Bab 1Malam ini, kawasan hadapan rumah
banglo mewah tiga tingkat milik Datuk Aziz yang terletak di Setapak, Kuala
Lumpur kelihatan sesak dengan kenderaan yang menyusuri masuk ke kawasan parkir
yang disediakan khas. Datuk Aziz Zamri dan Datin Aini Khairiah kelihatan sangat
gembira menerima kehadiran tetamu-tetamu yang terdiri dari kawan-kawan rapat,
sanak saudara dan jiran tetangga. Kenduri doa selamat yang diadakan di rumah
mereka malam ini adalah bersempena pemergian mereka ke tanah suci untuk
mengerjakan umrah pada minggu hadapan.
Dengan berpakaian lengkap sepasang
baju Melayu berwarna kelabu, Datuk Aziz kelihatan segak dari pandangan orang
seusianya. Rambut yang lebat hitam dan tersikat kemas, tersorok sedikit di
sebalik songkok hitam yang dipakai. Sekali pandang, tidak ubah seperti seorang
pengantin lelaki yang akan menjabat tangan tok kadi untuk bernikah. Sebagai
seorang Ahli Dewan Rakyat dan juga usahawan yang telah berjaya di dalam
perniagaannya, Datuk Aziz memang mempunyai ramai kenalan terutamanya
teman-teman golongan VVIP yang berpangkat Dato’ malah rombongan mereka ke tanah
suci ini juga hanya terdiri dari golongan-golongan VVIP yang berkehidupan
mewah. Rombongan mereka juga telah
melantik sebuah syarikat pelancongan terkenal untuk menguruskan semua urusan
mereka di Mekah termasuk pemilihan hotel dan merancang semua aktiviti di sana.
Datin Aini juga kelihatan sangat
gembira berpelukan dan berlaga pipi tiga kali dengan kawan-kawannya yang baru datang
meraikan mereka. Mengekeh-ngekeh mereka ketawa apabila berbual. Ucapan tahniah
tidak putus-putus diterima seolah-olah mereka baru menang hadiah yang sangat
berharga dan bukannya untuk berasa lebih tawadduk kerana akan berangkat ke Tanah
Suci.
Pada malam itu, Datin Aini
mengenakan abaya Arab berwarna hitam berpotongan payung dipenuhi dengan hiasan
manik dan labuci. Abaya itu dipadankan pula dengan shawl panjang yang hanya
menutupi bahagian tengah dan belakang rambutnya. Bahagian hadapan rambut yang
keperangan dibiarkan mengintai dari celahan shawl hitam yang juga sarat dengan
sekuin dan labuci. Berkulit putih kemerahan dengan wajah yang jelita walaupun
usia telah menjangkau 45 tahun, ramai yang meneka bahawa Datin Aini berdarah
Cik Siti Wan Kembang. Namun dinafikan dengan senyuman menguntum di bibir kerana
tekaan itu satu pujian sebenarnya.
Sejak dua minggu yang lepas, Datin
Aini dan kawan-kawannya telah mula membeli belah keperluan-keperluan mereka
untuk dibawa ke Mekah. Jubah-jubah berwarna hitam serta tudung kepala telah
banyak dibeli termasuk beg-beg pakaian yang baru. Datin Aini teringat
perbualannya dengan Datin Suhaili dua minggu yang lepas semasa membeli belah di
Bukit Bintang.
“Eh Aini...you rasa sekarang ni di Mekah musim sejuk ke panas ya?” tanya Datin
Suhaili sambil membetulkan selendang yang hampir melurut ke bawah lalu
mendedahkan rambut yang baru sahaja diwarnakan hitam semula.
“I rasa sekarang ni dah sejuk kot,
maklumlah dekat hujung tahun kan,” jawab Datin Aini sambil membelek-belek beg
kertas yang diletakkan di sebelahnya. Dia mahu memastikan bahawa semua
barang-barang yang dirancang untuk dibeli sebelum keluar dari rumah tadi
telahpun diperolehi.
“Baguslah kalau macam tu kan. Nanti
kalau panas sangat tak tahan 1,” getus Datin Suhaili lagi. Berkerincing bunyi
gelang tangan emas yang berselirat apabila dia menggerakkan tangannya yang
putih dan gebu.
“Tu lah sebab kita pilih hujung
tahun kan...,” jawab Datin Aini lagi disertai dengan jelingan panjang penuh
makna tersirat. Kata-kata Datin Aini disambut dengan senyuman malu-malu kucing
kerana sedar bahawa tujuan utama mereka bukanlah semata-mata untuk beribadah
tetapi lebih kepada tidak mahu kalah dengan kawan-kawan lain yang telah lebih
dulu ke sana. Selain itu mereka juga ingin menambahkan bilangan negara luar
yang telah dilawati serta tidak dapat
menafikan niat terselindung mereka iaitu untuk membeli belah di negara Arab yang tidak kurang hebatnya dengan
barang-barang jualan yang menarik dan murah.
Datuk Aziz juga tidak kurang
galaknya bersembang dengan rakan-rakan VVIP nya berkenaan perancangan mereka ke
tanah suci. Berdekah-dekah mereka ketawa apabila ada topik yang dibual
melucukan. Sebagai seorang usahawan, tidak lengkap jika topik mengenai
permainan golf tidak menjadi bualan mereka. Ketawa mereka semakin kuat apabila
cerita tentang Dato’ Rashid yang terlentang di padang akibat licin semasa sedang
memukul bola ditimbulkan oleh Dato’ Kamal. Berjumpa dengan kawan-kawan
menyebabkan Datuk Aziz lupa sebentar tujuan utama majlis yang mereka adakan
pada malam ini iaitu memohon keselamatan dan keberkatan ibadah yang akan mereka
akan jalani semasa di Mekah nanti.
Kehadiran Ustaz Bahari yang akan
mengetuai majlis doa selamat itu menghentikan serta merta perbualan mereka.
Datuk Aziz segera menyambut salam yang dihulurkan oleh Ustaz Bahari. Segera
dijemputnya ke tengah rumah di mana ramai tetamu sudah duduk bersila untuk
memulakan majlis. Datuk Aziz berbual sebentar dengan Ustaz Bahari untuk
memaklumkan tujuan majlis diadakan dan doa-doa yang mereka mahu Ustaz Bahari
bacakan. Kelihatan Ustaz Bahari mengangguk beberapa kali, sesekali disulami
pula dengan senyuman dan gelak kecil.
Setelah Ustaz Bahari bersedia,
majlis dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah dan seterusnya zikir dan wirid. Para
tetamu wanita turut serta di dalam bacaan wirid tetapi duduk berasingan lebih
jauh ke belakang di ruang tamu kedua. Sedang Ustaz Bahari khusyuk berzikir,
tiba-tiba pandangan mata para tetamu ditarik ke arah ke pintu masuk utama.
Ustaz Bahari juga tidak dapat lari dari turut melihat tetamu yang hadir. Datuk
Aziz sangat terkejut kerana tetamu itu tidak lain tidak bukan adalah anak gadis
mereka iaitu Ellyssa. Jika tidak dimaklumkan pun, semua orang sudah dapat
meneka siapa gadis itu kerana wajah jelitanya diwarisi sepenuhnya dari wajah
Datin Aini. Dengan berpakaian sukan serba ketat warna biru lembut, Ellyssa
perlahan-lahan masuk ke dalam rumah lalu terus menuju ke tangga untuk naik ke
tingkat atas.
Sehingga selesai majlis dan sehingga
semua tetamu yang hadir telah pulang, batang hidung Ellyssa langsung tidak
kelihatan. Rupa-rupanya anak gadis itu
telah tertidur akibat terlalu penat setelah menghabiskan masa selama empat jam
di gymnasium.