Bab 13
“Saya
gerak dulu ma,” setelah mendapat alamat rumah Natasya Umaira, Nukman Faris
bergegas menuju ke rumah isterinya. Rupanya kawasan rumah Natasya Umaira tidak
sejauh yang disangkakannya. Bandar Kinrara dengan kawasan Damansara tidaklah
jauh sangat.
“Baik-baik dalam perjalanan tu.
Gunakan map untuk cari di mana isteri kamu tu tinggal. Memang dia tak berapa
jauh dari tempat kita ni. Tapi tahulah dia tu kan pemalu, tak pernah dia ke
sini.” Kata Datin Zahara. Nukman Faris terkedu. Benarkah Natasya Umaira pemalu?
Macam tak malu pula!
“Oh ya ke ma? Lepas tu nak bawa dia
ke mana?” Datin Zahara tersenyum penuh makna. Berkerut kening Nukman Faris. Dia
geleng. Dia tahu emaknya hendak mengenakannya.
“Laa, suka hati lah, kan isteri
Nukman tu! Nak bawa minum kat mana-mana, bawa ke klinik jangan lupa!” pesan
Datin Zahara pula. nukman Faris senyum.
“Ya lah mama. Saya akan bawa Natasya
jumpa mama nanti!” kata Nukman Faris pula.
“Memang mama rindukan menantu mama
tu. Nukman tak rindu? Mama rasa macam dua bulan tak jumpa dia! Kalau mama
pengantin baru tak nak mama nak berenggang dengan buah hati mama! Tapi lain
pula anak mama ni! Nukman macam tak sayangkan isteri,” eh mamanya memang
sengaja hendak kenakan dia.
Dia
hanya sengih-sengih sahaja. Perasaannya berbalah bahagi kini. Antara Natasya
Umaira dan Rozaila. Tetapi dia sudah mempunyai janji dengan kekasihnya dan dia
sudah mempunyai perjanjian bertulis dengan Natasya Umaira. Harap-harap dia
sendiri tidak tergugat memandang isteri di atas kertasnya itu.
“Mama
tak sabar nak rasa nasi goreng ala kampung dia, memang sedap kan Nukman!”
Nukman Faris angguk. Ya, memang dia masih ingat akan nasi goreng buatan Natasya
Umaira. Kali pertama dia merasa nasi goreng buatan gadis itu. Selama ini dia
tidak pernah akan merasa nasi goreng sesedap itu.
“Apa ma?” Datin Zahara jeling Nukman
Faris.
“Sengajalah tu nak kenakan mama!”
kata Datin Zahara. Nukman Faris ketawa. Mamanya pandai pula buat lawak
dengannya.
“Saya gerak dulu mama. Petang nanti
atau malam sikit mama akan jumpa menantu kesayangan mama tu!” kata Nukman
Faris. Datin Zahara mengangguk.
“Elok-elok bawa kereta tu Nukman.
Jangan laju-laju ya.” Kata Datin Zahara. Nukman Faris mengangguk. Agak lama dia
tidak membawa kereta. Keretanya diletakkan di rumah keluarganya.
Hatinya sendiri berdebar-debar
ketika hendak bertemu dengan isterinya sendiri. Bagaimanakah mereka akan
berdepan nanti?
***
“Dia
nak jemput aku sebentar lagi? Suami yang kucintai dalam diam itu? Tetapi dia
selalu menyakitkan hati aku! Huhu, dia nak datang? Wow, tak sangka pula dia
sanggup datang. Baru habis kerja pula tu! Aduhai, simpati pula aku kepadanya.
Aku nak cakap tak perlu jemput aku, esok aku akan gerak sendiri ke rumahnya.
Tetapi kenapa dia degil? Dia kata nak bawa aku ke klinik jumpa doktor. Ah lagi
masalah!” aku seperti bercakap seorang diri. Kenapa hidupku begini rumit?
Haruskah aku berterus-terang dengannya pada hari ini?
“Hai, menung nampak? Menung panjang
pula!” suara Shamira kudengar di depanku. Aku buangkan kenangan mengenai Nukman
Faris.
“Tak adalah. Awak tak ke mana-mana
minggu ni Mira?” Shamira geleng. Cuti sekolah selama seminggu sudah bermula
tetapi pada hari Isnin kami ada kuliah. Aku akan balik ke rumah sewaku ini pada
hari Ahad nanti. Aku tahu aku mesti tidak akan betah berlama-lama di sisi
Nukman Faris. Pasti dia mahu aku cepat-cepat keluar dari rumah keluarganya itu.
