Bab
6“Beb…jom jom cepat. Mommy dan daddy
kata flight mendarat dalam pukul 9.00
malam macam tu.” Terkocoh-kocoh Ellyssa menarik beg tangannya yang berada di
atas almari. Kasut tumit tinggi yang berada di bawah meja disarungkan rakus
kemudian dia terus berjalan pantas ke bahagian luar butik mereka. Sarina juga
terkocoh-kocoh mengejar langkah panjang Ellyssa. Nasib baik hari ni dia memakai
seluar slack. Jika memakai kain pasti tersangkut-sangkut langkah kakinya yang
pendek itu.
“Ira…jaga kedai ya. Kalau kami
lambat balik, Ira tutup dan kunci butik ya dan on kan alarm,” pesan
Ellyssa sebelum dia dan Sarina berjalan laju menuju ke lif.
“Baik cik Ell,” jawab Ira pendek.
Memang sudah menjadi tugas biasanya untuk mengunci pintu butik memandangkan CIk
Ellyssa dan Sarina selalu sangat mempunyai temujanji di luar dan akhirnya tidak
sempat hendak balik ke butik untuk mengunci pintu butik. Memang kepercayaan
diletakkan sepenuhnya oleh Ellyssa kepadanya memandangkan dia sibuk dengan
temujanji untuk memasarkan produk butik mereka.
“Tu la…, aku dah cakap suruh cepat.
Kau masih la lagi dok mengadap handphone,
laptop tu. Kan dah lambat. Macam lah
handphone ngan laptop tu boleh transform
tukar jadi roket dan selamatkan kau dari lewat sekarang kan,” bebel Sarina
semasa mereka sudah berada di dalam perut lif. Ellyssa menjeling saja Sarina
yang membebel sambil membetulkan rambutnya yang sedikit menggerbang. Langsung
tidak dipedulikan bebelan tersebut kerana baginya itu adalah Sarina…balas lah
macam manapun, makcik itu akan tetap dengan sikapnya yang suka membebel.
“Dah habis dah?” tanya Ellyssa
tiba-tiba semasa mereka dalam perjalanan ke tempat parkir.
Sarina yang beriringan dengannya
tiba-tiba menoleh. Pelik pula tiba-tiba Ellyssa bertanyakan soalan tersebut.
Sementara itu kunci kereta bertukar tangan kerana seperti biasa Sarina yang
akan memandu. Portfolionya di butik Ell memang carca marba. Pemandu Ellyssa pun
dia….penjaga kaunter bayaran pun dia….pereka fesyen pun dia…pembantu butik pun
dia….hehehehe. Nasib baik lah Ellyssa membayar gajinya dengan bayaran yang
cukup setimpal. Kalau tidak sudah lama dia cabut untuk mencari pengalaman di
syarikat lain.
“Apa yang dah habisnya? Aku tak
cakap apa-apapun,” tanya Sarina yang masih belum dapat menangkap punca soalan
tersebut ditanyakan.
“Aik! Cepatnya lupa. Memanglah kau
ni macam orang tua. Suka membebel jek kemudian lupa apa yang kau dah cakap.
“Nyanyuk!” Selamba sahaja Ellyssa
mengutuk Sarina tanpa bertapis.
“Ooooo…pasal tadi ke?” Panjang saja
muncung Sarina apabila dia dapat menangkap maksud Ellyssa sebentar tadi.
“Hehehehe….aku tak kisah pun kau nak
cakap apa pun kat aku ni Ell. Kau kan boss. Cakap-cakap kau tu tak ada kesan
pada diri aku pun. Tapi lain la kalau kau cakap nak potong gaji aku ke. Itu
mahu aku terlompat nanti,” usik Sarina dengan wajah lucu.
“Haaa…tau takut.” Sengaja Ellyssa
menggerunkan wajahnya tetapi cepat sahaja bibirnya mengukir senyuman lebar
apabila Sarina membuat muka sedih. Sarina mengekeh ketawa selepas itu.
Tiba di tempat parkir, terus Sarina
menekan butang kunci untuk membuka pintu kereta. Seperti biasa Ellyssa akan
masuk di pintu kiri manakala Sarina akan memandu. Memang itu lah tugas utama
Sarina sejak mereka mula membuat perancangan untuk membuka butik Ell Collection
beberapa bulan yang lepas.
“Ell…bila kau nak cari driver ni? Senang sikit kau nak
bergerak. Nak jumpa client ke. Dan
aku bolehlah jaga kedai.” Tiba-tiba Sarina bertanya apabila kereta mula
bergerak keluar dari KLCC.
“Kenapa? Dah pandai merungut ya. Tak
cukup ek gaji yang aku bagi?” soal Ellyssa. Dia menoleh Sarina sekilas. Gadis
itu badan saja kecil tetapi ligat apabila bekerja. Sejak dari UiTM lagi mereka
telah bersahabat baik.
“Bukanlah macam tu…. Tapi kalau ada driver lelaki, dia tu gagah sikit la nak drive jauh-jauh ke. Aku ni setakat
dalam KL ni bolehlah. Jauh-jauh sangat semput jugak. Dah lah aku ni kuat
ngantuk. Kena aircond je mata aku
mesti layu macam daun pisang atas api tau.” Suara Sarina sambil sesekali
mengerling cermin pandang belakang. Lucu pun ada apabila gadis kecil sepertinya
memandu kereta pacuan empat roda yang besar. Hampir tenggelam tubuhnya kerana
kerusi lebih besar dari pemandunya.
“Bukan senang nak cari driver tau.
Lelaki zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat. Kan dalam suratkhabar
sekarang macam-macam cerita ada. Orang yang kita ingat baik, dah kerja
sama-sama kita selama beberapa tahun pun tiba-tiba boleh bunuh kita sebab duit
tau,” jawab Ellyssa dengan pandangan mata terus terarah ke jalanraya.
“Setakat ni aku rasa okey je macam
ni. Kalau kau tak boleh nak drive
kan, aku call je cab. Kadang-kadang kalau urgent
sangat pakcik Mamat ada. Tapi tak boleh lah aku nak kacau dia selalu sangat
sebab daddy kan banyak urusan kat luar jugak,” sambung Ellyssa lagi.
“Untung pakcik Mamat tu kan.
Punyalah dia setia kerja dengan daddy kau. Rezeki dia lah bila daddy kau bawak
dia dan isteri dia sekali pergi buat umrah,” komen Sarina. Sambil itu beberapa
kali matanya melirik pandang cermin pandang belakang untuk memastikan tiada
kereta di belakang sebelum dia ingin memotong di lorong kanan. Walaupun sudah
hampir lima bulan dia memandu kereta ini, tetapi rasa bimbang sentiasa ada
kerana jika terjadi apa-apa kerosakan pada kereta mewah sebegini, manalah dia
mampu untuk mengeluarkan duit untuk membaikinya. Disebabkan itu jugalah dia
mahu segera lari dari tanggungjawab menjadi pemandu Ellyssa.
Ellyssa mengangguk. Pakcik Mamat dan
Makcik Normah memang telah bekerja dengan mereka sejak Ellyssa kecil lagi.
Daddy dan mommy sangat sayangkan mereka seperti keluarga sendiri dan sebab
itulah sebagai penghargaan tugas mereka selama ini, mereka berdua dibawa sekali
ke Mekah untuk menunaikan umrah.
“Okey…, dah sampai. Cari parking cepat,” arah Sarina apabila dia
sudah mula masuk ke bahagian parkir KLIA.
Ellyssa memanjangkan batang lehernya ke kiri dan kanan untuk mencari
petak yang kosong. Sesekali dia mengerling jam di dashboard kereta. Harap-harap
tak lambat, bisik hatinya. Dia tidak mahu kalau daddy dan mommy pula terpaksa
menunggu mereka.
“Tu tu…, sana sana. Ada satu
kosong,” maklum Ellyssa sambil menepuk lengan Sarina. Sarina terus membelok
masuk ke petak yang ditunjukkan. Ellyssa pula telah bersiap sedia dengan beg
tangannya. Dia mahu cepat sampai ke balai menunggu. Tiga minggu walaupun terasa
cepat berlalu, namun rindunya pada daddy dan mommy tetap menggunung.