Aku cuba membuka
pintu kereta untuk keluar namun lelaki di sebelahku lebih pantas menutup pintu
itu balik. Dia juga dengan selamba menarik tali pinggang keledar dan
memasangnya untukku.
“Saya nak keluar. Kalau
Encik terus mengarut macam ni, macam mana nak selesaikan hal kereta. Saya dah
banyak kali kata tadi yang saya mampu bayar. Yang Encik nak risau sangat takut
saya tak mampu nak ganti rugi tu kenapa?” Marahku.
Dia mendengus. “Kita
tengah selesaikan hal kereta lah ni. Kau ingat aku suka-suka nak bagi kau naik
kereta aku lepas tu nak bawak kau jalan-jalan? Dalam mimpi boleh lah!”
Aku menjelingnya. “Dah
tu Encik ingat saya suka Encik buat saya macam ni? Encik ni sakit jiwa ya, baru
keluar dari hospital mental.” Balasku pedas.
Izzaz mengetap
bibirnya. Aku memberanikan diri membalas renungannya. “Aku sakit jiwa dari
hospital mental?” Dia menyoal sambil menuding ke arah dirinya sendiri.
Aku mengangguk. “Iyalah.
Kalau tidak Encik tak mengarut macam ni. Nak suruh saya menyamar jadi adik
Encik pula. Saya ni banyak urusan lagi yang perlu saya selesaikan segera. Saya tak
boleh nak buang masa lama-lama dengan Encik. Macam ni lah Encik bagi nombor
telefon pada saya, saya janji yang saya akan bayar jumlah kerosakan kereta ni
nanti bila saya dah selesai hal penting saya tu.” Aku bernada memujuk. Berharap
Encik Izzaz memahami situasiku.
“Kenapa pula aku
perlu ikut arahan kau? Siapa yang salah dalam kemalangan ni sebenarnya?” Suara sinisnya
semakin menjengkelkan aku.
“Aku dah bagi kau tawaran baik ni kan. Kau tak
perlu untuk bayar ganti rugi kereta aku ni. Aku cuma minta kau menyamar jadi
adik aku je. Senang aje kan, tak perlu keluar modal. Berbaloi apa.” Izzaz Si
Lion King masih tidak berputus asa memaksaku menerima tawarannya.
“Berbaloi? Encik
ganti rugi kerosakan kereta Encik ni pun paling kurang tiga
ribu ringgit aje. Sedangkan tawaran yang Encik katakan tadi, apa menyamar jadi adik bagai tu
besar tau. Saya tak nak terlibat dalam penipuan.”
“Aku tak suruh kau
menipu lah!” Jerkahnya. Bingitnya telinga aku. Dia ni pekak ke apa nak kena
cakap kuat-kuat?”
“Habis menyamar
dengan menipu tu maksud perbuatan tu tetap tak elok bukan?” Bidasku.
“Menjawab? Kau memang
suka menjawab kan. Penat lah cakap dengan kau ni. Buat aku hilang sabar.” Izzaz
membuka tiga butang atas kemeja di tubuhnya.
“Jadi boleh ke Encik
Izzaz saya selesaikan urusan saya dulu? Saya janji nanti saya akan contact
Encik untuk bayar. Kejap! Kereta saya mana?” Soalku cemas. Aku memerlukan
keretaku untuk berjumpa Norzie.
Namun Encik Izzaz
buat tak tahu saja. “Hello!” Jeritku.
“Wei sakitlah
telinga.”
“Kereta saya mana? Saya
benar-benar perlu kereta saya sebab saya ada hal penting. Saya kena berkejar ke
sana sekarang juga.” Pintaku. Mataku berkaca tatkala wajah Norzie dan
anak-anaknya terbit di dalam kepalaku. Dan arwah Akmal juga.
“Aku tak akan bagi
selagi kau tak setuju dengan tawaran aku.” Lelaki sombong itu membuang
pandangan ke luar tingkap. Angkuh! Tidak ada sedikit pun rasa kasihan
terhadapku walau pun aku telah merayu kepadanya.
Airmataku merembes
keluar. Apalah nasib aku agaknya kebelakangan ini? Kenapa lelaki ini pula hadir
dalam hidup aku untuk menyeksaku. Aku teresak-esak menangis. Tidak mampu menahan kesakitan
yang ada di dalam hati lagi. Aku betul-betul melepaskan kesakitan yang sedang
aku tanggung. Aku sudah tidak kira apa anggapan lelaki yang berada di sebelahku
itu. Lelaki tiada hati nurani, angkuh dan sombong macam tu memang tak faham
soal hati.
“Hei..hei kau ni dah
kenapa? Err...err berhenti menangis. Aku akan ikut permintaan kau tu. Tapi takkan
aku marah macam tadi kau nak nangis teruk macam ni? Dah lah tu, orang nampak nanti apa mereka sangka pulak. Aku ambik kesempatan kat kau pulak. Kau jangan,
jadi kes karang.” Suaranya tidak sekeras tadi.
“Kereta kau kat
bengkel. Aku suruh kawan aku tow. Kereta kau tak boleh hidup malam tadi. Apa yang
penting sangat hal kau tu sampai menangis macam ni?” Serius soalannya.
Perlahan-lahan anak
mataku memandang wajahnya. “Kawan saya bunuh diri semalam sebab dia tak dapat
nak bayar hutang Along. Sekarang ni isteri dan anak-anaknya dalam kesusahan. Saya
nak bantu mereka. Saya perlukan kereta saya untuk bantu Norzie uruskan
pengkebumian suaminya dan juga cari duit untuk bayar lintah darat. Sekarang Encik
boleh faham tak keadaan saya?” Aku mengesat airmata yang tidak mahu berhenti
mengalir.
Wajah Encik Izzaz
nampak terkejut ketika itu. Agak lama dia memandangku. Mulutnya bagaikan mahu
mengatakan sesuatu, tetapi tidak terluah. Tidak lama kemudian, lelaki itu
menghidupkan enjin keretanya dan mula memandu keluar dari hospital.
Baru saja aku ingin bertanya
ke mana dia mahu membawaku, Encik Izzaz
terlebih dahulu memberi jawapannya. “Alamat kawan kau tu kat mana? Aku hantar
kau ke sana.”
“Mana?” Tanyanya lagi
bila aku masih diam.
“Bukit Tinggi, Klang.”
Jawabku.
Aku bagaikan tidak
percaya yang Mr. Lion King + Sombong ni mahu menolong aku. Tapi muka dia memang
memanjang serius ajelah. Walau pun begitu dalam hati aku berterima kasih
kepadanya kerana sudi membantuku.
Aku hanya menjadi
pemerhati setiap tindakan lelaki di sebelahku. Dia menelefon beberapa orang
sejak dari dia memandu keluar tadi. Aku memasang telinga walau pun aku
berpura-pura memandang ke arah luar.
“Helmi aku perlukan
kau, Man dan Dean sekarang. Ada hal penting. Aku send alamat kejap lagi. Korang tunggu kat Klang.” Terus dimatikan
talian setelah satu arahan diberikan.
“Err...Encik....”
Panggilku teragak-agak.
“Emmm...”
“Terima kasih hantar
saya ke sana. Agak-agak kereta saya siap bila ya?” Aku berlembut lidah kali
ini. Tanda berterima kasih kerana lelaki itu sudi menghantarku ke rumah Norzie
walau pun saki baki meluat masih ada di dalam hati terhadapnya.
“Entah. Mana lah aku
tahu, aku bukan mekanik. Nanti dah siap aku call kau. Ni masukkan nombor
telefon kau dalam ni.” Mr. Lion King menghulurkan iPhone 6S nya kepadaku.
“Tak apa ke saya
pegang telefon...”
“Ish...pegang aje
lah. Apa masalahnya.” Pintasnya.
“Password apa?” Soalku.
Pantas direntap
telefon bimbintya kembali. Setelah dia menekan sesuatu di atas skrin, telefon
itu bertukar tangan kembali. Aku segera masukkan nombor telefonku beserta nama,
lalu aku simpan di dalam log nama di dalam telefon bimbitnya. Aku kembali ke
skrin, mataku terlihat sesuatu. Wallpaper telefon bimbitnya. Gambar lelaki itu
dengan seorang wanita yang aku rasa mungkin ibunya. Lama aku renung wajah
wanita itu. Terbit sesuatu di dalam kepalaku.
“Seiras kan? Wajah kau
dengan wanita dalam tu.” Suara garau itu mematikan lamunanku. Memang benar. Itulah
yang terbit di dalam mindaku sebentar tadi. Wajahku dengan wanita di dalam skrin
telefon bimbit itu begitu seiras. Spontan bibirku mengukir senyuman. Agak-agaknya
bila aku dah berusia nanti, macam ni mungkin rupa aku.
“Apa yang kau
sengihkan tu? Kutuk gambar aku lah ya. Itu umi aku.”
“Umi Encik? Cantiknya.”
Pujiku ikhlas. Memang betul pun. Walau pun usianya mungkin dalam lingkungan 50
an, namun dia masih nampak cantik dan elegan walau pun bertudung. Kulitnya cantik,
tidak berkedut malah putih mulus. Senyumannya mencairkan hatiku.
“Memang cantik, malah
orang yang paling baik dalam dunia ni. Kalau kau menyamar jadi adik aku,
dapatlah kau jumpa dengan Umi.” Aku menoleh memandang Encik Izzaz. Ternyata permintaan
gila itu belum hilang dari mindanya lagi. Aku jadi tertanya-tanya kenapa pula
dia minta aku untuk menyamar jadi adiknya pula? Pelik juga aku dengan
permintaan lelaki ini. Cari adik atau anak kepada ibunya? Entah. Malas aku nak
fikir. Lantas telefon bimbit itu aku hulurkan kembali kepadanya.
“Kau betul ke nak
jumpa dengan lintah darat? Ingat kau tu perempuan. Bahaya!” Ujar lelaki itu
tetapi aku tak pasti itu nasihat ataupun sekadar untuk menakut-nakutkan aku saja.
Aku diam. Kerana aku
sendiri tidak pasti adakah aku berani dan bersiap sedia untuk berhadapan dengan
lintah darat tersebut dengan tangan kosong. ‘Silap-silap nanti kau yang kena
jual Maya.’ Suara dalam diri pula yang menakut-nakutkan aku. Aku menelan liur.
“Entah.” Ujarku ringkas.
Encik Izzaz menoleh
memandangku. Wajahnya nampak terkejut sebelum dia tergelak sinis. “Entah? Kau ni
biar betul? Kau ingat lintah darat tu apa. Kawan-kawan yang boleh diam bila kau
bagi diorang gula-gula. This is not simple
matter, this is serious ! Do you think they are good people? Do you?”Soalnya.
Aku menggeleng. Agak ambil
berat juga lelaki ini walau pun kata-kata dan perlakuannya kasar. Ini mungkin
caranya agaknya. Aku sekadar membuat andaian.
“Habis tu kau datang
nak serah diri macam tu aje. Berapa hutang kawan kau yang kau nak langsaikan
tu?”
Aku melepaskan
keluhan. “Tiga puluh ribu. Err... sebenarnya lima puluh ribu tapi saya dah bagi
dua puluh ribu pada Norzie, isteri arwah Akmal semalam. Kalau saya tak dapat
cari baki hutang yang selebihnya hari ini juga, saya tak boleh jamin apa yang
akan jadi pada Norzie dan anak-anaknya. Saya nekad saya akan jumpa lintah darat
tu dan saya akan bayar hutang tu secara ansuran.” Ceritaku.
“Kau sanggup nak
tanggung hutang tu?” Encik Izzaz pandang aku. Riak risau terpamer di wajahnya.
Aku mengangguk lagi.
“Maya Ariana...ini
bukan soal main-main. Kau nekad ke nak gadai seluruh hidup kau untuk tanggung
beban orang lain? Ini bukan hal mudah tau. Ini soal masa depan. Nak selama-lamanya
kena kejar dengan lintah darat?” Lelaki itu terus-terusan provokasi terhadapku.
“Habis tu saya nak
buat macam mana lagi. Dah macam-macam cara saya cuba usahakan tapi tak menjadi.
Takkan saya nak biar kawan baik saya dan anak-anak dalam kesusahan. Malahan orang
yang berjanji nak bantu saya pun tak muncul dan tunaikan janji.” Aku sebak
ketika wajah Firqin terbayang di ruang mata. Aku mula rasa marah.
“Apa lagi cara yang
awak ada sekarang ni?” Soalnya lagi.
“Entah, saya buntu.” Aku
berterus terang. “Atau mungkin cara terakhir jadi isteri nombor dua Datuk. Saya
mintalah hantaran tiga puluh ribu.” Tidak berperasaan aku menuturkannya.
“Kau serius ke? Kalau
betul apa salahnya. Tapi buat apa cari yang tua? Cari lah yang muda, hensem,
bujang. Macam aku...” Aku terperanjat dengan cadangan Mr. Lion King.
“Dengan Encik?”
“Dengan aku lah. Jadi
isteri aku lepas tu aku bagi kau tiga puluh ribu tunai!”
Aku telan liur. Dia ni
biar betul?