7
IRIS Suhayla berdiri di tepi pintu masuk Prasekolah Adik
Bijak. Dia menelan air liur melihat keadaan kelas yang sangat uzur. Bangunan
itu sudah uzur dan tunggu masa untuk runtuh sahaja. Jika dilihat dari
persekitaran fizikalnya, bangunan itu seakan tidak selamat untuk dijadikan
pusat pembelajaran bagi kanak-kanak prasekolah nanti.
Pelbagai prasangka
bermain di mindanya namun dia tidak mahu cepat melatah. Barangkali dia boleh
merencana beberapa perkara untuk menceriakan bangunan itu. Kalau Afiqah tahu
yang kelasnya begitu, pasti dia bakal dihentam teruk. Sebelum ia sampai ke
pengetahuan rakan-rakannya, lebih baik dia bertindak segera. Oh, tidak!
"Pembantu Iris sedang
bercuti. Dia balik ke Sabah. Katanya, dua hari sebelum buka sekolah, dia akan
kembali bertugas,"
Terang GPK Pentadbiran, Encik
Osman. Iris Suhayla mengangguk tanda mengerti. Barangkali dia boleh meminta
pendapat Cikgu Osman mengenai prasekolah itu.
"Cikgu Osman, maaf
bertanya, sebenarnya sudah berapa lama usia bangunan prasekolah ni?"
"Oh, nampak menakutkan ya
bangunan ni?"
Iris Suhayla ketawa menjawab
pertanyaan itu. Bimbang hendak memberi pendapat yang jujur mengenangkan usia perkhidmatannya
yang baru beberapa jam sahaja.
"Bangunan ni adalah
bangunan yang paling tua di sekolah ini. Bila prasekolah mula diperkenalkan,
bangunan ini diubahsuai untuk dijadikan kelas prasekolah. Saya faham perasaan
cikgu tentang keadaan kelas ni tapi buat sementara, hanya bangunan ini yang
boleh kita guna. Kita kekurangan kawasan lapang untuk mendirikan bangunan
baru,"
Jelas Encik Osman dengan
panjang lebar. Iris Suhayla diam sahaja. Segala persoalan yang bermain di dalam
mindanya dibiarkan dahulu. Biarkan dahulu. Pasti ada penyelesaian di sebalik
semua masalah ini.
"Saya sedih tengok
keadaan kelas ni sebenarnya tapi saya harap kesedihan saya terubat dengan
adanya Cikgu Iris Suhayla di sini."
"Tolonglah ceriakan kelas
ini seperti mana yang sepatutnya."
Tambah Guru Penolong Kanan
Pentadbiran itu lagi. Iris Suhayla mengerti. Jika bukan disebabkan permintaan
Encik Osman pun, itulah niatnya yang pertama setelah melihat wajah kelas
prasekolah itu, menceriakan kelas seperti yang sepatutnya.
"Memang itu hajat saya
pun, Cikgu Osman. Tapi cikgu janganlah pulak mengharapkan perubahan seratus
peratus. Apa yang termampu saya buat, yang pasti saya akan buat sikit demi
sikit,"
"Baguslah begitu. Kalau
Cikgu Iris perlukan apa-apa bahan, boleh tanya pada bahagian pentadbiran
tentang urusannya,"
USAI Mesyuarat Kurikulum, dia bergegas ke kelas
prasekolah. Kata kerani, cat sekolah ada di simpan di stor sebelah tandas murid
lelaki. Dia boleh menggunakan mana-mana warna yang dikehendaki namun dia perlu
menyediakan kertas kerja tentang keceriaan kelas sebagai gantinya. Ketika dia
mengusung tin cat kuning, pekerja sekolah menawarkan diri untuk membantu. Kata
mereka, Encik Osman ada berpesan supaya membantu Iris Suhayla di kelas
prasekolah sementara belum sibuk dengan kebersihan sekolah.
"Alhamdulillah, kecil
tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Memang saya perlukan tenaga tambahan untuk
mengecat dinding kelas. Lebih ramai yang membantu, lebih mudah urusan
diselesaikan."
Balas Iris Suhayla dengan rasa
gembira.
"Tahun sebelumnya, kelas
ni dijaga guru lelaki. Tapi cikgu faham sahajalah, cikgu lelaki kurang berminat
dengan keceriaan kelas. Dah beberapa kali guru besar menasihatkan supaya guru itu
meningkatkan keceriaan kelas tapi arahan hanya tinggal arahan. Akhirnya,
beginilah rupa kelas yang diambil alih oleh cikgu,"
Cerita pekerja sekolah yang
bernama kak Ita. Iris Suhayla senyum sahaja. Berita seperti itu tersebar juga
di kalangan kaki tangan sekolah. Itulah yang perlu dijauhkan sebenarnya. Jika
dia tidak mahu dicop, tutup mulut dan buat sahaja kerja yang diarahkan.
Sekurang-kurangnya kesalahan yang nampak di mata orang lain boleh dikurangkan.
"Oh, tak apalah! Saya
anggap ini sebagai pengalaman baru yang perlu saya belajar. Lambat laun, saya
akan berdepan juga dengan masalah begini."
"Saya suka semangat
cikgu. Barangkali semangat cikgu baru!"
"Semangat cikgu baru?
Maksud Kak Ida?"
"Iyalah. Selalu beginilah
rupa cikgu baru. semangat luar biasa. Itu ini semua nak dibuatnya tapi bila dah
masuk tahun ketiga, keempat, kelima, barangkali dah jemu agaknya menghadap
rutin yang sama, menghadap perangai manusia yang macam-macam, semangat tu
hilang sikit-sikit."
Jelas Kak Ida. Tersentak juga
Iris Suhayla bila dikata begitu namun dia tidak mahu terlalu memikirkan perihal
itu. Barangkali itu pengalaman mereka bertahun-tahun di sekolah. Buat dirinya,
dia cuma mahukan yang terbaik untuk anak bangsa. Apa yang akan dilakukan pada
tahun-tahun akan datang, ceritanya akan berlaku apabila masa berlalu. Jika dia
merancang sekalipun, belum tentu dia
mendapat apa yang diinginkan.
"Mungkin agaknya, Kak
Ida. Barangkali niat yang menentukan kedudukan semangat kita. Kerana duit,
kerana pangkat atau Lillahitaa'la."
"Dinding sebelah depan ni
siap dicat cikgu, yang bertentang dengannya nak dicat dengan warna yang sama
ke?"
Tanya Pak Hassan yang begitu tekun
melunaskan kerja mengecat. Iris Suhayla meninggalkan kak Ita dan Kak Ida yang
sedang mengecat di bahagian hujung kelas. Dia berjalan ke arah Pak Hassan
dengan perasaan yang gembira. Gembira kerana sedikit demi sedikit, rupa kelas
itu berjaya diubah dari yang asalnya.
"BUSYsangat
ke orang Labuan tu? Semenjak sampai sana, langsung tak hantar khabar
berita,"
Terjah Riyad ketika Iris
Suhayla baru meletakkan telefon bimbit di telinganya. Tidak segera membalas,
Iris Suhayla ketawa sahaja.
"Mestilah busy, orang dah bekerja, kan?"
"Hai, cuti sekolah pun
belum habis lagi, busy tang
mananya?"
Soal Riyad kembali. Tidak
berpuas hati dengan jawapan yang diberi adiknya.
"Itulah angah, selalu
mengata cikgu tak sibuk, tak banyak kerja. Tengok adik angah ni, kerja
bertambun walaupun murid tengah bercuti. Ingat senang ke jadi cikgu?"
"Senang bin kacang
goreng, kan? Alah, tinggallah dulu kerja tu. Jalan-jalan pusing Labuan dulu.
Kata ada orang teman Su kat sana?"
Usik Riyad, menimbulkan
persoalan baru buat Iris Suhayla. Pasti Riyad berkait rapat dengan kehadiran
Izzul Haq di Labuan tempoh hari. Kemunculannya secara tiba-tiba dan
mengejutkan. Kalau tidak kerana Riyad, takkan setepat itu Izzul Haq berada di
sisinya.
"Kata? Siapa kata? Ni
mesti kerja angah lagi, kan? Angah yang suruh Izzul datang sini, ya?"
"Angah? Angah jugak yang
kena! Izzul sendirilah yang mintak kebenaran dengan mak dan ayah nak hantar Su
ke sana. Katanya, dia nak uruskan sendiri tempat tinggal Su. Mak pun apa lagi, orang
nak tolong, kan? Mestilah mak bagi!"
Jelas Riyad, mempertahankan
diri. Maklumat itu sampai padanya sehari sebelum Iris Suhayla bertolak ke
Labuan namun kata emak, biar Su kenal sendiri tunangnya. Justeru dia mendiamkan
diri sahaja, selain memang ingin mendengar reaksi Iris Suhayla tentangnya.
"Eeee, mak ni, kan? Entah
apa yang dia suka sangat pada Izzul tu,"
"Jangan macam tu, Su.
Pilihan mak tu berkat,"
"Angah tak kena, bolehlah
angah cakap macam tu!"
"Kalau angah di tempat
Su, angah terima dengan redha. Angah pun nak bakal isteri angah direstui
keluarga."
Beritahu angah, menyatakan
pendiriannya. Sebenarnya dia cuba hendak membantu Iris Suhayla, membuang segala
prasangka adiknya terhadap emak. Apa yang dilakukan oleh emak, pasti yang
terbaik dikirakan untuk anak-anaknya. Sempat beberapa kali dia berbual dengan
Izzul Haq, ternyata lelaki itu punya karisma untuk menjadi seorang pemimpin
yang baik.
"Ala, angah cakap sebab
nak sedapkan hati Su, kan?"
"Itulah Su, kalau angah
nasihat, Su asyik nak menang. Payah betul nak terima nasihat orang,"
"ASSALAMMUALAIKUM. Kami pelawat dari PPD."
Ucap seseorang di luar. Iris
Suhayla kaget. Sudah ada pelawatkah di musim cuti sekolah ini? Dia memanjangkan
leher, menjenguk ke luar namun gelak tawa Siti Hajar menghilangkan debaran di
dada.
"Kurang asam punya
kawan!Nak tercicir rasa jantung ni dibuatnya. Masa tengah sibuk, masa ni pulak
orang nak datang melawat,"
"Eh, tak boleh melawat
ke? Kalau macam tu pelawat baliklah!"
Balas Siti Hajar sambil
memusingkan badannya, berpura-pura hendak meninggalkan kelas prasekolah itu.
"Eh, kata pelawat! Belum
melawat lagi dah nak balik. Tak nak masuk dalam dulu ke? Hajat tadi, nak juga
hidang air untuk tetamu."
"Ada air ke? Emm, tak
jadi baliklah!"
Jawab Siti Hajar lantas
menanggalkan kasutnya di hadapan pintu. Tidak menunggu pelawaan, dia duduk di
atas karpet lusuh.
"Wah, berubah sungguh
rupa kelas ni semenjak Cikgu Iris Suhayla ada di sini. Bertuah Sekolah Seri
Layang dapat cikgu macam Iris!"
Puji Siti Hajar sambil matanya
melilau ke segenap ruang kelas. Iris Suhayla ketawa kecil. Padanya pujian itu
cuma hendak menguji semangatnya sahaja. Iris Suhayla tidak menjawab. Hanya
derap kakinya sahaja kedengaran meninggalkan ruang kelas. Dia meletakkan
hidangan ringan di hadapan Siti Hajar. Tersenyum rakan yang baru dikenali itu
sambil menggosok-gosok perutnya tanda lapar.
"Sempat pulak Iris goreng
pisang, ya?"
"Sempat? Ingat Su serajin
tukang masak ke? Makan tengah hari dengan malam pun beli aje, inikan pulak nak
menggoreng pisang,"
"Ahaha...Tahu dah!
Sebenarnya saja je puji tu. Kalau tak puji karang, tuan punya goreng pisang tak
jemput pulak kita makan,"
"Mengada sungguh! Boleh
pulak berlakon semata-mata nak makan!"
Balas Iris Suhayla sambil
menepuk paha Siti Hajar. Siti Hajar sekadar ketawa sambil menggosok-gosok
pahanya. Kemudian, dia menyua sekeping pisang goreng, sedikit demi sedikit ke
dalam mulutnya.
"Hari tu tak sempat kita
nak bersembang panjang, kan?"
"Iris kat Labuan ni,
tinggal di mana?"
"Kat apartment Layang
Sari. Taklah jauh sangat dari sekolah!"
Beritahu Iris Suhayla,
mengundang kejutan Siti Hajar.
"Eh, kita berjiranlah! Siti
pun duduk di situ jugak. Tapi sekarang ni dalam proses nak mencari bilik
kosong. Apartment Siti tu, macam dah jadi asrama pulak. Ramai sangat orang di
rumah tu."
"Iya ke? Kalau macam tu,
marilah duduk dengan Su. Lagipun Su seorang diri aje kat situ,"
Pelawa Iris Suhayla, tidak
berfikir panjang. Dari dia bersendirian di rumah itu, menghadap dinding kosong
siang malam, lebih baik jika dia mencari teman. Sekurang-kurangnya ada teman
pengubat sepi.
"Betul ke Iris? Iris ke
Su ni? Siti panggil Iris, Iris bahasakan Su."
"Su lah, ya! Betullah,
apa tak betul pulak! Kalau Siti nak, hari jugak boleh pindah ke rumah Su!"
"Wah, bestnya! Tak sabar
nak balik rumah, nak berkemas. Kalau macam tu, Siti nak balik dululah, nak
berkemas. Bak sini nombor telefon Su! Nanti bila nak pindah, Siti call,"
Minta Siti Hajar seraya
menadah tangan. Sempat pula sebelah tangan lagi menyua minuman ke dalam
mulutnya. Iris Suhayla menggeleng tapi dalam pada itu, dia bangun juga
mendapatkan kertas, menulis nombor telefon di atasnya sebelum menyerahkan
kertas itu ke tangan Siti Hajar.
"Blok C, C3-11 nombor
rumahnya!"
"Thanks, Su! Ni yang
jatuh sayang pada Su ni. Muah!!"
HAMPIR jam sepuluh malam, loceng rumahnya ditekan
beberapa kali. Iris Suhayla yang sedang berbaring menonton televisyen, bangun
juga dengan rasa malas. Dia seperti dapat mengagak kehadiran tetamu merangkap
rakan serumahnya yang baru.
"Su, terima kasih bagi
Siti tinggal dengan Su!"
"Sama-sama, jomlah
masuk!"
Ajak Iris Suhayla sambil membantu
Siti Hajar mengangkat barang yang dirasakan boleh dibawa seorang diri. Rakan
serumah Siti Hajar barangkali, ada bersama membantu mengangkat beberapa kotak
barang peribadi bakal bekas teman serumah mereka. Barangkali, itu bantuan
terakhir mereka sementelah Siti Hajar bertekad hendak mencari rumah baru.
"Jemput masuk
semua,"
Ajaknya ketika melihat dua
orang rakan Siti Hajar seolah keberatan hendak masuk ke dalam rumah. Terlupa
akan peranan sebagai tuan rumah, dia mengalukan kehadiran tetamunya dengan rasa
hormat.
"Dua bilik ni saja yang
kosong. Siti nak guna bilik mana, guna sajalah!"
"Bilik tengah ni lah,
dekat sikit dengan Su!"
Balasnya sambil menolak pintu
bilik. Alangkah terkejutnya bila didapati bilik itu telah lengkap dengan segala
kelengkapan, lantas, di mana harus dicampakkan peralatannya pula?
"Tinggal masuk pakaian
aje dalam almari."
Beritahu Iris Suhayla
seolah-olah dapat menghidu soalan yang bermain di dalam minda Siti Hajar.
"Habis barang yang
lain?"
"Simpan aje dalam bilik
sebelah. Habis cerita!"
"Alah, esoklah kita kemas
sama-sama. Dah malam ni, Siti rehat dulu. "
"Okay, Siti! Kami nak
balik dulu. Nanti ada masa, jangan lupa singgah jenguk kami kat Blok A!"
Beritahu salah seorang rakan
Siti yang memakai baju kelawar berwarna hijau. Mereka memeluk Siti Hajar bergilir-gilir.
Dari wajah Siti Hajar, terkesan juga dek mata kasarnya kesedihan berpisah
dengan rakan-rakan. Barangkali keputusan itu yang terbaik buat Siti Hajar. Jika
tidak, masakan dia mahu berpindah juga sedangkan perasaannya bertentangan.
"Terima kasih,
kawan-kawan! Sampaikan salam aku pada Nadia and Shida, ya?"
"Okay, kami balik dulu,
ya?"
"Iris Suhayla! Terima
kasih. Tak sempat nak buat minuman. Lain kali jemput datang lagi, ya?"
"Tak apa. Lain kali saja.
Saya Alia, ini Nurul. Jumpa lagi. Assalammualaikum!"
Ujar Alia, memperkenalkan
dirinya dan Nurul. Mereka bersalaman dengan Iris Suhayla sebelum keluar dari
rumah itu. Selepas menutup pintu, Siti Hajar dan Iris Suhayla saling
berpandangan.
"So, dah boleh panggil, aku-kau lah ni?"
Tanya Siti Hajar kepadanya.
Iris Suhayla ketawa kecil sebelum teringat untuk bertanya sesuatu.
"Sebelum tu, berapa umur
Siti?"
"Alah, apa tanya pasal
umur pulak? Malulah! Kita baru umur 28."
"Ahahaha...Oh, ada hati
nak berkau-aku, orang panggil Kak Siti tak mahu. Ingatkan sebaya ke? Rupanya
tua dia tiga tahun dari kita. Suka hati kaulah, Siti!"
Usik Iris Suhayla sebelum
duduk di atas sofa hitam. Siti Hajar ketawa sebelum duduk di sebelahnya, tidak
lagi dipelawa. Barangkali Siti Hajar sedang menyesuaikan diri di tempat baru.
"Rumah ni memang fully furnished ya, masa kau
masuk?"
"Ha ah."
"Untunglah, tak payah
sakit kepala nak memikir pasal perabot."
"MAMA Jiya rasa tarikh ni sesuai untuk majlis Iz
nanti!"
Kata Mama Jiya sambil
menunjukkan kalendar bulan enam dengan nombor empat belas dibulatkan kepadanya.
Izzul Haq mengambil kalendar itu lalu memikirkan tarikh yang disebutkan Mama
Jiya, ibu tirinya yang banyak berjasa menguruskan keperluannya semenjak papa
membawanya pulang dari kampung.
"14.06.14. Cantik kan,
nombornya?"
Tanya mama Jiya lagi. Izzul
Haq tidak segera menjawab. Bukan nombor yang menjadi keutamaan namun kelapangan
jadual kerjanya. Kadang-kadang kerja datang tanpa mengira hari. Itu yang paling
dikhuatirkannya.
"Iz bimbangkan masa, Mama
Jiya!"
"Kita yang aturkan masa,
bukan masa yang atur kita. Jangan ghairah sangat dengan kerja. Nanti jadi macam
papa. Nak ke Mekah pun, sempat lagi fikir hal dunia,"
"Iz yang perlu kawal
jadual Iz. Kalau nak mudah, kosongkan terus kalendar Iz untuk bulan enam nanti.
