Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 32

Berbalas Mesej

Di ruang tamu sebuah rumah, Rafie yang sedang duduk di atas sofa hanya termenung sendirian. Dia berkira-kira. Menanti waktu untuk menghantar mesej kepada Si pencuri hatinya, Inas. 

Kerap kali dia melihat telefon. Kerap kali dia melihat jam, sampaikan tindakannya itu disedari Mak Ngah, ibu saudaranya.

"Hai, Rafie! Dari tadi kamu asyik tengok je telefon tu. Tengah tunggu mesej awek ke?" tegur Mak Ngah. Rafie mendengus lalu tersenyum.

"Mana ada Mak Ngah. Rafie cuma tengok jam dekat handphone ni," jawabnya.

Skrin telefon ditutup. Wajahnya mula tertumpu pada Mak Ngah.

Walaupun dia cuba berdalih, tetapi Mak ngahnya itu tahu yang dia menipu.

"Ya ke ni? Kalau tengok jam, takkanlah sampai berkali-kali kamu renung telefon tu. Ni mesti ada simpan sesuatu ni."

Bibir Rafie dikatup rapat. Hanya sengihan sahaja yang mampu dia beri. "Ada lah, rahsia."

Yusri yang duduk pada sofa yang berlainan memandang mereka berdua. Dia sudah tersengih. Inilah masa untuk kenakan Rafie.

"Saya tahu apa sebab dia." Yusri menyampuk perbualan.

"Kalau Mak Ngah nak tahu, Rafie ni ada rapat dengan seorang perempuan tau dekat sekolah. Orangnya cantik dan comel, Mak Ngah." Kata-kata Yusri itu membuat Mak Ngah terlopong.

"Oi! Yush." Segera Rafie mematahkan ayat Yusri.

Akan tetapi, segalanya sudah terlambat.

"Oooh... patutlah berahsia. Fasal awek rupanya," ujar Mak Ngah meleret. Tiba-tiba sahaja wajah Mak Ngah berubah teruja.

"Iya! Siapa nama dia? Ada gambar tak?" soal Mak Ngah. Dia berpenasaran. Dengan pantas Yusri berlari ke arah Mak Ngah. Dia siap membawa telefon lagi. Rafie pula sudah terkedu. Habislah dia, terbongkarlah rahsianya di hadapan Mak Ngah.

Gambar Inas ditunjukkan pada wanita itu. Terus Mak Ngah berubah takjub hingga terambil telefon Yusri. Tidak dia sangka anak saudaranya ini mempunyai hati akan gadis secantik ini.

"Tapi mak ngah, Diorang ni kawan je." nyata Yusri sambi menggeleng.

"Eh, kawan je ke. Ceh! Ingatkan awek. Baru nak gembira." keluh wanita berumur separuh abad itu. Telefon itu dikembalikan kepada Yusri.

"Macam kecewa je mak ngah," soal Yusri.

"Kecewalah Yusri oi! Cuba kamu perhati muka dia, Yusri. Muka boleh tahan handsome, tapi seorang perempuan pun tak sangkut. Bukan mak cik seorang je yang hairan, anak-anak mak cik pun sama juga."

Secara tak sengaja Yusri menggetus ketawa lalu dikuti Mak Ngah. Rafie hanya berdiam diri. Tidak dia sangka Mak Ngah juga turut mengusik dirinya. Ini tidak boleh jadi. Dia harus menukar menukar topik.

"Oh ya! Mak Ngah, Kak Tira tak balik ke?" Rafie cuba menukar topik dengan bertanya mengenai kakak saudaranya.

"Huh! Mak Ngah tak tahu, Rafie. Hari tu kata nak balik, tapi kelmarin tiba-tiba dia call cakap tak jadi nak balik. Biarlah dia mungkin sibuk dekat sana kot."

Rafie mula tersengih rancangannya menukar topik menjadi. "Yalah kan. Dah masuk universiti memang macam tu Mak Ngah. Mesti assignment berlambak tu."

"Oh, mak cik ada anak satu lagi ke? Ingat Azmir seorang je," tanya Yusri dengan rasa ingin tahu. Maklumlah, setakat ini dia hanya ketahui seorang sahaja anak Mak Ngah iaitu Azmir yang berumur 12 tahun, sebaya Iky.

"Ha'ah, Kak Tira ni kakak kepada Azmir. Beza 8 tahun je."

Bibir Yusri dibulatkan. "Oooh, jauh juga bezanya."

"Eh, mana budak-budak ni, Rafie?" tanya Mak Ngah yang merujuk kepada Azmir dan Iky.

"Dalam bilik, Mak Ngah. Diorang main laptop." Jawapan Rafie itu di balas dengan gelengan kepala.

"Ish! Ish! Ish! Budak-budak zaman sekarang ni, asyik main game je. Okeylah, Mak Ngah ada hal nak buat dekat dapur. Mak Ngah pergi dulu ya."

Sebaik bayang Mak Ngah tidak kelihatan, pantas Rafie menegur Yusri.

"Oi! Kau sengaja, kan?"

"Apa?" Bingung Yusri setelah digertak Rafie.

"Fasal Inas la. Kau saja nak kenakan aku dekat depan Mak Ngah, kan?"

"Eh, benda betul, kan? Sekurang-kurangnya aku dah cakap yang dia dengan kau cuma kawan."

Rafie mendengus berat. "Nasib baik kau cakap macam tu tadi. Sempat juga aku nak tukar topik. Kalau tak bertalu-talu aku kena soal."

"Alah! Dia pun nak tahu juga pasal kehidupan kau, Rafie. Dia kan mak cik kau. Dulu siap kata lagi yang dia mak cik kesayangan kau. Takkan tak boleh?"

"Kot ya pun, janganlah kau yang cerita. Biarlah aku sendiri yang beritahu dia." 

Perbualan mereka terhenti. Yusri kembali duduk di sofa. Kini matanya menatap TV. Menyambung semula setelah tergendala dek perbualan tadi.

"So, kau dengan Inas apa cerita dekat pasar tadi? Sembang apa je?" Tiba-tiba sahaja Yusri menyoal. 

"Kitaorang bersembang macam biasa. Bila dia balik Putrajaya. Kampung dia kat mana, semua tu. Apa yang dia buat kat kampung."

"Bosannya korang. Takkan tu je yang korang sembangkan?" tegur Yusri dengan bernada sinis. 

"Kau ni... kau tahu kan yang aku tak biasa bercakap dengan perempuan. Aku pun gementarlah nak bersembang dengan dia. Lagipun aku... aku..." Rafie berjeda.

"Kau apa?" 

"Aku... macam ada hati dekat dia lah," akui Rafie didepan Yusri.

Yusri terkedu. Hampir-hampir sahaja dia tersedak air liur.

"Weh, seriuslah! Kau mengaku yang kau suka dia?" Rafie tidak bersuara. Cukup dia menganggukkan kepala. 

Mulut Yusri terlopong luas. Dia bangun dari duduk lalu mendekati kawannya itu.

"Kau biar betul Rafie? Ni macam bukan Rafie yang aku kenal je. Rafie yang aku kenal jenis hati keras. Bukan macam kau ni." Tangan Yusri menekup dahi Rafie, macam seorang ibu yang mahu ketahui sama ada anaknya demam atau tidak. 

"Kau sihat tak?" Pipi Rafie ditepuk perlahan. Namun, tangannya itu ditepis kasar.

"Aku sihatlah!" tegas Rafie.

Rafie mendengus berat. Kepalanya tertunduk. "Aku dah tak ada sesiapa untuk luahkan perasaan aku ni. Aku ada kau je, Yush."

Sungguh Yusri terkejut akan pernyataan Rafie itu. Akan tetapi, kejutan itulah yang membuatkan hatinya sejuk. Ini bermakna dia sudah berjaya menjadi kawan yang baik kepada Si budak pendiam ini.

"Yalah, yalah." Yusri pun kembali duduk di atas sofa. 

"Well, aku memang dah jangka yang kau akan suka dekat dia, tapi tak sangka pula yang kau akan confess dekat aku," gumam Yusri.

Rafie melemparkan senyuman nipis.

"Kau jangan bagi tahu sesiapa tau. Kalau tak kita putus kawan."

Yusri mengangkat tangannya tanda sumpah. "Aku pegang rahsia tu. Kau percaya je dekat aku." 

Lega dan yakin dengan sumpah itu, Rafie pun bangun. "Okeylah. Aku nak duduk dekat luar jap. Kau jangan kacau aku pula."

"Huh! Buat apa nak kacau kau. Tengok TV lagi bagus. Dah, blah dari sini." Lambaian tangan Yusri menghalau jejaka bertubuh kurus ini. Dia tidak mahu fokusnya terhadap TV terganggu. Akur, maka Rafie pun berjalan keluar menuju ke gazebo.

*****************************

Tubuh saya disandarkan pada dinding rumah. Nafas penat dihelakan. Rasanya lega tidak terkata. Penat melayan telatah sepupu yang masih kecil. Penuh tenaga, petah berkata-kata.

'Kling!'

Telefon yang berada di genggaman berbunyi. Saya pandang skrin telefon. Sekelip mata, senyuman terukir. Rafie.

***

RafieAssalamualaikum, tuan rumah. Ada orang tak?

Inas: Waalaikumussalam, ada je.

Rafie: Macam mana nak mula ya. Rasa janggal pula.

Inas: Itulah tu. Saya pun tak tahu nak cakap apa😂 

Rafie: Urmm.. macam mana tadi? Cukup tak makanan tadi.

Inas: Cukup je.Tahu tak keluarga pak cik saya cakap ayam tadi segar sangat. Bila goreng tadi memang sedap rasanya.

Rafie: Haa, tengoklah siapa yang pilih ayam tu tadi. 

Inas: Eleh, mulalah tu nak belagak.

Rafie: Hahaha. Ayam dekat pasar tu memang sedap sebab fresh. Lagipun diorang sembelih dekat situ.

Inas: Ha'ah lah kan.Tapi apa-apa pun terima kasih sebab tolong tadi.

Rafie: Tak ada hal.

***

Perbualan kami terdiam seketika. Namun, disambung semula selepas Rafie kembali menghantar mesej.

***

RafieTahu tak tadi Yush cakap dia baru kali pertama makan cempedak goreng.

Inas: Eh, iya ke! Patutlah dia beria tadi mukanya. Tak sangka betul. Ingatkan dia pernah makan sebelum ni.

Rafie: Saya pun tak sangka juga. Tadi sajalah tanya, dia tak pernah ke makan cempedak goreng dekat sekolah.Tahu tak dia cakap apa.

Inas: Apa dia?

Rafie: Dia cakap dia ingat itu kuih keria.Hahahaha!

Inas: What? Hahahahahaha! Kenapa kuih keria pula? Saya tak expect betul.

Rafie: Tak tahulah. Dia kata dia budak bandar. So, tak tahu sangat kuih-kuih dekat kampung ni.

Inas:Ya Allah! Kelakarnya Yusri. Hahahaha!

***

Sebaik mesej itu dihantar. Perbualan kami terhenti kembali, saya masih tersenyum. Teringat akan kisah Yusri yang telah diceritakan Rafie tadi. 

Tiba-tiba saya merasakan ada satu jelingan memandang ke arah saya. Terus mata ini menangkap pandangan tersebut. Kak Iman. Dia memandang saya. 

Saat mata kami bertemu, dia mengukir senyuman sinis. Jari telunjuk diayunkan. Mulutnya terkumat-kamit menyebut satu ucapan. 

"Ayok tak tayok." Dia mengucap beberapa kali. 

Pantas saya memandang skrin telefon. Tangan ini laju menaip.

***

InasAlamak! Kakak nampak saya tersenyumlah. Mesti dia fikir saya pelik.

Rafie: Oh, awak tengah duduk dekat mana tu? Ruang tamu?

Inas: Ha'ah. Ni pun ramai menyembang dekat ruang tamu. Awak pula macam mana?

