Home Novel Cinta SHIA
Bab 38


Tombol pintu dipulas. Dalam teragak-agak, Nedim julurkan tengkok, meninjau keadaan di dalam bilik. Lampu kamar Shia masih terpasang. Sepupunya itu terbaring di atas katil bujang. Berkali-kali akal memujuk supaya Nedim membatalkan hasrat untuk menjenguk Shia dari jarak yang lebih dekat, namun hati tetap berkeras. Kebimbangannya telah mengatasi kewarasan fikiran. Gadis itu dihampiri. Benar, suara itu datangnya dari mulut Shia. Wajah Shia nampak begitu pucat. Nedim tidak mengejutkan gadis itu sebaliknya menghulurkan tangan lalu menekap ke dahi Shia. Panas tubuh Shia memijar ke tapak tangannya. Dia mengomel sendirian sambil menggosok pelipis.

"Apa aku nak buat ni?"

Ikutkan hati Nedim, mahu sahaja dia menggendong Shia ke dalam kereta lalu memecut ke hospital. Geram juga akalnya itu asyik menahan kata hati dan memaksa Nedim cuba menghindar kekecohan. Akhirnya Nedim pergi ke dapur. Dia tahu apa yang patut dilakukan. Sepapan panadol yang dijumpai di dalam peti ais turut diletakkan di dalam dulang beserta semangkuk air dan gelas.


Puas juga dia kejutkan Shia. Mata Shia hanya separuh terbuka ketika Nedim menyokong tubuh Shia dengan lengannya. Dua biji panadol disumbatkan ke dalam bibir Shia. Sambil menuangkan air ke dalam mulut Shia, Nedim memberi arahan, "Shia, telan ubat ni." 

Mujur gadis itu menurut. Setelah itu mata Shia tertutup rapat semula.

Nedim basahkan muka dan rambut Shia. Tanpa ragu-ragu, sekali lagi sapu tangan miliknya dikorbankan lalu letakkan di dahi gadis itu. Doanya bersambung lagi. Sungguh, Nedim tidak kekok menjaga Shia. Mungkin dia dah terbiasa menjaga Nenda. Orang tua itu mudah jatuh sakit. Hanya kepada Nedim sahaja Nendanya bersandar memandangkan dia satu-satunya darah daging Nenda yang masih bernyawa.


Sekujur tubuh Shia diperhati. Wajah Shia nampak lebih menyeramkan tanpa bertudung. Tiba-tiba sahaja rasa bersalah menyerang. Gadis itu sentiasa menjaga aurat. Malah di dalam rumah itu juga Shia masih bertudung likup. Pasti Shia akan malu kalau dia tahu apa yang telah Nedim lakukan malam itu. Dalam masa yang sama, Nedim enggan meninggalkan Shia selagi gadis itu masih belum pulih. Sebaik sahaja ternampak kain tuala kecil tersidai di birai katil, Nedim basahkan tuala kecil itu lalu menutup keseluruhan kepala Shia dengan tuala tersebut. Sambil bersandar di kerusi yang dirapatkan dengan katil, Nedim memerhati sekitar kamar.


Tak ada apa-apa yang istimewa di dalam kamar itu, sama macam luaran Shia. Entah kenapa Nedim berasa senang hati mendampingi Shia sepertimana Nenda. Dua perempuan itu mudah membuat Nedim berasa tenang. Di kala itu hatinya terdetik, 'mungkin permintaan Nenda itu boleh dipertimbangkan lagi.'

Tak lama Nedim berjaga. Kepala lelaki itu akhirnya layu tersembam di tilam Shia.


Jika malam tadi jeritan nyamuk mengejutkannya, kali ini namanya sendiri terngiang di telinga. Nedim kalihkan wajah dan membuka sedikit kelopak mata. Wajah Shia yang amat hampir dengannya membuatkan Nedim bingkas berdiri dan mengundur ke belakang. Sekali lagi wajah itu memeranjatkannya. Akal lambat berfungsi dengan baik selepas terjaga. Lama baru Nedim betul-betul sedar.


Kerusi yang dah terkirap terkena rampuhannya tadi dibiarkan. Nedim merapati katil. Tangan yang dah nak menyentuh dahi Shia dijatuhkan semula ke sisi apabila menyedari raut terpinga Shia terhadap kelakuannya itu.


Tadi lelaki itu nampak benar terperanjat. Kini wajah itu bertukar cemas. Shia biarkan Nedim memberi penjelasan. Melihat isi dulang di sisi katil, Shia boleh mengagak kenapa lelaki itu boleh berada di dalam biliknya tadi.

"Aaa... Awak okey ke? Badan ada rasa demam ke, tak larat ke? Nak saya hantarkan ke klinik atau hospital?"

Soalan Nedim yang bertalu-talu itu membiaskan kebimbangan. Sama dengan apa yang tertera di wajah lelaki itu.

"Saya tak rasa macam sakitpun." Pandangan yang bertemu segera disingkir ke arah lain. Shia cuba tutup wajah dengan sebelah tangan. Malu dah mula bertandang sebenarnya mengenang jasa baik Nedim.


Nedim betulkan semula kedudukan kerusi sebelum duduk. Dari situ dia cuba mengintai wajah Shia. Sekali imbas tadi, muka itu dah tak pucat lagi. Hurm... mungkin ada bayangan rona kemerahan sikit.

"Betul ni?" Nedim masih mencari kepastian. Tangan dah ringan je nak tarik jari yang menyorokkan muka Shia. Dia nak tengok wajah itu dengan lebih jelas. Melihat Shia mengangguk, Nedim pasrah. Masih ada sedikit lagi masa sebelum azan subuh berkumandang. Nedim bercadang nak menyambung tidurnya lagi. Sebelum lelaki itu keluar dari kamar, Shia meluahkan rasa.


"Terima kasih, Nedim. Terharu sungguh saya atas... perhatian dan kasih sayang awak. Saya betul-betul menghargai semua yang awak dah buat untuk saya. Saya ni... bukannya sesiapa... " 

Shia habiskan ayatnya di situ sahaja. Sebak dah memenuhi kalbu. Luahan perasaan terasa semakin sukar.


Nedim berpaling ke belakang. Pandangannya menyoroti wajah sayu Shia.

"Awak dah jadi sebahagian daripada hidup saya, Shia. Awak bukannya bukan sesiapa lagi. Kalau awak susah, saya pasti rasa susah juga. Kalau awak bahagia, saya akan turut rasa sama."

Shia kesat air mata sambil melemparkan senyuman. Kehadiran Nedim di dalam hidupnya terasa lebih bermakna selepas apa yang terjadi. Lelaki itu telah membuka ruang hati yang luas untuk dirinya.


Nedim berpusing tubuh semula menuju ke pintu. Sekali lagi langkahnya terhenti apabila namanya diseru.


"Nedim, terima kasih sekali lagi kerana memahami keadaan saya. Saya nak awak tahu, saya tak pakai tudung semata-mata nak tutup segala kehodohan ini."


Kali ini Nedim tidak menoleh. Sambil melangkah keluar, Nedim mengosok-gosok dada. Barangkali kata-kata Shia tadi dah menusuk ke dalam hati. Terasa ada sentuhan di situ. Dua kali. Sekali dibelai, sekali lagi ditampar lembut. Nedim tak pasti dia mampu melelapkan matanya lagi.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.