Home Novel Cinta Cinta Sang Pilot
Bab 22

“Aku kat mana ni?” soalku sendiri setelah aku tersedar. Aku terus duduk di atas katil empuk itu. Setahuku, tadi aku di dalam kereta. Sekarang aku di mana? Soalku sendirian. Kenapa aku sudah di atas katil? Di rumah siapa ni? Rumah sewaku? Eh, mana ada rumah sewaku berwarna hijau polos begini! Dalaman rumah sewaku berwarna pink. Katil aku berbunga merah hati dan krim. Kenapa suasana lain macam aje ni?

Aku ketuk dahi. Aku terlupa rupanya. Aku berada di rumah lelaki yang menjadi suamiku ini. Jadi, takkan aku terbang hingga sampai ke sini? Jangan... jangan...

“Hai, sayang sudah bangun? Cepatnya!” aku membuntangkan mataku memandangnya yang tersengih-sengih. Nasib baik dia tidak membuka tudungku. Pakaianku masih lengkap. Dia pula sudah duduk di sisiku. Aku menjauhkan sedikit jarak kami. Dia selalu membuatku takut.

“Kenapa saya di sini?” soalku kehairanan. Mataku terpisat-pisat. Dia pula sudah berdiri di depanku dengan wajah tersenyum tampan. Aduhai, ini yang aku tidak tahan dengan senyuman manisnya. Menambahkan lagi kekacakannya.

“Laa, tadi kan awak tidur mati. Jadi saya angkatlah awak hingga ke sini. Tu yang awak dah tidur di atas katil ni! Takkan jin yang angkat!” katanya. Aku masih terkejut. Jantungku bagaikan kena gantung di atas pokok. Rasa terkejut masih belum hilang lagi. Apatah lagi dia bagaikan bergurau denganku. Eh, lelaki ini kenapa nak bergurau pula dengan aku? Aku tak sukalah!

‘Nukman Faris angkat aku? Aduhai, malunya aku! Kenapa aku tak sedar tadi?’

“Kenapa awak tak kejutkan saya? Badan saya ni bukannya ringan awak nak angkat!” kataku separuh malu. Dia masih tersengih.

“Ringan aje macam kapas! Saya angkat guna ibu jari je!” katanya. Aku memasamkan muka. Dia sudah mempermainkan aku. Mahu sahaja aku menangis jika benar dia yang mengangkat dari kereta ke biliknya ini tadi. yang lebih naya, kenapa aku tak sedar? Tidur mati sangat! Kataku. Ah, baru aku ingat. Aku tidur pukul 2.30 pagi semalam. Memang aku mengantuk betul rupanya.

“Pandailah awak!” kataku yang sudah memerhati kawasan sekeliling. Di dalam biliknya ini terdapat sebuah sofa kulit berwarna hitam. Ia kelihatan kemas dan elegen. Malah ada dua biji bantal kecil di situ. Aku? Aku akan tidur di situ. Aku tidak akan betah menempatkan diriku tidur di atas katil ini. Aduhai!

“Nak ke mana?” dia menarik lenganku. Aku pandang wajah tampan yang sudah mengenakan seluar pendek dan baju t-shirt itu.

“Err, saya nak ke tandas kejap.” Kataku. Sebelum aku tidur aku akan ke tandas dan membersihkan wajahku.

“Ok.” Aku terus memasuki tandas. Selepas itu apa yang aku akan buat? Soalku sendiri.

Oh, aku lega apabila sampai di kamar mandi! Oh aku lupa lagi. Aku belum solat Isyak. Takkan aku tidur tanpa bersolat dulu. Ya, aku kena solat dulu kemudian baru aku akan tidur. Aku akan mencari kain sarungku dan tidur di sofa. Selepas itu, aku tidak ingat apa-apa dah!

“Tasya, kita solat Isyak berjemaah!” itu arahan mandatori agaknya. Dia sudah duduk di atas sejadahnya dan sudah menghamparkan sejadah buatku pula. Ajaibnya lelaki ini. Setahuku sebelum kami menikah, dia seorang lelaki yang gemar bersosial. Dia selalu melawat kelab malam kalau tidak ada aktiviti di rumahnya. Emak saudaraku yang lain memberitahu aku mengenai lelaki yang sudah duduk dengan tenang menunggu aku. Aku yang baru keluar dari kamar mandi bagaikan terkena renjatan elektrik. Tegak berdiri di situ dengan mata terkejut agaknya.

“Ya lah. Kejap saya nak pakai telekung dulu!” kataku.