Jadi, aku mengambil keputusan untuk membawa
tiga pasang pakaian siang dan tiga pasang pakaian malam.
“Aku duduk diam di rumah ini. Awak
nak ke mana? Jangan lupa kita ada kuliah pada hari Isnin hingga Rabu,” kata
Shamira mengingatkan aku. Aku angguk. Aku tidak pernah lupa akan waktu kami
kuliah itu. aku tidak mahu banyak tidak hadir ke kuliah. Pihak universiti
memandang serius akan kehadiran kami ke kuliah walaupun kami bukan pelajar
sepenuh masa.
“Err, mak long aku panggil aku ke
rumahnya.” Shamira sudah ketawa. Mungkin dia faham apa akan berlaku. Bulat mata
Shamira mungkin memikirkan sesuatu.
“Mak long? Bukan mama merrtua awak? Encik
pilot sudah balik? Wah, hebat! Mesti akan terjadi sesuatu antara kamu kan!” aku
pandang tajam ke mata Shamira.
Dia
seperti tidak sayang mulut pula. Segan bertamu di wajahku. Apa yang berlaku?
Memang tak ada apa-apa. Antara kami ada perjanjian. Jika sudah selesai
semuanya, kami akan berpisah secara baik. Tetapi kenapa hatiku bagaikan dihiris
dengan pisau tajam halus-halus? Ah, kenapa aku terasa sayu sekali? Apakah ini
bermakna aku tidak rela adanya perpisahan antara kami? Tetapi bagaimana dengan
Nukman Faris, pasti dia mahu berpisah denganku dengan secepat mungkin. Ah, aku
tidak tahu. Segala-gala yang ada di hati Nukman Faris, adalah rahsia Ilahi.
Kenapa aku harus berburuk sangka dengan suamiku sendiri?
“Eh buat apa nak malu? Kau kan nak
jumpa mertua dan yang penting ialah nak jumpa suami tercinta yang dirindui!”
aku tahu Shamira tidak faham akan situasiku. Aduhai! Perkataan rindu itu memang
hadir tetapi sedih sekali. Rindu itu hanya bertamu di hatiku sendiri.
“Pandailah kau cakap! Aku seganlah
dengan diorang! Selama ini bukan aku pernah ke rumah mak long! Suamiku tu
paling jahat dalam dunia! Kuat mengejek kalau jumpa aku! Lagi satu dia tu
sangat ego!” kataku perlahan. Aku membuka sedikit demi sedikit mengenai
suamiku. Terkedu Shamira.
Tahukah
Shamira mengenai sikap Nukman Faris? Huh, aku tidak pernah memberitahunya.
Lelaki itu menjadi sebutan selepas aku putus tunang dan emak mencari pengganti
untuk calon suamiku. Amri sudah memutuskan pertunangan secara rasmi ketika
surat jemputan sudah diedarkan. Sakitnya hati! Kasihan kepada Nukman Faris yang
tiba-tiba jadi mangsaku pula. Ya seolah-olah suaminya jadi mangsanya!
“Tak apalah! Dia kan suami kau
sekarang. Kau kena layan dia dengan baik! Mungkin ada hikmah di sebalik semua
yang sudah berlaku.” kata Shamira. Aku angguk sahaja. Benarkah ada hikmah? Ya,
kenapa Amri tiba-tiba memutuskan pertunangan dan Amri muncul selepas
perbincangan dengan emaknya. Ya, aku yakin ada hikmah yang tersembunyi yang aku
sendiri tidak tahu apa yang berlaku.
“Jadi, kenapa kau tak siap lagi?
Pergilah mandi dan solat Asar!” arah Shamira. Dia seperti masih tidak percaya
yang suaminya akan datang menjenguknya di sini. Aduhai, dadanya terasa panas
bagaikan gelombang resah di malam hari.
“Ya
lah cik kak! Nak mandi lah saya ni! Lepas tu nak solat dan makan dulu!” kataku
kepada Shamira. Shamira tersenyum. Gadis bertudung labuh itu memang warak
orangnya. Aku bergegas bangun dan mengambil tuala merahku.
“Tahu
tak apa!” katanya Shamira. Dia kembali menekuni bukunya.
“Ya
Shamira, kau kalau jadi pengarah memang sesuai! Kau memang hebat dan mantap!”
kataku geram dengan sikap Shamira.
“Tahu tak pe! Eh kau tak balik malam
ni? Dengar-dengar kau nak balik kampung.” soal Shamira. Aku geleng. Mungkin aku
akan tidur di rumah emak mertuaku.
“Tak tahu lagi Mira. Mungkin tidak
mungkin ya! Kau? Siapa kawan kau di sini?” jawabku memberi alasan. Aku cepat-cepat
membuat persediaan. Aku sudah memberitahu alamat rumahku tadi kepada Nukman
Faris. Pasti mudah dia mencari rumah sewaku ini. Aku bersedia apa yang patut.
“Mungkin aku balik ke rumah emak.
Aku akan minta ayah aku jemput aku selepas maghrib nanti.” Kata Shamira. Aku
angguk. Kalau Shamira tidak ada kawan di rumah ini aku akan balik menemani dia
malam ini.
“Apa kata kau ikut aku? Adalah kawan
aku tidur di bilik tamu malam ni!” bulat mata Shamira. Tidak pernah dibuat
orang!
“Jangan nak jadi gila! Kau yang
kahwin, bukan aku!”kata Shamira yang tidak setuju dengan cadanganku.
“Aku try ajelah!” kataku yang sudah
berdiri di depan kamar mandi. Shamira menggeleng.
“Harap-harap kamu berdua selamat
dunia dan akhirat!” doa Shamira untukku. Aku mengaminkan doanya. Terbayang di
mataku wajah Nukman Faris yang tampan mengancam dan boleh membuat jantung aku
berdebuk gugur ke lantai! Namun terbayang semula jelingannya kerana terpaksa
kahwin dengan aku, aku kendurkan semangatku itu! Aduhai!
***
Kedengaran
telefon bimbitku berbunyi. Satu mesej masuk. Berdebar sungguh aku. Apakah
Nukman Faris sudah tiba di halaman rumahku atau masih belum berjumpa dengan
kawasan ini?
“Asalammualaikum, keluarlah. Awak di
mana sekarang ni?” soalan itu memang
tidak masuk akal. Di mana lagi? Memang di rumah lah! Cepat-cepat aku keluar ke
luar rumah. Aku tidak perlu membalas mesejnya itu. Aku terus membuka pagar
rumah sewaku. Dia turun dari keretanya.
“Assaalmuaalaikum, apa khabar?”
sapaku ketika dia turun dari keretanya. Mukanya masam. Aku hulurkan tangan
hendak menyalami tangannya. Perlahan-lahan dia menghulurkan tangannya dan tanpa
disangka dia mengucup dahiku. Syahdu kurasa. Hampir tiga minggu kami tidak
bertemu. Terasa rindu mencengkami jiwa namun kutahan segalanya. Aku tidak mahu
dikatakan akan mencerobohi janjiku kepada seorang suami yang bukan suami
sebenarnya. Kalau dia tahu kerinduanku alangkah malangnya aku! Matilah aku
dimaki hamunnya.
Dia menutup pintu kereta dan keluar dari kereta.
“Awak nak ke mana tu?” dia lantas
turun dari keretanya. Aku mengambil sebuah beg yang ada di depan tangga rumah.
“Ambil beg.” Dia cepat-cepat ambil
beg di tanganku dan meletakkannya di bahagian belakang. Aku cepat-cepat buka
pintu belakang. Bulat matanya memerhatikan aku.
“Kenapa buka pintu belakang?” aku
kaku. Dia sudah membukakan pintu hadapan untukku. Aku serba-salah. Aku kalau
boleh hendak duduk di bahagian belakang bersama begku. Tidak menyangka pula dia
melayan aku dengan baik kali ini. Apakah dia sudah lupa janji kami? Kami hanya
menjadi suami isteri untuk tiga hari lamanya. Selepas itu kami mengambil jalan
hidup berasingan. Aduhai, kenapa pula dia datang ke rumahku pada petang ini
dengan pelbagai aksi yang menakutkan?
“Nak duduk di belakang. Nanti apa
kata kekasih awak.” Kataku yang masih mengingati orang lain di antara kami
berdua. Tentu dia akan marah. Tidak, dia ketawa.
“Duduk depan. Saya bukan supir awak!
Kekasih saya di luar negara dia takkan tahu apa-apa mengenai kita! Cepat masuk
depan!” aku lega. Aku tidak mahu menjadi duri dalam daging dalam hubungannya
dengan kekasihnya.
Aku tidak masuk ke dalam kereta. Aku
terlupa sesuatu.
“Kenapa?” soalnya prihatin.
“Pintu rumah belum tutup.” Kataku
teringat pintu yang terbuka tadi. kawan serumahku berada di rumah. Aku naik
semula ke dalam rumah. Aku menyalami Shamira. Shamira tidak mahu keluar bertemu
dengan suami di atas kertasku. Katanya dia segan. Aku lebih segan sebenarnya.
“Ingatkan apa!” katanya yang sudah
memahami apa yang kulakukan.
“Awak tinggal di sini? Sendirian?”
suaranya dingin. Aku tahu dia selesa memandang rumahku yang agak kecil. Aku nak
kata apa?
“Tak! Saya tinggal dengan kawan.
Shamira namanya!” Dia jeling aku. Aku tertunduk. Apakah dia berdebar seperti
aku?
“Mana dia?”
“Ada di dalam. Awak nak jumpa dia?”
dia cepat-cepat menggeleng.
“Tak apalah, kita nak singgah di
mana-mana lagi selepas ini?” soal Nukman Faris. Aku geleng.
“Tak ada, tak singgah mana-mana!”
jawabku.
“Oh tak ada ya?” aku angguk.
“Awak nak bawa saya ke mana ni? Ke
rumah keluarga awak kan?” dia ketawa. Aku keliru.
“Mana-mana saya sukalah nak bawa
awak, nak ikut saya ke mana-mana?” soalnya. Aku tambah keliru.
“Apa pulak? Tadi awak cakap nak bawa
saya ke rumah mama awak!” kataku memulangkan cakapnya. Dia ketawa lagi.
“Tak apalah, nanti-nanti lah kita ke
rumah mama tu!” aku semakin takut.
“Ke mana pula?”
“Awak takut ya Tasya? Takutkan?” mukaku
sudah hilang darah kurasa. Memanglah aku takut. Dia buat bodoh pula soal-soal
aku begitu. Aku angguk. Mestilah aku takut. Emak mertuaku memberitahu tadi yang
aku akan dibawa ke rumah mereka di Damansara. Kenapa pula Nukman Faris berdolak
dalik?
“Kitakan suami isteri, apa nak ditakut?
Setakat ini saya tak pernah makan manusia! Nakkan manusia adalah!” aku semakin
takut. Selama ini dia tidak begini. Menggigil tubuhku mendengar kata-katanya.
Dia bagaikan gorila di depanku saat ini. Benar, tindakan Nukman Faris sukar
diduga. ‘Nakkan saya buat apa? Bukankah awak sudah janji nak ceraikan saya?’
soalku dalam hati.
“Awak nak bawa saya ke mana ni?”
soalku lagi. Selagi dia tidak bercakap selagi itulah aku tidak puas hati.
“Saya nak bawa awak ke mana-mana
saya sukalah! Awak tak suka?” aku diam. Dia sudah menghidupkan enjin keretanya.
Aku diam di tempat dudukku setelah menarik tali keledar.
“Diam-diam ya, kita akan pergi ke
satu tempat. Jangan risau, tempat itu menenangkan, awak mesti suka punya!”
katanya. Aku bertambah hairan. Dia datang kali ini dengan perubahan pula.
perubahan yang menakutkan aku.
“Dah nak malam ni Nukman. Kalau kita
tak cepat, nanti mama awak marah.” Dia ketawa. Logikkah alasanku? Aku sendiri
geli hati mendengar cakapku sendiri.
“His awak ni lawaklah pula Tasya!
Kadang-kadang saya rindukan gugup awak tu! Muka awak takut itu pula yang saya
rindu nak tatap! Awak rindu saya tak?” aku bagaikan hendak pengsan mendengar
pertanyaannya. Apakah dia ini sudah sasau? Bercakap seperti tidak ada sempadan
antara kami. Ah, lupakanlah mungkin Nukman Faris ini sedang demam atau rindukan
kekasihnya.
“Err, kenapa awak begini? Awak
rindukan kekasih awak?” soalku malu. Bukannya aku tidak rindukan dia, aku
rindukan dia sepenuh hatiku tetapi aku tidak boleh memberitahunya mengenai hal
ini. Aku bukan miliknya sepenuhnya. Aku hanya isteri yang dianiaya oleh bekas
tunangku sendiri. Kalau bukan kerana fitnahnya, aku tidak akan bernikah dengan
sepupu yang kucintai dalam diam ini. Huh, sampai akhir hayat aku tidak akan
memberitahunya mengenai perasaanku selagi dia mempunyai kekasih hati.
