Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,085,239
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 12 - Firqin vs Bukhary

Malam itu ketika aku sampai di rumah Farhin sudah menungguku di ruang tamu. Melebar senyumannya apabila dia terkesan kelibatku. Aku menghampiri dan terus duduk di sebelahnya. Farhin masih lagi memandangku sambil dia mengangkat-angkat keningnya. Aku buat-buat tidak nampak dengan menfokuskan mataku ke arah kaca televisyen.

“Mana motor kau?” Tanyanya.

Aku hanya mengangkat bahuku. Aku terkejut apabila tiba-tiba sahaja Farhin menjerit, bertepuk tangan bersorak gembira.

“Kau ni dah kenapa tiba-tiba meroyan macam ni?” Soalku pelik dengan kelakuannya.

Dia masih lagi ketawa. “Aku tahu, aku tahu Encik Pilot kan yang hantar kau balik. Wah! Bertuahnya kau Maya.” Farhin sempat mengintai ke luar melalui celah-celah tingkap mencari kelibat Firqin yang disangkanya menghantarku malam itu.

Aku ingatkan apa lah tadi sampaikan temanku itu bersorak sebegitu. “Suka kau ya. Sukalah kan sebab kau yang bagi Mamat tu info macam-macam kan. Siap bagi nombor telefon aku lagi.” Aku mencubit lengannya lama. Biar Farhin rasakan. Aku rasa geram kerana Farhin memberi Encik Pilot tu nombor telefonku tanpa meminta kebenaran dariku terlebih dahulu.

“Aduh! Sakit Maya. Sakit!” Farhin terjerit.

“Kau beritahu apa lagi kat dia? Kenapa kau bagi nombor telefon aku pada dia?” Soalku bagaikan pegawai penyiasat. Masih tidak melepaskan tangannya dari menjadi mangsa cubitanku.

“Kau lepaskan aku dulu, baru aku cerita. Please...” Farhin merayu. Aku terus melepaskan tangannya.

“Tak adalah...aku tengok Encik Pilot kau tu...”

Aku segera memintas. “Kejap, dia tu bukan Encik Pilot aku. Nama dia Firqin.”

“Err...maksud aku Firqin tu lah. Dia risau sangat kat kau lepas aje kau pergi tengah hari tadi. Dia minta aku nombor telefon kau, aku bagilah. Aku tak sampai hati. Dia macam tak nak lepaskan aku pergi selagi aku belum terangkan apa yang dah berlaku kat restoran tu. Banyak yang dia tanya terutama siapa Taufiq dan apakah maksud kata-kata Taufiq terhadap kau.” Jelas Farhin.

“Habis tu kau cerita apa kat dia? Sebab aku rasa dia masih tidak tahu hal yang sebenarnya.” Aku benar-benar berharap Farhin akan memberikanku jawapan yang aku mahukan. Aku mahu tahu cerita apa yang Farhin reka tentangku di hadapan Firqin.

Farhin tiba-tiba memegang tanganku.

“Aku buat macam tu sebab kau Maya. Aku nak kau bahagia, itu aje. Jadi aku cakap kat Firqin apa yang Taufiq katakan tentang kau semuanya bohong. Taufiq sengaja buat macam tu, malukan kau sebab dendam. Aku fikir tentang kau aje masa tu sebab aku rasa Firqin betul-betul nak kenal dengan kau. Tak salah kan Maya kita bagi dia peluang untuk mengenali kau?”

Aku melepaskan sebuah keluhan. “Salah Farhin. Aku akan sangat bersalah kalau aku bagi peluang pada Firqin. Aku akan menganaiya dia nanti Farhin.”

“Menganaiya apa Maya? Sampai bila kau nak terus rasa rendah diri macam ni? Tolong lah Maya bagi diri sendiri peluang. Hari tu kau kata kau tak pernah tutup pintu hati untuk kenali lelaki lain. Habis sekarang ni kau cakap lain pulak!” Farhin meninggikan suaranya memarahiku.

“Aku tak kata aku tutup pintu hati aku tapi kau bayangkanlah kalau satu hari nanti dia dapat tahu hal yang sebenar? Lepas tu apa perasaan dia masa tu bila tahu yang aku berbohong sedangkan apa yang Taufiq katakan tu semuanya betul.” Balasku.

Aku faham perasaan Farhin ketika itu. Dia bengang dengan aku. Aku mengerti sebagai orang yang paling rapat denganku dia juga mahukan aku turut merasai bahagia dengan melupakan sejarah silam yang tidak sepatutnya menjadi trauma lagi di dalam hidupku.

“Tentang perkara tu kau tak perlu risau sangat Maya. Kau cerita perkara yang sebenarnya kepada Firqin nanti, aku pasti kalau dia dah sayangkan kau dia akan menerima diri kau seadanya. Kau jangan nak paranoid dulu boleh tak? Aku bukan marah kau, aku cuma nak ingatkan kau, nak buka minda kau yang ketinggalan tu. Sebab aku sayang kau Maya.”

Please Maya jangan teruskan hidup macam ni lagi.” Bergenang mata Farhin ketika itu.

Aku terus memeluk bahunya. “Aku minta maaf buat kau sedih Ein. Kau yang paling faham tentang aku. Aku hargai nasihat dan kata-kata semangat kau untuk aku. Aku janji aku akan cuba.” Aku menenangkannya walau pun di dalam hati aku masih ragu-ragu dengan kata-kataku sendiri. Aku masih belum pasti adakah aku akan memberikan Firqin satu peluang atau tidak.

“Okay...kau janji tau. Kali ni aje aku nasihat kau. Lepas ni aku tak nak ambil tahu langsung dah.” Farhin berpura-pura merajuk.

Aku mencubit pipinya. “Muncung kau bukan main sedepa panjangnya. Dah macam itik aku tengok lah.” Aku mengusiknya.

Farhin memukul lenganku. “Ini original okay. Aku kan Angelina Jollie Malaysia.”

Aku ketawa. “Perasan sangat kawan aku ni. Parah dah ni.”

Telefon bimbitnya tiba-tiba berdering. Aku mencapai telefon bimbit Farhin di sebelahku. Aku sempat membaca nama Si Pemanggil.

“Azam!” Kataku agak terkejut sambil memandang Farhin.

Dia terus merampas telefonnya dari tanganku dan terus berlari-lari ke biliknya.

“Amboi! kau lagi advanced nampaknya.” Sempat aku berteriak sebelum dia hilang di sebalik pintu biliknya.

Selepas saja aku selesai membersihkan diri dan menunaikan solat isyak, aku masuk ke dalam bilik Farhin. Aku lihat dia sedang baring di atas katil, tersipu-sipu senyum sorang-sorang sambil menatap telefon bimbitnya.

Stalker gambar siapa tu?” Sergahku.

Farhin terperanjat. “Ish kau ni Maya terkejut aku tiba-tiba kau dah ada sebelah aku. Bila kau masuk?”

Aku ketawa. “Itulah khusyuk sangat tengok handphone tu sampai aku masuk pun tak sedar. Tengok apa?” Aku berminat untuk tahu.

“Menyibuk aje. Tak nak kongsi.” Farhin menyorokkan telefonnya.

“Azam kan?” Aku cuba meneka.

Farhin tersenyum. Betul lah tu tekaanku. Baru jumpa siang tadi, malam ni dah tersenyum-senyum kawan aku yang sorang ni. Dah jatuh cinta agaknya? Aku perasan juga semenjak mereka mula saling berkenalan siang tadi, aku nampak Farhin dan Azam tidak kekok untuk berbual-bual. Aku perhatikan Azam nampak berminat dengan Farhin. Itu yang aku boleh tafsirkan melalui pemerhatianku tapi tak tahulah kalau ianya benar atau tidak.

“Kitorang borak-borak biasa ajelah.” Farhin cuba berselindung.

Aku mencebik sebelum tersenyum meleret. “Iyalah tu. Aku rasa ada orang tu dah terbang tinggi ke bintang kejora sekarang ni.” Usikku.

Farhin mencubitku. Malu apabila diusik begitu. Tapi jauh dalam hatiku, aku turut tumpang gembira jika Farhin berkawan dengan Azam dan andainya mereka berjodoh satu hari nanti alhamdulillah, aku sudah tentu tumpang gembira. Tapi yang pasti aku berharap yang Farhin juga akan dapat melupakan Burhan dan segala perbuatan lelaki itu terhadapnya perlahan-lahan.

“Kami baru berkenal-kenalan Maya. Baru siang tadi kan. Pandai aje kau ni kan nak reka kisah cinta aku dengan Azam padahal yang tengah panas sekarang ni cerita kau dengan Encik Pilot tu.”

Aku sekadar tersenyum. Tiba-tiba bayangan lelaki itu kembali muncul di dalam mindaku. Dia tersenyum ke arahku. Mengingati usikannya, gurauannya dan deraian tawanya membuatkan aku tersenyum sendiri. Aku akui aku semakin tertarik dengannya. Tapi mana mungkin perempuan seperti aku layak mendampinginya. Banyak lagi gadis yang cantik dan baik yang secocok dengannya di luar sana.

Farhin menepuk bahuku. “Kau kenapa senyum sorang-sorang? Ingat Encik Pilot lah tu.”

“Mana ada lah. Esok kau ada ke mana-mana?” Soalku.

“Esok hari Sabtu aku cuti. Pagi aku tak ada buat apa-apa tapi tengah hari aku nak keluar lunch dengan kawan.” Balasnya.

Aku menghulurkan sebuah kotak kecil kepada Farhin. “Bagi ni kat Azam esok bila kau jumpa dia.” Kataku.

Wajah Farhin nampak terkejut. “Mana kau tahu aku nak keluar dengan Azam?” Soalnya pelik.

Aku ketawa. “Sebab aku rasa simptom-simptom penyakit angau dah boleh nampak bila aku tengok muka kau.”

Farhin memasamkan muka. Berpura-pura merajuk lah tu. “Kau memang kan suka usik aku.”

“Wahai kawan baikku sayang, tolong ya bagi tu pada Azam. Kata pada Azam aku minta tolong dia serahkan kotak tu pada Firqin.” Kataku sebelum aku meninggalkan biliknya.

Keesokkan harinya, seawal jam 8.00 pagi aku keluar berjoging di taman berhampiran dengan kondominiumku. Setelah membuat beberapa pusingan, aku duduk di sebuah bangku menghadap tasik berehat seketika. Tiba-tiba aku terlihat kelibat seorang lelaki memakai baju putih sedang berlari seiras Firqin. Aku amati betul-betul wajah lelaki itu, ternyata dia bukan Firqin. Aku lega.

Aku mengetuk perlahan kepalaku. Memarahi diri sendiri kerana entah bagaimana wajah lelaki itu sentiasa membayangiku sejak semalam. Kenapa dengan aku ni? Aku semakin rasa pelik dengan situasi yang aku rasakan kini. Susah untuk aku tafsirkan perasaanku di dalam hati ini. Adakah aku sebenarnya sukakan lelaki itu? Atau aku sudah jatuh cinta?

“Tak mungkinlah Maya. Berhenti dari fikir benda-benda mengarut boleh tak.” Aku bercakap sendirian.

Secara kebetulan ketika itu juga kedengaran bunyi enjin pesawat semakin mendekati. Aku terus mendongak memandang ke langit. Aku lihat sebuah pesawat terbang agak rendah melintasiku. Terus ingatanku jatuh kepada ‘dia’. Agaknya dia ada di mana sekarang ni? Hatiku berkata-kata. Aku memandang pula ke arah motorsikal yang aku letakkan berhampiran pintu masuk. Pagi tadi aku meminta Farhin menghantarku ke pejabat kerana aku ingin membawa motorsikalku ke rumah dengan kunci pendua yang aku simpan. Agaknya bagaimanalah perasaan Firqin nanti bila dia tahu yang aku telah memungkiri janji kami. Aku terlebih dulu telah mengambil motorsikalku dan memulangkan gelang miliknya melalui Azam. Pertemuan yang dia janjikan tiga hari kemudian itu juga akan aku biarkan sepi. Adakah aku terlalu keterlaluan?

Telefonku berdering. Aku menyeluk poket seluar dan menggeluarkan telefon bimbitku. Nama Amani tertera di skrin. Aku segera menekan simbol hijau menjawab panggilan itu.

“Kak Maya!” Amani menjerit di hujung talian sana.

“Adik sakit telinga akak. Jeritan awak tu nyaring tau tak.” Omelku.

Amani ketawa. “Alah adik rindu kat akak pun tak boleh. Lama kita tak jumpa kan Kak Lang. Bila Kak Lang nak ambil adik? Boleh kita keluar tengok wayang, window shopping...”

“Amboi awak tu nak exam kan bulan depan. Jangan selalu sangat keluar Nini.” Kataku.

“Kak Lang dah tak rindu adik ya? Merajuklah macam ni.” Armani mula tunjuk perangai.

Aku sudah faham benar dengan sifat manjanya. Kalau dia telefon tu adalah permintaan yang dia mahukan dariku. Selalunya dia ajak keluar saja. Aku bukan tidak mahu memenuhi kehendaknya kerana aku tahu Mama akan marah pada Amani nanti. Mama pernah berpesan pada Amani supaya menjauhiku dan Mama juga pernah menelefonku memberiku amaran yang sama.

Walau pun begitu, aku tidak boleh menolak permintaan Amani kerana aku sayangkannya. Biarlah Mama dan Kak Long tidak suka dan benci padaku. Tetapi aku akan sedih kalau Abang Bukhary dan Amani turut membenciku.

“Mula lah tu dengan merajuk dia. Kak Lang minta maaf ya. Ada apa Nini callKak Lang ni?” Tanyaku.

“Kak Lang ni tanya lagi pulak. Nini nak ajak akak tengok wayang lah. Jom lah Kak Lang, Nini bosanlah duduk rumah sorang –sorang. Abah dengan Mama tak ada. Diorang outstation.

“Abah ke mana?” Aku ingin tahu tentang perkembangan Abah.

“Ke Jepun. Lusa balik lah tu. Kak Lang jadi tak kita nak keluar ni?”

“Okay...Nini siap. Dalam sejam lagi Kak Lang datang ambik.”

Nini ketawa di hujung sana. “Tak payah datang ambik. Nini dah ada kat rumah akak sekarang. Kak Farhin yang buka pintu tadi. Sekarang ni akak yang kena cepat balik dan siap-siap.”

Bertuah punya budak. Dia sudah plan awal-awal rupanya. Mahu tak mahu aku kena setuju juga dengan permintaannya tadi kerana dia sudah standby kat rumah aku rupanya.

Petang itu selesai saja menonton wayang, kami singgah di sebuah restoran untuk mengisi perut. “Lama jugak kan Kak Lang kita tak keluar macam ni. Nini happy sangat hari ni. Kak Lang tu selalu sibuk memanjang tak ada masa untuk Nini pun. Nak harap Kak Lang balik rumah abah, Nini dah tahu mesti Kak Lang tak nak punya kan.”

“Kak Lang bukan tak nak, nanti Mama bisinglah. Kak Lang tak nak Mama bising dengan Abah nanti.” Kataku.

“Akak balik aje lah. Abah rindu kat Kak Lang tau tak. Pernah sekali masa akak hilang ke Auckland tu, Abah risau bila dapat tahu. Disuruhnya Abang Bukhary cari akak sampai jumpa. Abah tu tahu semua tentang akak. Gerak geri akak, mana akak pergi, siapa akak jumpa semua dalam tangan Abah. Itu maknanya Abah sayang kat akak tau. Kalau tak buat apa dia upah orang ikut akak.”

“Apa? Abah pasang spy ikut akak?” Aku terkejut. Nini menutup mulutnya kerana sudah terlepas cakap.

“Nini.” Panggilku agak bila adikku itu memilih untuk senyap.

“Iya betul Abah pasang spy ikut akak. Sebab akak tak balik rumah dan memilih untuk hidup sendiri. Sebab tu lah Abah buat macam tu.” Tambah Amani lagi.

“Abah marah pada Kak Lang lagi ke Nini?” Soalku.

Amani mengangkat bahunya. “Nini tak tahu sebab Nini tak nampak hati Abah. Kalau Mama dengan Kak Long tu betul lah marah pada akak. Nini pun tak faham kenapa Mama selalu layan Kak Lang dengan kasar, asyik nak marah memanjang. Tapi apa yang Nani tahu salah satu sebabnya ialah Kak Long yang selalu menghasut Mama supaya benci akak.”

“Nini tak elok cakap macam tentang orang tua. Akak tak suka.” Aku menegurnya.

“Sorry...”

Oh by the way Kak Lang adik ada berita baik. Lupa nak bagitahu Kak Lang tadi.” Amani kelihatan teruja.

“Apa dia? Berita apa?”

“Abang Bukhary nak kahwin!”

Aku terkejut. “Apa? Betul ke Nini? Kenapa Abang Bukh tak cakap apa-apa kat akak.” Aku mula terasa berjauh hati kerana aku mungkin dalam kalangan orang terakhir yang tahu berita ini.

“Abang lupa lah tu nak beritahu akak. Calon isteri Abang tu pilihan mama. Tapi Nini tak berapa suka dia.” Amani memberikan pendapatnya.

“Macam mana orangnya? Kalau Abang Bukh dah setuju tu maknanya orangnya baik lah tu.” Aku memberikan pendapatku pula.

“No. She is Kak Long’s 2.0!” Amani seakan meluat dengan wanita yang bakal menjadi isteri abangnya.

“Lama-lama akan okay lah tu. Dah abang suka, Kak Lang tumpang gembira.” Kataku.

Aku terfikir kalau benar apa yang dikatakan Amani tentang wanita itu, takkan dengan mudah Abang Bukhary boleh menerimanya untuk dijadikan seorang isteri kerana aku faham betul dengan citarasa Abang Bukhary. Wanita seperti yang dikatakan Amani itu tidak termasuk dalam senarai wanita idamannya. Mungkin ada sifat lain pada wanita itu yang membuatkan Abang Bukhary tertarik agaknya. Aku membuat andaian. Namun jauh di dalam sudut hatiku, aku bersyukur kerana akhirnya Abang Bukhary bertemu jua dengan jodohnya. Aku juga berharap yang Abang Bukhary dapat melupakan apa yang pernah aku lakukan terhadapnya iaitu meninggalkannya pada hari pernikahan kami.

Hari isnin keesokan harinya aku bekerja seperti biasa. Kembali kepada rutin di dalam studio. Hari ini aku ditugaskan oleh Aaron untuk menyemak dan membuat sebarang pindaan pada kertas kerja yang akan dibentangkan kepada klien kami The Golden Summit pada hari Rabu ini. Selain itu juga aku perlu meneliti semula rekaan-rekaanku agar jika terdapat kesilapan-kesilapan kecil aku masih punya masa untuk memperbetulkannya.

Ketika aku sedang fokus membuat pindaan lakaran di atas pelan, aku terdengar ketukan di pintu bilik studio. Aku mengangkat wajah untuk melihat siapakah gerangannya. Aku tersenyum lebar bila saja aku terlihat seorang lelaki berkot hitam berdiri di sebalik dinding berkaca bilik studio itu.

Lelaki itu sedang menutup matanya dengan sebelah tangan. Aku menjadi semakin berminat untuk melihat apakah tindakan lelaki itu yang seterusnya. Perlahan-lahan dia mengintai aku dari celah-celah jarinya. Kemudian sebelah tangannya yang lagi satu yang berada di belakangnya perlahan-lahan dikeluarkan. Sejambak bunga ros putih yang begitu cantik di mataku. Bunga kegemaranku.


Bila bersama dengan lelaki ini aku rasa selamat. Begitu selesa dan dilindungi. Ketika aku bersamanya terasa lagu When You Saying Nothing At All menyanyi-nyanyi di telingaku. Bahagianya aku terasa seperti berada di awang-awangan sambil lagu itu berkumandang melatari saluran pendengaranku. Dia teman baikku, penemanku dan satu-satunya abangku, Abang Bukhary.

“Abang Bukh!”Aku sedikit terjerit bila dia semakin menjadi-jadi mengacahku. Inilah kali pertama kami berjumpa selepas aku ke Auckland. Abang Bukhary mula sibuk sejak kebelakangan ini kerana dia akan mengambil alih tempat abah di pejabat tidak lama lagi.

