Aku membuka tingkap di ruang tamu. Fuhh!!! Nyamannya suasana awal pagi di kampung ni. Udara yang segar, angin pagi sempoi-sempoi bahasa menyapa kulitku, terasa sikit menggigil. Ayam berkokok , burung-burung berkicauan berlumba-lumba keluar mencari rezeki . Tenang sungguh tenang.
Kalau ikutkan hati, nak je aku terus duduk dekat kampung ni. Tak payah penat-penatkan diri menghadap kerja, menghadap kesesakan lalulintas pagi-pagi, tapi mana boleh. Kalau aku duduk kampung, aku nak kerja apa? Kereta, perbelanjaan siapa nak bayar. Rumah tu okeylah, abang yang bayar, tak akan kereta aku pun abang nak bayar. Kalau ikutkan abang okey je, lagi dia suka aku duduk kampung dengan Mak Long. Tak payah dia nak risau fikirkan aku. Tapi aku nak ada komitmen, tak nak bergantung pada abang atau pada sesiapa pun. Aku diajar supaya berdikari oleh abang sejak kematian ibu dan ayah. Alhamdulilah, abang ajar aku dengan baik dan bersyukur dapat abang sebaik abang.
Ada juga aku terfikir, jika aku terlalu bergantung hidup pada abang. Satu hari abang akan berkahwin, akan ada tanggungjawab yang besar. Tak akan waktu itu pun aku masih nak bergantung hidup pada abang. Oh tidak!! Aku taknak menyusahkan abang, cukuplah abang dah jaga aku, didik aku, ajar aku, bimbing aku hingga aku berjaya tamat pengajian dan punyai kerjaya sendiri kini . Walaupun aku bukan seorang Doktor, bukan Peguam , bukan juga Pendidik tapi abang berjaya jadikan aku wanita yang menjaga aurat, menjaga adab, menjaga solat, menjaga maruah diri dan menjaga maruah abang sebagai wali aku. Abang tak pernah jemu memberi nasihat padaku, tak pernah lupa mengingati aku dikala aku leka. Abang bentuk aku menjadi muslimah sejati, Insha Allah.. Adik sayang abang dunia akhirat. Sayang abang!
" Adik.. oh Adik..!" Lamunanku terhenti. Kedengaran suara abang dari dapur menjerit memanggil-manggil aku.
" Iya.. Adik kat atas ni.." aku menyahut. Dan terus jalan menuruni tangga ke dapur. Ku lihat dari tangga, abang sedang duduk menghadap hidangan pagi. Semangat pula abang hari ni, awal lagi dah menghadap makanan. Mak Long menyenduk nasi lemak ke dalam pinggan. Pak Long pun seperti biasa melayan rokok daunnya.
" Baru bangun tidur ke?!" tanya abang sebaik nampak aku.
" Taklah, adik buka tingkap lepas tu duduk situ.."kataku sambil duduk di sebelah Pak Long.
" Pak Long nak pergi kebun jam berapa?!" sambungku lagi.
" Pak Long nak hantar pisang dekat pasar dulu, kemudian baru ke kebun ya.." terang Pak Long.
" Dik.. sementara tunggu Pak Long. Ikut abang mancing nak.." ajak abang.
" Mancing dekat mana?!"
"Dekat sungailah. Hujung kampung tu. Aik! Tak kan lupa kut.." kata abang lagi.
" Alaa jauhlah.. Naik motorlah.."
" Habis Pak Long nak pergi pasar naik apa adik oii.." celah Mak Long pula.
" Entah tu. Dekat je kut, balik terus singgah kebun.."
" Hmm.. okeylah.. Mana abang dapat umpan?!" Aku menyuapkan nasi lemak ke mulut. Sedap sangat!
" Umpan cacinglah, apalagi..." jawab abang tersengeh.
"Ha?! Eee gelilah. Tak ada umpan lain ke?" Aduhai.. dengar nama cacing pun aku dah geli. Lagi nak tengok, oh tidak!!
" Tak ada. Okey apa guna cacing, kut-kut bole dapat ikan besar.." semangat pula abang ni. Bukan pandai mancing pun.
Nak taknak, terpaksalah ikutkan je. Bab-bab mancing ni, aku lemah sikit. Nak tunggu ikan tu makan umpan entah berapa lama. Dan, belum tentu ikan tu selera tengok cacing yang dicucuk dekat mata kail. Eeeee..!! Gelinya.
Selepas habis makan, aku mengambil bakul anyaman bersaiz kecil untuk ku isi sebotol air, sebungkus keropok ikan, sebungkus roti dan handphone. Cukup bekal untuk aku seorang. Abang taknak bawa air, dia cakap, nak mancing. Okey, nanti kalau dia minta air aku, siaplah dia.
Kami memulakan langkah. Seronok juga kan jalan kaki dekat kampung ni. Walaupun kanan kiri semak samun dan terdapat sebuah dua je rumah tapi nikmat berjalan pagi-pagi memang syok habis. Memang layanlah. Kami melintasi kebun buah Pak long, boleh tahan lebat buah rambutan, sempat juga aku rembat setangkai buat makan dekat sungai kang. Kira-kira 20 minit jugalah berjalan, letih juga tau.
Mujurlah aku bawa bekal air. Ni pun aku dah minum setengah. Sampai je , aku terus duduk di kayu besar tepi tebing sungai. Sungai yang memisahkan antara kampung aku dan kampung sebelah. Air sungai dah tak macam dulu, dah keruh. Kalau dulu, sungai nilah tempat kami mandi manda, jernih dan sejuk sekali. Sampai kena kejar dengan Pak Long sebab tak balik rumah, dari pagi sampai petang berendam je dalam sungai. Mana tak angin Pak Long. Makan tak, solat tak, jadinya kenalah kejar satu kampung. Kenangan zaman kecil. Hahaha..
" Abang.. bila abang balik JB ?!" tanyaku sambil mengunyah keropok.
" Lusa malam.."
" Hmm.. Bila abang balik lagi..?!"
" Tak janjilah dik, apa-apa nanti abang info ya. Abang nak kena tengok jadual dulu.." abang senyum. Dia tahu apa yang aku fikirkan. Aku membisu, terus mengunyah dan mengunyah. Asyik nak mengunyah je aku dekat kampung ni. Gemuklah lama-lama macam ni.
" Mana ikan ni bang, kenapa taknak makan umpan tu? Lama dah ni tunggu.." aku mencebikkan muka. Abang gelak.
"Sabarlah.. " jawab abang ringkas.
" Ikan tu tak ada selera nak tengok umpan cacing tu kut. Bagilah umpan ayam ke, daging ke, tak pun roti.. ni cacing, adik tengok cacing tu pun. Eee geli yang amat.." aku menggeletekkan badan.
" Adik ingat ikan ni selera macam kita ke?"
" Belum cuba belum tahu laa.." aku senyum sinis dekat abang. Aku ambil baki keropok ikan dan aku campak ke dalam sungai. Dan beberapa cubit roti pun ku campak ke dalam sungai. Terus je roti tu disambar ikan. Tersenyum lebar aku.
" Abanggg.. Tengok, roti tu dimakan ikanlah.. " Betul tak aku cakap. Aku campak sekali lagi roti ke dalam sungai. Kali ni roti bersaiz agak besar. Aku suruh abang tengok. Yeah!! Disambar lagi.
" Tengokk!! Kan adik dah cakap, ikan tak nak dah makan cacing, dia dah moden, nak makan roti pula.. hahahaa.." aku gelakkan abang sekuat hati.
" Iyelah.. adik menang..!!" Yeah! Akhirnya abang mengalah. Aku masih gelak lagi.
" Hmm.. disebabkan ikan dah selera moden , jadi cacing ni abang sedekahkan jelah dekat dia.." kata abang. Aku gelak dan gelak. Abang campak semua cacing ke dalam sungai.
" Jom.. kita makan buah pula.." Kami meninggalkan sungai. Berjalan ke kebun buah pula. Dari jauh kelihatan lori Pak Long di tepi jalan berhadapan kebun. Pak Long dah sampai. Aku melajukan langkah. Tak sabar nak petik buah dari pokok. Seronoknyaaa.!!
Aku berlari masuk ke kebun buah. Teruja melihat begitu lebat sekali buah langsat di pokok. Rendang pula tu. Aku petik dan makan. Sedapnya. Manis..!! Abang menghampiri Pak Long yang sedang duduk di pondok kecil di tengah kebun. Aku mengekori abang.
Di tepi Pak Long terdapat empat biji buah cempedak bersaiz sedang. Harumnya bau. Buah cempedak salah satu buah kegemaran aku. Sedapnya di goreng dan makan panas-panas.
" Ni buah cempedak kang boleh bawa balik KL, ada banyak ni. Mana yang korang nak bawa tu korang petiklah sendiri nak banyak mana pun suka korang lah.." Kami senyum dan mengangguk. Aku terus ajak abang petik buah rambutan dan langsat. Abang membawa bakul dari pondok untuk memasukkan buah yang akan kami petik nanti.
Banyak juga abang petik, nak bagi Faliq, dan nak bawa balik JB sikit katanya. Ceh! Tak lupa abang dengan Faliq. Okeylah tu. Sahabatlah katakan. Aku duduk dipondok, penat. Habis tangan berbirat kena ranting pokok. Merah-merah lengan di gigit nyamuk. Berpeluh aku . Abang memetik buah langsat pula. Aku dah penat malas nak tolong. Air botol kecil tu aku ambil dari bakul. Ku teguk hingga habis. Sungguh dahaga. Tapi seronok duduk dekat kebun ni. Cuma tak tahan, banyak nyamuk.
Aku ambil handphone. Ada whatsapp. Pantas ku buka dan baca. Hmm.. Faliq.
" Seronoknya dapat makan buah.
Di antara banyak-banyak buah langsat yang awak tengah makan tu, ada sebiji buah yang tertera nama saya pada kulitnya. Jadi, simpan ya. Itu tanda saya sentiasa bersama awak.
Ha..?! Ish!! Merepek je pula mamat ni. Takkan buah langsat ni pun nak dijadikan jiwang-jiwang kut. Aduiii... sakit betullah dia ni. Hmm.. macam mana dia boleh tahu aku tengah layan buah langsat ni? Abang oh abang!!
Kerja abanglah ni. Apalah abang ni, semua yang aku buat dia info Faliq rupanya. Huh! Tak ada privasi langsunglah. Geram pula aku dengan abang.
" Kalaulah ada nama awak dekat salah satu buah langsat ni atau apa-apa buah pun. Memang semua pokok buah ni automatik akan mati rentung disambar petir tau tak. Saya yang makan buah ni pun, mati juga.
Layan buah langsat lagi baik dari layan awak.. bye"
Lalu ku sent padanya. Aku meletakkan handphone ke dalam bakul anyaman. Dan sambung makan buah langsat lagi. Mahu kembung perut ni, banyak gila aku makan buah ni dari tadi. Tak apalah bukan selalu.
Tak lama kemudian, abang datang dengan membawa bakul yang penuh dengan buah rambutan, langsat dan cempedak. Diletakkan bakul diatas kayu dan duduk dihadapanku.
Pak Long masi lagi memetik buah. Ada orang nak beli katanya.
" Kenapa abang info Faliq adik tengah makan buah? Semua yang adik buat abang info dia ek?!" Tanyaku.
" Laa.. dah dia tanya. Adik tengah buat apa.. So, abang jawablah. Tak kan nak menipu. Kan berdosa.." selamba je abng jawab.
" Tak payahlah jawab. Tak ada privasi tau tak." Jelingku lada abang.
" Ceh!! Privasilah saaaangat.." abang gelak besar.
" Ada air lagi tak, bagi abang sikit.."
" Sorry.. air dah habis. Tulah, tadi orang tanya nak bawa air ke tak. Abang kata tak payah. Sekarang, padan muka.." aku pula gelakkan abang. Abang hanya tersenyum.
Pak Long datang dengan membawa seikat besar buah rambutan. Merah dan besar-besar buahnya.
" Dah jom balik. Bakul ni letak belakang lori.." arah Pak Long pada abang. Aku membuang kulit-kulit langsat ke dalam bakul sampah yang Pak Long sediakan di pondok itu. Lalu, mengambil bakul anyaman. Aku hanya bawa bakul tu aje.
" Abang.. jom kita naik belakang lori tu. Macam best je. Jom lah bang.."
" Ish!! Taknak lah. Duduk jelah dalam ni.." abang membuka pintu lori. Dengan pantas aku tutup semula pintu lori di bahagian penumpang itu dan tarik lengan abang ke belakang lori.
Akhirnya.. abang ikut je permintaan aku. Hehe.. Sementara pagar lori belum ditutup aku naik keatasnya, diikuti abang. Kami berdiri di tepi bakul-bakul buah tadi. Wah!! Bestnya naik lori. Bukan depan tapi belakang. Seronokkkk!!!
Pak Long menggeleng kepala. Senyum melihat gelagat aku. Dengan abang sekali terpaksa ikut perangai aku. Pak Long memandu lori. Diatas lori aku layan buah rambutan pula. Berkali-kali abang cakap, seronok.
" Ha! Tulah.. lain kali kalau adik ajak, jangan berlagak. Sebab adik tahu apa yang adik buat mesti akan best punya. Pasti seronok!!" kataku. Suara agak kuat sebab tak berapa jelas sebab bunyi angin. Abang senyum.
Layankan jelah adik abang yang gila-gila ni okey!! Peace abang!!