Bab
11“Abang rasa jalan terbaik untuk ubah
cara hidup Ell adalah dengan carikan dia suami yang baik dan beriman. Yang
boleh membimbing dia ke jalan yang benar,” ujar Datuk Aziz semasa berbual
dengan isterinya di halaman rumah mereka. Alunan merdu ayat-ayat suci al-Quran
yang dipasang di ruang tamu mendayu menusuk sanubari mereka. Perubahan hidup
memang ketara di dalam diri mereka suami isteri sejak pulang dari menunaikan
umrah di Mekah yang lepas.
Datin Aini juga telah bertudung dan
tidak pernah membukanya melainkan di kalangan mahramnya sahaja. Banyak
aktiviti-aktiviti sosial yang telah mereka tinggalkan kerana mereka mahu lebih
menghadiri majlis-majlis agama. Dato Aziz benar-benar bersyukur kerana dia
telah diberikan petunjuk dan hidayah oleh ALLAH (s.w.t) untuk berubah menjadi
insan yang lebih baik pada hari ini.
Walaubagaimanapun, ada satu perkara yang sangat-sangat dibimbanginya
iaitu satu-satunya anak mereka, Ellyssa.
Mereka sedar kesalahan turut
terletak di bahu mereka kerana memang mereka telah membesarkan Ellyssa dengan
penuh kemewahan sehingga anak gadis itu terikut-ikut dengan cara hidup sosial
mereka. Jika Ellyssa masih lagi berumur 4 tahun, mungkin masih boleh dilentur
tetapi anak gadis mereka telahpun menjangkau umur 24 tahun. Sudah jadi
buluh....., salah lentur boleh patah batangnya.
Datin Aini merenung lama wajah
suaminya yang lebih tenang dan bersih. Dia bersetuju dengan cadangan suaminya.
Bukan bermakna mereka hendak melepaskan tanggungjawab mendidik Ellyssa kepada
orang lain tetapi mereka akur bahawa pada umur sekarang, mereka memang tidak
akan mampu melembutkan hati anak gadis itu lagi. Silap-silap haribulan memang
Ellyssa akan memulangkan paku buah keras kepada mereka dan menyalahkan mereka
atas apa yang dialaminya pada masa sekarang.
“Siapa bang? Mana kita nak cari
lelaki yang jenis macam tu?” tanya Datin Aini dengan wajah kelat. Wajahnya
merenung jauh. Satu persatu kawan lelaki Ellyssa yang pernah dilihatnya seolah
berbaris panjang di hadapannya untuk dinilai. Si Eddry kurus kering sangat
walaupun anak orang kaya. Tentu cucunya nanti juga akan kurus kering macam
ayahnya. Reject! Bisik Datin
Aini. Adam pula…handsome juga orangnya tetapi kaki kelab juga. Tiap-tiap malam
pasti akan berdansa di kelab-kelab malam bertemankan gadis-gadis kelab. Reject! Kata hati Datin Aini lagi.
Danial….boleh tahan. Tubuhnya sederhana. Wajah sedap mata memandang tetapi dia
tahu Ellyssa tidak ada sebarang perasaan cinta kepada lelaki itu juga. Dan dari
gayanya, Datin Aini rasa Danial lebih cenderung kepada lelaki juga. Huh!!! Rejectjuga nampaknya. Tidak sedar,
Datin Aini mengeluh panjang.
Terkejut Datik Aziz dengan kelakuan
tiba-tiba isterinya itu.
“Eh, kenapa tiba-tiba awak mengeluh
ni?”
Datin Aini malu sendiri. Dia
menggeleng kepala dengan senyuman di bibir.
“Saya tengah berangan siapa yang
layak nak jadi menantu kita. Hmmm…tapi semua reject lah bang. Tak sesuai. Tak ada seorang pun yang boleh membawa
anak kita ke arah kebaikan sebab diri sendiri pun tak terurus,” jawab Datin
Aini dengan wajah kelat.
“Siapa?” tanya Datuk Aziz ingin
tahu.
“Si Eddry, Adam, Danial… semua tu
kan kawan Ell. Tapi semuanya tak ada tokoh pun nak jadi suami yang dapat
membimbing isteri dan keluarga,” komen Datin Aini dengan wajah yang semakin
risau. Semakin hari jika dibiarkan semakin banyak dosa-dosa yang mereka akan
tanggung jika Ellyssa masih lagi dengan sikap dan cara hidupnya sekarang.
Sedangkan dosa-dosa mereka sendiri tinggi menggunung, inikan pula hendak
menerima lagi bebanan dosa anak mereka.
Datuk Aziz juga termenung panjang.
Mana nak cari calon menantu yang menepati kehendak mereka? Bukannya dia nak
cari menantu yang tampan persis peragawan, tetapi biarlah sedap mata memandang.
Tetapi kriteria utama lelaki itu mestilah cukup ilmu agama di dada supaya boleh
membimbing Ellyssa ke arah menjadi wanita Muslim yang lebih baik.
“Maaf cakap lah Aziz. Aku nampak
macam kau nak lari dari tanggungjawab kau mendidik Ell sedangkan mungkin tanpa
kita sedar Ell membesar begitu kerana didikan kita. Aku takut nanti jadi macam
kata pepatah nak lari dari mulut harimau masuk pula mulut buaya,” ujar Zamri
memberikan pandangannya. Sebagai seorang sahabat yang paling rapat dengan Aziz,
memang mereka boleh berbincang apa sahaja masalah tanpa sebarang rasa marah.
“Kau cakaplah apa saja Zamri.
Sekarang ni aku tak kisah. Apa yang aku utamakan adalah untuk melihat Ell berubah
dan aku tak kisah bagaimana caranya. Kalau orang cakap aku nak jual anak ke,
nak lari dari tanggungjawab aku ke…, aku tahu aku tak boleh menutup mulut orang
dari terus mengata. Kalau kita asyik je nak ambil peduli kata-kata orang, Ell
akan terus hanyut dan kami berdua juga akan terus berdosa. Jadi sekarang lebih
baik aku cari jalan yang sebaiknya untuk selesaikan masalah ni,” jawab Datuk
Aziz penuh yakin dengan keputusannya.
Zamri mengangguk. Memang ada benarnya
kata-kata Aziz. Jika asyik mendengar kata-kata orang pasti semua kerja akan
terbengkalai. Apa yang penting adalah usaha kita untuk mengubah dan menjayakan
sesuatu.
“Aku dan isteri aku banyak berdosa.
Kami lalai dalam mengerjakan solat. Pernah masa bulan puasa kami pergi ke luar
negara hanya kerana ingin mengelakkan dari berpuasa. Umur kami semakin
meningkat. Banyak amalan yang kami perlu lakukan sekarang untuk menebus segala
dosa-dosa kami dulu. Aku bersyukur Zam sebab ALLAH s.w.t telah memberikan aku
dan isteri petunjuk dan hidayah semasa kami masih sihat dan boleh lagi membuat
amal ibadah. Kalau dibuatnya aku hanya sedar masa umur 70 tahun atau masa dah
nazak, bagaimanakah aku nak menebus segala dosa-dosa aku yang tak terkira
banyaknya ni?” keluh Datuk Aziz dengan pandangan mata yang redup.
“Sebab tu lah aku perlukan orang
lain membantu kami untuk mendidik dan mengubah hidup Ell supaya kami boleh
beramal dan beribadah tanpa risau memikirkan mengenai diri Ell. Aku dah puas
berfikir. Jalan yang aku nampak sekarang adalah untuk mencari seorang lelaki
yang boleh mengahwini Ell dan seterusnya membimbing Ell untuk lebih menjalani
kehidupan beragama,” ujar Datuk Aziz lagi.
“Jadi kau dah jumpa calon yang
sesuai?” Tanya Zamri lagi. Dia turut termenung seolah-olah sedang memikirkan
untuk mencari lelaki yang sesuai untuk mengahwini Ell. Datuk Aziz menggeleng
beserta keluhan.
“Bukan senang nak mencari lelaki
seperti itu sekarang,” luah Datuk Aziz perlahan. Dia merenung sekilas wajah
sahabat baiknya itu. Kalau lah Zamri ada anak lelaki kan senang sudah pasti akan
dijodohkannya sahaja anak-anak mereka kerana dia sudah tahu latar belakang diri
Zamri. Tetapi Zamri mempunyai tiga orang anak yang semuanya perempuan.
“Kau kenal sapa-sapa?” tanya Datuk
Aziz. Zamri tersenyum kemudian ketawa kecil.
“Kalau aku jumpa lelaki macam tu,
lebih baik la aku jodohkan dengan Sofia,” jawab Zamri sengaja mengusik.
Senyuman terpamer di wajah Datuk Aziz juga. Sofia adalah anak sulung Zamri dan
baru sahaja pulang dari luar negara selepas selesai pengajian di peringkat
Sarjana jurusan perubatan.
“Sofia dah mula bekerja ke?” Datuk
Aziz menukar subjek perbualan mereka apabila nama Sofia ditimbulkan.
“Belum lagi. Nak rehat dulu katanya.
Asyik belajar aje. Lepas degree hari
tu dia terus sambung Master. Sekarang
ni dia nak rehat dalam dua tiga bulan baru nak apply kerja,” jawab Zamri.
“Senang aje dia nak dapat kerja tu.
Doktor pakar memang sangat diperlukan di negara kita ni. Demand tinggi,” ulas Datuk Aziz.
“Harap-harap begitulah,” doa Zamri.
“Eh, aku masuk bilik dululah. Lain
kita sembang lagi,” ujar Zamri setelah agak lama juga mereka berbual sedangkan
kerja-kerjanya di bilik masih banyak lagi yang belum diselesaikan. Datuk Aziz
hanya mengangguk.
Apabila bersendiri semula, pantas
sahaja ingatannya melayang semula ke arah Ellyssa. Siapakah agaknya yang boleh aku jodohkan
dengan Ell? Datuk Aziz masih tidak henti berfikir perkara yang sama…