“Untuk Maya.” Abang Bukhary menghulurkan jambangan bunga itu kepadaku.

Aku menyambutnya bersama sebuah senyuman. “Terima kasih abang.” Aku sudah sedia maklum Abang Bukhary tahu serba serbi tentang kesukaanku.

“Apa sebab yang buat abang datang sini cari Maya?” Aku berpura-pura merajuk kerana sudah agak lama Abang Bukhary tidak mencari ataupun menelefonku. Tambahan pula dia tidak memberitahuku tentang rancangan perkahwinannya malahan aku dapat tahu tentang itu pun dari mulut orang lain sedangkan hubungan kami berdua sangat rapat.

Aku meletakkan jambangan bunga ke dalam pasu kaca jernih yang memang aku letakkan di atas meja kecil di sudut tepi studio sebelum aku kembali menyambung kerja-kerja tadi.

“Tak boleh ke abang cari Maya? Dah Maya sibuk memanjang macam mana kita nak jumpa. Lepas tu pergi luar negara senyap-senyap tak khabar kat abang pun. Iyalah...siapalah kita ni di hati dia kan?”

Aku masih diam. Berpura-pura meneliti rekaan di hadapanku.

“Marah kat abang lah ni ya?” Abang Bukhary mendekatiku dan terus mengambil pencil dari tanganku.

“Abang minta maaf sebab tak beritahu Maya tentang rancangan perkahwinan abang. Abang sendiri pun tak berapa tahu tentang persiapan sebab Mama yang uruskan semuanya. Abang tak ada niat nak rahsiakan dari Maya.”

“Iyalah sekurang-kurangnya abang boleh call atau mesej kan? Maya tahu pun dari Nini. Kalau Nini tak cakap semalam maknanya sampai bila-bila Maya tak tahu kan. Bila tarikhnya?”

“Emm...kalau dalam perancangan hujung bulan depan. Maya kena datang ya.” Katanya.

Aku mengajak Abang Bukhary duduk di sebelahku. “Siapa nama gadis bertuah tu? Macam mana lah dia boleh cairkan hati abang ya?” Aku tersengih-sengih.

Abang Bukhary tidak terus menjawab soalanku tetapi hanya memandangku. Aku mengangkat-angkat keningku isyarat kepadanya agar segera memberi jawapan kepada soalanku tadi.

“Karmilla. Mama yang cari dan kenalkan pada abang. Abang sendiri tak pasti hati abang ni cair ke tidak.” Abang Bukhary ketawa.

Aku turut ketawa. “Abang...abang tu nak kahwin tau tak lama lagi. Kalau Karmilla dengar abang cakap macam tu mesti dia sedih. Alah Maya tahu abang mesti dah terpikat dengan dia kan, kalau tak abang tak akan setuju untuk menjadikan dia suri hidup kan.”

“Dah Maya awal-awal lagi rejected abang, jadi terpaksalah abang ikut saja pilihan mama.” Kata-kata Abang Bukhary itu mematikan senyumanku. Berubah habis wajahku.

“Maya abang bergurau aje. Don’t take that so serious.” Abang Bukhary ketawa.

“Tak ada lah abang. Abang buat Maya tiba-tiba rasa bersalah pula. Maya kan pernah buat salah pada abang. Maya minta maaf kalau abang masih terasa sampai sekarang.” Aku memandang matanya.

Abang Bukhary tersenyum sebelum dia mengusap rambutku. “Benda dah lama Maya. Abang tak nak ungkit lagi. Maya tak perlu minta maaf dari abang sebab Maya tak salah. Jadi sekarang ni buang jauh-jauh perasaan rasa bersalah tu. Jangan fikirkan sangat. Sekarang ni lebih baik kita fikir nak sarapan apa? Kat mana? Tu lagi penting. Perut abang dah bergendang-gendang ni.” Abang Bukhary melipat kertas-kertas pelan di atas mejaku sebelum dia mencapai beg tanganku.

Aku tidak mampu menolak. Aku bangun dan kami jalan seiringan keluar dari sana. Abang Bukhary membukakan pintu untukku. Sampai di luar bangunan pejabat, aku bertanya kepada Abang Bukhary. “Kita nak makan kat mana? Kafe kat depan tu aje boleh? Sebab Maya tak boleh lama-lama sangat keluar. Banyak kerja lagi kat dalam tu.”

“Abang ikut aje.” Kami terus berjalan melintasi jalan dan terus masuk ke dalam café tasse.

Aku memesan dua keping french toast dan secawan kopi panas. Abang Bukhary juga begitu. Ketika kami sedang menikmati makanan masing-masing, Abang Bukhary mengajukan satu soalan yang membuatkan aku terkedu.

“Maya dah ada boyfriend kan sekarang?”

Aku tergelak. “Mana ada lah. Dari mana datangnya soalan tu? Abang ni memang sengaja kan nak usik Maya. Jangan mengada-ada pulak abang buat cerita.” Aku mencubit lengannya.

Abang Bukhary ketawa suka bila dia melihat wajahku yang kemerahan ketika itu. “Habis tu abang tengok muka Maya makin berseri-seri sekarang ni. Mestilah abang ingat Maya sedang hangat bercinta.” Makin menjadi-jadi Abang Bukhary mengusikku.

Telefon bimbitku berdering. Tertera nama ‘ENCIK PILOT’ di atas skrin. Aku terkebil-kebil seketika sambil aku menatap skrin telefon itu. Aku tertanya-tanya sendiri apakah benar apa yang sedang aku lihat itu? Encik Pilot telefon aku!

“Kenapa biarkan? Jawablah call tu.” Suara Abang Bukhary membuatkan aku tersedar.

Aku masih berkira-kira untuk menjawab panggilan itu atau tidak. Sudahnya aku menekan punat merah. “Tak payahlah. Tak penting pun.” Balasku.

“Abang ceritalah macam mana boleh setuju dengan pilihan mama?” Tanyaku.

Namun belum sempat Abang Bukhary menjawab, telefonku berdering lagi.

“Nak abang jawabkan ke?” Abang Bukhary sudah mencapai telefonku. Aku segera merampas semula dari tangannya.

Aku menekan punat hijau di atas skrin telefon itu. “The number you have dialed is not in service. Please try again later.”Aku terus mematikan talian.

Abang Bukhary ketawa kuat sejurus saja aku menamatkan talian. Aku yang pada mulanya menahan ketawa akhirnya turut sama ketawa.

“Maya you are so naughty! Pity him.” Abang Bukhary masih lagi tidak berhenti ketawa.

Him? Abang dia bukan sesiapa okay. Maya tak nak jawab sebab Maya tengah hargai masa ’precious’dengan abang sekarang ni.”

Oh precious time dengan abang? Emm...tak pernah pun cakap macam tu sebelum ni. Ini mesti ada rahsia yang dia nak sorok ni. Tu berdering lagi telefon tu. Sah pakwe!” Abang Bukhary makin teruja mengusikku.

Panggilan dari Encik Pilot tu lagi. Kalau aku tak jawab, agaknya sampai malam nanti telefonku itu tidak berhenti-henti berdering. Aku menjawab panggilan itu.

“Hello.” Suara Firqin kedengaran di hujung sana.

“Hello. Siapa ni?’ Balasku.

“Kenapa tak jawab call saya tadi?” Tanyanya. Suaranya tidak semesra beberapa hari yang lalu ketika kami berjumpa.

Aku memandang telefon bimbitku sebentar sebelum aku kembali meletakkannya di telingaku semula.

“Err...awak call ke? Tak dengar pun.” Bohongku. Abang Bukhary ketika itu sudah mula  menyambung ketawanya apabila dia melihat aku sedang mempersendakan Si Pemanggil.

“Ya saya call banyak kali tapi suara robot pelik yang jawab.” Katanya.

Aku menutup mulutku menahan ketawaku. Takut Firqin terdengar pula. “Suara robot pelik mana pulak ni?” Aku masih lagi berpura-pura.

“Awak ada di mana ni?” Soalnya. Soalanku tadi tidak dijawab.

Aku mendapat satu akal untuk mengelak darinya. Satu idea yang aku harap dapat membuatkannya rasa bosan denganku.

“Err...Fir...qin..ssst.....saya ssst...tak dengar. Tak clear sssst....tut tut tut.” Pap! Aku terus mematikan talian.

Maya are serious? Layan pakwe macam tu sekali? Tapi yang Maya buat tadi tu sangat kelakar okay!” Abang Bukhary ketawa macam dah ingat orang sekeliling. Geli hati betullah tu.

“Dia bukan pakwe Maya. Bukan sesiapa. Hanya seorang lelaki pelik yang datang depan Maya lepas tu kata ‘I think I love you’. Abang rasa apa? Pelikkan? Jadi Maya malas nak layan.” Balasku.

Aku lihat wajah Abang Bukhary sedikit berubah. Tidak seriang tadi. “Did he really love you? You believes him? Jadi apa yang Maya kata kat dia bila dia kata macam tu? Pernah jumpa ke? Siapa nama dia? Macam mana orangnya? Kerja apa?” Inspektor Bukhary yang sebelum ini kembali lagi. Aku sudah dapat mengagak yang Abang Bukhary pasti akan tanya segala-galanya sampailah ke akar umbi. Terutamanya dalam soal hubunganku dengan lelaki.

Aku mencapai roti bakar di dalam pingganku dan terus menyumbatkannya ke dalam mulut Abang Bukhary. “Banyaknya soalan. Makan diam-diam boleh tak abangku sayang.” Aku ketawa melihat mulutnya yang comot. Aku mengelap sisa jem di tepi mulutnya dengan sehelai tisu. Abang Bukhary masih lagi memandangku tajam. Aku tahu macam-macam soalan sedang berlegar di dalam kepalanya ketika itu.

Ketika itu juga terdengar dinding kaca di sebelah meja kami diketuk-ketuk. Aku terus tersedak terbatuk-batuk terkejut dengan apa yang sedang aku lihat.

Encik Pilot! Encik Pilot! Encik Pilot! Dia tiba-tiba muncul di hadapanku! Dia mengetuk-ngetuk dinding berkaca itu lagi.

Lelaki itu berdiri di luar kafe. Betul-betul di sebelahku! Panahan matanya tajam menikam wajahku. Dia memandangku dan Abang Bukhary silih berganti. Kemudian dia mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya dan aku lihat dia menekan-nekan skrin telefonnya. Beberapa saat kemudian, telefon bimbitku kembali berdering. Namanya tertera!

Firqin memberiku isyarat supaya menjawab panggilannya itu. Perlahan-lahan aku pegang telefon bimbitku dan menjawab panggilannya itu.

“Phone awak berfungsi dengan baik rupanya. Awak boleh dengar suara saya tak Maya?” Dia memandangku. Dia senyum. Tapi senyumannya itu tidak menyenangkan hatiku. Aku mengangguk.

“Him?”Abang Bukhary bertanya. Wajahnya juga kelihatan pelik. Turut terkejut dengan reaksi Encik Pilot.

Aku mengangguk lagi. Abang Bukhary ketawa lagi. Dia senyum memandang Firqin sebelum kembali memandangku. “Abang pasti hidup Maya akan jadi lebih menarik lepas ni.”

“Jadi Cik Maya Ariana boleh kita bercakap?” Lelaki itu menyoalku.

Aku diam. Memandangnya dan Abang Bukhary silih berganti.

“Atau awak nak saya masuk? Boleh jugak saya memang tengah lapar ni.” Firqin yang tidak menyabar itu terus berjalan untuk masuk.

No! Tunggu kat luar kejap. Saya keluar sekejap lagi. Dia tetamu saya.” Kataku sebelum mematikan talian.

Aku memandang Abang Bukhary. Baru saja aku mahu membuka mulut, Abang Bukhary terlebih dahulu membuka mulut. “Abang tak nak pergi mana-mana. Abang tengah breakfast sekarang kan. Abang nak jumpa lelaki itu. Panggil dia masuk.” Kata Abang Bukhary selamba sebelum dia menghirup kopinya.

Aku terkedu. Abang Bukhary memandang Firqin tajam. Firqin juga begitu. Dia memandang Abang Bukhary dengan pandangan yang berbeza. Dua-dua saling tidak mahu mengalah.

Aku terkedu. Apakah yang harus aku lakukan? Jerit hatiku.



                                                                   


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.