Home Novel Cinta SHIA
Bab 11


Dari jauh lagi Shia boleh dengar ngauman motor Ustaz Rafei. Berlari ke jendela, hati Shia girang. Jarang-jarang Ustaz Rafei menjenguknya di hujung minggu. Rafei melambai dari atas motor.


Rasa gembira terbantut seketika apabila Ustaz Rafei didekati. Kenapa dengan muka ustaz? Semuanya nampak merah terutamanya di mata. Rafei cuba berikan senyuman.

"Shia sihat hari ini? Dah makan?"

Soalan itu membuatkan Shia menggaris datar bibirnya.

"Marilah naik motor Ustaz. Kita pergi makan dulu."

Perut memang dah lama bergelodak. Dari pagi tadi nenek keluar rumah tak balik-balik lagi. 

"Shia kena minta izin nenek dulu la ustaz. Tapi nenek tak ada."


Rafei telan air liur berkali-kali. Panjang nafas ditarik sebelum dia mengeluarkan kata-kata. Rafei cuba mengelak anak mata Shia.

"Tak apa. Nenek Jah kan dah biasa dengan ustaz. Nanti ustaz bagitahulah dia."

Sejenak Shia berfikir sebelum dia bersetuju dengan pelawaan Rafei. Mereka terus menuju ke kedai makan terdekat. 


"Shia cakap sahaja nak makan apa. Semua ustaz bayarkan."

Ustaz Rafei memang baik hati. Dia selalu tahu isi hati Shia. 

"Boleh minta nasi ayam special ke ustaz? Dengan ais jagung."

"Boleh Shia. Nanti ustaz order ya."


Dalam masa yang sekejap sahaja semua hajat Shia dikabulkan. Lazat sungguh makanan yang terhidang. Lebih enak lagi jika menjamu selera dengan perut yang benar-benar lapar. Shia mula menjamah makanan. Dia perasan anak mata ustaz Refei semakin mengenang air. Hidung lelaki itu juga berair. 

Tisu di atas meja diambil dan dilap ke wajah. Wajah Rafei benar-benar sugul.

"Kalau ustaz lapar dan tak ada duit, kita kongsi sahajalah nasi ni ustaz. Shia makan separuh, ustaz separuh."


Pinggan yang masih dipenuhi nasi ditolak ke hadapan. Kali ini, bukan sahaja wajah sedih Ustaz Rafei dia nampak, bahkan tangisan juga sudah kedengaran. Rafei menyembunyikan wajah di sebalik kedua tapak tangan.

"Ustaz janganlah sedih. Ustaz ambillah semua nasi Shia. Shia minum air ni je."

Rafei masih tidak menjawab. Banyak juga helaian tisu ditarik dari bekas. Setelah wajahnya dibersihkan, barulah Rafei bersuara.

"Maafkan Ustaz, Shia. Ustaz ni manusia yang lemah. Nampak je macam macho. Hati ustaz ni mudah sikit terusik. Shia makanlah ya. Ustaz temankan."

Maksud kata-kata Rafei tidak dapat diterjemah sepenuhnya. Shia hanya faham ayat hujungnya sahaja.


Satu lagi motosikal berhenti di kedai makan itu. Halim, jiran sebelah rumah Rafei menghampiri mereka. Buat seketika, Halim dan Rafei hanya berbalas pandangan. Kedua pemuda itu memulakan bicara tanpa suara. Akhirnya Refei lontarkan soalan. Suaranya cemas. 

"Bagaimana?" Rafei menanti jawapan Halim dengan debaran yang maha hebat.

Halim menggeleng perlahan.


Sebak sungguh suara Rafei di pendengaran Shia ketika lidahnya mengucapkan, "Innalillahi wainnailaihirajiun."

Previous: Bab 10
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.