Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 43

Pengakuan

Cuaca di luar kompleks beli belah agak sederhana. Tidak terlalu panas, tidak terlalu sejuk. Langit redup ditutupi awan, ia cukup melepaskan beban kepenatan. Kami duduk pada sebuah bangku, berehat akibat keletihan. Rafie mengeliat tubuh dan tingkahnya itu diperhati saya.

"Jadi... apa rahsia awak tu?" soal saya, serius.

Rafie memandang saya. Tidak lama selepas itu dia menyembur tawaan.

"Janganlah serius sangat,awak," getusnya mengekek.

"Apa? Saya cuma tanya je." Cebikan bibir saya terjuih. Meluat dengan balasannya.

Rafie perhati sahaja tingkah saya ini. Semerta, memberi pandangan sinis.

"Alololo... comelnya dia merajuk." Pantas saya memalingkan wajah. Melihat saya begitu, dia menggetus tawaan kecil.

"Yalah, yalah." Dia mengambil nafas seketika sebelum bercerita.

"Cuba awak teka dah berapa lama saya minat membaca buku ni?" soal Rafie.

"Sejak tahun lepas?" Rafie menggeleng.

"Sejak tiga tahun?" Dia menggeleng lagi.

"Lima, enam, tujuh?" saya mengira namun semuanya digelengkan.

"Habis tu berapa?"

"Hahaha... awak ni serius sangatlah." Usikannya sekali lagi membuat saya memandang sekeliling. Sejujurnya perangainya agak menjengkelkan. Apakah ini perangai sebenar Rafie?

"Saya ni mula minat membacasejak kecil lagi sebenarnya. Tapi mula serius bila masuk form 1," ujarnya spontan. 

Saya memandangnya kembali. "Boleh saya tahu kenapa awak minat membaca buku?"

"Sebab saya nak cari inspirasi. Inspirasi untuk kembangkan fikiran saya. Agaknya." Rafie sendiri bagai tidak pasti.

"Sejujurnya, saya rasa mungkin ia datang daripada darah keturunan yang mengalir dalam diri saya ni. Atuk saya, ibu, ayah, semuanya minat membaca. Tambah lagi, saya ni memang minat dengan seni bahasa dan tulisan. Sama juga dengan muzik." Kemudian, mata Rafie meliar ke sekeliling.

"Awak tahu tak, tiap kali saya dengar alunan muzik, saya selalu berfikir, adakah orang yang cipta alunan muzik ni sebenarnya mahu bercerita? Sebabnya alunan mereka itu seperti ada rasa. Macam ada maknanya tersendiri. Sama seperti buku, orang menulis buku sebab penulis mahu bercerita."

Matanya yang meliar kembali menatap wajah saya.

"Awak tak rasa begitu?" soal Rafie.

"Hmm... jauh betul awak berfikir ya," seloroh saya.

"Tapi bagi saya, rasanya macam begitu. Sekali lagi, ia buatkan saya teringat tentang Beethoven. Saya tak pasti kalau ia cerita betul atau tak, tapi ada satu lagu yang dia cipta khas untuk kekasihnya demi memperingati kematiannya. Saya pasti, lagu yang dicipta oleh Beethoven itu datang dari isi hatinya. Macam awak cakap, mungkin itu luahan hati dia."

Rafie mengangguk faham. "Macam tu ke." 

"Tak sangka awak boleh fikir sampai macam tu ya, Rafie. Cuma... apa kaitannya dengan rahsia awak?"

Soalan saya itu membuatkan jejaka mendengus perlahan. Kepalanya kemudian didongak ke atas langit. "Saya... ada menulis novel. Ia sekadar suka-suka tapi dalam masa yang sama saya mengharapkan yang karya saya ni, dibaca oleh orang lain."

"Adakah itu impian awak?"

"Ya, betul tu. Impian saya nak jadi seorang penulis." Jawabnya pantas. Rupa-rupanya itulah rahsia yang ingin dia luahkan.

Hati saya tersentak. Impian ya. Sudah agak lama ayat itu tidak bermain di fikiran. Hendak mengingatinya pun membuat saya terasa perit, apatah lagi mengenangkan kisah lama. Piano kesayangan saya telah dibuang. Sekali gus, meranapkan impian saya yang mahu menjadi pemain piano.

Saya menundukkan kepala. "Bagusnya, awak. Tahu-tahu je dah ada impian baru." 

Rafie mengangguk sahaja, mengiyakan gumaman saya. 

"Jadi... apa nama pena awak?" soal saya. Maklumlah, kebiasaannya seorang penulis akan ada nama pena. Lebih-lebih lagi ia banyak digunakan oleh penulis yang menulis secara anonymous.

"Saya tak terfikir langsung tentang itu," getusnya.

"Alang-alang awak dah buka topik ni, apa kata saya minta pandangan awak?" Mata hazelnya memandang tepat pada wajah saya. Seolah-olah mengharapkan jawapan daripada kekasihnya ini.

Jari telunjuk diletakkan pada atas bibir. Saya berfikir, mencari nama yang sesuai.

"Aha! Apa kata awak guna nama Afie?"

Sebaik jawapan diberi, kekekan terpancur dari mulut jejaka ini. "Pfttt! Ahahaha! Kenapa kelakar sangat bunyinya. Tak sesuailah, awak."

Saya membuat wajah sedih. "Alaa... janganlah ketawa. Tadi, awak yang suruh saya bagi idea."

"Maaflah. Saya tak tahan. Kenapa awak pilih nama tu? Jangan cakap yang awak buang huruf 'R' dari nama saya."

"Dah itu je yang saya boleh fikirkan. Awak ni." Bibir ini secara sengaja dimuncungkan. Mahu protes katakan.

"Hahaha... yalah." Rafie beralah.

"Kalau macam tu, cuba awak gabungkan nama saya dengan sesuatu. Mesti ada nama yang menarik." Dia memberi buah fikiran.

Saya berfikir lagi. "Kalau macam tu saya rasa... aha! Rafwan." 

Rafie menyengetkan kepalanya. "Rafwan? Kenapa Rafwan?"

"Sebab Rafie dan awan. Rambut awak kan keriting sikit dekat hujung rambut tu, macam awan yang beralun."

Sekali lagi dia menyembur tawaan. "Kreatif juga pemikiran awak ni. Tapi rambut saya taklah kerinting sangat. Rambut saya ni kan ala-ala Nick Jonas tau," selorohnya. Amboi kemain sama dirinya dengan Nick Jonas.

"Awak jangan nak perasan ya," usik saya dengan niat untuk membuat dia berasa jengkel. Namun, dari gayanya seperti tidak menjadi, malah dia mengikuti saya untuk tertawa sama.

"Jadi apa lagi nama yang awak boleh cadangkan?"

Sungutan leret sekali lagi diterjemah. "Maaf awak, saya dah tak ada idea lagi. Semuanya macam tak kena je."

"Ya ke. Kalau macam tu apa kata saya gabungkan nama kita berdua. Contohnya macam... apa ya... hmmm... Nazrafi?"

"Bunyinya pun peliklah." Saya pula mengekek kali ini.

"Payah juga ya, nak cari nama pena ni. Tak mengapalah, lain kalilah saya fikir tentang ni. Apa yang penting sekarang, saya dah ada impian baru. Saya nak jadi penulis terkenal!" Ucapnya dengan penuh semangat. Kalau hari ini hari merdeka, pasti dah terlaung ucapan 'Merdeka' seperti Tunku Abdul Rahman.

Semangatnya awak. Kalau macam ni gayanya saya pasti awak boleh buat punya." Kami berdua akhirnya menggetus ketawa. Ia mungkin tidak kelakar bagi orang lain, tetapi kelakar bagi kami.

*****************************

Sudah hampir 3 jam kami berada di kompleks ini. Demi mengukir kenangan, dua rantai kunci telah dibeli di sebuah kedai cenderamata. Satu berbentuk kunci dan satu lagi berbentuk hati. Ia menjadi simbolik janji temu kami yang pertama.

Merasakan waktu sudah sampai ke penghujungnya, kami sepakat untuk pulang. Sejurus itu, saya menelefon kakak untuk mengambil kami.

Sementara menunggu kedatangan Kak Iman, Rafie pergi tandas sebentar. Alang-alang menunggu, saya pun duduk pada sebuah bangku yang terletak di hadapan kedai cenderamata tadi.

Telefon bimbit dicapai dari tas tangan. Baru beberapa detik menatal skrin telefon, fikiran saya sudah pun menerawang ke lain. Saya tersenyum sendiri, mengingati momen indah pada hari ini. 

Bagaimanalah hubungan kami di masa hadapan nanti?

Adakah ianya akan kekal sehingga kami dewasa? Berkahwin? Mempunyai anak? Tiada siapa yang tahu. Hanya berangan sahaja yang mampu.

"Eh, awak ni Inas kan?"

Lamunan saya terhenti sebaik suara seorang lelaki datang menegur. Pandangan saya dikalihkan padanya. 

"Eh!" Mata saya terbuka luas. Saya kenal lelaki itu. 

"Zarul?" Terpacullah nama itu dari mulut. 

"Wah, Inas! Tak sangka saya boleh terjumpa awak dekat sini. Awak buat apa sini?" soalnya yang hairan akan keberadaan saya.

Saya memandang sekeliling.

"Eh? Err... sebenarnya saya... Ermmm..." Saya cuba mencari alasan. Takkanlah saya hendak beritahu yang saya sedang berdating dengan Rafie. Kalau dia tahu, pecahlah rahsia kami.

"Saya dan keluarga saya shopping dekat sini." Itu sahaja yang mampu saya fikirkan. Inas-Inas, cubalah bagi alasan yang logik sikit.

"Oh ya ke. Samalah. Tapi saya seorang je. Tak sangka pula family awak sanggup pergi shopping complex sini. Jauh kot dari rumah awak," katanya yang tampak seperti musykil.

Terpaksalah saya mengiyakan. "Ha'ah. Kami dah biasa pergi ke sini. So... macam tulah."

"Oohhh... mana family awak?" Saya terkedu. Banyak soal pula lelaki berkaca mata ini.

Sudahlah saya tidak selesa dengan lelaki. Apatah lagi saya kini bersemuka dengan ketua pelajar yang pernah memarahi saya suatu ketika dahulu. Jika ingat akan hari itu, pasti membuatkan saya meluat.

"Ermmm... sebenarnya saya tengah berehat sekejap dekat sini. Family saya ada dekat dalam sana tu." Dalih saya sambil jari dituju ke arah sebuah pasaraya.

"Oh, patutlah. Awak dahaga tak? Kalau boleh jomlah kita minum-minum dulu." Amboi, gigihnya dia. Siap nak ajak saya minum-minum lagi. Dekat sekolah bukan main tegas. Mesti ada udang di sebalik batu.

"Erm... tapi saya dah janji dengan keluarga saya untuk duduk dekat sini je." Cubalah saya menolak ajakannya dengan alasan yang begitu ampuh. Harapnya dia termakan.

"Oh, ya ke." Nada kecewanya kedengaran jelas.

"Kalau macam tu... urmmm... apa kata saya belanja awak air tin dekat mesin tu."

Alamak, dia masih belum menyerah. Zarul, Zarul apakah yang membuat kamu begitu gigih untuk belanja saya?

"Eh? Tak payahlah awak. Buat susah-susah je."

"Alah, ambil je. Saya nak belanja ni. Lagipun... saya sebenarnya nak minta maaf tentang hari tu."

Saya mengerutkan dahi. 

"Tentang hari tu?"

"Ya, tentang kejadian dekat bilik pengawas hari tu. Saya... terkasar sikit dengan awak. Jadi... saya nak minta maaf." 

Mulut saya terlopong seketika. Sejujurnya tindakannya itu tindak pernah terlintas dalam fikiran saya. Orang tegas dan garang macam Zarul meminta maaf? Adakah saya sedang bermimpi?

"Maaf ya, Inas. Saya cuma nak awak tahu yang saya stress sangat time tu sampai termarah dekat awak tanpa sedar. Saya... betul-betul nak minta maaf," ucapnya sesal.

Alamak, tiba-tiba hati ini dihantui rasa bersalah. Jika menolak macam biadab pula. Begitulah dilema seorang gadis naif. Apalah yang saya mampu melainkan menerima permohonan maafnya.

"Yalah, saya terima permohonan maaf awak tu." Zarul tersenyum lebar.

"Terima kasih, Inas. Kalau macam tu, saya belikan awak air tin tu, ya." Saya menangguk setuju. Lantas dia pun menuju ke arah mesin air sebelum kembali untuk memberikan air tin yang dibelinya kepada saya.

"Nah, ini air awak. Perisa strawberi. Saya pasti awak mesti suka." Saya terpana sekejap. Air strawberi? Macam mana dia tahu yang ini ialah perisa kegemeran saya? Pandai pula dia memilih.

Serta merta, tanggapan saya terhadapnya berubah. Mungkin Zarul yang sebenar ialah Zarul yang berada di hadapan saya sekarang dan bukannya Zarul sewaktu di bilik pengawas. Dia seperti orang yang berbeza.

Terima kasih, Zarul. Saya hargainya." Saya melemparkan senyuman.

"Sama-sama."

Tin air minuman dibuka lalu saya meneguk air itu. Zarul yang masih berdiri hanya sekadar melihat.

"Awak dah banyak berubah, Inas." 

Saya membuat wajah hairan.

"Berubah, iya ke?"

"Ya, dulu saya macam susah nak berbual dengan awak tau. Bila saya tegur awak, awak macam cuba jauhkan diri dari saya. Tapi sekarang... tengoklah awak, macam dah okey je." Kata-kata Zarul itu ada asasnya.

Ikutkan dahulu jika berhadapan begini dengan lelaki pasti saya kan berasa gemuruh. Akan tetapi, sekarang ini rasa itu hanya timbul sedikit. Mungkin ia bercampur dengnan perasaan malu saya ini.

"Sebenarnya saya ni pemalu orangnya. Lagipun, saya tak biasa dengan lelaki."

"Saya tahu tu. Awak lain daripada yang lain." Pipi saya merona merah. Lain macam ayatnya itu. Dia seperti... mengayat saya. Kalau Rafie tahu situasi ini, pasti jiwanya akan bergolak.

Tolonglah Zarul, cepatlah beredar. Itulah harapan saya.

"Okeylah Inas." Dia membuka suara. Terus saya memandang mukanya. Cantik, faham juga dia.

"Saya rasa bersalah pula sebab kacau awak. Jadi, saya minta diri dulu ya. Jumpa dekat sekolah esok, ya." Dia melambaikan tangan.

Siapa sangka bahawa pengharapan saya menjadi kenyataam. Terus saya melambaikan tangan kepadanya. Sebaik kelibat jejaka tinggi lampai itu tidak kelihatan, saya menarik nafas lega.

"Nasib dia tak nampak saya dengan Rafie berdating tadi." Monolog saya di dalam hati.

Tidak lama kemudian, Rafie pun kembali.

"Itu pun awak. Lama tau saya tunggu," rungut saya.

"Maaflah awak, tadi ramai orang," balas Rafie mendatar.

Saya mula bangkit dari duduk. Bersiap-siap untuk menuju ke pintu gerbang kompleks ini. Baru sahaja hendak mengajak Rafie, dia terdahulu memanggil saya.

"Awak." 

Saya menoleh ke arahnya.

"Tadi awak terserempak dengan Zarul, kan?" Saya memberi riak terkejut. Adakah itu bermaksud Rafie sempat melihat saya bersama dengan Zarul?

"Oh itu... itu awak tak perlu risau. Saya pun terkejut bila dia tegur tadi. Nasib dia tak nampak awak. Kalau tak mesti kecoh. jadinya. "

"Macam tu ke. Tak mengapa. Benda dah jadi pun." Rafie mengulum senyum. Namun, ia kelihatan kelat, seperti dibuat-buat.

"Apa yang pasti, saya percayakan awak, sayang," ucapnya.

Wajah saya sekali lagi merona merah. Terus dikalihkan ke sekeliling. Rafie membuat senyuman nakal.

"Tahu tak, sepanjang hari ni muka awak asyik merahlah. Awak nampak lagi comel bila buat muka macam tu. Rasa macam nak je jaga awak sampai kita kahwin," selorohnya tanpa henti.

"Alaaa... jangan la cakap macam tu dekat sini," tegas saya yang membisik.

"Malulah saya depan orang ramai." Namun, dia tidak mengendahkan permintaan saya. Sebaliknya dia tertawa.

Ish, Rafie ini! Jengkel betul dengan perangainya hari ini. Nasib hati ini cintakan dia. Jikalau tidak, saya buat tak endah sahaja. Betul kata orang cinta ini buta. Walau ada sedikit nista, hati tetap berombak cinta.

Bersambung...

Previous: Bab 42
Next: Bab 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk