Home Novel Cinta SHIA
Bab 22

Walaupun bumbung rumah dah nampak, Shia masih mengomel. 

"Apa kenanya Si Adam tu? Banyak makan semut agaknya hari ini. Aku cakap lain, dia cakap lain."


Tak semena-mena tudung Shia ditarik dari belakang. Tubuh Shia turut terjajar ke arah yang sama. Mujur dia tak jatuh. Sebaik sahaja dia berpaling, manusia paling tak mesra di atas muka bumi tayang jari telunjuk di bibir.

"Walid! Apa ni? Kau nak culik aku ke?"

"Hissh! Tak ada pasal! Nak culik engkau? Cermin muka kau tu dulu. Satu sen pun aku tak akan dapat."

Shia membetulkan tudung yang dah seget-benget. Geram juga dia diperlakukan sebegini.

"Habis tu, apasal kau main tarik je macam perogol?"

Mata Walid nampak besar bila terjegil. Mata dengan alis tebal yang menawan. 

"Perogol? Mulut tu cakap yang baik-baik aje ye. Tengok kau sahaja terus hilang nafsu aku."


Walid bergingat-ginjat sehingga ke dinding kedai. Dari situ dia menjenguk sedikit demi sedikit. Shia turuti langkah Walid. Dia pun mengintai sama.

"Kau tengok apa?"

Walid urut dada. Sangkanya Shia berdiam diri di tempat tadi.

"Terkejut aku. Mari! Mari!"

Tangan Shia dipimpin jauh ke dalam denai sehingga sampai ke tepi anak sungai. Walaupun kasar tarikan Walid, melihat tangan mereka yang bersatu sempat membuat hati Shia berbuai. Shia biarkan Walid yang merungkai pegangan.


"Aku ada masalah besar."

Hanya kelopak mata yang terkebil-kebil memberi respon awal. Sejak bila Walid berminat nak berkongsi rahsia dengan dia? Ini sesuatu yang menerujakan. Shia dah rasa nak meloncat tinggi. 

"Aku sedia mendengar apa sahaja yang kau nak luahkan, Walid. Masalah besar ke, kecil ke, aku akan dengar."

"Memang la kau kena dengar. Sebab semua kau punya pasal la hodoh!"


Nampak benar Shia terkedu. Kena tiba-tiba sahaja dia ada dalam masalah Walid? Memang hubungan mereka tak pernah baik, tetapi taklah sampai bermusuh. 

"Apa kena-mengena masalah dengan kau dengan aku? Kita bukannya couple? Kau yang tak nak."

Ada ketawa kecil di hujung suara Shia. Itu menaikkan angin puting beliung Walid. Terus sahaja amaran diberi. Ancaman itu seharusnya menakutkan Shia.

"Shia, kau jangan sekali-kali nak cari pasal dengan aku. Dengan rupa kau ni, aku langsung tak hingin tau."


Shia silangkan lengan. Walid perlu ditenangkan. Kalau tidak, sampai malam dia akan dengar ancaman demi ancaman, kutukan demi kutukan.

"Apa yang kau nak cerita pada aku sebenarnya Walid? Berterus terang. Lepas kita berbincang, habis cerita."

Tap!

Laju betul tangan Shia menampar nyamuk yang sedang syok gigit lengan togel Walid. Perlakuan si gadis mengundang jelingan tajam. Cepat-cepat kedua tangan lelaki itu disorokkan ke belakang tubuh.


"Mak aku ada kat rumah kau. Tengah korek rahsia kau. Lepas tu siap pesan kat aku suruh layan kau baik-baik. Aku rasa ini semua ada kaitan dengan kereta mewah yang keluar masuk rumah kau tu. Siapa diaorang?"

Amboi! Nak tahu rahsia orang tapi gaya mengalahkan pegawai penyiasat kes jenayah. Shia cuba mengelak dahulu.

"Kalau tak ada kereta mewah tu pun, bukan kau sepatutnya layan aku baik-baik ke? Aku ni perempuan tau."

Walaupun mencebik, Walid masih kacak. Shia siap-siap tahan telinga.

"Perempuan ke kau, lelaki ke kau, aku ni jenis kalau tak sukakan orang, aku tak akan akan suka sampai bila-bila. Kalau aku suka, sampai mati aku akan suka."


Habis merampus, Walid angkat kaki meninggalkan Shia terkontang-kanting keseorangan macam tu sahaja tanpa penjelasan lebih lanjut. Dia buat-buat tak dengar jeritan Shia.

"Walid! Apa masalah kau yang sebenarnya haah?"


Masa makan malam menjadi lebih misteri daripada lelaki asing yang Shia nampak dalam hutan tadi, perangai aneh Adam dan masalah Walid. Tak pernah lagi Abi dan Ummi berbalas-balas pandangan sambil senyum-senyum malu macam pasangan baru bercinta. Lepas tu dua-dua senyum pada Shia pula. 


"Ummi dengan Abi ada perkara nak cakap dengan Shia ke?"

Lepas suap Aish, Shia suap makanan sendiri pula. Nasi dia dan Aish sebelah menyebelah dalam satu pinggan dengan kuah dan lauk yang berlainan.

"Ummi rasa macam Shia ni masih anak kecil lagi. Rasa macam tak percaya Shia membesar depan mata."

Rafei pamer senyuman lebar. Satu senyuman berselang satu suapan. 


Apa yang tak kena dengan hari ini? Shia cuba balas senyuman walaupun nampak canggung. Mereka tak berkongsi perasaan yang sama ketika itu. 

"Tadikan Shia, Kak Norasyikin datang bertandang. Dia banyak tanya pasal Shia. Dia dah tahu tentang Nenda. Rupanya kak Nora ada kat luar rumah masa nenda datang tu. Bila nampak kita ada tetamu, dia balik terus. Cadangnya nak jemput Abi bacakan doa selamat malam tu katanya."


Serta merta perbualan rahsia dengan Walid tadi menerpa di ingatan. Perlakuan mak Walid itu ada kena mengena dengan masalah anaknya ke?

"Ummi rasalah kan ... dari gaya Kak Nora tadi, macam nak merisik Shia je. Anak Kak Nora, Walid sorang sahaja kan?"

Punca masalah Walid dah ditemui hasil penjelasan Ummi tadi. Memang masalah besar! Bukan sahaja kepada Walid, kepada dia juga. Wajah menyeringai Walid tiba-tiba sahaja ternampak-nampak di dalam pinggan. Nasi yang sedang dikunyah pun dah berasa tawar. 


"Pedas! Pedas!" 

Aish menjerit-jerit di sebelah Shia. Rahimah segera menyambar air minumannya lalu dihulurkan kepada anaknya itu. Setelah itu senyuman di wajah Rahimah dan Rafei tidak lagi muncul.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.