Home Novel Cinta PLAYBOY PALING ROMANTIK
Bab 25 - part 1

Dato Darwish memastikan rumah mereka tinggal terkunci dengan baik. Pintu depan dan pintu belakang di periksa lagi sekali. Rumahnya mudah di masuk pencuri jika tidak dikunci. Dia menuju ke bilik anak perempuannya.

“Qisha tak tidur lagi?”

“Tak lagi ayah…” Qisha Delisa memandang Dato Darwish. Dia bersyukur dapat bertemu semula dengan ayah kandungnya. Kini, dia tinggal berdua bersama ayahnya. Inilah saat yang paling dia rasa bahagia.

Dia masih menjahit pakaian. Tambahan pula, kawasan taman perumahan ini tiada orang yang mengambil upah menjahit. Jadi, ini boleh menjadi punca pendapatannya. Dia senang dapat menjahit baju kurung.

“Jangan tidur lewat sangat, Qisha. Nanti ayah risau.” Dato Darwish memandang wajah penat Qisha Delisa. Dia seakan nampak wajah arwah isterinya, Qizaha. Bekerja keras untuk keluarga.

“Ayah tak payahlah risau. Qisha tak akan menjahit lebih dari pukul 12. Kan Qisha dah janji dengan ayah.” Qisha Delisa menghentikan jahitannya. Dia memandang Dato Darwish yang sedang berdiri di satu sudut.

Dalam rumah sewanya hanya ada dua bilik. Satu bilik Dato Darwish dan satu lagi bilik Qisha Delisa. Jadi, tempat dia menjahit adalah ruang tamu. Di ruang tamu itulah tempat dia menjahit siang dan malam.

“Ayah tidur la dulu.” Kata Qisah Delisa dengan lembut. Dia tidak mahu kesihatan Dato Darwish terganggu.

“Nanti ayah tidur. Bila tengok Qisha menjahit macam ni, ayah teringat mak kamu. Rajin dia bekerja nak bantu ayah.” Dato Darwish tersenyum tetapi dalam hati, dia rasa sangat sedih dan menyesal menceraikan isterinya. Sedangkan Qizaha berusaha menjadi isteri yang paling baik untuk dirinya.

“Mak memang rajin, ayah. Kalau ayah balik lambat, pasti mak akan tunggu sampai ayah balik. Qisha selalu teman, mak.” Qisha Delisa bercerita. Dia masih ingat emaknya selalu berjaga menunggu ayah.

“Qisha, mak pernah cakap apa-apa fasal ayah tak?” Dari dulu lagi Dato Darwish ingin menanyakan soal itu tetapi Qisha Delisa membencinya.

“Mak? Mak tak pernah cerita yang buruk-buruk fasal ayah. Mak kata, ayah seorang lelaki yang paling baik mak pernah jumpa. Mak sayangkan ayah, Qisha ni…” Qisha Delisa tersenyum. Ya, memang benar! Emaknya tidak pernah bercerita tentang keburukan Dato Darwish walaupun dia sendiri nampak sikap buruk ayah yang berkahwin dengan perempuan lain.

Kata-kata Qisha Delisa membuatkan Dato Darwish rasa makin rasa bersalah.

“Maafkan ayah, Qisha…” Air matanya mengalir. Tiada apa yang amat dikesali adalah menceraikan Qizaha. Wanita terbaik dalam hidupnya.

“Dahlah Qisha maafkan ayah. Dan Qisha yakin yang mak pun dah maafkan ayah. Sebab semua yang berlaku itu, bukan salah ayah tetapi orang yang dengki dengan keluarga kita. Tak boleh tengok kita bahagia. Kan aya?” Qisha Delisa tersenyum.

“Terima kasih, Qisha.” Dato Darwish mengusap kepala anak perempuannya. “Jangan tidur lewat ya? Ayah tidur dulu.” Dato Darwish terus berlalu setelah Qisha Delisa mengangguk kepala.

Tiba-tiba Qisha Delisa teringat akan Hadif Fayyadh. Dah makan ke dia? Ah! Kenapa aku teringat kat dia? Baik aku lupakan. Dia teringat akan Zaheerul pula.

Luahan Zaheerul siang tadi benar-benar membuat dia terdiam tanpa sepatah kata. Tetapi akhirnya, dia tersenyum sendiri.

Zaheerul ni, suka kan aku pula. Lucu pula… Dia sendiri langsung tidak merasakan apa-apa sewaktu berada di sisi lelaki itu. Ini kan pula cinta. Dia bernasib baik Zaheerul berfikiran positif dan menerima segala keputusannya dengan terbuka.