Rafie: Saya kat luar. Tengah duduk dekat gazebo.Tapi tulah sorang-sorang je.

Inas: Kesiannya awak.Tak sunyi ke.

Rafie: Tak kot. Sebab... awak kan ada. Untuk teman saya.

***

Begitu spontan Rafie membalas. Tersengih-sengih muka ini yang cuba menahan malu. Ya Allah, gembiranya hati saya bila dia kata begitu. Rasa diri ini disayangi pula.

***

RafieMaaf, mesti cringe kan. Hahaha.

Inas: Eh tak, saya terkejut je tadi. Jangan risau. Awak cuma bergurau je. Betul tak.

Rafie: Nasib awak memahami.

***

Perbualan terhenti sekali lagi. Pelik. Ikutkan saya mahu bersembang dengannya tetapi kepala ini dari tadi berfikir mengenai topik yang sesuai untuk dibincangkan.

Getaran telefon saya dirasai, seraya saya memandang kembali perbualan kami.

***

RafieInas, nenek saya dah panggil. Nampaknya setakat ni je lah perbualan kita

Inas: Tak apa. Mesti nenek awak perlukan awak sekarang ni

Rafie: Apa-apa pun saya seronok bersembang dengan awak.

Inas: Saya pun sama. Kalau boleh, esok kita bersembang lagi boleh tak? Tapi kali ni saya yang mulakan. Boleh?

Rafie: Lagi baik. Saya akan tunggu mesej awak.

Inas: Nice! Nanti jangan lupa kirim salam dekat nenek awak ya.

Rafie: Insya-Allah. Bye.

Inas: Bye juga.

***

Dengan itu, berakhirlah perbualan kami.

Bagaimana hendak kata ya. Saya rasa rama-rama seperti berterbangan di dalam dada. Gembira. Sukar diungkap dengan kata-kata. Tak sangka bersembang dengan Rafie mampu mendatangkan rasa teruja sampai begini.

Telapak tangan menekup dada. Begitu kencang degupan jantung ini. Apabila diingatkan kembali pasti rasa tidak senang duduk. 

Amboi, tersengih-sengih dia ya! Chatting dengan siapa tu?" Muncul Kak Iman secara tiba-tiba. 

Saya tergelak kecil. "Tak ada apalah akak. Cuma chat biasa je." 

"Kalau chat biasa takkanlah sampai merah muka tu." 

Terus saya kedua-dua tangan ini memegang pipi. "Eh! Muka Inas merah ke?"

Kak Iman sudah memberikan senyuman sinis, senyuman yang sinonim dengan dirinya.

"Inas, kamu chat dengan Rafie ya?" Tekaannya tepat. Jadi bertambah merah pipi ini. Saya menunduk. Tahu-tahu, bahu saya ditepuk perlahan. Tatkala mendongak, kakak sudah pun mendekati saya.

"Mari sini, ikut akak ke bilik," ajaknya. Kak Iman menarik tangan ini lalu dipimpin masuk ke dalam bilik. Sebaik pintu ditutup, kami duduk bertimpuh di atas lantai.

"Okey, baru ada privacy sikit. Sekarang ni, akak nak Inas berterus terang dengan akak. Kamu bersembang dengan Rafie, kan?" Gigihnya Kak Iman berserta soalan. 

Jari jemari saya bermain-main. Teragak-agak untuk memberi jawapan. Hanya kerana pandangan kakak yang penuh dengan rasa ingin thau, saya mengiyakan.

"I see. Kamu seronok bersembang dengan dia?"

Saya mengangguk tanpa ragu. "Seronok sangat. Cuma... Inas rasa macam tak normal. Rasa excited ni macam menekan je dada Inas."

"Tak normal?" Serta-merta Kak Iman menahan ketawa.

"Inas, tu perkara normallah. Serius akak cakap, tak ada salah pun perasaan tu."

"Betul ke akak?"

Kak Iman menarik lembut tangan saya. Dia genggam perlahan. Seketika pula, dia mengukir senyuman sebelum menerangkan perkara itu kepada saya yang sedang keliru.

