Home Novel Cinta SHIA
Bab 13


Akhtar hanya mengintai dari celah rimbunan buluh. Terasa kepedihan mulai menjalar dari hulu hati. Perasaan itu berterusan menguasai seluruh tubuh. Percikan cahaya ungu terlepas dari hujung jari. Sudah pasti dia turut bersedih di atas apa yang telah berlaku. Tubuhnya bergetaran hebat mendengar tangisan Shia. Betapa dia ingin meluru dan memeluk gadis kecil itu sekarang. Sekurang-kurangnya jiwa anak itu akan damai di dalam dakapannya. Shia terlalu mentah untuk menanggung tujahan ranjau kehidupan. 


"Akhtar." 

Hujung tirus telinganya sedikit terkelepek menangkap gema suara itu. Akhtar biarkan sahaja. Wanita itu masih jauh. Dia sedang menimbang keputusan. Untuk mendedahkan diri kepada Shia dan memujuk anak kecil itu bersamanya. Akan tetapi Akhtar tahu itu bukanlah perkara yang kecil. Dia pasti akan mendapat tentangan yang hebat.


Sudah hampir setengah jam dia mendengar Shia menangis. Pada mulanya gadis kecil itu hanya duduk di hujung tangga sambil mengusap selipar Nenek Jah. Lama-kelamaan hiba Shia mula menyerlah. Sebuah tangisan yang kuat dilepaskan. Tubuh kurus melidi itu tergoyang-goyang dengan selipar Nenek Jah yang erat di dakapan .


"Jiwa anak itu selalunya kuat. Segetir manapun cabaran yang dia hadapi, wajah itu masih mampu mengukir senyum. Mungkin kerana dia tahu akan ada bahu untuk dia bersandar."

Ratna hanya mendengar luahan hati Akhtar. Wajah lelaki itu sama sugul dengan gadis kecil di hadapan mereka.

"Aku tidak mahu dia hilang keyakinan terhadap dunia ini. Lebih-lebih lagi terhadap dirinya sendiri. Shia manusia yang istimewa."


"Istimewa sehingga kau turut tenggelam bersama kesedihannya? Jangan lupa Akhtar, kita hanya memanipulasi mereka. Setelah darah mereka meresapi tubuh kita, Anak Adam itu sudah tiada gunanya."


Aktar tidak menyahut. Apa yang tertanam di lubuk jiwanya tidak boleh diserlahkan kepada wanita itu. Dia mengalih pandangan ke raut jelita Ratna.

"Aku pasti kedatangan kau ke mari bukan sekadar mahu menjengukku?"


"Benar. Aku membawa perutusan daripada Dukun Samudra. Dia mahu menemuimu. Ada perkara mustahak yang ingin disampaikan." Ratna masih memaku mata kepada Shia. 


Akhtar memejamkan mata buat seketika. Dia perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya. Sepenuh hatinya mahu berada di situ menemani Shia. Separuh akalnya pula mendesak supaya menurut kata Ratna. Separuh  lagi bimbang jika Ratna berlama-lama di situ memerhati Shia. Tanggapan Ratna terhadap alam manusia tak sama sepertinya. Wanita itu pernah membuat tuntutan yang kejam terhadap manusia.


Gadis kecil itu dipandang sekali lagi sebelum Akhtar menyatakan keputusan.

"Mari kita beredar."

Ratna anggukkan kepala. Baru sahaja dia melangkah, terasa tangan Akhtar berpaut di lengan. Lelaki itu berdiri rapat di hadapannya seraya menarik hud menutupi rambut yang mengerbang.

"Berhati-hati jika melewati dunia ini. Cahaya kuningmu terlalu bergemerlapan. Aku bimbang ia akan menarik semua penghuni hutan ke sini."


Dua makhluk bermantel beriringan meninggalkan hutan itu.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.