Home Novel Cinta SHIA
Bab 25

Malam itu, Shia duduk lama sedikit di ruang belajar. Biliknya hanya ada perabot ringkas. Katil, almari pakaian, rak buku, kerusi dan meja study. Shia pasti gadis normal yang sama baya usia dengannya akan menyedari suatu kekurangan di bilik ini. Ketiadaan meja untuk bersolek dan cermin besar. Cermin mukanya hanya bersaiz kecil. Itupun Shia telangkupkan di atas rak buku dan gunakan jika perlu.

 Bukannya Shia benci kaca yang memantulkan imej itu, tetapi Shia tak merasakan barang itu suatu keperluan. Adakalanya imej yang terbias di kaca itu turut menakutkan Shia sendiri. Semasa kecil, Shia selalu berharap agar bayangan dirinya itu akan lenyap. Malam itu, dalam deruan hujan yang menggila di luar, Shia tenang menghadap wajahnya sendiri. Lama dia membelek raut wajah gadis di dalam cermin.

Bentuk wajah gadis itu tidak simetri. Lebih menyenget ke kanan. Mungkin disebabkan pembentukan tulang rahang dan pipi yang tidak sempurna. Wajah itu nampak cekung di tengah dengan keadaan tulang kedua pipi yang tercorot ke belakang. Keadaan mata menjadikan muka  nampak mengerikan. Mata yang seharusnya indah terbentuk itu tertarik ke bawah. Malah membentuk  sudut yang tajam. Lubang di bawah kelopak mata atau kolobama nampak begitu jelas dan sering menakutkan mata lain yang terpandang mata itu.

Dek kerana pipinya tertarik ke belakang, hidung nampak menonjol. Di bawah hidung, bibir yang terkatup itu sama lembutnya seperti orang lain. Tetapi apabila terbuka sahaja mulut, akan terlihat barisan batang gigi sedikit  jarang-jarang jaraknya.

Shia menyelak rambut yang terjurai di dahi jendul. Rambut itu lurus dan halus persis rambut Aish. Di sebalik rambut itu kelihatan cuping telinga yang amat kecil. Sebelah kanan lebih rendah daripada sebelah kiri. Usai membelek wajah sendiri, Shia mengumam perlahan.

“Nak ke Walid tatap wajah sebegini setiap pagi bila dia buka mata?”

Walaupun suara bernada melankolik, bibir itu masih mampu mengukir senyuman. Kata-kata doktor pakar yang memeriksa keadaannya dahulu masih dingati dengan baik. Shia masih bernasib baik kerana deria lihat, rasa dan dengarnya masih berfungsi. Meskipun kecacatan itu bersifat kekal, akalnya sempurna.

“Aku tengok lama-lamapun rasa seram. Inikan pula orang lain.”

Memori bersama Nedim segera terbayang. Alang kepalang lelaki itu terkejut di pertemuan tanpa amaran mereka. Senyuman yang terukir berpanjangan. Ada sesuatu tentang Nedim yang menyentuh hatinya. Lelaki itu…

Ketukan kuat tiba-tiba sahaja berdentum di cermin tingkap!

Serta-merta ingatan Shia terhadap Nedim terputus. Tersentak dengan kejutan sebegitu,Shia  berpaling ke belakang dan menanti lagi. Deria pendengaran cuba mengasingkan dentuman guruh dengan bunyi yang dia dengar tadi.

Sah! Ketukan bergema lagi. Semakin kuat. Siapa yang berani mengganggu ketenteraman malamnya itu? Di rumahnya sendiri! Walid? Adam? Tak pernah pula kedua lelaki itu berperangai sedemikian sebelum ini. Tetapi kalau manusia di luar itu berniat buruk, pasti tindakan dilakukan dalam sembunyi melainkan... ada kecemasan.

Kali ini nama Shia pula dipanggil-panggil. Memang pelaku itu bukan orang asing. Langkah diatur perlahan ke daun tingkap. Dalam debaran yang hebat, Shia buka selak tingkap. Wajah lelaki yang dia kenali tersengih menyapa.

“Nedim! Apa awak buat kat sini?”

Lelaki itu berselindung di sebalik payung. Curahan air langit telah membasahkan sebahagian daripada seluarnya. Percikan hujan juga telah mengena wajah dan sebahagian lengan Nedim.

“Nenda halau saya dari rumah la Shia. Boleh tumpang tidur di sini untuk malam ni?”

Dekat seminit juga Shia cuba menghadam butir bicara Nedim. Luahannya penuh bersahaja. Apabila kilat menyambar bersama dentuman guruh yang menggegarkan bumi, Shia cepat-cepat tutup tingkap. Setelah itu ligat dia berlari ke ruang tamu. Nedim masih menanti di tepi dinding bilik Shia ketika Shia menjenguk keluar dan menyeru nama lelaki itu dengan kuat.

Dalam kesamaran lampu kalimantang di balkoni, pakaian Nedim nampak lebih lencun. Lelaki itu mengerbas saki baki cecair di rambut dan permukaan baju . Setelah itu Nedim bagai kehilangan kata. Dia hanya menghantar pandangan.

“Masuklah Nedim.”

Dengan pelawaan Shia, Nedim melangkah masuk ke ruang tamu. Shia menghilang di dalam  bilik  dan muncul semula bersama lipatan tuala,T-shirt dan kain pelekat. 

“Pinjam Abi punya dulu. Tak lena awak tidur basah kuyup macam ni. Bilik air di belakang sana.”

Nedim capai pakaian di tangan Shia dan bergerak ke arah yang Shia tunjuki tadi. Baju yang tersarung rasa selesa kerana saiz yang sepadan dengan tubuhnya. 

Shia siap menanti di ruang tamu. Timbunan bantal dan selimut telah tersedia di atas sofa. Sebaik sahaja Nedim duduk, Shia hulurkan secawan milo panas. Usai mencicip, barulah lelaki itu bersuara.

“Lama juga saya ketuk pintu dan beri salam tadi. Mungkin suara saya tak kedengaran. Hujan lebat sangat. Saya nampak bilik awak cerah lagi. Sebab itu saya ketuk tingkap bilik tadi. Minta maaflah kalau buat awak terperanjat.”

Shia menyimpul senyuman. “Kalau hantupun yang ketuk tingkap tu, saya tak kisah mana.”

“Haish awak ni! Tengah-tengah malam macam ni cakap macam tu.”

Sambil mengusir bayangan yang tak sepatutnya hadir dalam kepala, Nedim memerhati  sekitar ruang. Rumah batu sederhana besar itu diimbas sekali lalu. Ini merupakan kunjungan kali kedua Nedim. Pertama kali menjejakkan kaki ke situ, dia tak perasanpun susun atur dan perhiasan isi rumah. Kepala hanya mengingat masalah sendiri. Dia terlalu bimbangkan Nenda. Kali ini, kaki membawa diri ke rumah itu lagi  kerana masalah yang ada masih belum selesai sepenuhnya. Ada lagi perkara yang Shia perlu ketahui.

“Ada bilik kosong di sebelah sana tu, tetapi bersepah dan penuh barang. Kalau awak bagitahu awal-awal nak datang sempatlah saya kemas. Datang mengejut macam ni, saya boleh tolong hulur bantal dengan selimut sahajalah.”

Nedim menoleh ke sisi. Tangan menepuk lembut bua biji bantal yang kembung. Setelah itu tangan kekar itu dibawa ke gawang mulut. Nedim menguap panjang.

“Mata ni kalau betul-betul mengantuk, di manapun boleh tidur.”

Shia mengerling jam dinding. Dah melepasi jam 2 pagi. Patutlah mata dia pun dah terasa mengantuk.

“Semoga lena tidur malam ini. Jangan lupa bangun a-wal esok. Kalau tidak, awak akan kena halau sekali lagi dengan Abi pula.”

Nedim dahpun terbaring di sofa semasa Shia mahu memasuki kamar. Suara Nedim perlahan sahaja kedengaran.

“Terima kasih  Shia. Saya harap pertimbangan baik awak terhadap saya tidak putus setakat malam ini sahaja.” 

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.