“Baik aku sambung menjahit. Nanti ayah marah. Macam aku tak kenal ayah tu. Selagi aku tak tutup lampu, jangan harap dia akan tidur dengan tenang. Cepat siapkan sikit lagi Qisha…” Dia mencapai semula cermin matanya dan membuat ukuran. Mungkin esok sahaja dia menjahitnya.

Dato Darwish mendengar bebelan Qisha Delisa. Tidak disangka yang Qisha Delisa menyedari perilakunya. Menunggu sehingga anaknya tidur, barulah dia lelapkan mata.

“Qisha… Qisha…” Dato Darwish mengeluh. Dia bersyukur kerana dia terserempak dengan Qisha Delisa. Anaknya sendiri yang menyelamatkan dirinya. Peristiwa dua bulan yang lalu terlayar dalam fikirannya.

“Encik tak apa-apa?” soal seorang gadis. Dari jauh dia melihat seorang lelaki tua yang kelihatan seperti semput. Lelaki itu memakai topi membuatkan dia tidak nampak wajah sebenar lelaki itu.

“Saya tak apa-apa. Terima kasih.” Dato Darwish ucapkan. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Sebaik sahaja bola matanya ternampak seraup wajah yang sangat dia rindui itu, nafasnya mula tidak teratur. Turun naik nafasnya. Dia memegang dadanya yang terasa sakit tiba-tiba.

“Ayah!” Qisha Delisa terkejut melihat keadaan ayahnya. Ini ayah aku! Ayah aku!

Dia tidak tahu mahu menghubungi siapa saat ini. Dalam fikirannya hanya ada Zaheerul. Lelaki itu sahaja boleh membantunya saat ini.

“Zaheerul, tolong aku! Tolong aku! Cepat datang sini!” Qisha Delisa cemas. Nasib baik ketika ini dia keluar bersama Zaheerul untuk membeli barang dapur. Lelaki itu benar-benar banyak membantu hidupnya.

“Relaks Qisha. Kau kat mana? Aku datang ni!”

“Aku kat depan tandas lelaki ni. Cepat tau!”

Talian terputus.

Zaheerul membantu Qisha Delisa menghantar Dato Darwish ke hospital. Rupa-rupanya Dato Darwish ada penyakit asma. Dia tidak boleh berada di tempat berhabuk dan keadaan sejuk. Jika tidak, dia akan rasa sesak nafas.

Sejak itu, dia tinggal bersama Qisha Delisa. Dia juga tidak berani mahu menanyakan tentang Wan Firaz atau menantu barunya, Hadif Fayyadh.

“Qisha dah cerai dengan Hadif?” Dato Darwish terkejut. Zaheerul yang memberitahunya. Dia tidak menyangka sebaik-baik Hadif Fayyadh pun Qisha Delisa diceraikan. Tapi kenapa?

Teringin sangat dia mahu menanyakan tentang itu tetapi dia tidak mahu Qisha Delisa ingat peristiwa yang membuat anaknya bersedih. Biarlah masa berlalu. Tempoh idah pun dah lepas. Kini, anaknya sah bergelar janda sudah tiga bulan.

“Qisha, ayah sayang Qisha.”

Dato Darwish menjenguk Qisha Delisa yang sudah tertidur di atas katil. Di selimut tubuh yang mungkin akan kesejukan. Dia menutup suiz lampu.

“Qisha pun sayang ayah…” bisik Qisha Delisa lalu tidur dengan tenang.

Qisha Delisa tersedar daripada tidurnya. Dia menggeliat dan membetulkan urat-urat badan yang sudah makin kebas. Kaki dilunjurkan dan diangkat beberapa kali. Senaman untuk kurus.

Dia tersenyum. Itulah dia tiap kali bangun pagi. Senaman. Dia perlu buat senaman untuk badan yang lebih sihat. Apabila badannya sihat, maka dia boleh melakukan lebih banyak kerja dan dapat bertahan lebih lama apabila bekerja.

“Gaya aku ni tak ubah macam sedang buat posisi yoga yang sangat mustahil untuk seseorang yang berbadan ‘keras’ seperti aku mahu melakukan. Tapi kalau tiap-tiap hari buat perkara yang sama, pasti boleh lakukan.” Makin lebar senyuman Qisha Delisa.

Dia turun daripada katil. Kemudian matanya melihat gambar perkahwinannya bersama Hadif yang terletak elok di meja mekap. Senyuman lelaki itu sumber semangatnya.

“Kerana satu kesalahan yang dipengaruhi oleh Wan Firaz untuk membuat dia rasa benci pada lelaki ini? Tidak mungkin. Aku akan kenang kau dalam setiap doaku, Hadif. I miss you…”

Itulah rutin harian yang dilakukan oleh Qisha Delisa. Satu-satunya gambar yang dia ada bersamaHadif Fayyadh. Perkahwinan mereka berdua sangat bahagia tetapi kehadiran Wan Firaz membuatkan Hadif Fayyadh sedikit melatah.

“Aku tak salahkan kau kalau kau ceraikan aku, Hadif. Sebab aku tahu. Kau ceraikan aku sebab dah terpengaruhi dengan kata-kata Wan Firaz. Aku akan sentiasa menanti kau tetapi buat masa ini, aku tak dapat menerima kau lagi. Aku tenang hidup seperti ini.”

Qisha Delisa bercakap sendirian. Apa lagi yang boleh dia lakukan? Hanya cara ini yang dapat dia lakukan untuk kurangkan rasa tekanan dalam hidupnya.

Selepas bercakap seorang diri dengan bingkai gambar, Qisha Delisa ke dapur. Dia akan minum air sebelum mandi. Tekaknya rasa dahaga pula.

Air yang baru separuh masuk ke dalam mulutnya, tiba-tiba tersembur keluar. Dia tersedak beberapa kali.

“Ayah! Terkejut Qisha!” Dia terkejut melihat Dato Darwish keluar dari bilik air di dapur.

Dato Darwish ketawa kecil.

“Kasihan anak ayah. Maafkan ayah. Buat anak ayah terkejut.” Dato Darwish menghampiri Qisha Delisa yang wajahnya berkerut-kerut menahan rasa perit di tekak.

“Tak apa ayah. Qisha bukan marah ayah pun. Cuma terkejut.” Qisha Delisa cuba tersenyum. Tidak mahu Dato Darwish rasa bersalah.

“Awal ayah bangun hari ni?” soal Qisha Delisa lagi.

“Kan hari ni ayah ada temu janji dengan doktor Sarimah.” Dato Darwish mengingatkan Qisha Delisa. Pasti anak perempuannya terlupa kerana memikirkan banyak perkara.

“Memang sah anak ayah ni pelupa.” Qisha Delisa tersengih. “Ayah pergilah bersiap. Nanti Qisha telefon teksi.”

“Qisha, tak payahlah telefon teksi. Kita cuba naik bas. Jimat.” Cadang Dato Darwish. Bukan apa, dia tahu yang Qisha Delisa tiada duit sangat. Kadang-kadang ubat-ubatannya pun dah cecah ratusan. Mana anaknya ada duit sebanyak itu.

“Tak boleh ayah! Naik bas banyak habuk. Tak apa. Kalau ayah risau fasal tambang, Qisha dah sediakan duitnya. Jangan risau lah ayah. Qisha mandi kejap.”

Dia terus berlalu masuk ke dalam bilik air. Selepas mandi dan bersolat, dia menghampiri laci mekapnya dan mengeluarkan duit niaganya yang semalam.

“Empat ratus bungkus kali seringgit lima puluh sen… Berapa ye? Aku ni memang lemah math. Kalau Hadif ada, pasti laju je dia kira…” Pantas tangannya menutup mulut yang lancar berkata-kata.

“Kenapa aku asyik sebut namanya? Ini mesti kes terserempak dengan dia semalam. Lupakan dia! Lupakan dia!” Qisha Delisa menyambung mengira. Dia mengeluarkan telefon cikainya dan mencari bahagian kalkulator.

“Empat ratus bungkus kali seringgit lima puluh sen… Jawapannya… Enam ratus ringgit. Modal dalam dua ratus. Dua ratus ni simpan untuk niaga minggu depan pula. Jadi tinggallah empat ratus. Cukup ke?” Otaknya cuba berfikir. Mencongak secara kasar dalam fikirannya.

“Tambang pergi balik, ubat ayah, nak beli lauk lagi. Cukup ke?”

Runsing Qisha Delisa memikirkannya. Duit simpan dia tidak mahu guna. Itu betul-betul kecemasan barulah dia guna.

“Cukup. Harap-harap ubat ayah tak sampai dua ratus. Tambang pun dekat lima puluh pergi balik. Ya Allah, permudahkan urusan aku hari ni.”

Qisha Delisa bangun lalu menyimpan duit-duit tersebut dalam beg tangannya. Dia segera memakai tudung. Selepas lengkap bertudung, dia menanti ayahnya bersiap.

“Ayah, kad pengenalan jangan lupa. Hah! Surat temu janji pun jangan lupa… Lagi…” kata Qisha Delisa sambil mengintai keluar rumah. Terbeliak matanya melihat seseorang. Hatinya berdebar-debar.


p/s: Assalamualaikum, salam Jumaat dan selamat pagi.....kali ini kisah ayah dan anak...hihihi harap tak la bosan sangat.... semoga hubungan anda dengan ayah anda baik2 sahaja...kepada anak yatim seperti saya(tak ada ayah) kita sedekah kan Al-Fatihah untuk mereka. semoga mereka ditempatkan di tempat yang di Muliakan Allah...amin...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.