Selepas
solat Subuh dan membersihkan diri, aku terus turun ke bawah. Eh, aku teringat
pakaianku yang tidak bercuci. Nukman Faris sudah membasahkan pakaianku itu
ketika kami mandi semalam dan pagi ini. Aku masuk ke dalam biliknya semula. Aku
mencucinya seketika. Aku akan tinggalkan pakaian itu di rumah ini.
Minggu
depan Nukman Faris meminta aku datang sini semula. Eh, malasnya aku hendak
pergi ke sini semula. Bukannya apa, aku lebih selesa di rumah sewaku sendiri.
Jika menyiapkan kerja sampai tengah malam sampai tidak ingat tidur pun tak apa!
Tak ada orang akan tegur aku. Fikirku.
Nukman
Faris pula entah ke mana. Dia tidak beritahu pun ke mana dia pergi. Selepas
solat Subuh dia tidak kelihatan lagi. Mungkin dia pergi berjogging. Aku nampak
dia keluar tadi dengan pakaian sukannya. Dia tidak pula bercakap apa-apa.
Mungkin dia terasa dengan kata-kataku. Aku mana sengaja.
Aku
pula tidak mahu terlambat membuat persediaan. Aku mahu segera pergi ke rumah
keluarganya. Pasti emak dan ayah tertunggu-tunggu akan kehadiranku. Tetapi aku
tidak ke manakah menghilangnya Nukman Faris ini. Aku tidak tahu hendak ke
mana-mana jika tidak ada lelaki itu. hendak
balik ke rumah sewa pun aku takut. Hendak turun ke bahagian bawah kondo
ini pun aku tidak berani. Ya Allah, bagaimana aku ini? Soalku dalam hati.
Aku terdengar bunyi ketukan di
pintu. Aku berasa senang hati sedikit.
‘Siapa yang datang? Baru saja Nukman
pergi, takkan dia dah datang?’ soalku dalam hati. Aku melihat jam di dinding
ruang tamu, baru jam 8.25 pagi. Eh, siapa pula yang datang ni? Dadaku
berdebar-debar. Aku perlahan-lahan bergerak menuju ke pintu. Aku berharap agar
Nukman Faris yang datang. Baru sahaja dia keluar, aku terasa kepergiannya. Aku
terus membuka pintu dengan mata yang berhati-hati. Aku takut lelaki asing yang
datang yang tidak dikenali. Doaku janganlah ada orang yang tidak dikenali.
Bulat mata perempuan yang berdiri
tercegat di pintu itu memandangku. Pakaiannya usah disebut. Memang dia
perempuan yang tidak cukup kain. Kalau
banyak duit, sepatutnya beli pakaian yang cukup kain, bukan macam telanjang
begini. Aku sempat beristighfar berulang kali. Dia mengenakan skirt pendek atas
lutut berwarna hitam, blausnya tangan panjang berbunga halus. Beg tangannya
memang jenama. Kalau aku tengok harga di online memang mencecah ribuan ringgit
harganya. Tak mampu aku nak beli. Baik aku simpan duit untuk kegunaan adik aku
sekolah ada baiknya. Kalau tidak pun aku beri kat emak, ada lagi pahalanya.
Siapa
ni? Apa dia mahu? Apakah dia salah rumah? Soalku dalam hati.
“Cik
nak cari siapa?” soalku kehairanan. Matanya bulat memandangku. Dia terus masuk
ke rumah Nukman Faris ini. Dia seperti biasa dengan rumah ini.
“Cik...
cik boleh tak jangan masuk!” aku cuba
menghalangnya. Dia terus masuk dan menolak pintu dengan sekuat hatinya.
Dia tidak peduli dengan laranganku.
“Nukman
mana?” soalnya. Aku terlopong. Oh, dia bukan perempuan yang tidak dikenali. Dia
kenal Nukman Faris rupanya. Diakah?
