Bab
3
Penerbangan yang dijadualkan untuk
membawa kumpulan yang disertai oleh Datuk Aziz bagi menunaikan umrah di Mekah
telahpun diumumkan sebentar tadi. Ellyssa yang ditemani Sarina terus
mendapatkan ibu bapanya yang sedang sibuk menguruskan kemasukan beg dan membuat
pengesahan tiket dengan ejen yang dilantik.
“Semuanya okey, daddy?” tanya
Ellyssa dengan senyuman manis. Tahi lalat kecil di bahagian kanan atas bibir
menambahkan keayuan anak tunggal mereka. Hari ini Ellyssa kelihatan sangat
bergaya dengan blaus sendat berwarna hitam dipadankan dengan palazzo warna yang
sama. Menambahkan lagi keanggunan fesyen
Ellyssa pada hari itu adalah kimono cardi bercorak tribal warna hijau kuning
air yang disarung sahaja ke tubuhnya yang langsing. Rantai manik kristal
melingkar cantik di lehernya yang jinjang. Kasut tumit tinggi berwarna hijau
muda pula cukup padan dengan pakaian dan aksesori yang dipilih pada hari
itu. Rambutnya yang hitam dan lurus separas dada hanya dilepaskan
bebas tanpa sebarang ikatan. Sekali pandang wajahnya tidak ubah seperti gadis
berketurunan Arab kerana alis matanya hitam dan tebal, kulitnya putih
kemerahan, hidungnya mancung dan matanya bulat bersinar.
“Semua ok sayang. Nak tunggu check in aje,” jawab Datuk Aziz kemudian
terus memeluk bahu anak gadis kesayangannya itu.
“I
will miss you both,” ujar Ellyssa dengan raut wajah sedih. Kepalanya terus
dilentokkan ke bahu Datuk Aziz. Satu ciuman penuh kasih singgah di kepalanya.
Sejak balik dari Paris setahun yang lepas, ini adalah perpisahan kali kedua
mereka untuk jangka masa yang agak lama.
“Daddy dan mommy lagi lah akan
rindukan Ell. Ell kena promise untuk
jaga diri baik-baik ya,” pesan Datuk Aziz. Satu lagi kucupan hinggap di dahi
Ellyssa. Sesungguhnya berat hendak meninggalkan permata hati mereka itu
sendirian dengan jarak beribu-ribu batu. Walau Ellyssa telahpun dewasa, namun
dia tetap anak kecil mereka sampai bila-bila.
Datin Aini pula terus memeluk
Ellyssa dengan air mata yang mula mengalir. Berat pula hatinya ingin
meninggalkan Ellyssa selama tiga minggu ini. Mereka memang telah mengajak
Ellyssa untuk menyertai mereka tetapi Ellyssa menolak dengan alasan ingin
menumpukan perhatian kepada butik “Ell
Collection” yang baru sahaja dibukanya di KLCC.
“Mommy....jangan sedih-sedih. Mommy
kan nak pergi buat umrah,” pujuk Ellyssa. Air mata ibunya disapu menggunakan
tisu yang tersedia ada di dalam beg tangan Hermes yang baru dua minggu menjadi
miliknya.
“Mommy suruh Ell ikut Ell tak nak.
Mommy risau lah tinggalkan Ell sorang-sorang kat sini,” ujar Datin Aini dengan
wajah sugul. Merah hidungnya akibat rasa
sebak yang menebal.
“Tengok tu....kan hari tu Ell dah
bagitahu mommy dan daddy kenapa Ell tak boleh join trip ni. Tak payahlah nak ungkit-ungkit pasal hal tu....” Ellyssa
mula menunjukkan rajuknya kerana prinsipnya dilanggar pada masa itu. Memanglah
pantang dirinya apabila sekali dia telah maklumkan, berkali-kali pula dia
dipaksa mengubah keputusannya.
‘Okey, okey. Mommy minta maaf ya.”
Cepat-cepat Datin Aini meminta maaf kerana sedar dia telah mengguris hati
puteri mereka itu. Bimbang juga jika tiba-tiba Ellyssa balik begitu sahaja
tanpa mahu menunggu sehingga mereka mendaftar masuk. Datin Aini lega apabila
senyuman terukir semula di bibir Ellyssa. Sebagai anak tunggal, dialah madu dan
dialah juga hempedu. Baik dan buruknya sikap Ellyssa terpaksa mereka terima
kerana tidak mahu kehilangan kasih sayangnya.
Setelah selesai semua urusan
pemeriksaan masuk, mutawwif meminta semua peserta kumpulan untuk masuk ke balai
berlepas. Saat-saat perpisahan tiba juga. Datin Aini memeluk Ellyssa sekali
lagi. Kali ini agak lama kemudian dia mencium pula kedua-dua pipi gebu Ellyssa.
“Jaga diri ya sayang. Apa-apa hal call aje mommy dan daddy kat sana,”
pesan Datin Aini lagi seolah-olah Ellyssa masih lagi anak kecil berumur lima
tahun yang perlu dipesan apa yang perlu dilakukan.
“Mommy...jangan risau okey. Ell dah
besar lah. Mommy dan daddy lah yang kena make
sure jaga diri kat sana sebab cuaca kat sana berbeza dari tempat kita. Ell
risau kalau mommy tak tahan nanti,” jawab Ellyssa sambil menyeka air mata
ibunya. Datin Aini mengangguk lesu. Jarinya berpaut kemas dengan jari jemari
Ellyssa. Sebelum berpisah, Ellyssa mencium kedua-dua pipi ibunya.
Ellyssa dan Sarina melambai tangan
kepada Datuk Aziz dan Datin Aini sehinggalah bayang mereka menghilang di
sebalik pintu balai berlepas. Keadaan yang agak sesak sebentar tadi di luar
balai berlepas semakin berkurangan. Pengumuman demi pengumuman yang disampaikan
melalui pembesar suara adalah perkara biasa di perkarangan lapangan terbang di
Malaysia ini. Bagi Ellyssa suasana di lapangan terbang adalah perkara yang
biasa baginya kerana sejak kecil lagi dia memang telah dibawa oleh kedua ibu
bapanya melancong ke luar negara.
Selepas semuanya selesai, mereka
berdua mengorak langkah ke tempat parkir kereta untuk segera pulang ke butik.
Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 petang. Pada hari-hari minggu begini pasti
pelanggan akan ramai di kedai mereka dan Ira pasti tidak mampu hendak melayan
pelanggan berseorangan.
“Beb, kalau kau free, datanglah tidur rumah aku. Takut jugak duduk rumah
sorang-sorang,” ujar Ellyssa semasa di dalam kereta. Sarina yang sedang memandu
menoleh sekilas ke arahnya kemudian menumpukan perhatian semula kepada
pemanduan.
“Heehehee....penakut jugak kawan aku
ni ya,” usik Sarina tersengih-sengih.
“Tu la, anak tunggal tapi rumah
punyalah besar macam ada sepuluh adik beradik. Bila daddy dan mommy tak ada,
tinggal la sorang-sorang. Bibik kan ada.”
Sarina macam biasa dan seadanya, selamba sahaja mengeluarkan
kata-katanya tanpa sebarang tapisan keselamatan. Langsung tidak memikirkan perasaan orang
yang dilawan bercakap.
Satu tamparan tiba-tiba hinggap di
peha kecil Sarina. Terkejut Sarina tetapi kemudian dia mengekeh ketawa.
“Sakitlah Ell…suka-suka hati je kau nak tampar ke..., cubit aku kan,” rungut
Sarina dengan senyuman lebar. Namun matanya tidak lepas dari memandang ke
hadapan, menumpukan perhatian ke arah jalanraya yang sesak. Berkali-kali dia
menekan brek kemudian memberikan tanda isyarat apabila hendak membelok ke
lorong kanan atau kiri. Cuaca juga semakin panas, nasib baik rayban hitam sentiasa ada menjadi
penyelamat matanya dari sinaran yang terik.
“Beb....aku rasa kau kena beli
insuran la untuk mulut kau tu sebab bisa sangat. Aku rasa kalau kau keep this attitude, satu hari ada orang
yang akan cilikan mulut kau tu tau,” ujar Ellyssa kemudian mengerling Sarina
dengan senyuman meleret.
“Hahahahaa.....” Sarina hanya ketawa
mengekeh mendengar kata-kata Ellyssa. Bukan Ellyssa sahaja malah sudah ramai
yang berkata begitu sehingga dia tidak kisah dengannya lagi. Dia tidak mahu
hipokrit. Dia adalah dirinya sendiri dan dia tidak mahu bertukar personaliti
hanya kerana ingin menjaga hati orang lain.
“Kau kena tapis sikit apa yang kau
nak cakap la beb. Nanti tak ada lelaki yang berani nak dekat dengan kau tau.”
Sengaja Ellyssa mengusik kerana selama ini Sarina sahaja yang selalu
mengenakannya.
“Alaaa Ell. Aku tak heran lah. Jodoh
tu kan di tangan ALLAH. Kalau tak ada lelaki yang nak kat aku, maknanya ALLAH
tak sediakan jodoh aku kat dunia ni lah. Aku jumpa aje lah suami aku masa kat
syurga nanti,” jawab Sarina selamba.
“Mana boleh redha aje macam tu lah
beb. Kita kena usaha tau. Dan…satu lagi kau jangan nak memilih sangat. Hari tu
si Zamarul tu dah beria-ria sukakan kau. Tapi kau jual mahal,” selar Ellyssa.
Kali ini Sarina mengerlingnya
sekilas.
“Cik Ellyssa sayang. Mestilah kena
jual mahal sikit. Aku ni bukan anak kucing. Anak orang tau…. Kalau nak tepuk
tangan kasi berbunyi, dua-dua tangan kena main peranan kan. Ni soal hati dan
perasaan la Ell. Masalahnya aku tak berminat dengan dia. Tapi dia ok apa
sekarang….hari tu aku nampak dah berkepit dengan perempuan lain. Girlfriend baru la tu. Nampak sangat la
dia tak la suka sangat kat aku. Tak frust
menonggeng pun aku rejectdia. Cepat
je dia cari pengganti,” jawab Sarina.
“Aik…macam frust je aku dengar?” usik Ellyssa dengan senyuman panjang.
“Tolong sikit beb. Tak main la nak cemburu
tau.” Sarina cepat-cepat menjawab. Tidak mahu langsung dikaitkan dengan lelaki
bernama Zamarul itu. Baginya Zamarul adalah satu kisah silam dan dia tidak mahu
lagi mencipta kenangan baru dengannya.
Ellyssa menggeleng kepala lalu
tersenyum. Selalunya begitulah pengakhiran perbualan mereka walau sehangat
manapun pertikaian yang berlaku. Sikap redha dan sabar yang dimiliki oleh
Sarina sentiasa membuatkan Ellyssa kalah akhirnya.
Ralit bersembang, mereka langsung
tidak terasa panjangnya perjalanan yang dilalui. Nasib baik juga jalan tidak
sesak pada waktu-waktu begini oleh itu perjalanan mereka lancar dari KLIA
sehingga ke KLCC. Selepas memakir kereta
ditempat parkir yang disewa khas, mereka melangkah menuju ke lif untuk naik ke
bahagian pusat membeli belah di mana terletaknya butik Ell Collection. Seperti yang diduga, hari-hari minggu begini
bilangan pengunjung ke KLCC sesak berbanding hari biasa.
Di dalam lif, mereka terpaksa
berhimpit seperti ikan sardin yang mampat di dalam tin. Ellyssa merapatkan beg
tangannya ke bahagian dada untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak
diingini. Apabila angka di dinding lif telah menunjukkan “3”, Ellyssa dan
Sarina bersiap sedia di bahagian depan pintu lif untuk terus keluar apabila
pintu terbuka.
Tetapi terkejut besar Ellyssa
apabila belum sempat dia mengatur langkah pertamanya, tiba-tiba dia dirempuh oleh seorang pemuda
yang kelam kabut masuk tidak menyempat ke dalam lif tersebut. Langkah Ellyssa
mati di situ. Berderau darah panasnya naik sehingga ke kepala.
“Excuse
me.....you ni tak ada adab ke? Don’t
you know kalau naik lif kena make
sure orang kat dalam keluar dulu and
then baru orang luar boleh masuk?” Bercekak pinggang Ellyssa marahkan
lelaki tersebut yang sedang sibuk bercakap di telefon. Agaknya panggilan itu
terlalu penting kerana lelaki itu masih terus bercakap dan tidak
memperdulikannya walaupun anak mata Ellyssa hampir tersembul memandangnya.
“Awak ni memang kurang ajar kan. Dah
lah langgar saya, lepas tu tak mintak maaf. Saya cakap pun awak tak peduli
langsung.” Ellyssa rasa hendak rampas
sahaja telefon bimbit itu kemudian memijak dengan kasut tumit tingginya. Biar
berderai segala isi perut telefon tersebut. Tetapi niatnya tidak kesampaian
kerana Sarina berjaya menarik tangannya keluar dari lif.
“Eh beb. Aku tak habis lagi dengan
lelaki tu tau,” marah Ellyssa dengan tubuh yang menggeletar. Darahnya sudah
menggelegak sehingga naik ke kepala. Kalau ada thermometer, sudah tentu paras
darahnya lebih dari 100 darjah celcius sekarang.
“Beb, orang ramai tadi nak naik lif.
Selagi kita tak keluar, lif tak boleh bergerak. Ramai dah bising-bising tadi
lah Ell,” jawab Sarina. Walaupun dia sedar sikap lelaki itu memang salah tetapi
keadaan pada masa itu tidak memungkinkan untuk mereka terus berada di dalam perut
lif tersebut.
“Memang kurang ajar lah mamat tu.
Sengal betul. Kalau aku jumpa dia lagi, tahulah aku nak ajar dia cukup-cukup.”
Ellyssa membebel lagi. Sakit hatinya masih belum hilang terhadap lelaki
tersebut. Sarina hanya tersengih memandangnya.
Sikap keras hati Ellyssa memang tidak ada orang yang boleh lawan.
Maklumlah anak tunggal dan anak orang kaya pula tu. Serba serbi serba mewah.
Apa yang dia nak senang saja boleh dapat. Oleh itu jangan sesiapa berani
melangkah lebih dari kawasan sempadannya. Memang itu “pantang” gadis manis itu
dan Sarina cukup faham.
“Sudahlah beb. Kau marah-marah ni
pun bukannya sampai kat dia pun. Silap-silap kau pulak yang sakit jantung.
Entah-entah dia tu ada emergency
apa-apa kot. Lantak dia la,” nasihat Sarina lagi lalu terus mengajak Ellyssa
berlalu dari situ.