"Dengar sini ya, adik akak. Kita ni perempuan. Fitrah bagi seorang perempuan dikurniakan hati yang sangatlah lembut."

Sebaik ayat itu dilontarkan, perlahan-lahan kakak membawa tangan ini ke dada. Dada milik saya.

"Datangnya perasaan cinta itu sememangnya fitrah dalam kehidupan, Inas. Sebab ia pelengkap  kehidupan manusia. Sebab itu, kadang-kadang apabila kita sukakan seseorang dalam diam, kita akan ada rasa kasih dalam hati kita. Terus terang dengan akak, kamu... suka Rafie, kan?"

Saya menundukkan kepala. Hati ini berbelah bahagi, namun itu bukanlah tanda bahawa saya tidak mahu mengakuinya. Cuma saya baru sedar perasaan ini sekarang. Kepala saya dianggukkan, langsung mengiyakan pertanyaan kakak itu.

"Ya. Inas suka dia."

Saya mendongak kembali lalu menatap wajah Kak Iman. Dia merenung, menanti segala yang terucap di bibir ini.

"Dia dah banyak tolong Inas. Dari dulu lagi dia selalu tolong Inas sampai sekarang. Inas sendiri tak tahu kenapa dia tolong, tapi... tanpa kehadiran Rafie, mungkin Inas masih takut dengan lelaki. Sebab itu Inas selesa dengan dia." Begitu sebak saya menerang.

"Akak... betul ke apa yang Inas rasa ni ialah perasaan cinta terhadap dia?" Saya menyoal.

"Akak tak pasti Inas. Hanya diri kamu sahaja yang boleh ketahuinya." Itulah jawapan Kak Iman

"Macam tu ke. Jadi... macam mana Inas nak tahu yang Rafie ialah orang yang Inas sayangi?" tanya saya dengan perasaan yang sangat mendalam. 

Kak Iman memegang kedua-dua belah bahu. Wajah lembutnya masih mengukir senyuman manis. "Andai kata, lelaki yang Inas cinta meninggalkan dunia sekarang ini, kamu rasa sedih tak dengan pemergian dia?"

Saya terkedu. Tidaklah saya jangka analogi sebegitu yang digunakan oleh Kak Iman. Rasa sedih menyelubungi diri.

"Adakah kehilangannya akan buat kamu rasa menyesal, Inas? Menyesal kerana tidak pernah meluahkan perasaan dekat dia?" Tambahnya lagi.

Sayu hati mendengarnya. Mulalah kepala ini menerawang akan segala kemungkinan. Bagaimana jika Rafie meninggal pada hari esok? Adakah saya akan berasa sedih di atas pemergiannya? 

Secara tidak sengaja air mata ini mengalir sendiri. Hati saya terlalu rapuh. Lebih-lebih lagi jika perkara itu benar-benar terjadi. Andai Rafie tiada lagi di dunia ini, pasti hidup ini akan dihantui rasa bersalah yang tidak dapat saya bayangkan.

"Inas," panggil akak meleret.

"Mengapa akak kata begitu? I... Inas tak mampu akak." Suara saya berubah serak, dicampur pula suara tangisan. 

"Kenapa kamu menangis ni? Kamu sayang dia?" Kak Iman mengusap air mataku.

"Ya, akak. Inas sayangkan dia. Kalau betul Rafie tinggalkan Inas terlebih dahulu, pasti hidup Inas tak akan lengkap, sebab Inas sayangkan dia."

Mendengar sahaja penjelasan saya yang diiringi dengan air mata, dengan tenang Kak Iman memeluk tubuh genit saya ini.

"Begitu ya. Inas, kalau kamu nak tahu, rasa sayang itulah perasaan cinta. Ya, perasaan yang kamu cari-cari selama ini."

Air mata yang tadinya keluar sedikit, menjadi deras. Saya mengerti kata-kata kakak itu. Jadi begini rasanya apabila sudah jatuh cinta.

Rafie Razali, dialah kunci bagi mangga hati ini.

Bersambung...

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk