Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 15

Mencari Jawapan

Suasana di perpustakaan begitu senyap. Tiada suara manusia, tiada juga bunyi yang mengganggu. Di sinilah syurga buat Rafie. Tanpa sebarang gangguan dia begitu menikmati masa seorang dirinya dengan membaca buku.

Di waktu rehat begini, hanya dia seorang sahaja yang berada di perpustakaan ini. Tidak ditemani pelajar yang lain, melainkan seorang staf perpustakaan yang sedang duduk di kaunter.

Di mana pelajar lain?

Mereka masih berehat, mengalas perut sebelum kelas bersambung.

Tapi... bagaimana pula dengan Rafie?

Jangan risau, dia sudah lama selesai mengalas perut. Macam biasa, sebungkus roti gardenia berperisa coklat menjadi menu rehatnya.

Dalam ketenangan Rafie membaca buku, terdengar bunyi pintu perpustakaan dibuka seseorang. Dia tidak menoleh kerana terlalu asyik membaca buku.

Dalam beberapa ketika, insan yang baru masuk ke dalam perpustakaan itu tadi duduk di hadapannya.

Rafie memandang sekilas. Perempuan. Namun, tidaklah dia mengecam siapa gerangan itu kerana tidak kisah akan kehadirannya. Cukuplah dia tahu gerangan itu seorang perempuan dan dia memakai tudung sekolah.

Pembacaannya kembali diteruskan. Namun, tanpa dia sangka, perempuan itu menegurnya.

"Hai, Rafie."

Mendengar namanya diseru, dia pandang kembali wajah perempuan itu. Agak lama dia mengamati mukanya, dan ketika itulah dia perasan bahawa muka itu biasa dilihatnya.

"Oh, kau ke Mona. Ingatkan siapa tadi," gumam Rafie. Mona ini bukanlah orang asing baginya. Dia juga rakan sekelas Rafie, malah dia juga sudah mengenali gadis ini sejak dari tingkatan 2.

"Yalah, siapa lagi." Mona menggetus tawaan kecil. Kemudian, matanya tertumpu pada buku Rafie.

"Awak baca buku tentang Laksamana Sunan ke?" Pertanyaan Mona itu membuat Rafie terbuka mata. Dia tertarik dengan soalan itu.

Tajuk bukunya sengaja dilihat sebelum kembali memandang Mona. "Macam mana kau tahu yang ni buku Laksamana Sunan? Dekat tajuk tak tulis pun."

Bibir Mona mula menyungging senyum. "Saya tahulah. Saya pun baca juga buku Ramlee Awang Murshid. Tu ha, buku yang awak baca tu pun saya dah habiskan tau," ujarnya sambil jari dituju pada buku Rafie.

Terpegun jejaka ini dengan jawapan Mona itu. Nampaknya dia kagum dengan pengetahuan Mona.

"Hebat. Saya ni pun baru nak terkial-kial membaca buku Ramlee Awang Murshid ni. Orang kata cerita dia seronok. Itu sebab saya baca buku ni."

"Dan setakat ni ia menyeronokkan tak?"

Rafie mendegus perlahan dan tergetuslah tawaan kecil. Dia tersenyum lalu membalas, "Ya, ceritanya sangat menarik."

Mendengar jawapan itu, Mona berubah teruja. "Baguslah, ni buku favourite saya tau. Kecewa saya kalau awak kata tak menarik."

"Dan sekarang awak tak kecewa, kan." Selorohnya itu membuat Mona tersipu malu. Gembira dia saat berbual dengan jejaka yang diminatinya.

Perbualan mereka terhenti. Maka Mona pun meneruskan tujuan asalnya ke perpustakaan ini. Buku latihannya dibuka. Punat pennya juga ditekan. Dia mahu menyiapkan kerja sekolah yang tak sempat dibuatnya semalam.

Sedang asyik Rafie membaca, dia perasan bahawa Mona datang seorang diri. Biasanya dia ditemani kawannya, iaitu Wani dan Iliy.

"Mana Wani dan Iliy? Diorang tak ikut sekali ke?" Riak Mona bagai tersentak. Nafasnya dilepaskan panjang sebelum menggeleng perlahan.

"Diorang tak ikut. Diorang..." Gadis ini menjeda. Bagai berat untuk menyatakan sesuatu.

Dalam beberapa ketika, dia melepaskan pen dari tangan lalu menutup buku latihan. "Wani dan Iliy... bergaduh. Tak tahulah apa yang diorang gaduhkan tapi macam ni lah jadinya. Masing-masing perlukan ruang untuk bertenang, sampaikan saya dibiarkan seorang diri," luahnya dengan nada sedih.

Rafie menangguk perlahan. Matanya kembali membaca novelnya yang tergendala. "Macam tu ke. Sebab tu aku tak suka berkawan," gumamnya.

Pun begitu, dahi Mona berkerut. "Tapi... bukan ke awak dah berkawan dengan Inas?"

Tersentak jejaka ini lalu tertunduk laju. Dia pantas menutup bukunya dan mengusap bibir. Sempat juga dia bedehem. 

"Itu... itu lain. Dia... ermmm... macam mana aku nak cakap ya." Pandang Rafie sudah melilau, mencari-cari idea untuk menerangkan perkara itu kepada Mona.

"Aku nampak dia ikhlas nak berkawan dengan aku. Jadi... ya kitaorang terus berkawan."

"Sampai khabar angin tentang korang tersebar?"

Rafie melepaskan nafas berat. "Aku tak kisah dengan khabar angin tu. Sebab aku dah lali dengan semua khabar angin yang orang lemparkan dekat aku. Cumanya... aku risaukan Inas. Hati dia mungkin tidak cukup kuat untuk terima cacian daripada orang ramai."

Mona mengangguk faham. "Concern betul ya awak dekat dia," nyata gadis ini. Rafie tidak membalas, sebaliknya dia membalas dengan senyuman.

Mona menemukan jari jemarinya lalu dibuku. Kemudian, jemari itu digunakan untuk menongkat pipi kanannya. Wajah berubah sedih.

"Cemburunya saya dengan dia," gumamnya yang merujuk kepada Inas.

"Saya tengok dia happy je dengan kawan-kawan dia. Bergaduh pun tidak. Tak macam saya ni. Setiap tahun mesti ada je yang buat mereka bergaduh. Entahlah, saya pun dah tak tahu nak redakan mereka semula," luah Mona, sedih.

Berkawan ini bukanlah setakat berkongsi gembira, tetapi adakalanya kita berkongsi duka, adakala pula kita tak sependapat, hingga berlaku perbalahan. Namun begitu, ikatan sahabat itulah meleraikan perbalahan, syaratnya cukuplah sekadar meminta maaf, bukan sebelah pihak sahaja, kedua-duanya perlu saling meminta maaf. 

Rafie hanya mendengar luahan Mona, dia tidak mahu memberikan pendapat. Kadangkala manusia hanya mahu meluah dan bukannya meminta pendapat.

"Maafkan saya sebab terluah perkara ni dekat awak. Padahal Inas tu kawan awak. Kan."

"Tak mengapa. Aku tak kisah." 

Perbualan mereka terjeda. Senyap bertamu di sekeliling. Air muka jernih milik Mona dipandang Rafie. 

"Kau nak berkawan dengan Inas?" Terkejut gadis ini apabila Rafie memberi cadangan itu.

"Eh, tapi... saya ni siapa je nak rapat dengan dia. Dia kan... popular."

"Tiada darjat yang memisahkan manusia. Darah kita sama-sama mengalir, malah apabila mati juga memakai pakaian yang sama. Jadi kau tak perlu takut. Inas pun manusia juga."

Terkelu lidahnya tatkala mendengar madah Rafie. Madah yang penuh dengan nasihat.

"Petang ni apa kata kau ikut aku. Aku bawa kau berjumpa dengan dia," ajak Rafie.

*****************************

Perjalanan pulang saya tidaklah keseorangan. Ditemani rakan-rakan, tak kira sama ada lelaki dan perempuan. Inilah geng saya. Geng Impian.

Akan tetapi, secara tiba-tiba muncul seorang ahli baru. Dia diperkenal oleh Rafie. Agak menghairankan, ahli baru ini merupakan seorang perempuan. Adakah Rafie hanya mampu berkawan dengan orang perempuan? Saya sendiri tidak pasti.

"Inas, urm... saya teringin nak tahu, awak pakai skin care apa ya? Muka awak nampak mulus dan lembut je." Itulah soalan gadis baru ini kepada saya.

"Oh, saya pakai skin care biasa je, Mona. Itupun tahu dari kakak saya."

"Tapi biasa-biasa pun kulit awak cantik tau," ujar Mona. Saya menggetus tawa. Jarang saya mendapat pujian begini, sedangkan Rina dan Mei pun tak pernah bertanya hal ini kepada saya.

Kerana terhibur, saya pun menjawab segala persoalan Mona. Bukan setakat topik itu sahaja yang kami bualkan, malah mengenai hobi dan juga minat kami dikongsi bersama. 

Terkejut Mona apabila ketahui yang saya suka bermain piano. Siap bertanya lagi sama ada saya mempunyai piano di rumah. Manalah dia tak terkejut, jarang benar orang di Malaysia bermain alat muzik sebegitu, biasanya orang kaya sahaja yang mainnya.

Kami bersembang dan terus bersembang. Dia bukan sahaja bersembang dengan saya seorang, malah dengan rakan-rakan kami juga. Jujurnya saya seronok berbual dengan Mona ini. Ingatkan dia ini pendiam orangnya, rupanya banyak juga celotehnya. Kata orang janganlah melihat sebuah buku dari luarannya.

Akhirnya, apabila tiba masa untuk kami berpecah, masing-masing memberikan nombor telefon kepadanya, malah kami juga mengajaknya masuk ke dalam kumpulan Whatsapp kami. Secara rasminya dia merupakan ahli Geng Impian yang baru.

Setelah itu masing masing membawa haluan sendiri. Kini yang tinggal cumalah saya bersama Rafie. Alang-alang tinggal kami berdua, cubalah saya bertanya hal yang terbuku di hati.

"Tak sangka awak ada kawan selain daripada saya ya." Saya membuka bicara.

Dia mendengus kecil. "Bukan kawan tapi kenalan."

Sejujurnya saya tidak berapa puas hati dengan jawapan itu. Mungkin saya perlu gali lagi rahsia jejaka ini.

"Kau cemburu yang aku ada kawan selain daripada kau?" soalnya. Saya terkedu. Rasa macam betul pun ada juga. Tapi janganlah terlalu berterus terang. Takut nanti dia salah anggap pula.

 "Tak ada lah. Cuma saya curious. Oh! Lagi satu, kenapa awak ajak dia balik sama dengan rakan-rakan kita." Wajah Rafie dipandang bersama riak wajah yang penuh dengan penasaran.

"Sebab dia sama dengan kau. Naif dan terlalu baik." Apabila Rafie kata begitu, barulah saya perasan. Dari gaya dan percakapan kami juga kedengaran sama. Kami berdua sama-sama menggunakan saya-awak  dan bukannya aku-kau.

Tambahan pula, setiap perbualan kami sebentar tadi tidak ada rasa kekok. Macam saya sedang bercakap dengan diri sendiri. Jadi itulah sebab Rafie agak rapat dengan Mona. Sebab dia seperti saya.

Pandangan saya dikalihkan pada jejaka yang berjalan di sebelah saya ini. Mukanya dipandang musykil.

"Jadi, awak suka berkawan dengan orang macam saya dan Mona?"

Tanpa ragu dia mengiyakan. "Korang terlalu baik untuk aku berlaku dingin. Hati korang ikhlas dan tiada sembunyi. Aku... suka berkawan dengan orang macam korang."

Entah mengapa pipi ini terasa malu. Saya kalihkan pandangan ke hadapan, demi menyorok wajah yang sudah merona merah.

"Inas, kau dan Rina pernah bergaduh?" Tiba-tiba Rafie menyoal. Soalannya pula sudahlah sesuatu yang saya tidak jangka.

"Ada je. Cuma taklah teruk sangat. Kalau kami rasa ia akan berlarutan, waktu itulah masing-masing akan membuka hati untuk meminta maaf."

"Jadi dengan permohonan maaf, segalanya kembali sediakala?"

Saya membalas dengan anggukan. "Ya, biasanya macam tu."

Sekali lagi Rafie mendengus, kali ini ia terdengar sinis. "Berkawan ni misteri juga ya. Tiba-tiba boleh bergaduh dan tiba-tiba juga boleh berbaik."

"Itulah proses berkawan. Biarpun ada waktu kita bergaduh, apabila masing-masing sudah berbaik, perkara yang kita gaduhkan tu pun akan hilang dibawa arus masa. Awak ingat waktu pertama kali saya datang ke rumah awak? Kita pernah bergaduh dan tak sependapat dengan idea masing-masing."

Rafie diam sejenak. Apabila memori itu bagai muncul di kepala, dia pun mengiyakan.

"Ya, aku ingat."

"Jadi awak ada cuba bermasam muka dengan saya hari semenjak hari itu."

Dia menggeleng. "Tak, sebab kita dah berbaik selepas Iky menguap. Dan kita juga meminta maaf."

Saya tersenyum. "Jadi itulah yang ingin saya sampaikan. Bergaduh tidak akan pernah meretakkan hubungan selagi kedua-dua pihak menundukkan ego masing-masing."

"Macam tu rupanya. Hebat juga kau ya, Inas. Kau dah macam cikgu," selorohnya.

Saya hanya menyeringai lalu menyengetkan kepala. Cukuplah reaksi itu membalas pernyataannya.

Kami berjalan dan terus berjalan. Apabila tiba di kawasan perumahan milik saya, kami meminta diri. Pun begitu, dia menahan saya sebentar. Seperti ada sesuatu yang hendak dia katakan.

"Inas, sebelum kau pergi, boleh kau terangkan sesuatu dekat aku? Kenapa kita perlu berkawan?" Wajahnya kelihatan serius. Nampaknya dia benar-benar mencari jawapan bagi soalan itu.

"Itu... saya rasa lebih awak sendiri yang cari jawapannya. Apabila awak dah jumpa jawapan itu, barulah awak lebih hargai kawan awak." Definisi bagi kawan ada banyak maknanya. Ia terlalu subjektif. Setiap orang mempunyai definisi masing-masing. Dan disebabkan itulah Rafie perlu mencari jawpaan itu sendiri.

Jejaka ini tidak membantah, malah akur. "Baiklah. Aku akan cari jawapan itu. Ka-wan-ku."

Bersambung...

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk