Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,199,805
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 26

26

IRIS Suhayla menanti dengan penuh debaran di atas pelamin, debaran diijabkabul dan menjadi isteri kepada seorang lelaki. Sedia ataupun tidak, masanya telah tiba. Masa untuk menumpahkan segala cinta buat seorang lelaki asing dan tidak dikenali. Ya Allah, permudahkan segala urusanku. Aku telah berusaha untuk menjauhi namun ternyata dia tertulis untukku. Aku redha kerana seperti kata mereka, pilihan emak dan ayah penuh barakah. Oleh itu, tetapkan hatiku, tetap sehingga akhir nafasku.

"Assalammualaikum."

Ucap tetamu di luar. Dadanya berdetak lebih kencang. Dia memandang Afiqah di sebelah, kemudian menghantar pandangan ke muka pintu.

"Waalaikumussalam. Jemput masuk."

Ayah berdiri di tepi pintu lalu mengajak rombongan pengantin lelaki untuk masuk ke dalam rumah. Seorang lelaki sebaya barangkali, dan wajahnya mirip sekali Izzul Haq mengetuai rombongan yang sangat ramai itu. Dia mendahului rombongan lantas naik dan bersalaman dengan ayah.

"Izhar! Apa khabar?"

Sapa ayah, sayup-sayup. Keningnya keruh, dia memandang wajah Afiqah yang setia duduk di sisinya. Adakah mereka saling mengenali? Walaupun perbualan itu ringkas, namun ia kedengaran begitu mesra ditelinganya. Dia tidak sempat menjawab persoalan itu kerana sekejap sahaja ruang rumah dipenuhi tetamu yang hadir untuk upacara akad nikah mereka. Dari atas pelamin, dia dapat melihat hampir keseluruhan tetamu, termasuklah Izzul Haq yang sudah duduk di hadapan ayah, menunggu masa untuk diijabkabulkan. Ya Rabb, itu bakal suamiku! Bakal imam serta bakal ayah kepada anak-anakku kelak.

"Boleh kita mula?"

Tanya ayah kepada keluarga pengantinnya. Dia hanya nampak ayah Izzul Haq mengangguk sebelum mendengar ucapan salam di luar.

"Assalammualaikum."

Iris Suhayla dan Afiqah saling berpandangan. Begitu juga dengan tetamu di dalam rumah.

"Waalaikumussalam warahmatullah. Jemput masuk, tuan-tuan dan puan-puan."

Giliran Riyad pula menyambut tetamu. Iris Suhayla turut memanjangkan leher, memerhati kelibat tetamu yang bakal muncul di depan pintu.

"Su..."

Panggil seseorang, tidak kuat tetapi kerana suasananya yang hampir sunyi, suara itu sampai ke telinganya.

"Siti. Ahhh!"

Iris Suhayla hampir berteriak apabila kelibat Siti Hajar dan rakan-rakan sejawatan dari Labuan menambah bilangan isi rumah itu. Dia menggoyang-goyangkan tangannya, menyapa mereka dengan begitu teruja. Afiqah menepuk pahanya, perlahan. Emak dan ibu saudara yang duduk tidak jauh darinya menggeleng sahaja. Izzul Haq yang duduk tenang di hadapan ayah, menoleh ke arahnya. Sebuah senyuman dihadiahkan buat bakal isterinya yang masih nakal di hari pernikahan mereka.

"Shhhh!"

Cikgu Khadijah meletakkan jari di bibir sambil mencari ruang kosong untuk duduk. Kemudian, rakan-rakan yang lain mula mengambil tempat sehingga keadaan kembali tenang.

"Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum warahamatullahitaala wabarakatuh. Tujuan kita berkumpul pada hari ini adalah untuk menyatukan dua mempelai, iaitu anak saya, Iris Suhayla binti Idris dengan pasangannya, Izzul Haq bin Dato' Izhar. InsyaAllah, kita akan mulakan akadnya."

Suara ayah kedengaran tenang di telinganya. Iris Suhayla menarik nafas panjang, mengawal pelbagai rasa yang menekan-nekan dinding hatinya. Terimalah Iris Suhayla, terimalah!

"Izzul Haq bin Dato' Izhar."

"Saya."

"Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku, Iris Suhayla binti Idris, dengan mas kahwinnya senaskhah al quran, dibayar tunai."

"Aku terima nikah akan Iris Suhayla binti Idris dengan mas kahwinnya senaskhah al quran, dibayar tunai."

Izzul Haq melafazkan ijab dengan tenang. Iris Suhayla mengangkat muka, melirik padangan ke arah seorang lelaki yang baru melafaz akad terhadap dirinya namun kelibat Zakwan pula yang terlihat dek matanya. Cepat-cepat dia melarikan mata kerana tidak mahu menambah lagi tekanan di dada.

Seakan tahu yang dirinya sedang diperhatikan, Zakwan membalas pandangan Iris Suhayla. Lama dia melihat wajah itu, barangkali buat kali yang terakhir kerana dia mahu membuang nama itu jauh-jauh dari hatinya. Wajah yang cantik itu hanya menunduk ketika doa dibacakan.


"KENAPA aku rasa muka suami kau macam muka CEO kereta tu, Su?"

Tanya Siti Hajar kepadanya. Ketika itu, mereka sedang jalan bersama menuju ke arah bas persiaran yang sedang menanti tidak jauh dari perkarangan. Iris Suhayla ketawa. Barangkali Siti Hajar sudah mengecam Izzul Haq. Semenjak upacara membatalkan air sembahyang lagi, Siti Hajar asyik mengamati wajah Izzul Haq.

"Perasaan kau aje tu. Kau jugak yang kata, takkanlah si CEO kereta tu nakkan aku."

Balas Iris Suhayla, menimbal kembali memori lalu. Siti Hajar tidak berpuas hati, dia yakin akan raut wajah yang kerap dilihat di dalam akhbar tempatan itu. Kereta yang bersidai di hadapan rumah Iris Suhayla sudah cukup menjadi bukti bahawa suaminya bukan sembarangan orang. Dan jika bukan kerana tanggungan suami Iris Suhayla, dia yakin yang mereka tidak akan hadir ke majlis itu. Tak apa! Dia akan menyiasat hal itu, jika selama ini Iris Suhayla mempermainkannya, jagalah dia!


IRIS Suhayla mendekati rombongan rakan sejawatannya dari Sekolah Kebangsaan Seri Layang. Mereka bakal bertolak semula ke KLIA kerana pesawat mereka dijangka berlepas pada pukul lima petang ini. Iris Suhayla masih mencari kelibat suami di kiri dan kanan perjalanan singkat itu. Selepas acara bergambar di pelamin tadi, dia tidak dapat mencari Izzul Haq. Barangkali lelaki itu beramah mesra dengan sahabat handai atau tetamu.

"Tahniah Iris. Baru sekejap SKSL berseri dengan adanya seorang lagi anak dara tapi sekarang, anak dara tu dah jadi isteri orang."

Ucap Puan Hajjah Aminah, menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya. Iris Suhayla membalasnya dengan senyuman. Rakan-rakan yang lain turut mendekati, bersalaman dengannya serta mengucap tahniah sebelum menaiki bas.

"Siti Hajar ada lagi, puan. Tapi rasanya dia pun bakal ikut jejak saya."

Iris Suhayla membalas, sengaja mengusik Siti Hajar yang berdiri di sebelahnya.

"Oi!"

Jerkah Siti Hajar, spontan. Dia memandang Iris Suhayla dengan seribu kerutan namun ketua jabatan mereka tersenyum sahaja.

"Iya? Emm, bakal kehilangan bunga kembang mekarlah kami, kalau Siti Hajar pun mengikut jejak juga."

"Alah puan ni. Macam tak suka aje saya kahwin."

Siti Hajar menjawab, dengan muncung sedikit tinggi. Kemudian, mereka bertiga ketawa senang.

"Bukan tak suka tapi tak sanggup nak melepaskan. Iris pun, bila dah bersuami ni, mesti tak lama di SKSL."

Balas Puan Hajjah Aminah, meneka. Iris Suhayla tidak menjawab kerana ia masih terlalu awal untuk dibicarakan.

"Sampaikan salam saya pada suami Iris."

"InsyaAllah, puan. Akan saya sampaikan. Terima kasih juga pada puan dan rakan-rakan sebab sudi datang ke majlis saya."

"Bukan terima kasih pada saya. Terima kasih pada Iris dan suami sebab sudi bawa kami ke sini."

Tingkah guru besar, turut berterima kasih.

"Terima kasih kat saya ajelah."

Siti Hajar menggeleng sebelum mencelah. Mereka berempat ketawa. Iris berpelukan dengan Siti Hajar. Begitu juga dengan Afiqah. Beberapa jam mengenali Siti Hajar sudah cukup untuk bersilaturrahim dengan teman serumah Iris Suhayla itu. Mereka menghantar langkah Puan Hajjah Aminah menaiki anak tangga bas. Siti Hajar menurut di belakang. Kemudian, dia membalas lambaian rakan-rakan lain di dalam bas. Bas pertama mula bertolak, bas kedua mengikut di belakang. Giliran bas ketiga bergerak perlahan namun ia berhenti betul-betul di hadapannya. Pintu bas terbuka dan Izzul Haq turun melaluinya. Ketika dia berjalan mendapatkan Iris Suhayla, seorang gadis turut menapak ke arah isterinya.

"Selamat pengantin baru, Iris. Kirim salam pada awek kat sebelah tu."

Cikgu Nizam sempat melaung di tangga bas sebelum pintu itu tertutup. Afiqah mencebik. Kemudian, mereka ketawa bersama.


"KURANG asam punya angah. Bukan nak tolong basuh, dia tolong tengok aje."

Rungut Iris Suhayla sambil mencuci kawah dengan air bersih. Izzul Haq juga melakukan hal yang sama. Semenjak majlis selesai sejam yang lalu, mereka berdua ditugaskan untuk mencuci periuk dan kawah yang digunakan ketika memasak pagi tadi. Riyad yang bersandar di tiang kanopi ketawa sahaja.

"Alah, sekali seumur hidup aje, kan."

"Kenduri kau nanti, aku balas pulak. Jaga kau!"

Izzul Haq membalas. Riyad ketawa tanpa henti. Reaksi Iris Suhayla yang menggosok periuk dengan kuat tanda protes mencuit hati, lalu dia mengeluarkan telefon bimbit. Aksi Iris Suhayla dengan muncung sedepa akan dirakam.

"Nah, ni pinggan mangkuk untuk lauk pengantin ni pun, korang basuh jugak ya! Enjoy!"

Hafiy menambah sambil meletakkan sebuah bakul yang berisi pinggan mangkuk kotor. Iris Suhayla jadi geram. Dia bangun lalu membaling span yang penuh dengan kotoran makanan ke arah Hafiy dan Riyad, namun mereka berdua berjaya mengelak. Hafiy ketawa berdekah-dekah, menyebabkan Iris Suhayla bertambah-tambah rasa geram dan sakit hati. Tergamak dua abang itu mengerjakannya pada hari dia menjadi raja sehari.

"Enjoy Pak Bewak. Penatlah macam ni. Lepas sebakul, sebakul. Lepas sebakul karang, datang pulak kawah."

"Kalau penat, pergilah berehat. Biar saya selesaikan."

Ujar Izzul Haq, menyudahkan tawa sambil terus menyiram periuk dengan air bersih. Iris Suhayla tidak menjawab. Namun kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Terus dia berjalan menuju ke dapur rumah, tidak menoleh-noleh lagi ke arah belakang.

"Apalah kau ni, Izzul. Bukan selalu dapat menyakat Iris. Kalau macam ni, untunglah dia...ada orang jaga."

"Tahu, tak apa. Dulu bolehlah kau sakat dia. Sekarang, aku sakat kau pulak nak?"

Suara Izzul Haq kedengaran dari jauh. Iris Suhayla ketawa lalu mengintai dari tingkap dapur. Terasa ada satu perasaan halus, menyelinap masuk ke dalam hatinya. Iris Suhayla memegang dadanya yang berdebar tiba-tiba. Apakah ini petanda bahagia? Atau ini petanda redha?


"QUL inkuntum tuhibbu-na Allaha fattabi 'u-ni yuhbibkumullahu wayaghfir lakum dzunu-bakum waallahu ghafu-run-rahiim."

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

"Bismillah hirrahman nirrahiim…robbana hablana min az waa jina wazurriyyaa tina qurrota a'yun waj'alna lil muttaqina imamaa. Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."

"Rabbana atina fiddunya hasanatan wa fil ahiroti hasanatan waqina a'za bannari wa sall Allahu a'la saidina Muhammadin wa a'la alihi wa sahbihi wa sallama walhamdullilah hi rabbil a'laminn."

Iris Suhayla ikut mengaminkan doa. Doa yang dibaca Izzul Haq amat mengharukan. Ia terus berputaran di dalam minda dan menyentuh dasar hati. Hari ini, buat pertama kali dia diimamkan oleh seorang lelaki bernama suami. Izzul Haq memusing badannya ke belakang lantas menghulurkan tangan untuk bersalam. Iris Suhayla teragak-agak namun dia menyambut juga tangan itu dan menciumnya buat pertama kali. Allahhu Akbar, kenapa perasaan ini aneh sekali? Aku tidak dapat bertentang mata dengannya. Malukah? Dia membuang bimbang yang bertamu di hati. Bukankah aku redha? Dia bertanya lagi namun belum menemui jawapannya.

Tanpa suara dia membuka balutan telekung pada tubuhnya, perlahan-lahan. Dia mula menampakkan aurat rambutnya pada seorang lelaki, dengan nama suami, walaupun teragak-agak. Dan dia tahu, melalui ekor matanya, lelaki itu sedang memberi tumpuan terhadap dirinya, hingga terasa bahang panas menyerbu wajah. Oh, pertama kali berdua-duaan secara halal dengan seorang lelaki membuatkan dirinya jadi tidak tentu hala.


IZZUL Haq memandang tepat anak mata coklatnya, menghantar perasaan terujanya melalui pandangan itu. Wajah itu merona kemerahan buat kesekian kalinya. Izzul Haq senyum lagi. Dia berdiri lantas melipat sejadah biru yang mengalas solatnya sebentar tadi. Tiada suara. Iris Suhayla juga begitu, melipat telekung lambat-lambat sebelum menyidainya di rak kayu. Kemudian, dia duduk di birai katil dengan debaran kencang di dada. Apa dialog mereka seterusnya? Perlukah dia yang memulakan perbualan mereka atau menunggu sahaja bicara sang suami. Oh!

"Pinggang tu...masih sakit lagi ke?"

Suara Izzul Haq kedengaran menyapa dirinya. Iris Suhayla bagai diterkam suara asing, kaku dan beku. Hanya seketika kemudian, baharu dia bereaksi.

"Hah? Pinggang? Err...Dah okay kut."

"Mana boleh kut-kut. Okay ke tak okay?"

Tingkah Izzul Haq. Kali ini suaranya lebih tegas. Wajah sang isteri ditenung sebelum dia duduk di samping Iris Suhayla. Iris Suhayla mengesot ke kanan sedikit. Dia meraba pinggangnya, menggosok bahagian yang sakit ketika membasuh petang tadi.

"Dah okay."

"Iya ke okay. Ke takut kena urut?"

Sakat Izzul Haq, tersenyum lagi dengan telatah isteri. Mendengar perkataan urut, Iris Suhayla diterpa cemas. Dia cepat-cepat berdiri lalu memulas tombol pintu.

"Jom makan."

"Jom makan? Ingatkan jom tidur. Jom makan rupanya."

Balas Izzul Haq, terus bercanda. Iris Suhayla buat-buat tidak dengar tetapi mukanya tidak dapat menipu. Terasa bahang panas menyimbah ke muka sedang si suami terus dengan ledakan tawanya.


DIA membuka kelopak mata apabila jemarinya dijamah seseorang. Matanya berkedip, berkali-kali sehingga terlihat dek anak matanya bayang seorang lelaki duduk di sebelahnya. Iris Suhayla bangun juga walaupun hatinya berbisik supaya terus menyambung mimpi.

"Jom solat Subuh."

Ajak Izzul Haq sambil mengelus lembut rambutnya. Dia menurut tanpa karenah. Semenjak bergelar isteri, rutinnya terus berubah. Segala-galanya dilakukan secara berjemaah dengan Izzul Haq kecuali memasak. Tugasan itu masih dilakukan oleh emak. Walaupun tidak memasak, dia membantu juga emak di dapur. Sekurang-kurangnya dengan mengopek bawang.

Iris Suhayla kembali ke dalam kamar peraduannya. Izzul Haq sudah menanti di atas tikar sejadah. Jika tadi bilik mereka gelap gelita, kini pancaran cahaya menerangi seisi bilik. Ketika melihat diri isterinya sedang mengenakan pakaian solat, dia bingkas bangun.

"Allahhu akbar, Allahhu Akbar. Ash-hadu anla ilaha Illallah. Ash-hadu anna Muhammadan rasullulah. Hayya 'alal salah. Hayya 'alal falah. Qad qa matis salah tu Qad qa matis salah. Allahhu akbar, Allahhu Akbar. La illa ha Illallah."

Mereka sama-sama menadah tangan dan membaca doa selepas iqamah. Iris Suhayla membuang dunia sebaik takbir dilafaz. Izzul Haq memimpin solat jemaah sehingga selesai memberi salam. Usai doa, dia berpusing seperti selalu, menghulur tangan untuk bermaafan. Ketika Iris Suhayla tunduk mencium tangan suaminya, terasa tangan sang suami menyentuh ubun-ubunnya sebelum sebuah kucupan singgah di dahi. Syahdu.

"Iris nak mintak apa dari saya?"

Tanya Izzul Haq. Keruh dahinya, tidak mengerti apa yang ingin disampaikan oleh sang suami.

"Maksudnya?"

"Iyalah. Isteri saya ni macam tak sudi nak aje nak dekat dengan suami dia. Tak lama lagi dah nak balik ke Labuan, kan? Tanya sepatah jawab sepatah. Kalau tak tanya, terus senyap. Macam banyak emas pulak dalam mulut tu. Iris ada apa-apa keperluan atau permintaan ke? Nak honeymoon ke? Nak shopping ke?"

Tanya Izzul Haq kembali. Dia masih terasa ada jurang antara mereka. Jika bukan dia yang memulakan perbualan, Iris Suhayla nampak kekok sekali mendekatinya apatah lagi untuk bermesra seperti pasangan suami isteri yang lain. Namun dia mengerti. Iris Suhayla begitu kerana fasa baharu mereka. Fasa yang begitu intim selepas melalui satu fasa perkenalan yang amat ringkas.

"Tak ada apa pun. Nak ke mana? Nak beli apa? Cuti pun dah nak habis."

"Okay. Lepas sarapan nanti kita keluar, ya?"

Putus Izzul Haq. Tiada rencana di dalam mindanya tetapi mungkin rencana itu hanya muncul apabila kereta mula dipandu kelak.

"Emm. Makan aiskrim nak?"

Luah Iris Suhayla, mengundang tawa si suami. Iris Suhayla senyum sahaja. Dia lantas memegang sejadah yang mengalas duduk Izzul Haq sebelum melipatnya dengan cermat.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.