Home Novel Cinta Sabar Denganku
Sabar Denganku
Zulaikha Rizal
13/9/2021 00:01:31
64,514
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Pada pagi itu, seluruh ahli keluarga mulai memperhiaskan diri mereka agar kelihatan cantik dan menawan. Begitu juga Ain yang menjadi watak utama pada hari itu. Wajah Ain buat pertama kalinya diserikan dengan alat solek oleh Raida. Wajah ain yang berwarna sawo matang diserikan dengan beberapa bahan tanpa mengubah warna asal kulitnya. Pemerah bibir turt dikenakan pada bibir Ain. Biarpun beberapa kali ditolak, Raida tetap memujuk Ain supaya hanya akur. 

Veil diletakkan lalu Raida memusingkan wajah Ain menghadap cermin. Buat pertama kali Ain melihat dirinya seegitu rupa. Tudung turut disarung terlebih dahulu sebelum Raida meletakkan veil. Tanpa sedar, Ain terasa seperti dia sedang melihat wajah ibunya pada permukaan cermin. sedang Ain menatap wajahnya dengan penuh rasa kerindua pada pantulan permukaan cermin, pintu diketuk dari luar.

“Boleh Abang masuk?” soal Syafiq lembut. Ain segera menutup wajahnya dengan menggunakan buku yang terdapat di sekitarnya apabila menyedari kehadiran Syafiq.

“Masuklah” jawab Raida sambil tersenyum ke arah suaminya. Syafiq melangkah masuk lalu merapatkan pintu sedikit.

“Dah siap? Kalau dah, boleh lah kita gerak sekarang” tutur Syafiq kepada Raida. Syafiq mulai terlihat diri Ain yang menutup wajahnya.

“Fiqah, kenapa tutup buku?” soal Syafiq bingung.

“Ada ibu” jawab Ain terus terang. Syafiq tersentak dengan kata-kata adiknya.

“Mana ada Ibu, Fiqah. Ibu dah tak ada kan?” pujuk Syafiq perlahan. Perlahan-lahan Ain menurunkan buku itu dan menunjukkan wajahnya kepada Syafiq. Buat kali yang kedua, Syafiq tersentak. Benar, wajah Ain kelihatan mirip benar seperti wajah arwah ibunya. Tanpa sedar, air mata Syafiq jatuh dan dia segera menyeka dengan lengannya.

“Dah lah, jom. Nanti lambat pula” Syafiq segera keluar tanpa menoleh ke arah adik dan isterinya. Ain hanya mendiamkan diri dan mengikuti kangkah Raida. Dia juga tersentak apabila melihat wajahnya namun kali ini dia tidak mampu untuk mengalirkan air mata.

Sampai sahaja di masjid, mereka semua berjumpa dengan Mak Long serta ahli keluarga dan sahabat yang lain termasuk keluarga pihak pengantin lelaki. Di sisi Fiqah terdapat Raida, Fina, Mak Long serta Pua Dahlia dan sahabat mereka yang lain manakala di sisi Zaarif terdapat Syafiq serta saksi dan beberapa sahabat. Semua orang mengambil tempat mereka masing-masing. Pengantin lelaki dan Tok Kadi turut telah bersedia. Sebelum melafazkan akad nikah, Tok kadi terlebih dahulu membuat khutbah nikah. 

Tok Kadi menghulurkan tangannya lalu disambut oleh Zaarif. 

“Ahmad Zaarif bin Ahmad Zamri”

“Saya” jawab Zaarif dengan penuh ketenangan.

“Aku kahwinkan engkau dan aku nikahkan engkau dengan Ain Nursyafiqah Binti Ain Nursyazwan dengan mas kahwinnya 80 ringgit tunai”

“Aku terima nikahnya, Ain Nursyafiqah Binti Ain Nursyazwan dengan mas kahwinnya 80 ringgit tunai”

“Sah? Sah?” soal Tok Kadi kepada saksi-saksinya.

“Sah” jawab saksi-saksi.

“Alhamdulillah” ucap Tok Kadi lalu menadah tangan untuk membacakan doa. Zaarif turut menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibaca oleh Tok Kadi. Puan Dahlia dan Mak Long kelihatan kedua-dua mereka mengalirkan air mata. Lafaz taklik dibaca oleh Zaarif dengan tenang. Entah mengapa, pada hari yang sepatutnya menggegarkan jantungnya dia mampu untuk kekal tenang setenang tasik yang tidak diganggu atau dikocak airnya.

Selesai taklik, Zaarif melangkah perlahan-lahan ke arah Ain. Wajah Ain yang balam-balam rupanya dek kerana dilindungi oleh veil tetap ditatap kasih oleh Zaarif. Dengan lembut, Zaarif menyelak veil itu ke belakang. Wajah Ain kini jelas kelihatan. Zaarif tersenyum lembut. Cincin dihulurkan oleh Puan Dahlia. Dengan sopan, zaarif mengambil sambil menguntumkan senyuman yang manis buat ibunya. 

Dengan malu, Ain menghulurkan tangannya lalu dipegang lembut oleh Zaarif. Cincin disarungkan pada jari manis isterinya. 

“Cantik Ain hari ni” puji Zaarif dengan suara yang agak perlahan namun dapat didengari oleh Ain. Muka Ain menjadi merah.

Zaarif menghulurkan tangannya lalu Ain tunduk mencium tangan suaminya. Dengan spontan, tangan kiri Zaarif mengusap lembut ubun-ubun Ain. Ain mengangkat wajahnya. Mata mereka bertentangan dan buat pertama kalinya Zaarif tidak mengelak pandangan mata Ain.

Zaarif menarik semula tangan kirinya lalu meletakkan pula tangan kanan lalu dibacakan doa. Doa itu dapat didengari oleh Ain. Doa-doa itu dibaca dalam Bahasa Arab namun, Ain dapat merasakan kasihnya seorang yang bernama Ahmad Zaarif.

Zaarif menjatuhkan tangannya perlahan-lahan lalu membetulkan posisinya untuk mengucup lembut pada dahi Ain. Sungguh ketika itu rasa malu mulai menerpa dirinya. Namun dia tetap melakukannya dengan sopan. 

Mereka semua mengadakan sesi bergambar di perkarangan masjid terutama sekali Ain dan Zaarif. Sedang mereka semua baru sahaja ingin pulang setelah selesai bergambar, mereka didatangi oleh Mak Long serta kedua-dua anak kembarnya Awin dan Awina. Posisi kedudukan Ain pada ketika itu, Zaarif berada pada sebelah kanannya. Di sebelah kirinya terdapat Syafiq, Raida dan Fina.

“Mak Long” sapa Ain lembut.

“Iya, Fiqah. amboi, berserinya muka” puji Mak Long. Pada saat itu kelihatan kelibat Awin dan Awina turut menghampiri mereka. serta merta Ain terasa tergugat keadaanya. Syafiq yang menegtahui akan keadaan itu segera memeluk bahu Ain tanpa isyarat terlebih dahulu, membuatkan Ain terkejut dan memandang Abangnya.

“Ini Abang, jangan risau lah” Ain meredakan hatinya lalu perlahan-lahan tangan kanannya mencapai tangan Zaarif. Zaarif yang menyedari keadaan itu tanpa mengetahui sebabnya hanya membalas semula genggaman tangan Ain yang dirasakan sungguh kuat namun tidaklah menyakiti dirinya.

“Lepas ni Fiqah pergi mana dulu?” soal Mak Long mesra. Awin dan Awina hanya kekal berada di belakang ibu mereka.

“Balik rumah Abang dulu lah Mak Long sebab nak ambil barang Fiqah. Lepas itu, baru pergi rumah Abang Zaarif” buat pertama kalinya Ain menggelarkan Zaarif sebagai Abang Zaarif. Dengan serentak, Zaarif dan Syafiq memandang ke arah Ain. Ain yang perasan pada tindakan mereka berdua hanya memandang Zaarif dan syafiq silih berganti kerana hairan.

“Apa?” soal Ain tidak tahu.

“Cakap apa tadi?” soal Syafiq dan Zaarif serentak. 

“Ee, apa cakap serentak ni? Takkanlah Fiqah nak panggil ustaz pula. Mak Long, tengok ni” Ain mengadu manja.

“Lah, kamu yang manja lebih. Nanti bila kamu berdua ada masa, singgahlah rumah Mak Long ya” Mak Long mencapai tangan kiri Ain.

“Insha-Allah Mak Long kalau tak ada aral melintang, kami sampai” sambut Zaarif. Ain dapat melihat ragam Awin dan Awina yang sedang berbisik dan tersenyum dalam keadaan mata mereka berdua terpaku ke arah Zaarif. 

“Zaarif nak Mak Long masak apa, beritahu Mak Long” dengan mesra Mak Long menawarkan kepada Zaarif.

“Eh, Mak Long masak saja apa-apa. Zaarif tak kisah” dengan penuh segan dan sopan Zaarif menolak. Pandangan ain masih tertumpu kepada pasanagan kembar seiras itu.

“Beritahu lah Mak Long, kalau Zaarif tak beritahu sedih hati Mak Long” Zaarif mulai berfikir lalu tersenyum.

“Kalau macam tu, kari ayam lah Mak Long” Mak Long tersenyum.

“Boleh” Mak Long mulai meminta diri dan menuju ke arah Puan Dahlia. Dengan tiba-tiba Awin dan Awina berada di hadapan Zaarif.

“Hai, nama saya Awin” ujar Awin dengan penuh senyuman di wajahnya.

“Hai, nama saya pula Awina” dengan segan Zaarif perlahan-lahan menundukkan wajahnya memandangkan kedua-dua mereka terus memandang ke arah matanya.

“Hai, saya Zaarif” ucap Zaarif perlahan. Ain berdeham kuat.

“Kak Awin, Kak Awina, mana suami? Hilang dah?” soal Ain dengan agak kuat namun tidak dapat didengari oleh Mak Long yang sedang bersembang dengan Puan Dahlia. Syafiq menapar bahu Ain perlahan sehingga membuatkan Ain terkejut. Wajah Awin dan Awina yang tadi penuh dengan senyuman kini masam mencuka dek kerana teguran Ain.

“Fiqah, ni abang. Jangan risau” 

“Mak Long, kami pergi dulu lah. Nanti kita jumpa eh” tegur Syafiq kepada Mak Long yang masih bersembang.

“Yelah” Mereka berdua terlebih dahulu beredar meninggalkan mereka.

“Ibu, Zaarif pergi dulu, ya? Dalam minggu ni nanti Zaarif datang jenguk Ibu. Ibu balik dengan Pak Man dan Mak Cik Kalsom, kan?” tutur Zaarif penuh sopan. Puan Dahlia mengangguk.

“Ibu hati-hati balik. Dah sampai rumah nanti telefon Zaarif”

“Ibu tahulah. Dah pergilah, isteri kamu dah ikut si abangnya tu”Zaarif tunduk bersalaman dengan ibunya dan mengucapkan salam sebelum mendekati isterinya. Syafiq melepaskan pelukannya pada bahu Ain lalu memandang Ain sambil bercekak pinggang.

“Fiqah kenapa ni? Terkejut dua kali disebabkan abang. Fiqah paranoid sangat ni” Syafiq memujuk Ain. Ain hanya menunduk. Zaarif yang sempat mendengar kata-kata penuh Syafiq menganggukkan kepalanya. Barulah dia mengerti kejadian sebenar yang membuatkan Ain menggenggam tangannya namun, konflik antara mereka berempat masih tidak dapat dikenalpasti oleh Zaarif.

“Tak tahu, Fiqah cuma rasa macam diri Fiqah ni terancam dengan bahaya. Itu sahaja” tutur Ain perlahan. Syafiq mengusap lembut ubun-ubun Ain. Zaarfi yang melihat Tindakan spontan Syafiq terasa tersentuh dan teringin untuk mencontohi lelaki itu.

“Dah lah, jom balik.” Syafiq mencapai tangan Raida lalu menggenggam kemas. Mereka berlima menuju ke arah kereta dan mulai memandu pulang ke rumah milik Syafiq.

Sampai sahaja di pintu hadapan rumah mereka, dengan secara tiba-tiba Syafiq menoleh ke belakang menghadap Ain dan Zaarif. Mereka berdua terhenti dek kerana Syafiq menghalang jalan.

“Selamat datang ke rumah keluarga kami wahai adik iparku” seloroh Syafiq. Dengan spontan, Syafiq menolak tubuh Ain ke tepi lalu terus menuju ke arah Zaarif yang berada di belakang Ain. 

Ain yang ditolak ke tepi itu memandang abanganya dengan pandangan tidak puas hati dan terus melulu masuk ke dalam rumah. Zaarif yang melihat Ain ditolak terasa lucu dengan reaksi wajah isterinya.

‘Buat malu dekat jiran jelah abang ni’ bisik Ain. Syafiq memeluk bahu Zaarif.

“Terima kasih, abang iparku. Jom masuk, aku dah rasa berlengas dah ni” Syafiq tersengih.

“Jom” mereka berdua berjalan beriringan masuk ke dalam rumah. 

“Kau pergi mandi dulu, lepas itu nanti kita makan sama-sama” ujar Syafiq kepada Zaarif. Zaarif hanya tersenyum dan terus melangkah menuju ke bilik isterinya. 

Di hadapan pintu bilik Ain, Zaarif mulai terasa janggal. Perlukah dia mengetuk? Perlukah untuk dia memanggil nama Ain? Dia buntu. Baru sahaja genggaman tangannya ingin mendarat pada permukaan pintu bilik isterinya, pintu itu dibuka dari dalam.

“Lambatnya masuk. Cepatlah, orang nak mandi ni” tanpa ragu Ain menarik tangan Zaarif masuk ke dalam bilik dan terus menutup pintu. Zaarif mulai menilite setiap sudut bilik Ain. Sungguh ringkas dan hanya terdapat dua tiga perabot sahaja di dalam bilik itu. Katil bujang, almari dan juga meja kecil bersebelahan dengan katil. 

Ain menepuk tangannya betul-betul dihadapan muka Zaarif sehingga lelaki itu terkedu.

“Dari tadi saya panggil. Ustaz nak mandi tak?” soal Ain dengan nada mendatar. Zaarif memandang wajah Ain.

“Nak, tapi” belum sempat Zaarif menghabiskan kata-katanya, Ain telah pun menghulurkan beg kertas kepadanya.

“Itu saya ada beli baju untuk ustaz. Ustaz tak ada baju, kan? Dalam tu ada tiga helai. Satu pakai untuk petang ni, satu malam, satu lagi esok. Ustaz pergilah mandi dulu, saya nak kemas barang” tanpa ada kesempatan untuk membalas kata-kata Ain, segalanya telah pun diterangkan. Zaarif hanya mengangguk dan menuju ke arah bilik air yang terdapat di dalam rumah itu.

Zaarif muncul dihadapan pintu bilik Ain. Ain yang sedang memasukkan pakaiannya ke dalam beg bagasi hanya memandang Zaarif sekilas.

“Dah habis dah?” soal Ain tanpa memandang Zaarif.

“Dah” jawab Zaarif sepatah.

“Ain nak saya tolong?” soal Zaarif. Ain mengangkat wajahnya lalu berdiri.

“Tak apalah, tak banyak pun. Nanti saya masukkan sendiri. Ustaz pergilah depan, saya nak mandi pula” persis kanak-kanak kecil, Zaarif hanya menurut apa yang dikatakan oleh Ain. 

Zaarif menuju ke arah ruang tamu dimana Syafiq dan anak sulungnya berada. Dia mengambil tempat berhadapan dengan lelaki itu. Syafiq memandang ke arah Zaarif.

“Wah, cantik baju. Mana beli?” soal Syafiq mesra. Zaarif melihat ke arah doronya lalu tersenyum.

“Cantik kan, ini pertama kali aku pakai kurta. Ain yang bagi dekat aku ni” jawab Zaarif. Syafiq seakan akan tidak percaya denga kata-kata Zaarif.

“Fiqah beli?! Wah, tak pernah pula dia beli baju untuk aku”

“Nampak tak keistimewaan aku dalam hati dia” Zaarif tersengih. Sengaja dia ingin menduga reaksi Syafiq.

“Kau ingat aku cemburu? Lambat lagi lah jawabnya” Syafiq mulai menumpukan pandangannya pada Fina. Zaarif menggelengkan kepalanya.

“Kalau dah cemburu tu, tak salah kalau nak mengaku”

“Jom makan, semua” panggil Raida. Zaarif dan Syafiq mulai berdiri dan menuju ke meja makan. Selang beberapa minit, Ain turut muncul di meja makan dan mengambil tempat di sebelah Zaarif. Ain melihat menu yang ada di atas meja itu dengan wajah yang hairan.

“Sejak bila pula rumah kita makan ayam sambal tumis? Selalunya kalau Fiqah nak makan, kena beli sendiri” soal Ain hairan. Entah kenapa, abang dan kakak iparnya tidak terlalu gemar menikmati ayam sambal tumis. Di dalam tumah itu, hanya Ain sahaja yang gemar menikmati lauk itu. 

Zaarif tersengih.

“Sebenarnya saya yang beli” jujur Zaarif. Pandangan Ain mulai tertumpu kepada suaminya.

“Bila ustza beli?” soal Ain hairan. Setahunya, zaarif berada di sisinya sepanjang masa.

“Saya pesan guna telefon. Dia hantar tadi” jawab Zaarif ringkas. Tiba-tiba Ain terfikirkan sesuatu.

“Dekat Mak Long pun ustaz minta lauk ayam kan?” soal Ain. Zaarif tersengih.

“Apa ni, jom makan. Abang dah lapar dah. Pengantin baru, sila ketuai bacaan doa” seloroh Syafiq sambil tersenyum memandang Zaarif. Zaarif hanya tersenyum lalu menadah tangan.


Malam itu, setelah Ain siap mengemas dia mulai melangkah keluar dari bilik. Dia terlihat kelibat Syafiq serta Zaarif berada di ruang tamu. Mata Ain mulai melilau di segenap ruang rumah untuk mencari kelibat kakak iparnya dan Fina. Pandangan matanya terhenti pada bilik abangnya. Pintu itu yang terbuka sedikit mampu memperlihatkan kepada Ain bahawa Fina dan ibunya sedang bermain berdua. Ain tersenyum lalu meneruskan langkahnya ke arah ruang tamu rumah.

Zaarif menoleh dan memandang isterinya. Tanpa ragu, Ain terus mengambil tempat bersebelahan dengan Zaarif.

“Nanti Fiqah ambil tilam kekabu dekat dalam almari Fiqah lepas itu bentang dekat depan ni. Nanti Abang alihkan meja” arah Syafiq tanpa memandang wajah adiknya. Ain hanya mengangguk. 

“Nak buat apa?” soal Zaarif yang tidak tahu mengenai hal yang dibincangkan oleh dua beradik itu. Ain mengrutkan wajahnya sambil memandang Zaarif.

“Ustaz nak tidur dekat bawah lantai ke? Bilik saya ada katil bujang saja, tak muat untuk letak ustaz dekat atas tu” terang Ain dengan nada yang mendatar.

“Tak apalah, apa salahnya kalau saya tidur bawah sekali pun” jawab Zaarif lembut.

“Ustaz tidurlah bawah lantai bilik tu, kena gigit dengan tikus, lipas, semut baru tahu” Ain terus berdiri lalu menuju ke arah biliknya untuk mengambil tilam kekebau yang dimaksudkan oleh abangnya. Syafiq tersenyum melihat wajah Zaarif yang terpana dengan kata-kata Ain.

“Kau takut yang mana? Tikus atau lipas?” soal Syafiq ingin mengusik.

“Merepek lah kau” Zaarif menyangkal kata-kata Syafiq. Syafiq mulai berdiri lalu mengalihkan meja kecil yang berada di tengah-tengah ruang tamu itu ke tepi. 

“Aku masuk tidur dulu lah, selamat malam pengantin baru” Syafiq melambai tangan ke arah Zaarif dan terus berlalu pergi ke arah biliknya. Serentak dengan itu, kelibat Ain muncul sambil membawa tilam kekabu dan bantal. Zaarif yang melihat keadaan Ain segera menyambut tilam dan bantal itu lalu diletakkan perlahan-lahan ke atas lantai.

Baru sahaja Ain ingin menunduk untuk mencapai tilam dan ingin membentangkannya namun, Zaarif terlebih dahulu melakukannya sendirian. Bantal juga disusun oleh Zaarif tanpa meminta bantuan Ain

“Bagilah saya tolong tadi” ujar Ain lembut ketika mereka berdua terlah pun melabuhkan punggung di atas tilam itu. Zaarif tersenyum memandang Ain.

“Tak apalah, Ain dah ambilkan tilam dengan bantal, kan? Jadi tugas saya pula lah untuk bentang dan susun bantal. Kan adil tu” tutur Zaarif dengan penuh kelembutan pada suaranya. Ain tersenyum kecil.

“Kalau ustaz nak tidur dulu, tidurlah. Saya nak tengok cerita sekejap” Ain mulai membaringkan dirinya dan mencapai alat kawalan jauh televisyen itu. Zaarif yang melihat Ain telah berbaring, turut mengikuti isterinya. Terasa janggal buat skeetika memandang dia tidak pernah membaringkan diri di sebelah perempuan selama ini. 

“Tak apalah, saya nak tengok juga. Tak rasa mengantuk lagi” tutur Zaarif. Pada pandangan Zaarif, dia terasa sungguh hairan. Bagaimana dengan pantasnya, Ain mampu membiasakan dirinya untuk berdua dengannya sedangkan dia masih terasa wujudnya perasaan janggal. Tanpa Zaarif sedar, televisyen telah pun ditutup. Ain menampar lembut bahu Zaarif. Zaarif segera memandang ke arah wajah Ain.

“Ustaz kata nak tengok cerita tapi pandang dinding. Macam mana tu?” soal Ain hairan. Zaarif tersengih. 

“Saya tengah berfikir tadi” jawab Zaarif ringkas.

“Agak-agak, kenapa ramai orang panggil ustaz, sebagai ustaz?” soal Ain ingin tahu. Zaarif memandang wajah Ain tanpa memusaingkan badannya.

“Kenapa Ain panggil saya uztaz?” soal Zaarif kembali tanpa memberikan jawapan.

“Sebab Akak panggil uztaz, sebagai ustaz. Jadi, saya ikut sajalah” Zaarif tersenyum mendengar kata-kata Ain. Zaarif mulai mengalihkan kepalanya memandang ke arah siling rumah itu.

“Dulu, saya pernah mengajar dekat sekolah agama, sebab itulah orang panggil saya ustaz tapi tak sangka boleh sampai kepada Ain panggilan itu” jawab Zaarif jujur. Ain mengangguk kepalanya.

“Kenapa Ain setuju nak kahwin dengan saya?” soal Zaarif lembut. Lama dia menunggu namun, keadaan hanya sepi. Zaarif terasa hairan dan menolehkan kepalanya memandang waah Ain. Ternyata ain telah pun memejamkan matanya sambil dirinya mengiring ke arah Zaarif.

“Cepatnya dia tertidur” bisik Zaarif lalu tersenyum. Dengan perlahan, tangan Zaarif mulai bergerak ingin mengusap lembut ubun-ubun isterinya namun, belum sempat dia mengangkat tangan, kedengaran bunyi pintu dibuka dari arah bilik Syafiq. Segera Zaarif memejamkan mata. Kedengaran suara Syafiq sedang menyanyi kecil menuju ke arah bilik air.

‘Syafiq, nasib baik kau abang ipar aku. Kalau tidak, mahu kena dengan aku’ bisik Zaarif dalam hati sambil tersenyum kecil. Sedang dia memejamkan mata, dia turut tertidur.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulaikha Rizal