka tudung di belakang Mak Long, terus tudung tu ibarat perhiasan dalam bilik dia. Langsung tak disentuh”

“Bila Mak Long nampak hari ni Fiqah pakai tudung, Mak Long tak henti-henti ucapkan syukurdalam hati, Zaarif. Dah lama Mak Long doa dan akhirnya hari ni makbul doa Mak Long. Itu antara sebab Mak Long tak ragu-ragu nak lepaskan Fiqah kepada Zaarif. Mak Long yakin Zaarif mampu bimbing Fiqah” Puan Wafa terasa sebak. Segera Zaarif mencapai tisu yang terletak di kabinet televisyen dan diserahkan kepada Puan Wafa.

“Doa seorang ibu mana ada hijabnya Mak Long, cepat atau lambat suatu hari nanti pasti akan makbul” Puan Wafa tersenyum.

“Terima kasih Zaarif sebab sudi bimbing anak Mak Long”

“Mak Long, menjadi tanggunggjawab seorang suami untuk Zaarif bimbing Fiqah. Hidayah tu memang milik Fiqah, Mak Long. Zaarif tak berkuasa untuk memberi atau membawa hidayah”

Ingin sahaja Zaarif meneruskan percakapan untuk bertanya kepada Mak Long lebih lanjut mengenai isterinya namun melihatkan suasana, niatnya tertangguh. Mungkin hari lain akan ada, fikir Zaarif dalam diam.

“Zaarif, tanya sajalah apa yang Zaarif nak tanya. Insha-Allah Mak Long akan jawab” Zaarif tersenyum memandang Mak Long. sungguh firasat seorang ibu itu hebat. Ujar Zaarif dalam hati.

“Mak Long, Mak Long tahu mengenai pemergian Ibu dan Ayah?” soal Zaarif berhati-hati. Puan Wafa memandang wajah Zaarif lalu tersenyum sambil menggeleng perlahan.

“Mengenai apa sebenarnya yang terjadi sewaktu pemergian Ibu dan Ayah Fiqah, hanya Fiqah seorang sahaja yang tahu. Semua yang terbabit dalam kemalangan tu, semuanya dijemput ajal. Jadi, kebenaran tak dapat dirungkaikan disebabkan Fiqah tak nak ceritakan apa sebenarnya yang terjadi. Mak Long tak salahkan Fiqah. Mungkin Fiqah sendiri takut nak bayangkan semula apa yang jadi. Sampai hari ni masih tiada jawapannya, Zaarif”

“Andai hati Fiqah terbuka untuk menceritakan semuanya, Mak Long masih nak tahu?” soal Zaarif.

“Dah lama kejadian tu berlalu, Zaarif. Mungkin pada mulanya Mak Long nak sangat tahu apa yang terjadi tapi sekarang Mak Long dan reda. Mak Long yakin ada sebab untuk Fiqah simpan cerita tu sendirian”

Tiba-tiba kedengaran satu bunyi hentakan yang amat kuat dan bunyi itu datang dari tingkat atas. Zaarif dan Puan Wafa berpandangan sesama sendiri sebelum mereka berdua bergegas menuju ke atas. Sampai sahaja bilik yang menempatkan Fiqah, Zaarif terus membuka pintu dan kelihatan Fiqah sedang menunduk sambil menggosok perlahan kepalanya. Mereka berdua memandang ke arah Fiqah. fiqah yang sedar keadaan itu turut memandang ke arah mereka berdua lalu tersengih.

“Fiqah terhantuk tadi, kuat sangat ke bunyi?” soal Ain dalam keadaan yang selamba.

“Kuatlah, sakit lagi tak?” Zaarif mulai menghampiri isterinya dan menggosok perlahan kepala Ain yang tidak berbalut apa-apa.

“Fiqah nak buat apa ni?” soal Puan Wafa lembut sambil turut menghampiri Ain.

“Fiqah nak pergi bilik air, tapi tak perasan pula ada almari ni” 

“Ada-ada sajalah Fiqah ni” Mak Long menggelengkan kepalanya perlahan.

“Habislah sayang, dahi sayang benjol” Zaarif tergelak kecil. Ain memandang muka Zaarif dengan jelingan yang tajam. Puan Wafa turut tergelak kecil melihat telatah kedua anaknya.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulaikha Rizal