Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,085,212
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
-Teaser Bab 43 - Maya Kecewa Lagi

             “Jadi Izzaz adalah orangnya yang bakal jadi suami awak?" FIRQIN


“Kenapa awak pandang aje makanan tu? Tak sedap ke, kalau tak kita order lain.” Suara Firqin mematikan lamunanku. Aku menggeleng.

“Lama kita tak makan dekat kafe ni kan Maya? Dulu selalu kita ke sini bila ada masa. Kalau diimbas kembali sebenarnya banyak kenangan kita berdua di tempat ini kan.” Firqin bagaikan sengaja mahu aku mengingati memori kami berdua dahulu.

Aku sekadar melemparkan senyuman dan terus mencapai gelas yang berisi jus tembikai di hadapanku. Seboleh-bolehnya aku cuba mengelak dari bertembung mata dengannya. Aku rasa takut, aku rasa terperangkap dan rasa panik untuk berhadapan dengannya dan soalan-soalan yang bakal keluar dari mulutnya yang pastinya tentang kontrak itu.

“Jadi Izzaz adalah orangnya yang bakal jadi suami awak? Orang yang awak kata sudi bantu awak masa awak perlukan duit dulu?” Firqin mula menyoal aku tentangnya.

Aku hanya memandang wajahnya sambil menelan liur yang terasa begitu pahit. Aku tidak tahu sama ada aku perlu mengaku hal sebenar di hadapannya atau terus menyimpan rahsia ini darinya.

“Maya...awak tak perlu takut. Cerita saja semuanya pada saya. Kenapa awak takut kalau Izzaz dapat tahu yang saya sebenarnya sudah mengetahui rancangannya? Percayalah dia tak akan berani untuk apa-apakan awak selagi ada saya di sisi awak.” Kata-katanya itu membuatkan aku bertambah terkejut.

“Maksud awak apa Kin? Izzaz akan apa-apakan saya? Dan sejak bila pula awak ada di sisi saya?” Aku pula yang kembali menyoalnya.

Entah mengapa aku rasa bengang pula mendengar kata-katanya itu. Sudahlah tiba-tiba saja muncul di dalam hidupku semula, kemudian dia bagaikan sedang menuduh Izzaz akan mengapa-apakan aku sedangkan dia tidak tahu apa-apa pun. Bagi aku mungkin Izzaz tu kasar orangnya tapi hatinya baik. Lagi satu mudahnya Firqin kata yang dia ada sisi aku, sejak bila ya? Aku tidak rasa dia ada di sisi aku sejak dia meminta agar hubungan kami putus dan tidak mahu berjumpa di antara satu sama lain lagi.

Firqin menguntum sebuah senyum untukku. “Saya minta maaf Maya kerana selalu menyakiti awak dengan tindakan terburu-buru saya. Saya sedar yang tak sepatutnya saya cakap macam tu pada awak ketika kali terakhir kita jumpa dulu. Saya menyesal selepas saya buat awak sedih dan tinggalkan awak kat tepi jalan tu. Saya buntu, saya tertekan dengan masalah kerja masa tu sampai saya dah tak boleh berfikir tentang hubungan kita. Saya sayangkan awak Maya, perasaan saya tak pernah pudar untuk awak.” Firqin mencapai tanganku di atas meja.

Bulat mataku memandang tangannya yang sedang menggenggam lembut tanganku. Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang sedang aku dengar ketika itu. Firqin sedang meluahkan perasaannya kepadaku dan memohon maaf dariku. Aku tidak bermimpi kali ini kerana lelaki itu benar-benar mahu kembali kepadaku. Akhirnya apa yang aku harap-harapkan selama ini bakal menjadi kenyataan. Aku menguntum sebuah senyuman untuknya.

“Saya yang patut minta maaf pada awak Kin sebab dah tuduh awak macam-macam dulu. Saya tak bagi awak ruang atau peluang untuk memberi penjelasan. Saya sedar saya pentingkan diri masa tu.” Aku mengakui kesilapanku di hadapannya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------


                                            “Awak cintakan Izzaz ke?” FIRQIN

“Saya tahu semuanya Maya. Saya jumpa kontrak ni masa saya pergi ambil barang-barang lama saya di rumah sepupu saya pagi tadi. Saya terjumpa kertas-kertas ini di dalam bilik Iz secara tak sengaja Maya.” Firqin mengeluarkan beberapa keping kertas yang pernah aku tandatangani tidak lama dulu.

“Saya terkejut bila baca kontrak ni. Pada mulanya saya yakinkan diri saya yang nama yang tertulis dalam kontrak tu bukan awak. Tapi sangkaan saya tu terbukti benar bila saya terjumpa gambar awak sekali. Saya datang ke sini cari awak sebab saya tak nak perkara yang tak betul ni terus berlanjutan. Saya tak nak awak terima Izzaz dan apa pun permintaannya yang tak masuk akal tu Maya. Saya minta awak jangan setuju untuk kahwin dengannya.” Firqin nampak serius ketika itu.

Berkerut dahiku apabila mendengar Firqin berkata sebegitu. Dari cara dia bercakap, Firqin bagaikan sedang menyembunyikan sesuatu dariku iaitu sesuatu tentang sepupunya.

“Apa maksud awak bila awak kata tak nak perkara tak betul ni berlanjutan? Saya tak faham Kin.” Kataku.

Firqin nampak sedang berfikir ketika itu. Dia kelihatan resah dan serba salah. Beberapa kali dia meraup wajahnya di hadapanku. Aku pula yang mula rasa panik melihat reaksinya itu.

“Kin awak okay ke? Awak nampak lain aje ni?” Soalku lagi.

Firqin memandang wajahku sebelum dia mula berbicara. “Maya saya minta awak bersabar dan bertenang bila dengar apa yang bakal saya katakan ni ya.” Pintanya.

Aku mula panik. Aku pasti ada sesuatu yang sedang disembunyikannya sejak tadi dan kini dia bakal keluarkan rahsia tersebut di hadapanku ketika itu juga. Dalam resah, perlahan-lahan aku mengangguk.

“Tapi sebelum tu, saya nak pastikan satu perkara dengan awak Maya. Saya harap awak mengaku dengan jujur. Boleh?” Firqin nampak begitu serius dengan soalan ini.

“Apa dia?”

“Awak cintakan Izzaz ke?” Soalannya itu terus membuatkan aku terkedu.

Aku menggeleng. “Tak. Saya tak ada apa-apa perasaan istimewa pun terhadapnya. Saya hanya anggap dia sebagai seorang kawan atau mingkin kenalan saya. Saya baru kenal dia Kin.” 

Firqin tersenyum lebar. Dia nampak lega dengan jawapan yang aku berikan itu. Tanganku kembali diraihnya. Bagaikan tidak mahu dilepaskannya lagi.

“Maya, sebenarnya hubungan saya dan Izzaz dah lama renggang disebabkan satu kejadian beberapa tahun yang lalu. Kami memang rapat sejak kecil sehinggalah dewasa, malahan kami berkongsi minat dan cita-cita yang sama iaitu terbang di awan biru. Sampailah satu ketika kami berdua bergaduh dan sejak tu kami memang tidak pernah berbaik dan jarang sekali untuk berjumpa.” Aku mendengar ceritanya dengan fokus.

“Apa yang buat hubungan awak dan Izzaz renggang? Serius sangat ke hal tu sampai bertahun-tahun kamu berdua tidak bertegur?” Soalku.

Kali ini Firqin nampak teragak-agak untuk memberi jawapan kepada soalanku. “Kerana Amera.”

“Amera?” Aku terkejut.

“Apa kaitan Amera dengan Izzaz pulak? Saya tak fahamlah Kin.” Tambahku.

Tiba-tiba aku rasa meluat kerana nama itu yang selalu disebut-sebut sepanjang aku kenal dengan Firqin. Bengang kerana hanya nama Amera selalu meniti di bibirnya, malahan hatiku jadi sakit tiba-tiba apabila teringatkan kejadian yang berlaku di Auckland dulu iaitu Firqin menolakku kerana Amera dan baru-baru ini Firqin hampir bernikah dengan orang yang sama iaitu Amera. Dah tak ada orang lain ke yang nak ganggu hidup aku selain perempuan tu.

“Amera tu adalah kawan kami berdua sejak kecil. Saya dan Izzaz sukakan orang yang sama iaitu Amera. Tapi bila Amera pilih saya, Izzaz kecewa. Dia tuduh saya rampas Amera darinya. Sejujurnya Maya kalau saya tahu Iz ada hati pada Amera, sejak dari awal lagi saya dah undurkan diri.” Cerita Firqin itu betul-betul membuatkan aku bertambah terkejut.

“Izzaz suka Amera? You all berdua suka orang yang sama?” Aku masih tidak percaya dengan kata-kata Firqin itu.

Firqin mengangguk. “Kerana itu hubungan kami renggang. Saya ingatkan Iz dah boleh terima kenyataan setelah bertahun-tahun lamanya hal itu berlalu. Malahan setelah saya dan Amera putus pun, dia masih rasa yang saya telah mengkhianati persahabatan kami.”

“Jadi apa kaitannya dengan saya kalau betul pun Izzaz suka pada Amera. Saya rasa saya langsung tak ada kena mengena dalam hal cinta tiga segi you all ni.” Aku bertambah meluat mendengar yang Firqin dan Izzaz pernah berebut perempuan yang sama.

Aku bukan cemburu jauh sekali iri hati. Aku cuma hairan tidak ada perempuan lain ke yang mereka berdua rebutkan sebagai contoh yang lebih sopan apabila berkata-kata dan tidak sombong macam Amera tu. Aku akui sebenarnya aku marah kerana Amera pernah cari pasal dan mencercaku tidak lama dahulu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

                                                     "Sampai hati dia." Maya


"Gunakan saya? Izzaz Rayqal tu? Sebab dendam pada awak kerana Amera pilih awak? Kin awak jangan nak mengarut dengan saya boleh tak?” Aku sedikit meninggi suara. Aku tidak faham apa yang Firqin sedang ceritakan kepadaku ketika itu.

“Sebab dia tahu saya sayangkan awak. Saya batalkan pernikahan tu kerana awak.” Jawab Firqin.

“Jadi Izzaz mengekori saya sebenarnya?” Firqin mengangguk. Aku mula faham duduk cerita ini. Rasa luluh hati ini apabila menyedari yang selama ini aku dipermainkan oleh Izzaz. Aku menggeleng-geleng tidak percaya.

“Saya tak percaya Iz buat macam tu pada saya. Dia nampak baik di mata saya dan masa dia tolong Norzie tak nampak pun dia ada agenda lain. Apa bukti awak yang Izzaz hanya gunakan saya sebab dendam pada awak?” Aku cuba menyedapkan hati sendiri.

“Azura, setiausaha Izzaz. Dia kawan adik saya. Sebelum ke sini, saya ke pejabat Izzaz untuk bersemuka dengan sepupu saya tu tapi dia tiada. Azura tahu semuanya. Saya yang paksa dia cerita segalanya yang dia tahu pada saya, tentang rancangan Izzaz pada awak.”

Aku melopong mendengarnya. Patutlah semasa aku ke pejabat Izzaz tempoh hari Azura pandang aku lain macam benar.

“Kali pertama awak jumpa Iz pada hari yang sama Akmal meninggal dunia kan? Kemalangan?” Kata-kata Firqin itu membuatkan tubuhku terus menggigil.

“Macam mana awak boleh tahu Kin?”

Agak lama Firqin memandangku. Mata beningnya itu merenungku sayu. “Maafkan saya kerana tak dapat lindungi awak. Saya yang bersalah pada dia dan sepatutnya saya yang harus tanggung akibatnya, bukan awak yang terpaksa tanggung akibatnya Maya.”

“Apa Kin? Cerita pada saya macam mana awak boleh tahu saya dan Izzaz berjumpa sewaktu kemalangan tu?” Aku tidak sabar menunggu jawapan keluar dari mulutnya.

“Azura kata pada saya yang kemalangan tu sebenarnya Iz yang rancang supaya dia dapat kenal dengan awak.” Aku rasakan sebuah batu yang besar sedang menghempap diriku ketika itu sampaikan aku rasa aku tidak boleh bernafas dengan betul lagi.

Menggigil-gigil bibirku menahan tangisan yang bakal meledak bila-bila masa saja. Aku genggam kuat kedua-dua belah tanganku menahan amarah yang kian memuncak terhadap lelaki yang sedang menggunakan aku kerana dendamnya pada orang lain. Aku tiba-tiba jadi sangat marah pada Izzaz dan juga Firqin kerana melibatkan aku sebagai mangsa di dalam permainan cinta mereka. Aku rasa ketidak adilan sedang terjadi ke atasku ketika itu. Aku tidak salah apa-apa pada mereka berdua tapi mengapa aku dilibatkan dalam masalah mereka. Sepatutnya Amera lah yang dijadikan mangsa bukan aku!

“Sampai hati Iz buat saya macam ni. Dia tak sedar ke risiko rancangan dia tu boleh membunuh saya ataupun dia malam tu.” Airmataku mula merembes keluar. Aku benar-benar kecewa dengannya.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

               "Saya sudah terlalu kecewa dan pintu hati saya ini dah tertutup" MAYA

Aku mencapai beg tanganku dan menyandangnya. “Saya tak nak terlibat dalam drama gila awak dan Izzaz ni lagi. Jangan libatkan saya lagi. Kerana awak dan Izzaz telah banyak melukakan hati saya sampai dah tak ada ruang yang elok lagi yang tinggal. Hancur hati saya ini disiat-siat oleh Izzaz dan awak Kin. Saya minta awak atau pun sepupu awak tu jangan berani-berani lagi tunjuk muka depan saya lagi buat selama-lamanya. Saya sudah terlalu kecewa dan pintu hati saya ini dah tertutup untuk awak Kin, Izzaz atau sesiapa pun kerana yang berhak ke atas hati saya ni hanya diri saya sendiri. Saya tak akan benarkan sesiapa pun lagi menyakiti atau melukai saya sampai bila-bila.” Wajah Firqin aku pandang tajam bersama perasaan marah yang tidak dapat aku gambarkan. Bagi aku Firqin juga terlibat secara tidak langsung di dalam hal ini, kalau tidak Izzaz tidak akan mencariku dan melakukan aku sebegini teruk. Aku nekad akan bersemuka dengan lelaki itu sendiri!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.