“Ya
Allah jadikanlah hamba Mu ini mencintai orang beriman dan jadikanlah orang
beriman mencintaiku” (Hadis Riwayat Muslim).
Ellyssa terpesona
dengan keindahan ayat yang dibacanya di muka hadapan kulit buku itu. Buku
motivasi agama bertajuk “Cintai dirinya kerana ALLAH” dipegangnya lama. Dia
sendiri hairan bagaimana buku itu pula yang disentuh oleh jari-jarinya
sedangkan matanya liar mencari novel berbahasa Inggeris. Apabila kulit buku itu
dielus lembut, seolah-olah ada satu aura indah sedang memenuhi jiwanya. Hatinya
terbuai dengan perasaan yang sukar digambarkan. Pelik! Kerana tafsirannya
tentang “cinta” adalah negatif. Baginya cinta adalah duri yang tajam. Apabila
tercucuk, ia hanya akan menyakitkan
diri. Oleh itu dia tidak mahu langsung
mendekati “CINTA”. Tetapi yang peliknya, buku di tangannya umpama magnet.
Menarik-narik hatinya supaya membeli dan membawanya pulang untuk dibaca.
Ellyssa membuat pertimbangan. Mahu beli atau tidak?