Aku dengar Nukman Faris ketawa. Lucukah
apa yang aku tanyakan?
“Sudah saya beritahu awak kan, kalau
tanpa sesiapa, kita hanya bercakap mengenai diri kita. Bukan bercakap mengenai
orang lain. Faham?” aku masih keliru dengan sikap lelaki ini. Aku tidak akan
berani bercakap mengenai perasaanku. Aku takut dia akan memerangkap aku. Aku
tidak akan sewenang-wenangnya hendak memberitahu seluruh kerinduan kepadanya
dan wajahnya yang tidak pernah lari dari mataku. Biarlah, biarlah ia pecah di
perut dan jangan pecah di mulutku. Ia hanya akan memalukan aku.
“Tasya, awak faham tak?” aku
tersentak. Terlupa dia ada di sisiku sedang memandu dengan tenang.
“Faham. Saya faham, terima kasih.”
Kataku penuh sopan dan memandang ke luar tingkap. Aku dengar cakap dan nasihat
emak, agar aku menghormati suamiku selagi dia menjadi suamiku.
“Bagus kalau awak faham, kalau tak
faham juga, aku tahulah apa nak buat!” semakin gementar hatiku mendengar
ugutannya itu.
“Errr, apa awak nak buat?” dia
ketawa kuat. Lagu-lagu Ingeris kegemarannya tenggelam oleh ketawanya.
“Tahulah aku nak buat apa! Awak
diam-diam sudahlah!” katanya. Aku pandang ke depan tetapi aku takut hendak
memandang wajahnya. Aku tidak mahu dia bercakap sesuatu yang merapu lagi
selepas ini. Biarlah aku mendengar lagu-lagu kegemaranku sahaja.
“Cuti ni awak nak ke mana?” soalnya
tiba-tiba setelah suasana sangat sunyi sekali.
“Saya ada kuliah hari Isnin hingga
Rabu.” Jawabku memberitahu dia segera. Aku tidak mahu ada sesuatu yang akan
dilakukan pada waktu cuti yang tidak seberapa lama ini. Esok aku akan pastikan
aku akan balik semula ke rumah sewaku. Aku tidak betah meninggalkan rumah
sewaku lama-lama.
“Kuliah? Awak ambil kursus apa? Di
mana?” bertubi-tubi soalannya. Aku tidak tahu hendak menjawab yang mana satu.
Aku pandang wajahnya. Dia sudah tersenyum. Mungkin dia juga puas hati andai aku
ada aktiviti lain. Dia juga tidak akan menghabiskan masa yang lama denganku.
Aku mahu menyelamatkan dia.
“Ya kuliah.” Aku jawab ringkas.
Sebenarnya aku malas mahu menceritakan kepadanya yang aku pelajar di sebuah
universiti. Sedangkan dia bekas graduan luar negara. Pastilah ibu bapanya
berani menghantar dia ke mana-mana sebab keluarganya mampu. Hmm, kami bukan
tidak mampu. Mampu. Cuma, aku yang tidak mahu berpisah dengan emak. Lagipun
anak perempuan, ayah tidak benarkan anak perempuan belajar jauh-jauh. Akhirnya
aku bahagia belajar di negaraku sendiri.
“Ambil apa?” aku kerut dahi. Banyak
betul pula soalannya.
“Diploma!” aku sengaja membohonginya.
Mungkin selama ini dia tidak tahu apa profisienku. Mungkin selama ini dia tidak
latar belakangku.
“Oh, awak baru nak ambil diploma?”
aku angguk tetapi tersengih-sengih. Dia pula kerut dahi seperti tidak percaya
dengan apa yang aku sampaikan.
“Kat mana?”
“Kat bawah tanah!” selamba aku
menjawab. Dia bulatkan matanya. Geram mungkin dia.
“Oh awak main-mainkan saya ya!”
tanganku sudah ditangkapnya. Dengan segera dia memegang tangan kananku
sekuat-kuatnya lalu mengucupnya. Mataku membulat memandang keanehannya. Apakah
ini suamiku atas kertasku? Apakah ini yang kuharapkan dia lakukan? Aku keliru.
Sangat keliru! Akhirnya aku menarik tanganku semula dan menutup mata. Keindahan
ini harus dinikmati biarpun esok mungkin kali terakhir kami bersama bersua muka
begini. Oh indahnya!
“Pandai mainkan Nukman ya!” katanya
seolah-olah berbisik. Aku kematian kata. Keretanya terus bergerak laju menuju
ke Kuala Lumpur.