“Nukman
Faris mana?” soalnya lagi mengulang nama Nukman Faris. Macamlah aku tidak
faham. Mataku marak memandangnya. Aku juga tidak takut memandangnya dengan mata
bercahaya.
“Dia
keluar.” Kataku mengagak. Nukman Faris tidak ada di dalam biliknya dan tidak
ada juga di ruang tamu. Sebentar tadi aku ke dapur, dia juga tidak ada di sana.
Dia sudah meninggalkan aku sendirian di sini.
“Ke
mana?” aku geleng. Aku tidak sempat tanya ke mana lelaki itu pergi.
“Entah!”
makin membuntang mata perempuan memandang aku. Macam aku mahu ditelannya.
Perempuan itu pun agak tinggi daripada aku. Ah, ingat aku takut kalau pun dia
tinggi? Ah, tidak, aku tidak takut.
“Oh,
awak isterinya ya? Kamu dah tinggal serumah pula? Pandainya awak nak menggoda
kekasih saya ya! Patutlah kekasih saya tu dah pandai berbohong! Kau rupanya
yang punya fasal kan!” katanya sudah memperli aku. Aku tidak sampai hati hendak
menggoda kekasihnya walaupun aku isterinya yang sudah sah di sisi syarak. Aku
tidak berniat hendak menggoda-goda ni. Jangan-jangan suaminya yang menggoda aku
secara tidak langsung!
“Tak!
Tak kami tak tinggal serumah lagi. Tapi kalau tinggal serumah pun tak salah!
Kami memang dah jadi suami isteri yang sah!” kataku yang sakit hati dengan
kata-katanya. Kalau dia dengar kata-kataku itu biar telinganya hangus terbakar
kerana sakit hati juga. Aku tidak mahu mengalah dengan perempuan tidak cukup
kain itu sebenarnya. Kalau dia hendak marah, marahlah! Ada aku kisah?
“Eh,
awak memang isterinya yang tak tahu malu tu kan?” soalnya seperti salah
pendengaran. Aku kalut. Kenapa pula aku jawab macam tu. Maksud aku, aku tidak
menggoda kekasihnya tu.
“Ya
saya isterinya yang pemalu dan menjaga tingkah laku!” jawabku tersenyum bahagia.
Bagaikan terbentang api di mukanya. Aku masih tidak kisah dengan ruapan marah
di mukanya itu. apa yang aku tahu aku mahu dia sakit hati.
“Isteri
yang menjaga tingkah laku? What a wrong sound!” aku cuak dan mukaku masih tersengih-sengih.
Wajahnya berubah kelat.
“Eh,
awak tahu tak, yang aku dan Nukman tu akan kahwin? Kenapa awak sanggup merampas
kekasih aku?” soalnya dengan suara yang agak kasar. Aku diam seketika.
“Kamu
baru merancang, Tuhan yang tentukan cik! Jangan nak confirm sangat dengan perancangan sendiri!” jawabku dengan yakin. Semakin
geram dia kepadaku. Aku bercakap yang benar sahaja. Beberapa tahun aku dan Amri
merancang perkahwinan kami. Ia diikuti oleh perancangan ibu bapa kami. Tetapi
apa yang terjadi kepada perancangan kami? Manusia hanya tahu merancang tetapi
Allah yang menentukan segala-galanyay. Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku! Mungkin
selama ini aku tidak melibatkan Engkau dalam perancanganku. Ampunkan aku Ya
Allah.
“Eh
pandai awak ya! Aku tak akan biarkan awak rampas kekasih aku, aku akan buat
sesuatu nanti! Awak jangan menyesal jika ada apa-apa berlaku kepada saya!”
katanya seperti mahu mengugut aku. Aku tidak takut dengan ugutan gadis bandar
ini. Apa dia ingat dia hebat? Gadis kampung macam aku pun hebat juga tahu!
Kataku dalam hati.
“Kalau
ikut muka awak ni, awak tak layak kahwin dengan Nukman!” kataku dengan yakin.
Perempuan itu menarik baju blausku. Mahu tercekik aku. Kemudian dia menolak tubuhku
dan aku terjatuh ke lantai. Eh, macam ahli tinju pula perempuan yang mengaku
kekasih Nukman Faris ini. Aduh sakitnya punggungku. Memang macam ahli tinju
kekasih Nukman ini!
“Awak
tu yang gatal nak juga kahwin dengan kekasih aku! Aku beri awak peluang selama
dua bulan ni. Kalau awak tak cerai dengan dia, awak tahulah apa nasib awak!”
kali dia sudah berkau-kau dengan aku. Aku yang terduduk tadi bangun kembali
walaupun punggungku terasa agak sakit. Aku memandangnya dengan penuh rasa
keberanian. Aku tidak bersalah kenapa aku hendak berasa takut kepadanya.
“Kalau
kami tak cerai juga? Apa yang awak akan buat?” soalku penuh yakin. Aku berat
hati hendak bercerai dengan Nukman tetapi kalau memang sudah ditakdirkan kami
bercerai, apa yang aku hendak cakap? Memang perancangan manusia tidak sama
dengan perancangan Allah.
“Kau
jangan nak berani-berani nak goda kekasih aku ya! Kalau aku tahu kau tak cerai,
kau tahulah apa akan jadi kepada muka kau yang halus mulus tu!” katanya
mengugut aku. Aku meramas kulit mukaku yang halus mulus ini. Aku tidak mahu
sesuatu terjadi kepada mukaku ini. Apa
dia nak simbah mukaku dengan asid? Aku lapor polis awal-awal jika dia
mengugut aku begitu!
“Oh
ugut ya?” soalku. Dia menggeleng.
“Aku
tak ugut, aku hanya beri ingatan kepada orang tak sedar diri macam kau!”
katanya. Aku sengih. Sedikit pun aku tidak takut dengan ugutan itu.
“Aku
akan buat laporan polis mengenai hal ini! Mana tahu ada apa-apa berlaku
kepadaku, polis dah tahu yang kau hendak mengenakan aku!” kataku bersedia
dengan cubaan ugutannya. Dia menaikkan keningnya.
“Oh
pandai kau ya! Kau ingat aku tak berani? Kau tengoklah nanti!” kata gadis itu
dengan penuh keyakinan. Aku tersenyum sinis. Tetapi tiba-tiba pintu rumah
dibuka dari luar. Aku kecewa. Aku belum habis bercakap dengan gadis itu.
“Eh,
sayang, apa buat kat sini? Bukankah sayang masih di Singapura?” soal Nukman
Faris yang tiba-tiba datang. Dia meletakkan sesuatu di atas sofa. Aku gembira
dia datang tetapi dalam waktu yang sama aku terasa sayu. Dia sudah bertemu
dengan kekasih yang amat dirinduinya. Namun dia tidak sempat menyelamatkan aku
yang sudah terduduk ditolak oleh kekasihnya itu.
Perempuan
itu ketawa. Dia terus memeluk Nukman Faris tanpa ada segan silu. Aku terus
memusingkan badanku agar tidak melihat perbuatan mereka itu. Nukman Faris hanya
membiarkan perbuatan kekasihnya itu. Perbuatan itu salah di sisi agama. Kenapa
Nukman Faris begitu? Selama ini dia memang hidup bebas begini? Soalku dalam
hati. Aku sudah terasa kecewa dengan perbuatan mereka di depanku.
“Oh
bukan main lagi awak ya. Awak dah tipu saya. Awak kata awak tak sayangkan
isteri awak ni, sekarang bukan main lagi awak dah tinggal serumah! Patutlah
hati saya tak senang! Rupanya inilah yang awak buat ya!” kata perempuan itu.
“Sayang,
sabar dulu. Sabar. Saya akan terangkan nanti.” Kata Nukman Faris.
“Patutlah
hati saya tak senang mengenang awak sayang. Rupanya awak dah buat sesuatu yang
tak saya sukai!” katanya dengan suara manja.
“Sayang
kita keluar dulu!” kata Nukman Faris menarik tangan perempuan itu.
“Tasya,
tak ada apa-apa ke?” soal Nukman Faris tiba-tiba. Aku terus menggeleng laju.
Aku tidak mahu memandang mereka.
“Saya
tak mahu keluar. Saya nakkan penjelasan sekarang juga.” Kata perempuan itu. Aku
bagaikan menyaksikan sebuah drama sebabak pula. Nukman Faris sudah pegang bahu
perempuan yang kononnya kekasihnya itu. Aku tahu mereka akrab tetapi
berkelakuan begitu tetap juga berdosa. Terasa sedih dengan perlakuan suami
sendiri. Aku yang menjadi penonton pula tidak mampu untuk bersuara. Oh,
nampaknya aku sudah bersubahat dengan tingkah laku mereka. Apatah lagi
perempuan itu yang sudah menceroboh kawasan ruang rumah tangga kami.
“Awak
nak apa ni datang tiba-tiba? Sepatutnya awak hubungi saya dulu dan bukannya
datang menyerang begini!” kata Nukman Faris. Suaranya kedengaran lembut. Benar,
inilah kekasih hatinya yang bakal dinikahinya jika dia telah menceraikan aku.
Sebaknya hatiku. Sakitnya bagaikan isi dicarik-carik dari kulit.
“Awak
ceraikan perempuan ini! Awak ceraikan dia sekarang! Aku tak rela kau hidup
dengan perempuan kampung ini!” pintanya tanpa malu. Suaranya sengaja
dikuatkannya. Kalau aku malu amat, kerana dia belum sah menjadi isteri Nukman
Faris. Namun aku hanya mendiamkan diri. Tidak ada urusanku hendak bersuara di
depan perempuan yang tidak ada maruah itu. Wajah yang cantik tidak bermakna
jika dia bersikap tidak ada sahsiah begitu.
“Sayang,
kena sabar dulu. Ada beberapa perkara yang harus dipertimbangkan.” Katanya
memujuk kekasihnya. Oh, patutlah. Nukman Faris pandai memujuk perempuan. Dia
memang pandai memujuk. Aku pun selalu terpujuk olehnya. Argh!
“Perkara
apa? Dulu awak janji, awak nikah dengan dia sebab nak tolong saja! Sekarang dah
lepas, kenapa tak ceraikan lagi? Eh perempuan, aku mahu kau tuntut cerai dari Nukman Faris sekarang! Aku tak
mahu kau berlama-lama dengan dia!” katanya memandang aku. Aku mengangguk. Kedengaran
suara itu amat mendesak namun aku tenang. Aku pun memang mahu bercerai dengan
suamiku yang juga sepupuku ini. Tidak ada gunanya bersuamikan sepupu yang
memamg terang sudah punya kekasih. Aku? Kecewa? Memang agak kecewa tetapi aku
terima dengan hati terbuka.
“Saya
memang nak mohon cerai!” perempuan itu ketawa. Mungkin puas hati dengan
kata-kataku. Bulat mata Nukman Faris memandang aku. Hatiku pula bergetar hebat
apabila dia memandang aku tajam.
“Sayang,
mari kita keluar dari sini. Perkara nikah kahwin bukan nak dibuat mainan!” kata
Nukman Faris. Apa maksudnya tu? Aku tidak faham. Memang akan bercerai juga
akhirnya nanti. Kenapa perempuan ini tidak sabar?
“Tapi
awak dah janji nak ceraikan dia!” Nukman Faris garu kepalanya yang tidak gatal.
Aku hanya menjadi pemerhati kepada drama sebabak itu. mungkin dia juga tahu
akan perjanjian kami. Ah, sedihnya seorang isteri seperti aku ini. Ia lebih
sedih daripada putus tunang hari itu.
“Penipu!
Awak penipu Nukman! Kalau awak tak ceraikan perempuan dalam tempoh dua bulan
ni, awak tahulah apa yang saya nak buat! Saya akan buat kamu berdua bercerai!”
kata perempuan itu dengan jeritannya yang kuat. Aku terdiam. Nukman Faris juga
tidak menjawab segera. Matanya sesekali memandang aku dengan penuh belas
kasihan.
“Sabarlah
sayang. Cuba bawa bertenang! Awak tak sepatutnya macam ni! Benda kecik aje ni.
Kita akan settle perlahan-lahan. Jangan nak kecoh macam ni! Lagipun, saya boleh
panggil securty guard kalau saya mahu! Tapi taklah saya nak buat macam tu!”
kata Nukman Faris seperti memujuk.
“Saya
datang ni sebab my parents asyik nak tanya tentang perkahwinan kita. Saya tak
tahu apa yang nak dijawab Nukman!” kata perempuan itu. Aku terasa sedih pula.
Sedih kerana aku pula menjadi penghalang dalam perhubungan mereka. Mereka
sepatutnya sudh bernikah dan mengadakan majlis perkahwinan bersar-besaran.
Sedih pula aku seketika. aku harus buat sesuatu, kataku dalam hati!
“Jangan
tergesa-gesa sayang. Pandai lah awak pujuk parents awak tu ya. Saya baru aje
kahwin di kampung, takkan nak kahwin lagi sekarang. Ala relakslah sayang!” kata
Nukman Faris memujuk lagi. Aku setuju dengan kata-katanya. Takkan dia hendak
terburu-buru hendak menikah lagi. Hari itu pun dia dipaksa bernikah denganku.
Kasihan pula dia. Hidupnya menjadi huru-hara pula gara-gara hendak
menyelamatkan aku!
“Mari
saya hantar awak.” Kata Nukman Faris yang sudah menarik tangan kekasihnya. Sempat
dia memandang aku. Aku pura-pura menundukkan pandanganku. Isteri mana yang mahu
suaminya memegang perempuan lain. Mungkin hanya perempuan gila sahaja yang mahu
suaminya bermesra atau bernikah dengan gadis lain.
“Eh,
perempuan! Boleh tak awak jangan nak halang perkahwinan aku dengan kekasih aku
ni! Ingat ya, pastikan awak mohon cerai!” katanya sebelum dia melangkah keluar
dari rumah Nukman Faris ini. Aku angguk dengan muka cuak.
“Jangan
libatkan dia sayang. Dia tak salah! Saya yang salah!” kata Nukman Faris yang
kembali menarik tangan kekasihnya. Aku terasa sebak pula. Lelaki itu tidak
menyalahkan aku. Marak mata kekasihnya itu. Aku kasihan pula kepada Nukman
Faris. Dua wanita dalam hidupnya dalam satu masa. Sepatutnya kami tidak
bernikah hari itu tetapi apa boleh buat, Amri buat hal. Jika tidak, aku sudah
menjadi isteri orang lain dan bukannya menjadi isteri kepada sepupuku sendiri.
Aduhai!
Kasihanlah Nukman Faris. Kalau aku berada di pihaknya pun, pasti aku akan
berasa serba salah dan tertekan begini. Ditelan mati emak, diluah mati anak.
Kasihannya!
“Apa
awak kata? Dia tak salah? Dia memang salah! Kesalahan semua berpunca dari dia
ni! Kalau tak, kamu takkan nikah dengan dia ni! Benci betul dengan perempuan
kampung ni!” katanya lagi. Aku diam. Aku suka mendengar dia bercoleteh sampai
dia puas hati. Nukman Faris terus tarik
tangan kekasihnya tanpa ampun lagi. Aku sudah membetulkan tudungku yang
ditariknya tadi. Aku sudah masuk ke biliknya dan menangis teresak-esak. Aku
mahu membuang semua sakit hatiku dengan tangisanku. Aku tidak sanggup dituduh
sebagai perampas. Aku tidak merampas kekasihnya itu!
“Tasya,”
panggil Nukman Faris di ambang pintu. Cepatnya dia menghantar kekasihnya. Aku
sengaja membelakanginya. Aku sudah mengemas barang-barangku. Aku mahu balik ke
rumah sewaku sekarang juga. Aku benci dituduh perampas. Seolah-olah tidak ada
lelaki lain dalam dunia ini. Mengapa aku harus berebutkan lelaki ini? Kenapa
aku harus ditakdirkan begini? Seharusnya aku memohon cerai daripadanya sekarang
juga! Jangan ada maaf atau pertimbangan lain lagi! Aku tidak mahu dituduh
perampas. Keturunan emak dan ayah adalah keturunan yang baik-baik, tak ada yang
keturunan perampas seperti yang didakwanya! Sedihnya aku! Mahu sahaja kutampar
mulut yang celupar itu tadi. nasib baik Nukman Faris tiba awal ke rumahnya.
Kalau tidak, aku memang tidak mahu mengalah!
“Tasya!”
panggilnya dan dia sudah mendekati aku. Aku tundukkan mukaku. Aku tidak sanggup
memandang wajahnya.
“Maafkan
saya.” Katanya. Aduhai lelaki ini. Kenapa pula dia memohon maaf. Aku yang
salah. Sepatutnya aku yang memohon maaf daripadanya. Aku mengambil tangannya
dan mengucupnya. Dia kebingungan memandang aku.
“Nukman,
maafkan saya. Saya yang bersalah dalam hal ini. Ceraikanlah saya, saya sudah
terlepas dari ftnah orang kampung sekarang ini. Kita sudah lepas dari
segala-galanya!” kataku seperti sudah mahu berterus-terang dengannya. Aku tidak
mahu menjadi pengganggu dalam hubungan mereka berdua, dia dan kekasihnya.
Nukman Faris mendirikan aku.
“Tasya,
jangan cakap begini.” Aku menggeleng. Dia memeluk bahuku lagi. Air mataku sudah
melebat. Dia pula mengucup dahiku. Syahdunya walaupun aku sedang menangis
begini.
“Nukman,
saya yang salah. Jangan seksa diri. Awak sudah ada kekasih hati. Awak perlu
jaga hatinya. Jangan sampai hubungan kamu putus lagi gara-gara saya.” Kataku
menasihatinya. Memang kalau boleh aku tidak mahu berpisah dengannya. Hatiku
berat hendak berpisah dengan seberat batu di gunung.
“Keadaan
menjadi rumit Tasya. Jangan semudah itu memohon cerai,” katanya sambil megucup
dahiku berulang kali. Aku pula terkaku. Kaku dalam perhatiannya.
“Tak
rumit Nukman. Awak yang buat keadaan jadi rumit. Saya tak mahu berkongsi lelaki
dengan orang lain. Dalam dunia ini bukan hanya awak, ada ramai lelaki lagi.
Izinkanlah saya memohon cerai. Ceraikan saya Nukman. Dia memang datang dulu
dalam hidup awak, dia sepatutnya mendapat hak sebagai isteri awak, Nukman!
Bukan saya... bukan saya Nukman,” Kataku merayu.
Merayu
agar dia menceraikan aku. Walaupun aku sungguh sebak menyebut permintaan cerai
itu namun aku tidak ada pilihan. Gadisnya sudah datang menuntut haknya. Aku
bukan gadisnya yang selama ini dipujanya. Rozaila lah haknya. Nukman Faris hak
Rozaila. Bukan hak aku. Dia geleng. Dahiku pula menjadi mangsa kucupnya
berkali-kali.
“Tutup
mulut sayang. Jangan cakap merapu macam ni. Tasya mengandung, tak boleh nak
berperasaan sedih macam ni. Nanti bagaimana keadaan bayi kita kalau sayang
asyik sedih macam ni!” katanya lagi menyebut aku mengandung. Dan bayi kita
konon! Tidak, aku bukan mengandung. Bila-bila masa sahaja kalau dia mahu
ceraikan aku.
“Jangan
terikat dengan saya Nukman. Kalau awak nak ceraikan saya, awak ceraikan saja.
Jangan nak pertimbangkan saya. Awak ada hak buat apapun yang awak suka!” Kataku
memujuknya. Aku boleh merasai betapa sakitnya hati kalau kekasih hati direbut
orang lain. Aku mahu dia bahagia. Biarlah dia bahagia dengan kekasihnya dan aku
pergi dari hidupnya. Biarlah, aku reda!
“Jangan
cakap yang bukan-bukan sayang, sayang tak kuat lagi nak fikirkan yang
bukan-bukan. Jangan buat saya serba salah pula. kita teruskan sahaja hubungan
kita sampai segalanya kembali tenang macam biasa. Tak perlu sayang nak mohon
itu dan ini. Tak baik kita nak hampakan harapan mama dan mak kita. Biarlah
dulu. Sayang, please, understand me.”
Katanya memeluk aku. Aku pula membalas pelukannya.
Selalu
aku begini, seperti terperangkap dalam emosi dan dia akan menenangkan aku.
Aduhai, kenapa aku ini terlalu bergantung kepada pujukan Nukman Faris.
“Maafkan
saya Nukman. Saya memang gadis kampung tak layak untuk awak!” kataku sambil
menyembamkan mukaku ke dada bidangnya. Dia mengeratkan pelukannya dan membelai
belakangku.
“Sudahlah
sayang. Kita lupakan hal ini. Hal tadi tu biarlah saya handle. Jangan nak
sedih-sedih macam ni lagi!” kata Nukman Faris lagi memujuk aku. Akhirnya kami
saling pujuk memujuk.
“Tasya,
kita balik ke rumah mama. Mama dah balik-balik tanya Tasya. Mama dah tak sabar
nak jumpa menantunya.” Katanya mengubah topik perbualan kami.
“Nukman,
beginilah. Jika keadaan menjadi rumit, awak nikah lah dengan kekasih awak, saya
rela tanda tangan borang nikah awak. Saya benarkan. Sampai masa awak
ceraikanlah saya,” Hatiku seperti kain yang diperah-perah ketika aku berkata
begitu. Sakitnya jika membenarkan seorang suami hendak berpoligami. Sekalipun
kami nikah bukan kerana kehendak kami namun sebagai isteri yang sah, aku tetap
tidak mahu berpoligami. Namun, kerana situasi kami yang agak rumit sekarang,
aku rela membenarkan dia menikah lagi. Biarlah hatiku sakit.
“Keadaan
bukan semudah yang disangka Tasya. Sekalipun saya membelakangi keluarga saya
tetapi saya tak mampu membelakangi Tuhan. Sekalipun saya tak sewarak mana
tetapi saya masih sayangkan mama dan papa saya. Saya takkan rela diri saya ini
melakukan sesuatu yang melukakan hati mama dan papa saya Tasya.” Katanya. Aku
terharu dengan kesetiaan dia kepada ibu bapanya. Aku tahu jika bukan kerana ibu
bapanya, sudah lama dia menceraikan aku. Aku tahu dan sedar dia tidak mempunyai
perasaan khusus untukku. Aku yakin dengan sebenar-benar yakin.
“Saya
serba salah Nukman. Saya pun takut dengan keluarga kita tapi dalam masa yang
sama saya tak mahu dipersalahkan dalam hal ini. Saya tak mahu menjadi perosak
hubungan awak dengan kekasih awak.” Kataku masih serba-salah. Nukman Faris
sudah memegang kepalaku. Ternyata dia mengucup dahiku.
“Sudahlah,
kita lupakan dulu hal ini. Nanti saya akan bincang dengan Rozaila. Dia tidak
harus mendesak-desak perceraian kita dan mempercepatkan pernikahan kami. Kita
harus tenangkan keadaan dulu. Sekarang pun mama dan emak ada perancangan untuk
kita, jadi kita tak boleh nak buat sesuatu yang tidak baik dalam hal ini.”
Katanya dengan penuh kematangan. Aku rasa terharu. Akhirnya kami berpelukan.
“Maafkan
saya Nukman. Saya tak mahu keadaan kita jadi begini. Tapi saya tak tahu
bagaimana lagi nak cakap. Saya ikut awak aje. Kalau awak rasa nak ceraikan
saya, ceraikan aje. Saya tunggu aje.” Kataku mengingatkan Nukman Faris akan
janji kami. Aku teresak-esak di dalam pelukannya.
“Sudahlah,
jangan nangis. Mungkin ini ujian untuk kita. Sabarlah, mungkin akan dibukakan
jalan untuk kita nanti,” kata Nukman Faris masih menenangkan aku.
“Sudahlah,
kita nak gerak ke rumah mama. Sebelum tu kita sarapan dulu. Tadi saya dah beli
nasi lemak dan minuman. Alamak nanti sejuk lah pulak!” kata Nukman Faris cuba
berseloroh denganku. Aku mendongak memandang ke arahnya, aku cepat-cepat
melepaskan pelukan kami. Dia sudah tersenyum dan mengenyitkan matanya kepadaku.
“Saya
ke kamar mandi kejap,” kataku yang sudah terasa agak malu. Mukaku sudah
kemerah-merahan. Dia pula hanya tersenyum memandang aku. Entah apa yang dia
rasa. Jantungku iramanya serancak tarian Zumba!
“Jangan
lama-lama tau!” katanya lagi. Aku tersenyum sendiri dengan sisa air mata yang
masih ada. Entah kenapa hatiku terasa tenang setelah mendapat pujukannya.
Apakah kami ada keserasian sebagai suami isteri? Ah, aku tidak yakin.
Suasana
sudah tenang. Mukaku sudah kubasuh. Hatiku sudah kupujuk agar berasa tenang.
“Jom
lah kita turun,” katanya yang sudah berada di pintu. Aku memandang cermin. Aku
ingat dia sudah menuju ke dapur. Rupanya dia masih ada di dalam bilik.
“Marilah
ke dapur.” Kataku. Kami beriringan menuju ke dapur. Pagi yang mulia ini
menyaksikan kami bersarapan bersama buat ke sekian kalinya. Selalunya aku hanya
akan bersarapan dengan Shamira di rumah sewa kami. Itu pun jika sempat. Jika
tidak sempat aku hanya bersarapan di kantin sekolahku jika ada masa terluang.
Ah, seketika terkenang Shamira. Entah apa yang Shamira buat sekarang.
“Nah,
ini untuk sayang. Makan banyak sikit tau, nanti kurus sangat dan nanti baby
lapar.” Katanya yang sudah memasukkan nasi lemakku ke dalam pinggan. Aku pula hanya
seperti patung cendana memerhatikan tingkahnya. Hendak terkaku pun ada. Dia
bercakap mengenai baby dalam kandungan lagi. Sakitnya hatiku.
“Terima
kasih Nukman,” kataku. Sebenarnya aku hendak cakap begini. ‘Nukman, kenapa awak
baik sangat kepada saya. Nanti kalau kita sudah berpisah, aku yang parah kerana
terkenangkan kebaikan awak dan saya takkan mungkin dapat mencari pengganti
sebaik awak. Nukman janganlah terlalu baik kepada saya!’ kataku seperti merayu.
“Kenapa
renung makanan tu?” soalnya yang sudah memasukkan makanannya ke dalam
pinggannya. Aku terkejut dengan tegurannya. Lantas mencuci tanganku dan memulakan
sarapan pada pagi yang berbahagia ini. Dia sudah membaca doa dan aku
mengaminkannya.