“Cepat sikit. Saya pun dah mengantuk ni!” aku kehairanan. Kalau mengantuk solatlah sendirian, buat apa nak solat berjemaah. Kataku dalam hati.

“Sayang mengumpat saya kan?” mataku bagaikan mahu terkeluar mendengar suaranya.

“Taklah.” Mukaku sedikit masam.

“Pandailah! Macam lah saya tak tahu!” katanya.

“Mana ada! Saya pun mengantuklah!” kataku.

“Cepat sikit!” katanya.

“Saya dah sedia.” Kataku. Dia terus berdiri dan iqamat. Terasa syahdu pula kudengar suaranya. Betapa bahagianya seorang isteri yang mendapat seorang suami sebaik dan sewarak Nukman Faris. Benarkah dia warak? Di mana dia belajar dulu? Mungkin mamanya yang agak tegas itu menghantar dia mengaji d mana-mana. Siapa yang mahu anaknya masuk neraka kan?

Akhirnya kami selesai solat Isyak dengan jayanya. Dia membaca doa dan aku mengaminkannya. Kami bersalaman dan sekali lagi dia mengucup dahiku. Aku terasa betapa syahdunya malam ini. Mungkin inilah sahaja yang akan kukenang apabila dia sudah tidak pernah mengenang aku kemudian hari. Aku terus bangun setelah melipat sejadah dan telekungku. Pergelangan tanganku cepat-cepat dicapainya. Bergetar dadaku. Sudahlah syahdu sungguh kuterasa, terasa betapa bahagianya mempunyai seorang suami.

Eh, Natasya Umaira cepat-cepat sedar diri, boleh tak? Dia hanya suami sementara sahaja. Dia akan hadir kelak dengan menghantar sepucuk surat cerai. Aduhai! Bergegar perasaanku. Mahu gugur jantungku apabila menyedari hakikat yang paling kubenci ini. Betapa aku berasa sungguh sayu dengan penipuan yang kami lakukan ini. Ah, aku tidak mahu berlakon-lakon lama begini. Kalau boleh aku mahu cepat-cepat berpisah dengan lelaki ini, jangan sampai cintaku kepadanya semakin mendalam dan ah, usah diterangkan lagi. Ia terlalu menyakitkan hatiku.

“Sayang nak ke mana ni?” aku terasa suaranya agak romantik pula malam ini. Meremang bulu romaku. Ini kerana dia memerhatikan aku mengambil bantal di atas katil. Dia pula sedang duduk di birai katil melihat aksiku. Aku tidak suka berasa dalam keadaan yang tidak selesa begini. Kalaulah dia tahu perasaanku yang tidak selesa ini, alangkah!

“Err, saya nak tidur kat sana tu.” Aku terkenang malam pertama kami. Aku tidur di atas sofa. Aku tahu dia tidak sudi menikah denganku. Jadi, aku memberi peluang kepada dia untuk tidur di atas katil pengantin kami. Bilikku tidak seluas bilik ini. Di bilik ini aku boleh memilih mana-mana ruang untuk tidur. Hendak berpindah tempat lima kali pun tidak ada masalah. Haha!

“No...no... you don’t sayang Tasya. You sleep here!” katanya dengan pandangan matanya melekat untukku. Sedari dulu aku sedari mata lelaki ini begitu menggetarkan jiwaku kalau dia memandang aku tetapi aku menolaknya dengan kebencian kerana dia selalu mengejek aku. Aku sering menangis dengan ulahnya. Aku tegak berdiri tanpa memandangnya. Sebenarnya aku sudah naik segan. Apalah yang hendak dilakukan lelaki ini.

“Tak pe, saya biasa aje tidur di sofa tu.” Kataku perlahan. Sebenarnya aku tidak biasa. Walaupun kami bukan orang yang agak berada tetapi di rumahku atau di rumah sewaku, aku tetap mempunyai katil. Ayahku tetap melengkapi kehidupan kami walaupun dengan cara yang paling sederhana.

“Tak boleh, sofa bukan tempat tidur sayang sepupuku. Sofa tempat duduk, tempat rehat selepas balik kerja atau tempat berbincang bukan tempat tidur.” Katanya. Wajahku kelat. Aku tidak ada pilihan. Aku hamparkan kain sarung pemberian emak di tepi katilnya dan aku terus membaringkan tubuhku yang terasa agak penat itu ke situ. Aku sudah tidak banyak pilihan sebenarnya. Jika hendak tidur di atas katil, aku takut dia membuat sesuatu yang aku tidak suka pula kepadaku. Jadi, aku harus buat pilihan sekarang.

