Home Novel Cinta Kan Aku Dah Kata!!!
Kan Aku Dah Kata!!!
Aini Marisha Marisha
29/12/2013 16:20:01
145,889
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Bab 2

Datuk Aziz dan Datin Aini sudah kepenatan. Apabila tetamu terakhir mereka meninggalkan rumah, mereka berdua terus naik ke bilik untuk berehat dan membiarkan pembantu rumah mengemaskan rumah yang berselerak selepas kenduri sebentar tadi.

“Kenapa Ell tak turun tadi. Sepatutnya dia sama-sama dalam majlis tu untuk doakan keselamatan kita kat sana nanti,” tanya Datuk Aziz kepada isterinya. Dengan hanya berpakaian singlet putih tanpa lengan dan berseluar pendek paras lutut, dia memanjat naik ke atas katil kayu bertiang empat. Beberapa kali dia menguap kerana tersangat mengantuk. Berair matanya dan sudah kuyu kelopak matanya kerana tidak tahan lagi melawan rasa mengatuk yang tiba. Walaupun wajahnya kelihatan masih segak, namun kudrat tubuhnya tidak dapat melawan pertambahan umur yang semakin menghampiri angka 55 tahun. Jika bekerja lebih sedikit pasti semua urat saraf dan otot akan terasa sakit-sakit dan sengal-sengal.

Datin Aini yang sedang duduk menghadap cermin hanya mendiamkan diri. Wajah suaminya hanya dikerling melalui biasan cermin di hadapannya. Perlahan-lahan dia menanggalkan semua barang kemas yang melingkar di tangan dan lehernya. Kemudian losyen tangan yang berada di atas almari diambil lalu dilumurkan ke seluruh tangan dan kakinya yang putih. Urat-urat biru dan hijau kelihatan amat jelas di kulitnya yang semakin dimamah usia. Harum semerbak ruangan bilik mereka dengan aroma lavender losyen tersebut.

“Biasalah tu bang. Anak gadis zaman sekarang. Penat sangat la tu agaknya. Dia kan dah keluarkan banyak duit nak bayar Michael tu. Kalau tak pergi rugi pulak sebab Michael tu kan sibuk. Ramai artis-artis yang ambik dia jadi instructor diorang. Kalau Ell tak datang hari ni, dah tak ada tarikh lain yang sesuai dah,” jawab Datin Aini seolah-olah cuba menyebelahi tindakan Ellyssa.

“Alaa.....setakat bayar RM2000-00 sebulan tu apa lah salahnya cuti sehari je hari ni. Abang tengok badan Ell tu dah kurus dah. Kalau tak datang sehari ke gym pun tak adanya dia boleh jadi gemuk. Satu lagi.....Ell tu umurnya 24 tahun dah. Tak ada ke dia cerita kat you kalau-kalau dia dah ada boyfriend ke?” Tiba-tiba pula Datuk Aziz menukar topik perbualan mereka menyebabkan Datin Aini mengerut dahi. Kenapa ke situ pulak suaminya berfikir? Bukankah umur 24 tahun masih terlalu muda buat seorang gadis berkerjaya seperti Ellyssa. Malah ia perkara biasa bagi gadis moden yang tinggal di kota-kota besar untuk berkahwin lewat pada masa sekarang. Yang tidak kahwin pun ramai…bisik hati Datin Aini lagi.

“Kenapa pulak tiba-tiba abang tanya pasal kahwin pulak ni?” tanya Datin Aini dengan senyuman di bibir. Dia mula melangkah naik ke katil lalu mengadap suaminya yang sudah pun baring.

‘Entahlah...tiba-tiba sahaja abang rasa macam teringin nak ada cucu. Tengok macam Dato’ Zakaria dan Dato’ Kahar tu. Seronok je muka diorang bila cerita pasal cucu-cucu yang balik bila hari raya,” jawab Datuk Aziz dengan sinar di matanya. Seolah-olah dia sudah terbayang jauh ke hadapan dan terlihat cucu-cucunya yang comel berlari-lari di ruang tamu rumah mereka yang sangat luas.

“Tiba-tiba sahaja abang rasa sunyi, Aini. Terasa rumah kita ni terlalu besar untuk kita bertiga. Abang teringin nak tengok cucu-cucu kita berlari-lari dan memeriahkan rumah kita ni,” luah Datuk Aziz lagi menyebabkan Datin Aini turut tersenyum. Terus Datin Aini memegang tangan suaminya dan mengusapnya lembut penuh kasih sayang.

“Saya pun teringin jugak bang. Tapi abang tahu lah Ell tu macam mana. Dia bukan suka kalau kita tanya pasal benda ni. Kan dia dah pesan dia tak suka dipaksa. Dia kata bila masanya tiba, tibalah....So kita sabar saja lah ya,” jawab Datin Aini memujuk hati dan perasaan suaminya. Dia sedar apabila mereka berdua semakin dimamah usia, semakin itulah perasaan mereka sering dipagut rasa sunyi dan adakalanya mudah terasa.

“Macam ni lah. Kita kan nak ke Mekah. Orang kata semua doa-doa kita akan termakbul masa kat sana. Selain dari kita doa supaya kita semakin kaya dan perniagaan kita makin maju, kita juga berdoa supaya Ell dapat jodoh yang baik dan sesuai untuk dia ya,” ujar Datuk Aziz dengan penuh semangat. Dipandangnya Datin Aini dengan senyuman lebar di bibir.

Datin Aini mengangguk dengan senyuman. Apabila melihat suaminya telah mula lena, dia juga turut merebahkan diri ke katil selepas mematikan lampu di tepi meja katil. Dalam kegelapan malam, Datin Aini tersenyum lagi apabila telinganya seolah-olah dapat menangkap gelak tawa kanak-kanak comel sedang riang bermain. Datin Aini mengiring ke kiri, merenung kejap wajah suaminya yang kelihatan tenang dalam lenanya. Walaupun wajah lelaki itu semakin dimamah usia dan perkahwinan mereka telah menjangkau suku abad, namun tidak sepincing pun rasa cinta yang terbit dalam hatinya berkurangan buat lelaki itu. Dia sentiasa berdoa semoga lelaki itulah yang pertama dan terakhir buatnya sehinggalah kasih mereka bertaut semula di Jannah.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha