“Apa
barang yang sepatutnya kita beli malam ni Tasya?” soal Nukman Faris kepadaku
yang masih bersiap-siap memperbaiki tudung biru berlapis merah jambu ala-ala tudung
Fareeda. Tudung ini aku beli di sebuah kedai di Shah Alam ketika aku menemani
Shamira ke sebuah kedai gunting wanita. Aku tidak mampu sangat hendak membeli
tudung yang agak mahal. Aku jenis yang lokek untuk berbelanja untuk diri
sendiri. Mungkin sebab aku dilahirkan dalam lingkungan keluarga yang sederhana
menyebabkan aku tidak sampai hati hendak membeli barang-barang keperluan diri
yang agak berjenama dan tentunya mahal.
‘Tanya
aku pula? Manalah aku tahu apa yang hendak dibeli di rumahnya ini! Berapa lama
dia hendak tinggal di sini? Berapa orang nak makan? Eh, kenapa dia tanya aku?
Bukankah aku akan balik semula ke rumah sewaku lusa? Esok kami akan ke rumah
mama mertuaku. Eh, aku pun bingung dengan mamat satu ni!’ Aku juga tidak berapa
peka apakah barang-barang yang hendak dibelinya untuk di rumahnya ini. Aku
tidak tahu!
“Saya tak tahu,” kataku teragak-agak
setelah kudapati dia masih merenung aku dari sudutnya yang tersendiri. Aku
kegugupan pula akhirnya. Inilah yang aku tidak suka. Kalau sudah kami
sama-sama, lelaki itu asyik memandang aku. Banyak betul masanya memandang aku,
merenung aku. Jantungku pula sudah libang libu.
“Tak buat senarai?” aku geleng lagi.
Buat apa aku nak buat senarai, bukan rumah aku. Hehe, aku ini sungguh selfish!
“Tak payahlah buat senarai, rasanya.
Sebab esok kita dah pergi rumah mak long kan? Jadi, biarlah awak beli beras,
sayur sikit dan ikan atau ayam sikit. Selebihnya beli peralatan perasanya
seperti garam, kicap, gula, kopi, teh dan err tu je lah! Tak perlu banyak
sangat. Awak pun bukannya tinggal di sini kan?” kataku. Dia masih diam.
Kemudian dia berdiri dan menggeleng.
“Mama, bukan mak long!” aku
terlopong. Terlupa seketika yang mamanya sudah menjadi mama mertuaku. Aku kaku
seketika.
“Ops, saya terlupa!” kataku menutup
mulutku. Rupanya mak long aku sudah menjadi mama mertuaku. Eh, lelaki ini suka
hati dia sahaja menegur aku.
“Tak! Tak! Selama dua minggu awak
cuti ni, kita akan duduk di sini. 3 hari lepas awak ada kelas, awak dan saya
akan balik ke sini semula. Jadi saya tak kisah kalau sayang nak beli barang
banyak sikit pun! Kalau tak habis, kita bawa ke rumah mama,” Aku terbuntang
mata. Kemudian, ada garis-garis halus di dahiku. Aku tidak menyangka dia akan membuat
perancangan sejauh itu. Aku benar-benar tidak menyangka dia akan seprihatin
itu.
“Bila masa awak nak jumpa buah hati
awak? Biarlah saya duduk di rumah sewa saya pula. awak ada masa nak jumpa dia,”
cadangku. Sebenarnya aku ada enam kertas tugasan yang hendak aku siapkan dan
sepatutnya dihantar pada hujung bulan ini. Jadi apa kata kalau aku duduk sahaja
di rumah sewaku. Aku harus menghantar tugasanku tepat pada waktunya. Aku tidak
mahu mata gred ku turun pada semester
kedua ini. Aku tidak mahu menjejaskan pencapaianku kali ini. Apa yang
lebih aku tidak suka, aku tidak mahu kalah dengan kawan serumahku Shamira.
“Tak boleh nak bantah-bantah! Saya
nak jumpa buah hati ke, kawan sekolah ke, perdana menteri ke, awak tak usah nak
masuk campur! Apa yang saya tahu awak mesti ikut cakap mama! Saya tak mahu awak
nak membantah pula!” tegas suaranya. Aku tidak suka menerima arahan begitu. Tugasku
lebih utama. Jika tugasanku dapat disiapkan dengan jayanya pada hujung minggu
ini, aku bersyukur. Ini bermakna aku akan struggle lagi untuk semester yang
akan datang.
“Bukan apa, saya nak siapkan
asignment saya,” bulat matanya. Terkejut mungkin mendengar jawapanku.
“Tak apalah, awak duduk di rumah
kita ni. Saya takkan ganggu awak. Kalau awak nak bantuan saya untuk rujukan
beritahu saya, saya akan sedia bantu awak. Tapi jadual kita nak ukur dan cuba
baju pengantin mama yang dah tentukan. Awak kena patuh kata-kata mama aje.”
Katanya. Aku angguk. Kalau dia meminta aku duduk di rumahnya ini. Ya tetapi aku
takut aku tidak akan selesa nanti. Itulah yang menyebabkan aku hendak
menyiapkannya di rumahku sendiri.
“Tengoklah nanti macam mana.
Biasanya saya ni selesa kalau buat kerja di rumah saya sendiri,” kataku.
“Inikan rumah awak juga,” aku
terkedu. Bila masa kami membeli rumah bersama. Aku bagaikan bermimpi mendengar
pengakuannya.
“Ya lah kalau dah begitu kata awak.
Saya pula bimbang kalau awak tidak selesa sepanjang saya di sini,” kataku
berterus-terang. Dia menggeleng. Apakah
dia tidak mengamuk lagi seperti tiga minggu lalu?
“saya selesa aje kalau awak ada
depan mata saya. Tu lah, kalau awak ada apa-apa nak minta tolong saya, awak
beritahu saya. Saya akan sedia bantu awak,” katanya mahu membantu aku. Aku
mengangguk.
Aku
tahu dia memang sudah layak kahwin tetapi desas-desus hari itu aku dengar
mamanya tidak merestui hubungannya dengan kekasihnya. Aku berasa kasihan tetapi
dalam hati kecilku pula terkilan kerana sepupu yang kusukai dalam diam itu
rupanya sudah ada pilihan hatinya. Aku terasa hampa ketika mendengar berita itu.
dalam waktu yang sama aku bahagia jika mamanya tidak merestui hubungan mereka
dan dia masih ada harapan! Yerk! Aku ini ada hati pula rupanya! Malunya aku
kepada diri sendiri!
“Dua minggu kita di sini? Agak lama
juga tu! Nak buat apa? Kita duduk aje lah di rumah mama, sama aje tu! Lagipun
minggu depan kan awak kerja!” kataku yang masih tidak puas hati. Dia
menggeleng.
“Supaya saya dapat jaga awak. Awak
pun dapat berbakti buat suami awak selama dua minggu ni. Puas hati? Dan saya
nak puas kan hati mama saya juga, mama mertua awak tu!” Katanya. Terbeliak mata
aku mendengar katanya.
Hendak
menangis pun ada. Sebenarnya aku bukan tidak mahu menjalankan tanggungjawabku
sebagai isterinya tetapi apakah dayaku. Apakah dayaku. Aku tidak berdaya.
Perjanjian pernikahan aku dan dia menyisihkan aku sangat jauh daripada menjadi
isterinya yang sebenar.
Perjanjian
itu memang tidak adil kepadaku tetapi apakah dayaku pula hendak membantah. Ini
kerana dia terpaksa menikahi aku lantaran menutupi fitnah orang sekeliling kami
dan kebetulan pula memang satu kebetulan, ibu bapa kami mahu kami bersatu. Jadi
kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya oleh ibu bapa kami untuk menyatukan
kami berdua. Ah, agak tragis kebetulan-kebetulan dan takdir yang berlaku kepada
aku dan dia.
Kini
dia sudah menukar pula kata-katanya. Ini bermakna dia seperti merombak kembali
perjanjian pernikahan kami yang amat berat sebelah itu. Namun dia hanya
merombaknya melalui kata-katanya sahaja bukan melibatkan dokumentasi seperti
sebulan yang lalu. Tetapi dalam situasi begini siapalah aku hendak menuturkan
ingatan atau memberikan teguran kepada lelaki yang menikahi aku atas dasar
sebuah perjanjian itu.
Bagiku
lelaki ini terlalu licik. Di hadapan kedua ibu bapa kami, dia terlalu tunduk
dan akur tetapi aku tidak tahu hakikat yang sebenarnya. Kadang-kadang aku
pening juga tetapi terpaksalah aku menahan sebuah rasa pening itu demi untuk
menutupi kekurangan dalam diri ini.
Nak
jaga aku? Buat apa dia nak jaga aku? Aku nak diharap jaga dia? Aku nak belajar!
Aku tak nak sibuk-sibuk memasak saban hari untuknya. Aku pun bukannya pandai
sangat memasak. Kalau masak nasi goreng, mee goreng terjun kuali, ikan masak
kicap, atau ayam goreng kering dan nasi putih bolehlah! Atau paling simple lagi
aku masak maggi dan buat kopi atau milo. Nah, baru padan muka dia! Nak cuci
pakaian dia pula? Ah, tidak. Aku tahu dia mesti ada kedai dobi tersendiri untuk
membersihkan pakaiannya. Dia orang mampu. Lainlah aku!
Tetapi,
kata emak, kalau kita ikhlas jaga makan minum dan pakai suami, senang kita nak
masuk syurga. Ya, aku mahu masuk ke syurga dengan seorang suamiku Encik pilot
ini. Tetapi dengan keadaan kami yang berbeza benar daripada pasangan pengantin
yang lain mampukah sesama kami menuju ke syurga? Eh, sampai ke situ pula aku.
Dalam kes aku dan Nukman Faris, mesti berbeza dengan pasangan pengantin baru
yang baru berkahwin kan? Kami hanya kahwin sementara aje. Macam kahwin
olok-olok pula kami.
“Ha?” aku masih terkejut. Aku tidak
dapat berfikir dengan baik kemudiannya. Dia pula masih memerhatikan aku sejak
tadi. Entah apa pula di dalam hatinya. Aku kurang pasti. Kalau boleh aku tidak
mahu tahu.
“Saya nak juga temankan awak ke
hospital, bertemu dengan doktor keluarga kami dan berkenalan dengan doktor
pakar peranakan mama. Mama tak beritahu?” aku geleng. Memucat wajahku. Darahku
di wajah dan kepalaku turun semuanya ke kaki. Mana pernah aku bercakap-cakap
dengan mama mertuaku. Ini pun baru hendak berjumpa. Itupun, Nukman Faris ini
sungguh lambat bertindak.
“Mak kita tak beritahu?” aku geleng
juga. Emak tidak mengetahui rancangan mereka sejauh ini. Emak selama ini hanya
tinggal di kampung dengan menjalankan tugas rutinnya sebagai seorang suri rumah
yang taat kepada perintah suaminya iaitu ayahku Encik Mohd. Tajuddin.
“Ada yang tak puas hati?” soalnya. Aku diam. Aku masih memikir
sesuatu. Memang banyak yang aku mahu katakan kepadanya tetapi lidahku ini
bagaikan diikat dengan tali. Tidak mampu aku bercakap dengan baik.
“Sebenarnya, saya ni nak belajar.
Lepas cuti sekolah nanti kami akan periksa. Jadi, kalau boleh saya nak tumpukan
perhatian kepada peperiksaan saya tu, saya nak belajar!” kataku memberikan
alasan. Memang benar aku akan menghadapi peperiksaan tetapi sebulan kemudian. Maafkan
aku suami, terpaksa bohong sunat pula. kalau dia tahu bagaimana?
“Tak, depan saya pun awak boleh
belajar. Awak kena biasakan diri dengan saya. Hujung minggu depan kita akan
bersanding sekali lagi. Mama kita dah aturkan semuanya. Kita tinggal sedia fizikal
dan mental aje.” Itu aku sudah tahu. Aku ingat kami akan tinggal di rumah mama
mertuaku. Emak dan ayahku pun di sana. Mungkin emak akan balik ke rumah kami di
kampung tidak lama lagi.
“Tak boleh lah macam tu Nukman. Saya
akan hadir ke rumah mama awak esok dan melihat baju yang sesuai untuk kita.
Kemudian, saya balik ke rumah sewa saya. Petangnya saya akan naik bas dengan
kawan–kawan saya, mungkin tempat kelas kami akan ditukar ke Perak.” Kataku. Aku
belum mengesahkan mengenai hal ini. Shamira pun belum ada memberitahu aku
mengenai perubahannya. Alamak! Telefon aku tidak ada bateri! Naya betul!
“Saya akan hantar! Perak bukannya
jauh dari sini. Apa guna awak ada suami?” aku tunduk dan aku memang tidak
senang hati ketika ini. Apa lagi yang akan aku jawab? Benarkah dia sudah
merombak perjanjian kami? Encik Pilot, suamiku cubalah bertindak mengikut
perancangan perjanjian kita. Jangan nak tukar-tukar sesuka hati tanpa
memberitahu aku. Sekarang jiwaku tidak tenang dan aku tidak tahu bagaimana aku
hendak beraksi sebagai seorang isteri di sisinya. Aduhai Nukman Faris tolonglah
aku kali ini!
“Mari kita gerak sekarang, nanti
tutup pula kedai di luar sana!” katanya menarik tanganku untuk berjalan
seiringan dengannya. Lagilah terbuntang mataku melihat dia sudah menyentuh
lenganku tanpa isyarat apa-apapun. Aku menundukkan pandangan dan berjalan
perlahan-lahan. Pastilah sebagai isteri yang di dalam fasa perjanjian ini akan
berasa tidak layak hendak berjalan beriringan dengannya. Kalau boleh aku hendak
masuk ke dalam almarinya yang agak besar dan boleh memuatkan tubuhku di situ.
Aku
mengenakan skirt hitam dengan blaus berwarna krim. Tudungku usah ceritalah, tak
sedondon langsung dengan baju. Nasib baik ada merah jambu jadi taklah
mengecewakan sangat. Aku kelam kabut menyiapkan pakaianku tadi. Aku tidak
menyangka lelaki ini akan datang menjemput aku secepat ini.
Kini
aku tahu lelaki ini seorang yang sangat mementingkan waktu. Waktu ini seperti
pedang. Jika kita melengahkannya, ia akan memancung waktu kita yng berharga.
Aku teringat falsafah mengenai waktu.
“Tasya, awak ni jalan lambat sangat.
Cuba cepat sikit,” dia tidak puas hati. Aku pula sakit hati. Dengan
ketinggiannya lebih kurang 6 kaki, langkahnya menjadi besar-besar. Sedangkan
tubuhku agak kecil dan pergerakanku agak terbatas. Mana elok kalau gadis manis
berjalan laju kan? Haha!
“Boleh tak sabar? Saya ni mana biasa
nak jalan cepat! Paling-paling pun jalan slow ajelah! Awak nak jalan dulu,
pergilah!” katanya yang sudah menuju ke arah lift di bangunan kondo itu. dia
tetap berhenti dan menunggu aku. Ya Allah, aku sungguh terharu dengan sikap
prihatin lelaki ini. Walaupun dia kadang-kadang agak kasar tetapi dia tetap
bersikap prihatin terhadapku. Bolehkah aku lupakan kebaikan-kebaikannya ini
selepas aku bercerai dengannya nanti?
Ah,
aku rasa, kami tidak akan terpisah. Berpisah boleh tetapi hubungan kami tetap
ada sebabnya kami sepupu. Kami masih ada pertalian darah tetapi aku yakin kami
tidak akan pernah lagi bertemu seakrab ini. Kami bagaikan orang yang baru
pertama kali bertemu. Aku pula terus jatuh cinta! Eh, gila ape ni Natasya
Umaira Binti Mohd Tajuddin! Haha!
Dahulupun kami tidak bertemu selama
10 tahun. Entah ke mana dia menghilang!
“Awak jangan bising boleh tak? Saya
tunggu awak lah ni! Walaupun awak lambat macam nenek tua!” sakitnya hatiku
dikatanya aku nenek tua! Dia pula apa? Dia atuk tua nak mampos eh jangan
mampus, panjang umur!
“Kurang asam! Saya bukan nenek tua
lah! Awak tu yang atuk tua!” kataku menafikan tuduhannya. Dia sudah ketawa.
“Memang sepadanlah nenek tua dan
atuk tua! Haha!” aku pandang wajah cerianya. Seronok betul dia hendak membawa
aku keluar makan.
“Gila! Siapa nak jadi nenek tua!
Awaklah yang jadi atuk tua! Saya masih muda dan cantik rupawan tau!” kataku
marah jika dikatakan aku nenek tua.
“Tahu. Anak mak ngah memang cantik
rupawan!” katanya memandang aku. Sekali lagi aku bagaikan terkena renjatan
elektrik. Aku tidak menyangka lelaki ini akan menyambut kata-kata dengan komen
begitu. Ah, mungkin dia hanya hendak mengambil hatiku sahaja. Selepas kami
bercerai nanti kami akan mengingatinya sebagai kenangan indah. Indahkah
kenangan kami ini? Ah, sedih sebenarnya!
“Tasya, dulu pernah tak awak
jalan-jalan dengan bekas tunang begini?” terbuntang mataku kerana terkejut.
Kami jarang bertemu dengan Amri. Amri seorang yang agak alim. Sesekali kami
bertemu di rumahku.
“Encik Nukman, boleh tak kalau kita
berdua, jangan bercakap mengenai orang lain?” aku memulangkan paku buah keras. Dia
berpaling ke arahku dan ketawa terbahak-bahak. Penuh lift ini dengan bunyi
ketawanya yang kuat. Aku hanya tersengih. Sebenarnya aku cemburu jika
mengingati kekasihnya. Kekasihnya dekat di hatinya dan bakal dinikahinya
selepas kami berpisah nanti. Aku pula seperti menghitung hari. Ya, menghitung
hari aku gagal menjadi seorang isteri yang terbaik untuk seorang Nukman Faris.
“Boleh maafkan saya. Saya hanya nak
tahu.” Katanya masih memegang tanganku. Mukanya kelihatan kelat. Aku tidak
menyangka dia juga mahu mengetahui mengenai hubungan aku dengan bekas tunangku.
Namun semuanya sudah menjadi sejarah. Nukman, boleh tak jangan tanya! Aku sudah hendak menangis
di dalam lift ini.
“Tak de masalah. Kami jarang jumpa.
Kalau jumpa pun di rumah mak saya. Dia anak orang alim konon! Err maaf saya
bukan nak malukan orang alim. Ini kenyataan.” Kataku menerangkan dengan panjang
lebar.
“Macam mana kamu boleh terlanjur?”
mahu sahaja aku naik ke atas semula dan menangis di sana. Aku benci dengan
soalan itu. selama ini semua orang menyangka aku yang bersalah kerana terlalu
tergila-gilakan Amri sehingga sanggup menggadaikan tubuhku sehingga akhirnya
aku mengandung. Memang amat berat tuduhan lelaki ini. Lebih berat daripada
memikul batu gunung yang terletak di kepalaku.
“Maafkan saya kalau Tasya tak mahu
cakap. Mungkin Tasya dianiaya. Tapi jangan risau, kalau dengan saya, tak siapa akan
aniaya Tasya,” katanya memeluk bahuku. Aku sungguh terharu dengan sikap
penyayangnya. Mataku sudah berkaca. Namun, benarkah pengakuannya kali ini? Ah,
selepas kami bercerai nanti secara sah di hadapan hakim mahkamah syariah,siapa
pula yang akan membela aku? Ah, sudahlah. Aku seharusnya bersedia, bersedia
segala jiwa dan raga yang aku akan diceraikan kemudian dalam tempoh yang
semakin bergerak laju ini. Adodoi!
“Nukman, boleh tak kalau kita
bungkus aje makanan. Saya tak selesalah nak duduk di mana-mana,” kataku
memberikan cadangan. Dia menggeleng. Aku sebenarnya tidak mahu kelihatan
berdua-duaan dengannya di khalayak umum. Kelak aku sendiri yang akan mendapat
malu. Malu kerana dituduh berdua-duaan dengan suami orang. Ah, ngeri sungguh
hidupku ini.
“Saya dah lapar ni, saya tak nak
makanan dibungkus. Nanti sejuk tak sedap! Baby awak pun tentu lapar kan?” dia
menolak lagi cadanganku. Ini kerana aku tidak mahu makan makanan berat pada
waktu malam. Aku pun mahu menjaga badanku. Kalau tidak dijaga alamatnya aku
menjadi Natasya yang dulu yang digelarnya si tembam! Bikin panas!
“Ok lah kalau macam tu. Awak nak
makan di mana?” dia tersenyum. Aku terpaksa mengikut kemahuannya.
“Ada, satu tempat yang istimewa.”
Jawabnya. Aku kehairanan. Oh encik Pilot, kalau boleh awak tak perlu nak bawa
aku ke mana-mana tempat awam kalau kita berdua-duaan. Kalau boleh aku tidak
mahu orang lain tahu yang kita sudah bernikah. Aku tidak mahu buat hal lagi!
“Kat mana?” soalku masih tidak puas
hati. Dia tersengih-sengih sambil menuju ke arah kereta.
“Ada lah, boleh tak kalau tenang dan
sabar? Tunggu dan lihat dan akhirnya kita akan tiba di kawasan itu dengan
selamat nanti,” aku terdiam. Mulutku bagaikan dikunci kemas. Aku bukan apa,aku
tidak mahu dia membawa aku jauh-jauh dari kawasan rumahnya ini. Aku tidak biasa
berjalan-jalan pada waktu malam. Lagipun aku tahu kedudukanku di sisinya. Aku
sungguh sedar diri.
“Kenapa Tasya dah lapar sangatkan?
Sejak tadi Tasya tak makan apa-apa, pasti Tasya lapar tu,” katanya membuat
tekaan. Aku memang lapar. Tetapi aku memang tidak akan memakan makanan yang
berat pada waktu malam. Paling aku suka makan buah epal. Di manakah aku
mendapatkan buah itu? di pasar raya? Ya di pasar raya. Kami akan ke sana
selepas makan nanti. Aku mengatur menu sendiri.
“Kenapa diam? Marah?” aku geleng. Kenapa
dia harus menjaga hatiku. Aku tidak rela dia bersikap terlalu baik kepadaku
sebenarnya. Aku tidak bermaksud hendak marah-marah pada malam yang berbahagia
ini. Walaupun aku tidak lah bahagia sangat tetapi aku tetap menghormati malam
ini. Aku bersyukur dengan nikmatNya.
“Taklah, saya menikmati lagu “All Of
Me” yang awak sedangkan mainkan tu. Kalau pun saya tak faham, saya suka
iramanya!” kataku yang berasa seronok mendengar nyanyian John Legend. Dia
ketawa.
“Mustahil awak tak faham! Jangan nak
bohongi saya,” katanya. Dia membelokkan pemanduannya. Aku tidak tahu dia akan
membawa aku ke mana sekarang ini. Aku ikut sahajalah. Kalau aku tak ikut nanti
dia marah lagi susah pula aku!
“Saya ni guru Bahasa Melayu,” kataku.
Sebenarnya aku mengajar Matematik dan kadang-kadang diminta mengajar Bahasa
Melayu jika kekurangan guru.
“Guru sekarang ni pandai-pandai.
Jangan nak berselindung dengan saya,” katanya. Aku angguk. Malas aku hendak
berbalas cakap dengannya. Tempat makannya pula agak jauh. Aku terasa hendak
tertidur pula di dalam keretanya ini. Keretaku tidaklah semewah kereta ini.
Maklumlah keretaku hanya sebuah Myvi berwarna merah hati yang kubeli dua tahun
yang lalu.
“Tak percaya sudah!” kataku. Mukaku
sudah masam.
“Kalau Tasya tak pandai nanti abang
ajar, dengan baby sekali!” aku tersentak. Dia membahasakan dirinya ‘abang’.
