Home Novel Cinta SHIA
Bab 9


Nenek Jah telah tiba di kaki gunung meskipun matahari baru sahaja menjenguk dunia. Walau berkeriuk bunyi kepala lutut bertemu tatkala kaki kuat menghentak lantai bumi, malah adakalanya menggigil bila lama menapak di rumput basah, Nenek Jah teruskan jua berjalan dan mendaki. Matanya meliar mencari daun-daun hutan yang penuh dengan khasiat buat penguat tubuh.


Hutan simpan itu bukan asing bagi dirinya. Sejak anak dara lagi dia telahpun menjejaki khazanah yang tersimpan di situ. Ibunya juga seorang bidan. Dari mulut riuh ibulah Nenek Jah belajar mengenai ilmu-ilmu perbidanan.


Acapkali juga Nenek Jah terserempak dengan kumpulan anak-anak muda dengan beg besar tersandang di belakang badan. Pasti hati mereka berkobar-kobar hendak mendaki gunung yang ke tiga tinggi di Banjaran Titiwangsa itu. Dah tak ada kerja lain agaknya pemuda pemudi zaman ini. Zaman muda Nenek Jah tak banyak masa senggang. Penat mengurus rumah tangga, Nenek Jah ke kebun pula menolong mak ayahnya. Malah semua urusan adik-adik yang berderet-deret turut Nenak Jah pikul.


Kedudukan beg yang terlondeh dari bahu dibetulkan. Beg daripada kain perca yang dijahit tangan sudah hampir penuh dengan pucuk-pucuk pokok hutan dan sedikit akar kayu. Entah kenapa soalan Shia tentang anak pungut semalam bermain-main di kepala.


"Nek! Anak pungut tu apa maknanya?"

Ketika itu Nenek Jah tekun menyapu di halaman. Daun-daun kayu beralih ke satu arah bila terkena bilah penyapu lidi yang dihayun. Soalan itu menghentikan apa yang sedang dikerjakan. Kemudian dia menyambung kerjanya semula dengan riak wajah yang suram.

"Nek! Shia tanya ni! Nenek tahu ke?"

"Tahu." 

Panjang nada hujung sahutan Nenek Jah.

"Haa, bagitahu la. Shia dengar."

Semenjak peristiwa Walid mengacaunya tempohari, berkobar-kobar Shia mahu bertanya akan hal itu.


"Anak pungut tu ... anak yang ada kuasa istimewa."

Terlopong mulut Shia mendengar jawapan Nenek Jah. 

"Kuasa istimewa? Macam Boboboi tu ke nenek?"

"Ish Shia ni. Manalah nenek kenal Boboboi tu. Bukannya nenek pergi sekolah."


Shia ketawa kuat. "Bukan belajar dekat sekolahlah Nek. Tengok dekat tv je. Kawan-kawan Shia selalu sembang pasal Boboboi tu. Dia ada banyak kuasa. Kuasa angin, kuasa halilintar... banyak lagilah kuasa Boboboi tu."


Senyuman bertandang di wajah tuanya ketika mendengar celoteh Shia. Bayangan silam melintasi matanya sejenak.


"Anak pungut ni ada kuasa mata. Bila dia tenung je mata orang lain, rasa sayu dan kasih datang mencurah-curah macam air gunung. Bertimpa-timpa sampai rasa tak mampu nak berpaling ke lain. Asyik teringat-ingat je. Haa ... faham ke?"


Shia muncungkan mulut dan gerakkan anak mata ke atas seperti biasa. 

"Ada lagilah nenek. Kuasa anak pungut ni."

Kini, Nenek Jah pula yang tak sabar-sabar nak tahu.

"Eh! Kuasa apa lagi? Nak kata kuat, hurm ... Nenek lagi kuat dari Shia. Shia ni lembik je. Lemah gemalai."

Terkekek-kekek Shia ketawa dengar pandangan Nenek Jah.

"Shia ada kuasa mata la Nek. Macam yang nenek cakap tadi. Shia boleh nampak apa yang orang lain tak nampak."

Nenek Jah menggeleng-gelengkan kepala. Lantai bumi terus disapu. 

"Ya sangat lah tu. Ada-ada je la Shia ni."

Senyuman Shia semakin melebar. Bukan buat Nenek Jah tetapi kepada Adam yang berdiri di sebalik semak.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.