Home Novel Cinta SHIA
Bab 45

Telinga menangkap gerak kasut Shia. Anak dara itu berjalan sesuka sahaja lenggoknya. Bukannya tahu erti tertib ataupun gemalai. Shia! Shia!

Meskipun masih jauh, Akhtar pasangkan dinding penyamaran. Susuk sebenarnya akan terlindung. Shia hanya dapat melihat dia sebagai Adam. Shia semakin menghampiri. Kini langkah itu berubah rentak. Terjingkit-jingkit dan amat perlahan. Akhtar tahu apa yang Shia akan lakukan. Mengusiknya! Telinga dan hidung mulai terasa geli dengan gesekan lembut bulu ayam.

Pap! 

Pergelangan tangan Shia ditangkap. Akhtar dapat mendengar gadis itu ketawa.

"Dah habis bermimpikan gadis idaman Si Langsuir?"

Kelopak mata dibuka. Indah benar raut wajah Shia di ketika ini. Laksana bunga kembang pagi yang memekar dijamah suria yang baru menyapa alam.

"Kau pasti akan terkejut andai tahu akan isi hati aku."

Shia cuba melepaskan cengkaman Akhtar tetapi gagal. Wajah didekatkan dengan muka Akhtar.
"Terkejut? Aku ada juga ke terselit dekat hati kau tu?"

Serta merta Akhtar bebaskan pegangan lalu bingkas duduk. Sengih Shia melesetkan sangkaannya. Rahsia hatinya masih selamat. Akhtar alihkan hala bicara.

"Kau nak pergi mana hari ini, Shia? Aku temankan."

Shia yang masih mencangkung di sisi Akhtar memicit-micit bibir bawah. Dia sedang membuat keputusan.

"Aku nak lepak dekat sini je lah. Tak nak merayau ke mana-mana. Nak kemas rumah, sapu sampah, hurmm... belai pokok sikit."

Akhtar juihkan mulut ke depan lalu berkata, "Kau tak nampak ke elok aje aku jaga rumah ni?"

Shia tak mampu menafi. Memang halaman rumah Nenek Jah senantiasa terjaga dan bersih. Namun, dia ada hujah tambahan. "Kat luar ni ye lah bersih. Atas rumah tu bersawang kau biar."

"Eh! Ini rumah kau ke rumah aku?" Suara Akhtar sedikit meninggi.

Shia jawab dengan jelingan. Menonong sahaja dia meninggalkan Akhtar.

Akhtar menguatkan peti suara. "Merajuk!"

"Biarlah. Kau yang sudi pujuk!"

Jawapan Shia membuatkan Akhtar tersenyum. Cepat-cepat dia bangkit dan mengekori Shia naik ke rumah.

Daun pintu berisik tatkala ditolak. Begitu juga dengan daun tingkap. Akhtar biarkan sahaja Shia melakukan kerja-kerjanya. Sambil bersandar di birai tingkap, matanya mengitari keseluruhan rumah papan itu. Kenangan indah kembali mengusik jiwa. Ingatan memperlihatkan jari-jemari kecil yang terbaring di atas tilam kekabu di tengah-tengah ruang tamu itu suatu ketika dahulu. Akhtar juga masih mengingati dengan baik akan senyuman kecil Shia. Begitu juga tatkala kaki kecil itu baru belajar melangkah. Betapa dia turut girang ketawa bersama-sama anak kecil itu menyambut huluran tangan Shia. 

Gadis itu telah menjadi hidupnya semenjak 19 tahun yang lalu. Jarang sekali Akhtar meninggalkan Shia. Siang malam dia menemani Shia samada dari jarak dekat mahupun jauh. Awalnya kerana tekad. Setelah itu kerana teruja. Keperibadian Shia benar-benar membuka seluruh keinginan Akhtar untuk mengenali mahkluk manusia.

Perasaan itu telah berubah lagi sejak akhir-akhir ini. Perasaan yang dia sendiri kurang mengerti . Ada rasa yang memaut tangkai hatinya menusuk lebih dalam. Ada limpahan perasaan yang mengalir semakin deras ke dalam kolam hati. Perasaan itu sering membuatkan Akhtar berasa lemas. Apa yang menakutkan adalah cetusan perasaan itu menyebabkan dinding penyamarannya semakin menipis dan mudah terkoyak. Sehingga kini Akhtar masih tidak tahu cara untuk membendungnya. Apa yang dia ada hanyalah sebuah doa agar masa menyebelahinya. Mudah-mudahan dia berjaya merungkai permasalahan hati atau segala-galanya terpaksa dibongkarkan kepada Shia.

Tak lama kemudian, deruman enjin kereta kedengaran memasuki halaman. Shia dan Akhtar saling berpandangan. Mereka tidak pernah menjangkakan mana-mana tetamu bertandang di situ. Akhtar hanya mengintai dari tingkap manakala Shia menjenguk di pintu. Berkumandang suara Shia melaung dan menegur setelah pemandu kereta keluar.

"Nedim? Awak buat apa kat sini?"

Pandangan Nedim layu. Wajah itu kusam, tak ceria seperti selalu ketika ucapan salam diberi.

"Saya dah pergi ke rumah awak tadi tapi Uncle cakap awak ada dekat sini. Saya terus sahajalah ke mari. Boleh saya masuk, Shia?"

"Waa'laikumussalam. Marilah naik, Nedim."

Akhtar menghilangkan diri sebaik sahaja Nedim memasuki rumah kayu itu.

"Duduklah."
Shia mempersilakan Nedim duduk di kerusi rotan tetapi lelaki itu memilih untuk bersila di lantai kayu. Tubuh yang ditegakkan santai bersandar di dinding. Sambil itu mata dikitarkan ke sekeliling rumah kayu bertiang tinggi. Setelah itu Nedim kembali memandang Shia. Permintaan bersahaja Nedim sedikit mengejutkan.

"Ada bantal tak Shia? Saya nak tidur sekejap."

"Bantal?"

Shia bimbang jika dia tersalah dengar. Namun tatkala wajah Nedim diteliti, Shia tahu butiran itu benar. Dengan penuh tanda tanya Shia memasuki bilik dan keluar semula dengan bantal empuk. Sebaik sahaja bantal bertukar tangan, Nedim rebahkan badan. Mata terus terpejam rapat. Dia sebenarnya mahu menutup bebelan hati dan minda. Bayangan kaki lelaki yang merayap di betis Syakila bersama ketawa manja gadis itu beransur-ansur hilang. Diri terasa khayal didodoi dek udara nyaman dan berangin yang melegari ruang tamu. Senang benar matanya termakan pujukan. Hela nafas Nedim sedikit berbunyi dalam lena.

"Kenapa Nedim ni? Nenda buat hal lagi ke?"

Pertanyaan itu dibiarkan tergantung begitu sahaja. Shia teruskan kerja-kerja yang terbengkalai. Saat azan asar berkumandang, rutin mengemasnya telah selesai. Usai bersolat, ruang tamu dijenguk. Nedim masih terbaring di situ. Kuat pula denguran Nedim. Tak sampai hati pula Shia nak mengejutkannya. Oleh kerana perut dah lama kosong, Shia putuskan untuk menyediakan sedikit makanan sementara menunggu Nedim terjaga. Tekak dah lama mengidam terung pipit yang merimbun di belakang bilik air. Shia sedang menyarung kasut tatkala tetamu keduanya pula tiba. 

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.