Bab 4
Selepas
bersarapan pagi itu, aku terus masuk ke bilik untuk membersihkan diri. Menurut
emak tadi, pada hari ini kami akan mengadakan lawatan muhibbah ke rumah adik
beradik di kampung seberang. Tujuannya untuk memperkenalkan Nukman Faris kepada
saudara mara ayah di situ terutamanya kepada pak long dan adik-beradik ayah
yang lain.
Sebenarnya jika menurut pandanganku,
lawatan muhibbah ini tidak perlu dilakukan. Ini kerana, antara kami berdua
hanya kahwin olok-olok sahaja. Selepas ini belum tahu kami akan berhubungan
macam suami isteri lain. Kami sudah diikat oleh sebuah perjanjian. Aku sendiri
mengakui di depan Nukman Faris yang aku tidak akan menuntut apa-apa selepas
ini.
Hanya
yang kumahu, nikahi aku untuk tiga hari dan kemudian buatlah apa sahaja, aku
tidak kisah! Itulah janjiku kepada Nukman Faris seminggu sebelum kami menikah.
Itulah yang menyebabkan lelaki itu menyetujui rancangan mamanya dan emakku.
Jika tidak belum tentu dia akan setuju dengan rancangan gilaku itu!
Tiba-tiba pintu dikuak. Terpacul wajah
lelaki kacak dengan baju sukan itu. Aku tahu itu baju tidurnya semalam. Dia pun
menjaga perilakunya seperti mana aku menjaga perilakuku sepanjang masa kami
bersama. Marak mataku memandangnya.
Aku
terkenangkan pelukannya di dapur tadi, aku teringat mahu memberikan dia amaran.
Aku tidak suka ia akan berulang lagi. Aku tahu aku sudah menjadi miliknya
tetapi dia sudah ada kekasih. Apa kata kekasihnya nanti?
“Abang, silakan duduk.” Kataku menyuruh
dia duduk di atas katil. Ia juga sebagai satu kebiasaan bagi menghormati suami.
Hmm, walaupun suami di atas kertas! Kebetulan aku sudah mandi dan mengenakan
pakaian persalinan yang dihadiahkan daripadanya mamanya pada hari pertunangan
kami.
“Nak cakap apa?” lidahku terus jadi
kelu. Wajah tampan ini selalu membuatkan aku jadi segan sekali.
“Err, lain kali kalau depan mak ayah,
janganlah nak berlakon lebih-lebih pula. Saya tak suka abang peluk-peluk dan
kucup pipi saya macam tu depan orang,” aku memberitahu apa yang patut. Dia
tersengih. Mahu terkeluar biji mataku.
“Kenapa tak boleh kah berlakon macam
tu? Tak ada pula dalam perjanjian!” katanya. Bijak sungguh jawapannya. Lelaki
memang begitu, suka ambil kesempatan!
“Kenapa, kalau bukan depan mereka, awak
suka kalau saya peluk? Tentu awak sukakan?” ya Allah mahu sahaja aku menjerit.
Dia sudah berdiri dan memeluk aku dari belakang. Kaku aku seketika di dalam
pelukannya. Aku tidak suka sebenarnya. Ia sudah melanggar perjanjian kami.
“Kenapa awak ni Nukman? Awak sedar tak?
Awak sedar yang awak sudah ada perjanjian! Tak boleh nak pegang-pegang dan
peluk-peluk! Kasihan pula dengan bakal isteri awak nanti,” aku terketar-ketar mengingatkannya
di samping menolak kasar tangannya.
Namun
aku gagal. Tangan lelaki gagah itu terlalu kuat sehingga aku hanya mendiamkan
diri di sampingnya.
“Saya tahu awak pernah buat begini
sehingga awak mengandung kan!” katanya. Aku kelu. Kata-katanya menghina aku!
Aku mencubit perutnya kuat-kuat. Kata-katanya sungguh melampau!
“Awak jangan main-mainkan saya! Antara
saya dengan bekas tunang saya tak ada kaitan dengan awak! Mungkin awak dengan
kekasih yang buat macam ni kan!” dia sudah melepaskan pelukannya. Aku menjauhi
diri daripadanya. Dia sudah mempermainkan aku dan janji kami.
“Abang Nukman tak mainkan awak. Saya
ikhlas, apa salahnya kita kan suami isteri!” katanya selamba. Mahu terkeluar
anak mataku.
“Ya lah kalau macam orang lain yang tak
ada perjanjian tak apa! Tapi awak dan saya ada perjanjian. Kalau awak langgar
perjanjian itu, bagaimana? Awak akan saman saya kan, walaupun kesalahan tu dari
awak?” soalku. Dia garu kepala. Aku tahu kepalanya tidak gatal.
“Saya rasa itu tak menjejaskan
perjanjian. Sebab jangan awak yang ganggu saya, itu barulah dikatakan
menjejaskan perjanjian!” katanya.
Mahu
sahaja aku rebah di situ. Bagaimana kalau banyak berligar di kepalaku.
Bagaimana kalau dia tergamak melaggar perjanjian kami dan aku mengandung? Huhu,
aku takut sekali. Kenapa dia tergoda. Pakaianku bertutup sepanjang hari di
sampingnya. Aku tidak mengenakan pakaian yang menonjolkan auratku di depannya.
Di dapur pun aku pakai tudung. Apa masalahnya?
“Awak sungguh cantik hari ini, mungkin
seri orang mengandung!” dia sudah mendekati aku dan mengelus pipiku. Bulat
mataku.
“Awak buat lagi?” soalku.
“Salah?” soalnya. Aku terpinga.
“Tak salahkan?” aku lebih termangu.
“Ini untuk ciuman penghargaan dari
suaminya,” bisiknya sambil mengucup telingaku juga. Meremang bulu romaku.
Hendak menolak, dia sudah memegang tanganku kuat-kuat. Akhirnya aku terpaksa
mendiamkan diri di sisinya.
“Tasya, dah sedia?” perbuatan Nukman
Faris yang tidak senonoh telah dilihat emak. Kebetulan emak membuka pintu bilik
kami tanpa mengetuknya dulu. Lelaki ini pula masuk tanpa mengunci pintu bilik pengantin. Aku cepat-cepat keluar dari
dunia luar sedarnya.
“Tasya dah sedia mak, abang ni yang
belum sedia,” kataku yag sudah mendekati emak di muka pintu. Wajah emak
memerah. Mungkin dia tidak sengaja ternampak kami begitu. Aku tahu Nukman Faris
hanya berlakon. Emak cepat-cepat turun ke tingkat bawah.
“Awak ni kan!” marahku.
“Apa?” soalnya bodoh.
“Awak jangan buat begitu! Awak juga
sudah buat perjanjian kan!” kataku mengingatkannya. Dia ketawa. Bahagia sungguh
hatiku melihat tawa kacaknya itu.
“Kan awak sudah tertangkap dengan mak!”
kataku. Dia ketawa dan mengesat bibirnya.
“Awak tertangkap dengan saya, suami
awak, bukan dengan orang lain!” katanya. Bulat mataku memandangnya. Kenapa dia
hari ini? Semalam dan subuh tadi bukan main dia memarahi aku!
“Suami di atas kertas, mana ada hak!”
jawabku. Dia terus menghampiriku. Lelaki ini seperti hilang ingatan.
“Tak!” dia sudah mendekatiku semula dan
menundukkan tubuhnya untuk mengucup entah mukaku atau... oh, tidak. Dia sudah
mengucup bibirku dan aku tidak dapat bernafas untuk seketika. Dalam sesak nafas
aku bahagia tetapi dalam masa yang sama aku menangis. Kami hanya lah suami
isteri di atas kertas, jika apa-apa terjadi kepadaku, apa yang harus aku
lakukan?
Tuhan berikan aku cara untuk keluar dari ruang menyeksa ini!
“Jangan buat begini,” kataku selepas
dia sudah melepaskan bibirku. Dia ketawa memerhatikan wajahku yang sudah membahang. Panasnya macam bara api!
“Maaf, saya tak dapat kawal diri. Saya
nampak awak terlalu seksi!” katanya. Aku menangis lagi.
“Awak ni dah gila! Awak sepatutnya
ingat kekasih awak yang awak akan kahwini tak lama lagi!” kataku. Dia diam dan
duduk di birai katil. Sepatahpun dia tidak menyambut kata-kataku.
“Entahlah!” katanya. Aku tahu dia belum
mandi. Aku berdiri mengambil tualanya.
“Nah, awak pergi mandi. Ayah dah tunggu
kita tu,” kataku. Aku tidak mahu ada sesuatu antara kami.
“Awak nak mandi dengan abang atau awak
tunggu?” aku geleng.
“Saya dah mandi!” gila! Ada niat dia
hendak mandi sama-sama denganku. Mahu aku mati saat ini sebab kurang nafas! Ah,
entah apa yang kena dengan otaknya pagi ini, aku sendiri kurang pasti!
“Kita
sama-sama turun bawah ya,” ucapnya. Aku mengangguk. Ketika aku berpusing
menghadap cermin aku terkejut. Aku terlihat ada garis merah di leherku. Lantas
aku cepat-cepat mengenakan tudung. Aku tidak akan membuka tudungku di depannya
selepas ini. Aku akan menjaga diriku untuk kehidupan akan datang. Itulah
janjiku.