“Kenapa sayang tak sudi nak tidur dengan saya?” soalnya kedengaran agak kesal. Aku pura-pura sudah menutup mataku. Tanpa kusedari dia sudah bangun dan mengangkat tubuhku dan dibaringkannya semula di atas katil. Aku meronta-ronta namun tidak dipedulikannya. Tubuhku dipeluknya sekuat hati agar aku tidak jatuh dari pegangannya.

“Sayang tidur di sini. Kalau sayang tak selesa saya tidur di atas katil, tak apa, saya akan tidur di bawah ni.” Katanya. Aku membuka mataku. Terasa ada air yang bergenang di tubir mataku. Kenapa dia terlalu baik untukku pada pertemuan kami yang kedua ini? Apakah dia mahu menunjukkan perasaannya atau dia mahu meninggalkan kenangan buatku sebelum dia melafazkan cerai! Ah, susah betul aku hendak menerima apa yang dilakukannya kepadaku.

“Tak... tak... bukan begitu Nukman! Saya ni bukan apa, saya takut Nukman yang tak selesa kalau saya tidur di katil ni dengan Nukman. Saya faham kedudukan saya.” Kataku perlahan. Aku tahu dan sedar diri aku bukan isteri pilihannya. Jadi sebelum dia halau aku turun dari katilnya aku sepatutnya sedar akan diriku sendiri.

“Tak pe, awak tidur di situ. Saya akan tidur kat bawah ni kalau awak tak selesa.” Aku menggeleng. Kenapa dia begitu baik kali ini? Apakah dia sudah tahu akan hukum-hakam dalam berumahtangga?

“Jangan, awak tidur di sini saya tidur di bawah.” Kataku yang sudah bangun semula. Aku sudah bersedia hendak tidur di bawah ini.

“Sayang, jangan bergerak dari situ. Sayang tidur di atas katil tu!” katanya bertegas denganku. Apa pula mimpi-mimpinya sebelum ini dengan memanggil aku sayang? Mimpi baik atau mimpi buruk?

“Baiklah. Tapi dengan syarat.” Kataku pula memberikan dia syarat. Nukman Faris menjongketkan keningnya. Aku tersengih.

“Apa syaratnya?” soalnya. Aku pula tersenyum.

“Awak pun tidur di atas katil ni.” Kataku. Dia ketawa. Aku pula macm tidak tahu malu. Mempelawa dia tidur di atas katil bersamaku. Kalau dia hilang kawalan, apa yang harus aku katakan? Menyesal? Ah, menyesal pun sudah tidak berguna!

“Awak tak takut? Saya ni tidur macam gorila!” katanya berseloroh.

“Apa tu tidur macam tu?” soalku kehairanan. Dia mengenyitkan matanya. aku pantang sekali melihat kenyitan matanya. Dadaku berdegup kencang. Bukan apa, aku takut aku terjatuh ke dalam gaung perasan sendiri!

“Tidur macam gorila, ke sana ke sini!”katanya. Aku ketawa. Aku yakin dia tidak tahu pun bagaimana tabiat gorila tidur. Aku tahu dia hanya sengaja-sengaja hendak mengenakan aku.

“Tidur gorila awak tahu macam mana?” soalnya. Dia mengangkat keningnya macam Ziana Zain. Nampak macho lah konon.

“Tak tahu! Macam mana gorila tidur?” soalku melayani kerenahnya. Dia terus mendekatiku. Aku bersedia hendak berdiri.

“Begini!” dia telah memegang pinggangku dan meletakkan kakinya yang berat macam batu itu di atas kakiku. Aduhai sakitnya!

“Tak apalah, kalau awak tidur macam tu kalau saya tak tahan saya akan turun ke bawah!” kataku yang cuba memindahkan kakinya yang sangat berat itu. Mengada-ada betul. Aku sudah duduk dan mencubit kakinya.

“Aduh sakitlah! Macam ketam pula kuku awak tu!” katanya berteriak. Aku ketawa.

“Padan dengan muka! Jadilah gorila lagi!” kataku yang geram dengan sikapnya. Dia ketawa.

“Baik. Kita tidur.” Katanya yang sudah bangun dan mematikan lampu. Dia hanya menghidupkan lampu tidur. Aku yang kepenatan terus sahaja tidur tanpa sedar diri. Pada waktu tengah malam aku tersedar suasana sangat gelap sekali. Aku seperti ternampak wajah Amri memandang aku dengan ketawa dan mengejek aku. Dia seperti cuba mengganggu aku macam yang pernah dia lakukan.

“Tolong aku Am! Jangan ganggu aku Amri! Tolong jangan buat macam tu! Aku tak mahu! Tolooooong!” aku terjerit dengan kuat. Mukaku berpeluh-peluh. Aku tidak mahu membayangkan atau bermimpikan Amri lagi. Bagiku, dia adalah masa silamku yang pahit dan menyakitkan.

“Sayang... sayang... bangun sayang.... kenapa ni?” soal satu suaraku. Aku yang memerlukan perlindungan masa itu terus sahaja memeluk tubuh agak besar di sisiku itu.

“Saya takut. Tolong saya! Tolong! Jangan apa-apakan saya Am!” kataku seperti berbisik. Aku sudah membenamkan mukaku ke dada bidang itu. aku menangis sepuas-puasnya.

“Sayang sudah selamat, jangan takut sayang.” Bahuku dielus-elus perlahan. Dia meredakan aku agar tidak terus berada di dalam timbunan ketakutan.

“Ya,” aku terus memeluknya dengan erat dan terus tertidur semula. Aku rasa selamat dan terlindung di dalam pelukannya. Aku tidak ternampak lagi wajah ngeri Amri yang sengaja mahu mengganggu aku. Ah, kenapa lagi aku harus mengingati dia. Kenapa harus lagi dia datang dalam mimpiku? Kenapa dia perlu mengambil berat tentang diriku lagi. Menurut emaknya tempoh hari sewaktu mereka memutuskan pertunangan, Amri sudah ada kenalan yang lebih baik daripada aku.

Ada kukisah?

***

Pagi itu aku tersedar. Aku membesarkan mata. Aku terus melarikan diriku daripada pelukan lelaki tak ada lesen itu.

“Eh, suka-suka hati awak nak menggatal memeluk saya segala ya! Awak ni memang tak siuman tahu! Bukankah kita ada perjanjian, yang awak akan ceraikan bila sampai waktunya! Kenapa pula awak nak menggatal dengan saya ni? Eh, awak ni tak boleh diharaplah! Benci betul tau!” kataku memarahinya yang sedang tidur. Dia memisat-misat matanya apabila dia terdengar aku bising-bising memarahinya.

“Hai, hairan! Awak tuduh saya menggatal pula? Bukankah semalam awak mengigau takut sesuatu. Awak menyebut-nyebut nama bekas tunang awak! Saya mana tahan dengar suara awak yang kuat! Saya tak boleh nak tidur! Saya peluklah awak! Lepas peluk baru awak diam dan tidur!” katanya tidak mahu kalah.

Aku pula terus terdiam. Mulutku bagaikan digam! Tanpa membuang masa terus aku ke kamar mandi. Aduhai malunya!

“Eh, nak ke mana ni?” soalnya yang sudah pantas menarik tanganku. Aku memarakkan mataku.

“Maaflah ya, saya tidak sengaja!” kataku yang sudah tersengih malu.

“Oh pandai nak tuduh saya aaa! Nah, ini hadiah kerana suka menuduh saya.” Katanya mengucup tanganku. Inilah yang aku tidak suka. Lelaki ini terus sahaja menarik tanganku.

“Err, saya tak sengaja! Kenapa ni tak percaya?” kataku dengan suara agak tinggi. Aku benci dalam suasana begini. Mahu sahaja aku memarahinya. Bolehkah aku marahi dia sekali lagi?

“Bukan tak percaya tapi geram dengan sikap sayang marah-marah saya pagi-pagi ni!” katanya yang terus mengucup tanganku sekali lagi. Aku berhabisan hendak menarik tanganku. Dia pula menarik tanganku sekuat hatinya. Pergelangan tanganku sudah sakit tetapi dia masih memegang tanganku.

“Eh, awak boleh tak lepaskan tangan saya! Saya tak suka awak! Saya tak suka awak! Awak gila!” kataku sudah berteriak dengan gayanya. Dia sudah menekup mulutku dengan tangannya.

“Boleh diam tak? Saya tak suka awak buat macam ni. Teriak-teriak macam ni buat apa? Nanti apa kata jiran-jiran kita!” aku sudah terketar di dalam pelukannya.

“Eh, kenapa ni? Takkan nak peluk pun tak boleh? Tasya marahkan saya?” soalnya seolah-olah dia tidak ada dosa terhadapku. Aku geram sangat dengan sikapnya. Dia sudah melepaskan tangannya di mulutku. Nasib baik aku tidak menggigit tangannya. Jika aku meradang, memang aku gigit tangannya sekuat hatiku.

“Tak marah!” kataku dengan rasa geram. Dia sudah ketawa. Dia memang suka ketawa jika keseronokan mengusikku.

“Sayang memang baik sangat!”

“Pandailah awak! Saya tak suka awak tahu!” kataku meradang dengan sikapnya. Dia ketawa lagi. Ceria sungguh dia hari ini. Kalau dia tahu masalahku yang sebenar apakah dia akan terus ceria? Sempat aku menyoal dalam hati.

“Tak apalah, orang tak suka tak apalah!” katanya seperti merajuk. Dia sudah berdiri dan memandang cermin. Dia sangka dia sudah tampan dan segak pada pagi ini, ketika matahari hampir menjengulkan matanya.

“Baguslah!” kataku selamba.

“Cepat mandi, sayang. Abang pun nak mandi!” katanya.

“Awak tak solat lagi!” kataku pula. Dia sudah pukul kepalanya. Aku tahu dia suka ditegur dulu baru hendak buat. Fikirku sendiri.

“Hampir saya terlupa memandang wajah manis sayang!” katanya mahu mengusik aku lagi.

“Wajah manis si tembam kan?” kataku pula seperti mahu menyindir dia atau mengembalikan kami berdua ke dunia kanak-kanak kami yang menyakitkan. Dia bukannya hendak diharap menjadi pelindungku, sebenarnya dia paling jahat kerana suka mengejek aku! Dia ketawa pula. Mungkin mentertawakan dirinya sendiri!

“Tak, bukan si tembam! Si manis!” katanya menukar kenyataannya.

“Dulu, awak pula si cicak kobeng! Kurus kering macam lidi!” kataku tidak mahu kalah dengan ejekannya. Biar dia sakit hati, ada aku kisah?

“Oh, pandai nak ejek saya sebagai cicak kobeng ya! Awak memang nak kena sayang!” dia sudah mengejar aku. Dulu, Nukman Faris memang kurus macam cicak kobeng. Tetapi sekarang, tubuhnya tegap dan tinggi. Aku tidak menyamakan dia dengan sesiapa.

Aku pula ketakutan dan aku terus berlari masuk ke dalam bilik airnya yang agak besar itu. sebelum aku masuk ke bilik air itu, dia sudah dapat menangkap tanganku. Aku yang sudah kepenatan berlari hanya memandangnya dengan pandangan ketakutan.

“Eh, apa awak nak buat ni?” aku sudah menutup mataku. Aku hendak menutup bilik air tetapi aku tidak berjaya menutupnya. Nanti tidak pasal-pasal tanganku pula yang tersepit di celah pintu bilik air, eh!

“Sekarang...” aku bulatkan mata. Apa yang dia hendak buat sekarang? Tanganku sudah dielus-elusnya lembut.

“Apa sekarang?” soalku cepat-cepat. Aku hendak mandi pun dia ganggu.

“Mandi dengan saya,” permintaannya itu membuatkan aku hampir pitam. Ada hati pula dia hendak mandi dengan aku. Aduhai! Kacau-kacau! Jiwa kacau! Aku menggeleng.

“Tak nak!” kataku sungguh-sungguh. Aku menarik tanganku. Silap hari bulan tanganku yang kalus mulus ini pula yang akan patah.

“Kalau tak nak, awak kena nak juga!” aku jeling dia. macamlah aku terhegeh-hegeh hendakkan dia. bisikku dalam hati.

“Sayang mengumpat saya kan?” aku bulat mata lagi. Terkejut dengan soalannya. Tanganku masih dipegangnya dengan kuat.

“Lepaslah! Sakit tahu!” kataku cuba menarik tanganku lagi. Masih kuat seperti tadi. dan, tangannya sudah menolak daun pintu. Aku ternganga dan tidak mampu berbuat apa-apa. Dia sudah menceroboh masuk ke dalam bilik air. Mahu tak mahu aku terpaksa memulakan pergaduhan lagi di bilik air lagi. Aku akan siram dia dengan gayung yang ada di bilik air ini. Namun belum sempat aku menyiram dia, dia sudah menarik aku ke bahagian tempat mandi dan aduh, dia membawa aku sama-sama menikmati mandi hujan dan tubuhnya yang berketul-ketul itu tidak dapat aku bayangkan. Sepanjang mandi aku mahu menutup mataku. Apatah lagi dia sudah menyabun tubuhku!

Ya Allah!

“Sayang, pernah tak mandi dengan sesiapa begini?” dalam menutup mata aku sudah membiarkan dia menyabun tubuhku sambil aku menggeleng mendengar bisikannya.

“Sayang tambah cantik sekarang,” bisiknya lagi.

Dia sudah agak berubah berbanding sepuluh tahun yang lalu. Dadaku berdegup kencang kerana dipuji begitu.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha