“Mari
duduk sini Nukman,” kata mama yang sudah bersedia di ruang tamu yang sebelah
lagi. Nukman Faris yang sedang duduk itu terkejut dengan panggilan mamanya.
Fikirannya masih terarah kepada Natasya Umaira yang kelat dan tidak tentu arah
itu. Ada sesuatu yang hendak dibincangkannya dengan isterinya yang mengaku mengandung
selama ini. Dia tidak tahu apa yang hendak dilakukannya. Dia tidak tahu apa
tindakan yang seterusnya. Tetapi apa yang dia tahu, hatinya sedang panas
seperti bara api yang disiram dengan minyak gas. Marak menyala semula!
Hendak
ditanyakan dengan mama atau emak mertuanya dia tidak sanggup. Dia tahu semua
kejadian yang berlaku itu berpunca daripada Natasya Umaira. Dia tahu selama ini
gadis itu yang telah membohongi emaknya dan mereka sekeluarga. Dia harus
berbuat sesuatu yang akan menghentikan pembohongan dan menghentikan sakit
hatinya. Jika tidak, dia tidak akan tenang!
Benarlah
kata Natasya Umaira, fitnah kepada dirinya sudah selesai dan mereka boleh
meneruskan hidup dengan haluan masing-masing. Ah, dia akan bercerai dan menjadi
duda? Ah, rasa tidak elok pula hendak didengar. Bekas isterinya pula menjadi
janda, janda berhias sebab dia belum pernah menyentuh gadis manis itu. Ah,
kusut-kusut hatinya.
“Nukman!” suara mamanya bergema
sekali lagi. Dia terus tegak berdiri. Dia memandang wajah mamanya yang masih
nampak muda itu walaupun usianya sudah hampir lima puluh tahun.
“Ya mama, kenapa mama?” soalnya
kepada mamanya. Ingatannya kepada isterinya terbang sekelip mata. Wajah kalut isterinya
itu juga yang muncul dalam ingatannya. Walhal baru sahaja mereka berpandangan
di dalam biliknya sebentar tadi. Ada apa-apakah dengan hatinya sendiri? Wajah
mamanya tersembul di depan matanya.
“Awak dah ke mana? Macam tak de dah
di sini? Jangan kata Nukman dah pergi ke luar negara ya!” kata mamanya. Dia
garu kepala yang tidak gatal dan tersengih untuk menutup duka di hatinya. Wajah
ayu dan ketakutan isterinya itu sudah hilang dibawa oleh suara mamanya. Dia
memikir-mikir lagi tindakan yang patut dilakukannya. Ah, dia sendiri serba salah.
“Ada apa mama?” soalnya lagi.
Mamanya belum memberikan jawapan kepada soalannya.
“Taklah. Tadi kami beli barang dapur
di rumah saya mama.” Kata Nukman Faris. Dia agak bingung dengan perkara yang
baru diketahuinya dan amat mengejutkannya. Kalau mamanya tahu, apa yang mamanya
akan komen?
“Dah hantar dan kemas barang-barang
tu semua?” soal mamanya. Datin Zahara kehairanan dengan sikap anaknya yang
seperti orang kebingungan itu.
“Sudah mama. Kami dah kemaskan tadi.
Maklumlah, esok Tasya dah mula kuliah. Saya pula akan jadi driver dia pagi dan
petang,” kata Nukman Faris kepada mamanya. Datin Zahara bahagia melihat
keakraban anak dan menantunya itu. Selama ini jika disebut nama Natasya Umaira
pasti Nukman Faris tidak sudi mendengarnya.
Katanya
dia tidak suka gadis yang gemuk dan tembam. Dia suka gadis yang kurus dan
tinggi macam model. Namun sekarang dari sehari ke sehari pilihan Nukman Faris
sudah berubah. Datin Zahara sendiri bersyukur. Dia berdoa agar anaknya ini
tidak buat hal dengan sepupunya.
“Bila nak balik ke rumah Nukman?
Esok atau petang ni?” eh mamanya ni macam menghalau pula. kata Nukman Faris
dalam hati.
“Tunggu Tasya lah ni mama. Dia
sedang berkemas tu. Mak ngah dan pak ngah dah balik kampung mama?” soal Nukman
pula. Datin Zahara mengangguk. Besannya sudah balik ke kampung petang tadi. Dia
yang menyuruh besannya balik ke kampung. Ini kerana dia hendak menghantar zakat
pendapatan mereka kepada orang kampung dan menjemput orang kampung untuk
menghadiri majlis persandingan anaknya ini.
“Sudah, tengah hari tadi. Tasya tak
beritahu?” dia geleng. Dia keluar awal pagi tadi. Mana ada masa Natasya Umaira hendak
memberitahu itu dan ini kalau dia sudah sibuk bagaimana menjawab
soalan-soalannya. Mengapa dan kenapa tidak hadir ke klinik. Sekarang pula sudah
terbongkar rahsia yang sebenarnya. Dia akan mengasak isterinya itu
habis-habisan hari ini. Dia mahu hatinya puas. Ini kerana dia sudah banyak berkorban perasaan
dan waktu untuk menikahinya. Jadi dia akan melakukan sesuatu. Dia tahu kini
Natasya Umaira berperang dengan dirinya.
Hah,
tahulah apa yang aku akan buat nanti! Bisiknya dalam hati.
“Tak de pula Tasya beritahu mama.
Mungkin dia lupa apabila kami asyik bercerita soal lain,” kata Nukman Faris.
Datin
Zahara kehairanan dengan sikap anaknya yang termenung agak panjang di depannya
itu. Ia seperti ada sesuatu. Namun dia tahu anaknya itu tidak akan
memberitahunya. Biarlah dulu!
“Mama harap Nukman akan layan
menantu mama tu baik-baik. Jangan nak lukakan hati anak mak ngah tu Nukman.
Mama minta jangan abaikan menantu mama walaupun kamu nanti berjauhan,” pesan ke
apa ni? Soal Nukman Faris dalam hati.
“Ya mama, saya akan ingat akan
pesanan mama tu. Taklah saya nak dera isteri sendiri pula,”kata Nukman Faris
tersenyum pahit. Dia tidak tahu apa yang akan terjadi kepada rumah tangganya
selepas ini. Sukar dia hendak meneka. Datin Zahara sudh tersenyum.
“Harap-harap kamu berdua akan
mengekalkan hubungan kamu berdua Nukman. Janganlah ada niat nak bercerai-cerai.
Pantang nenek moyang kita!” kata Datin Zahara pula. Nukman Faris tersengih.
Entahlah, dia belum tahu apa yang akan berlaku kepada rumah tangga mereka dalam
sebulan dua ini. Memang banyak cabaran yang datang dari sekeliling mereka. Dia
tidak mahu memberikan harapan kepada mamanya. Namun dia tidak dapat memberikan
janji kepada mamanya.
“Kenapa tersengih? Tak betulkah
cakap mama?” soal Datin Zahara lagi. Nukman Faris geleng.
“Saya tak tahu mama,” kata Nukman
Faris. Dia benar-benar tidak tahu ke manakah haluan hidup dan arah
pernikahannya dengan Natasya Umaira sekarang ini. Berkerut kening Datin Zahara.
“Tak tahu? Tidakkah rasa sayang di
hati Nukman? Selama ini awak berdua tipu mama dan semua ahli keluarga kita?”
soal Datin Zahara. Nukman Faris ramas rambutnya.
Sesungguhnya
dia masih bingung dengan perasaannya sendiri. Memang ada sedikit perasaannya,
tetapi bagaimana dengan sepupunya? Sepupunya macam selamba tidak ada perasaan
kepadanya. Takkan dia hendak mengaku dia sudah mula menyayangi isterinya. Ah,
kalut dia!
“Tak tipu mama! Betul tak tipu!”
kata Nukman Faris yang sudah berasa bersalah kepada mamanya.
“Jadi? Memang nak kekal lama dengan
Tasya lah ni?” soal Datin Zahara. Nukman Faris kaku. Dia benar-benar belum
pasti akan perasaannya. Jika dia benar-benar hendak kekalkan dengan isterinya,
isterinya pula selalu mendesak meminta cerai. Jika dia kata dia hendak
menceraikan isterinya, hatinya berat seperti mengangkat sebongkah batu gunung.
Lagipun dia tidak tahu perasaan sebelah pihak lagi. Mereka suami isteri harus
berbincang semula. Sekarang pun dia sudah celaru. Celaru amat!
“Berikan saya masa mama.” Katanya.
Bulat mata Datin Zahara.
“Masa apa lagi? Tapi Nukman kena
dengar baik-baik, mama tak nak kamu bercerai-berai. Walau apapun terjadi kamu
harus kekal suami isteri Nukman. Papa tu ada sakit jantung Nukman, jangan nak
buat hal pula. jangan pandai-pandai nak balik kepada kehidupan lama awak dengan
kekasih awak tu, mama tak suka!” kata Datin Zahara seperti mengugutnya.
“Tak pa mama, saya akan fikirkan hal
ini!” katanya.
“Jangan pernah terfikir awak akan
madukan menantu mama, mama tak reda tu Nukman!” kata Datin Zahara lagi. Nukman
Faris bertambah bingung dengan kehendak mamanya. Mamanya pula seperti tahu-tahu
sahaja apa yang sedang dia fikirkan selama ini. Namun dia tetap tidak sampai hati.
“Saya ingat cakap mama, saya takkan
buat macam tu!” kata Nukman Faris seperti berjanji.
Apa
yang penting satu masalah lagi baru datang hari ini. Ia bukan hanya masalah
kekasihnya tetapi juga masalah Natasya Umaira itu sendiri. Dia sendiri tidak
sabar hendak membawa Natasya Umaira balik ke rumahnya sendiri. Dia sudah ada
rancangan terhadap isterinya itu. dia sudah membayangkan wajah putih mulus itu
akan bertukar menjadi kemerahan seperti udang yang terbakar.
Dia
akan melihat wajah Natasya Umaira yang hanya tertunduk ketakutan dan tidak mahu
memandangnya. Ah, sukanya dia mengusik sepupunya nanti. Di rumah mamanya ini
dia menahan perasaannya. Sesudah mengemas sedikit barang-barangnya tadi, dia
terus turun. Isterinya sudah hilang di bilik air. Ah, dia memang tidak sabar
lagi hendak masuk ke rumahnya sendiri.
“Eh,
Nukman dah makan ke ni? Tasya dah makan?” soal mamanya pula. sekarang sudah
dekat pukul 4.00 petang. Sekarang masa untuk menghidangkan makanan petang pula.
Mamanya ini lambat pula menanyakan soalan tentang makan tengah hari. Mestilah
dia sudah makan tadi di kedai makan dengan Shamsuri sahabatnya.
“Sudahlah
mama. Macam mana mama tak perasan saya dan isteri saya dah makan ke belum mama?
Mama ke mana tadi?” soal Nukman Faris sengaja menguji mamanya. Datin Zahara
menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Laa,
kan mama tadi keluar. Mama sibuk menghantar mak ngah kamu. Itu yang mama tak de
di rumah. Ni pun mama baru aje balik,” jawab mamanya. Dia tersenyum. Natasya
Umaira sudah duduk di sisinya dengan memegang sebuah beg pakaian. Ini bermakna
gadis itu sudah bersedia untuk dibawa balik ke rumahnya.
“Sayang
dah sedia?” soal Nukman Faris. Natasya yang menundukkan pandangannya sudah
mengangguk.
“Pakaian
abang dah masukkan dalam beg?” soalnya. Natasya Umaira hanya mengangguk. Namun
dia sedar, mata cantik yang sedang dipandangnya dengan pandangan tajam itu
sedang terketar ketakutan. Dia sudah pastikan gadis itu ketakutan kepadanya.
“Eh
kenapa menantu mama hanya mengangguk dan menunduk aje ni? Ada masalahkah dengan
Nukman?” soal Datin Zahara kepada menantunya. Wajah menantunya itu sudah
memerah. Nukman Faris pula sudah tersenyum.
“Tak
de mama, janganlah risau. Kami nak balik dah ni mama, nak berkemas sikit lagi.
Tadi kami kemas tak habis,” jawab Natasya Umaira.
“Ya
mama, mama tahulah Tasya ni tak nak ambil pembantu sementara. Dia nak juga
uruskan rumah kami sendirian. Saya pun risau mama, kebetulan dia pun
mengandung, saya takut jika dia kerja keras mama,” kata Nukman Faris.
“Eh,
dah periksa kandungan? Betulkah Tasya mengandung? Menurut mak ngah hari tu,
kena tunggu dalam sebulan baru tahu Tasya mengandung atau tidak,” Nukman Faris
sudah membuntangkan matanya. Dia tidak menyangka yang mama dan emaknya tahu
mengenai perkara itu. Natasya Umaira membuntangkan matanya. Mereka berpandangan
seketika. Natasya Umaira sudah resah semacam. Benarkah gadis di sisinya itu
memang tidak mengandung selama ini? Mereka hendak memerangkap dirinya? Uh, tak
boleh jadi ni!
“Err,
kita pergi sekarang Tasya? Tasya dah sedia?” soal Nukman Faris mengubah tajuk
perbualan. Natasya Umaira memandang wajahnya. Dia cepat-cepat mengangkat beg
Natasya Umaira.
“Ya
saya dah sedia,” kata Natasya Umaira seperti malu-malu namun dia tahu lebih
banyak ketakutan di mata itu.
“Mama,
kami pergi dulu ya, mama.” Kata Natasya Umaira menyalami mama mertuanya.
“Jalan
elok-elok ya Tasya, Nukman. Nukman jaga elok-elok menantu mama,” kata Datin
Zahara. Nukman Faris tersenyum. Muka Natasya Umaira kelat.
“Ya
mama, jangan risau mama. Saya akan jaga elok daripada menjaga nyawa saya mama,”
kata Nukman Faris. Natasya Umaira angkat kening. Benarkah suaminya itu?
“Tasya
pun jaga suami elok-elok ya. Eh, tunggu Nukman, mama panggilkan papa dulu, kamu
pun pergi kelam-kabut!” kata Datin Zahara. Natasya Umaira mengangguk.
“Ada
hal sikit mama,” jawab Nukman Faris yang sudah menjeling isterinya yang sudah
cantik mengenakan jubah berwarna ungu itu. Siap penuh dengan labuci di bahagian
depan hingga ke dadanya. Batu-batu berwarna merah dan hitam itu memang bersatu
dengan cantik di baju tersebut.
“Tasya,
awak kena sedia dengan denda saya yang sayang,” kata Nukman Faris yang sudah
berbisik di telinga Natasya Umaira. Tubuh Natasya Umaira sedikit menggeletar
mendengar ugutan itu.Sudah datang semula gila Nukman! Bisiknya.
“Pandailah
awak! Jangan nak buat tak tentu kat anak dara orang!” kata Natasya Umaira pula.
Nukman Faris tersenyum. Apabila ternampak mama dan papa sudah mendekati mereka,
Natasya Umaira menjauhi Nukman Faris. Geram dia kepada Nukman Faris yang sedia
hendak mengenakannya apabila tiba di rumah mereka nanti. Sakit hatinya.
“Papa,
kami dah nak gerak dah ni,” kata Nukman Faris yang sudah menyalami tangan papa
dan mamanya. Natasya Umaira pula menyalami tangan papa mertuanya. Mama dan
Natasya Umaira sudah berpelukan.
“Nanti
mama datang ke rumah abang Nukman kan mama,” kata Natasya Umaira dalam sebak.
“Itu
rumah kamu berdua sayang Natasya.” Kata mama mertuanya. Nukman Faris hanya
tersenyum.
“Nanti
kalau kamu sudah ada anak, mama dan papa akan hadiahkan rumah yang sesuai untuk
berkeluarga pula,” Natasya Umaira termangu. Rasanya perkara itu sudah
menghampiri arah mustahil. Mahu sahaja dia menangis.
“Terima
kasih mama. Mungkin sekarang kami tak perlu lagi mama,” kata Natasya Umaira.
Nukman Faris di sisinya mengerut dahinya. Kenapa pula tidak perlu? Rumahkan
penting sebagai harta. Kenapa pula dia cakap sekarang tidak perlu? Soal Nukman
Faris dalam diam. Dia sendiri berhajat hendak membeli sebbuah rumah teres untuk
dijadikan persediaan pada masa akan datang. Kenapa isterinya memberitahunya ia
tidak perlu? Hairan dia dengan pemikiran isterinya. Mungkinkah dia segan? Ah,
nantilah dia akan memberi pengajaran kepada isterinya itu.
“Kami
gerak dulu mama, papa,” kata Nukman Faris. Kunci kereta sudah di tangannya.
“Nanti
mama dan papa datanglah ke rumah kami ya mama,” kata Natasya Umaira seperti
ajak-ajak ayam. Mama dan papa mengangguk. Mereka akan ke rumah Nukman Faris
pada keesokan malamnya.
“Ya
nanti kami akan datang!” kata Datin Zahara. Datuk Norman yang sangat suka
merendah diri itu hanya mengangguk. Semakin berdenyut kuat jantung Natasya
Umaira.