Kenapalah dengan sepupuku ini. Tiba-tiba dia berubah sikap! Apakah doaku sudah
termakbul agar dia tidak meninggalkan aku?
“Ya lah tu!” kataku.
“Kita sudah sampai sayang,” katanya
memberhentikan keretanya di sebuah
tempat yang agak terang-benderang dan banyak dengan kereta. Aku membuka
mata. Ia seperti sebuah restoran seafood di kawasan entah apa ni. Aku bukan
biasa sangat kawasan Selangor ini. Tetapi aku tidak mahu pula hendak mengakui
yang aku tidak tahu atau tidak biasa kawasan ini. Dulu aku belajar di
Universiti Pendidikan Sultan Idris di Perak. Tetapi aku ditempatkan mengajar di
Selangor. Aku terima dengan senang hati walaupun aku sebenarnya hendak
memilihku negeriku sendiri. Namun siapalah aku kan!
“Kita kat mana ni?” dia tersenyum
dan membukakan aku pintu keretanya.
“Marilah kita masuk ke dalam
restoran ini. Ia sebuah restoran yang sungguh bersih dan masakannya macam
masakan mama dan mak ngah. Saya dah tempah sejak petang tadi.” katanya. Rupanya
dia sudah sempat menempah tempat untuk makan malam. Lelaki ini penuh dengan
perancangan. Baru aku tahu siapa sepupuku ini.
“Kalau nak rasa masakan mama, kenapa
tak balik? Bukannya jauh sangat!” kataku terkenang emak yang sudah datang ke
rumah keluarganya. Dia ketawa kecil.
“Mana sama kalau saya nak
berdua-duaan dengan isteri saya ni. Bukan selalu pun!”katanya. Aku terdiam
semula. Terlalu banyak kejutan yang dibuatnya pada hari ini sehingga aku tidak
mampu mengiranya dengan tangan. Benarkah ini Nukman Faris, suami atas kertasku
ini?
“Oh!” apakah aku gembira? Bahagia?
Atau lebih terseksa?
“Inilah Restoran Putera Ayu Shah
Alam!” katanya memperkenalkan kepada aku. Tempat ini agak jauh. Mungkin memakan
masa lebih setengah jam perjalanan.
“Tak suka?” soalnya. Aku menggeleng.
Aku tidak tahu lagi bagaimana rasa makanannya, aku tidak mampu memberikan
komen. Nanti lepas makan bolehlah kami berbincang semula. Aku angguk-angguk
apabila dia masih menunggu jawapan. Di mana pun dia membawa aku, aku tetap akan
menyukainya. Aku agak jarang makan di luar. Emak aku mendidik aku agar selalu
berjimat-cermat dan tidak selalu makan di luar. Kalau masak sendiri, kebersihan
lebih terpelihara. Walaupun aku tidak begitu pandai memasak, namun emak sudah
mengajar memasak makanan yang agak mudah. Contohnya, masak nasi, masak telur
goreng, sambal telur, tumis sayur, masak ikan goreng dan masak sambal udang
atau sotong. Jadi, kata emak, walau di manapun aku berada aku akan selamat
sebab aku pandai memasak walaupun tidak begitu pakar! Dan, kata emak, kalau ada
suami, tak lah kebulur! Hehe!
“Let see. Kat mana nak order?” Aku
membelek-belek menu makanan yang ada. Aku terliur hendak memakan ketam. Aku
terpaksa mengorder makanan juga walaupun dietku sepatutnya aku tidak makan pada
waktu malam. Hari pun sudah jauh malam. Hampir pukul 9.25 malam. Ah, lantaklah.
Hari ini aku makan malam, esok-esok aku akan beli buah atau roti untuk makanan
malam.
“Kita tunggu pekerjanya ambil order,”
katanya. Restoran ini agak sibuk dengan pelanggan yang datang. Mungkin restoran
ini memang terkenal di sini.
“Kita di kawasan mana ni
sebenarnya?” soalku.
“Shah Alam.” Aku mengangguk.
“Tempat awak tinggal tu di mana?”
soalku ingin tahu. Aku tidak menyangka pertemuan kami kali ini dia lebih
peramah berbanding di rumahku dulu. Dia agak pendiam dan hanya menurut
kata-kataku atau kata emak. Aku ingat
dia pendiam. Tetapi masa kami kecil dia sangat nakal. Nakal mengusik aku!
“Entah.” Jawabnya. Aku besarkan mata
memandangnya. Dia tersengih-sengih. Sakitnya hatiku. Kemudian pelayan datang.
Aku mengorder jus oren dan sup ketam. Agak lama aku tidak makan ketam. Aku
memang tidak pandai masak ketam. Makan pandailah! Order kami sama tetapi dia
meminta sepinggan nasi dan sayur. Aku hanya hendak makan sup ketam. Semasa
makan kami tidak banyak cerita. Selepas makan dia terus membawa aku balik ke
rumah. Dia merasakan hari sudah jauh malam. Mungkin dia sudah kekenyangan dan
matanya pun sudah mengantuk. Aku berasa gembira kerana kami akan terus balik ke
rumah. Barang-barang runcit pun tidak jadi dibelinya. Aku lega dan terus
menutup mata semasa perjalanan kami pulang ke rumahnya.
“Esoklah kita beli telefon dan
barang dapur ya.” Katanya. Aku separuh mamai. Sebenarnya aku sudah kekenyangan.
Dia memaksa aku memakan nasi. Acara suap menyuap itu memalukan aku. Macam
pasangan pengantin yang bahagia sahaja lagaknya kami. Hakikatnya bukan begitu.
Kami pun tidak tahu bagaimana hala tuju rumahtangga kami sebenarnya. Aku pun
tidak mahu melukakan hati Nukman Faris, jadi aku menurut sahaja perbuatannya
itu.
Sebenarnya
aku tidak selesa!
“Tak
apalah Nukman. Kalau tak beli telefon tu pun tak apa. Saya selesa lagi gunakan
telefon saya yang lama,” kataku. Aku tidak mahu banyak termakan budi dan
dikatakan cuba mengambil kesempatan pula. Aku tahu di mana kedudukanku sebagai
isterinya. Nukman Faris memandang ke depan.
“Saya
akan beli kan nanti!” katanya. Aku terkaku. Aku teringat perjanjian antara
kami. Aku tidak dibenarkan meminta itu dan ini daripadanya. Cukuplah kalau aku
dilayan baik-baik sepanjang pernikahan kami. Selain itu, aku tidak peduli.
“Terpulang
kepada awaklah. Saya ni menurut aje.” Kataku mengalah.
“Ya,
sebagai kenangan.” Sayu sahaja bunyi suaranya.
“Sebagai
kenangan?” soalnya. Nukman Faris mengangguk.
“Ya
kenangan yang kita pernah menjadi serapat ini walaupun dulu kita sering
berkejaran bergaduh tak puas hati kalau saya panggil awak si tembam!” katanya
mula menyakat aku. Aku tersengih. Aku selalu menangis kerana ejekannya. Aku
tidak lah gemuk sangat. Tetapi dia menggelar aku si tembam! Kata emak, nanti
dia kahwinkan aku dengan Nukman kalau sering bergaduh! Gila, siapa mahu kahwin
dengan lelaki gila macam tu! Balasku kepada emak. Emak hanya ketawa kecil.
“Mengadalah
awak!” kataku berasa malu diolok sebagai si tembam! Dia sudah ketawa. Matanya
bercahaya. Aku pula hanya tersenyum kelat di sisinya. Sebenarnya aku sudah
mengantuk dan tidak berminat hendak berbicara.
“Awak
dulu lucukan?” aku diam dan pura-pura memejamkan mataku. Aku tidak mahu
mengingati kenangan kecilku yang menyakitkan dan sedikit lucu.
“Sayang,
saya tahu awak masih tak tidur.” Katanya yang sudah memegang tangan kananku.
Eh, bencinya aku!
“Apa
lagi awak nak cakap?” soalku.
“Tak
de, silakan tidur.” Katanya. Aku angguk. Kemudian, hanya kedengaran suara radio
di keretanya memecah keheningan malam. Aku bersyukur kerana dia akan terus
membawa aku balik ke rumahnya.