Terus ambil cuti rehat sebulan."
Kata Mama Jiya lagi, memberi
pendapat bila dilihat anak tirinya seakan-akan buntu dengan tarikh tersebut.
"Nak kahwin ke tidak
ni?"
Tanya Mama Jiya lagi, memancing
reaksinya. Izzul Haq ketawa cuma. Siapa yang tidak mahu berkahwin? Dengan gadis
pilihan hati pula? Oh, mahu! Mahu! Mahu!
"Mestilah nak kahwin,
Mama Jiya oi!"
"Habis tu, nak risau
pasal kerja lagi. Iz kan bos!"
"Bos pun, kenalah tunjuk
contoh tauladan baik pada anak buah, kan?"
Tanya Izzul pula, kurang
bersetuju dengan pandangan Mama Jiya. Namun akhirnya, dia mencapai tangan Mama
Jiya, mengucup tangan itu dengan perasaan berterima kasih. Jika tidak kerana
susah payah Mama Jiya menguruskan keperluannya, entah bagaimana agaknya
kehidupannya kini sedang papa tidak punya waktu untuk hal itu. Dia bersyukur
kerana masih diberi peluang menumpang kasih Mama Jiya selepas kembalinya arwah
mama ke Rahmatullah. Kata orang, ibu tiri garang dan tidak sayangkan anak-anak
tiri mereka namun dia bertemu dengan Mama Jiya yang pengasih.
"Terima kasih, Mama Jiya.
Mama Jiya prihatin lagi pada Iz walaupun Iz dah besar panjang,"
"Iz kan anak Mama Jiya
jugak!"
Jawab Mama Jiya, perlahan.
Lantas, rambut anak muda itu dielus dengan penuh kasih sayang.
"Bila Iz nak bawak Su
jumpa Mama Jiya. Baru sekali jumpa, itu pun tak sempat nak berbual,"
Tanya Najihah lagi. Dia
terkenangkan aksi nakal bakal menantunya sebelum sesi menyarung cincin kelak. Melihat
wataknya yang bersahaja, Najihah tahu gadis itu orang yang ceria.
"Dia di Labuan Mama Jiya, posting di sana. Kalau boleh Iz
malaslah nak usung sangat anak dara orang ke sana ke sini. Sampai masa nanti,
InsyaAllah dia akan jadi sebahagian keluarga kita,"
"Baguslah kalau itu prinsip
Iz. Lagipun bulan enam dah tak berapa lama. Kerap sangat berjumpa pun tak elok
mata orang memandang, nanti keluar lagi cerita dalam media,"
Pesan Najihah, menyatakan
kebimbangannya. Baru-baru ini sempat juga dia membaca berita tentang Izzul Haq
yang dikhabarkan sudah bertunang. Entah dari mana akhbar itu memperoleh sumber.
Bersyukur, tidak ada gambar keluarga yang disisipkan sebagai bukti. Jika tidak
pasti sukar juga hendak menjawab soalan-soalan orang di sekeliling. Tambahan
pula, teman-temannya sangat mengenali Izzul Haq. Tak elok rasanya berita itu
diketahui oleh mereka dari media sedangkan dia sendiri tidak membuka cerita. Namun
prinsip Izzul Haq harus dijaga juga. Anak muda itu tidak mahu menjadi bahan
bualan kerana kisah peribadinya.
"Mama Jiya tahu ke pasal
cerita tu?"
"Sempatlah jugak Mama
Jiya simpan keratan akhbar tu. Mana tahu boleh ditunjuk pada anak cucu Iz satu
masa nanti,"
Usik Najihah lagi, mengundang
tawa Izzul Haq. Najihah ikut suka kemudiannya.
"Hairan jugak Iz. Mana
mereka dapat sumber pasal cerita tunang tu,"
"Adalah tu, Iz! Cuma Mama
Jiya nak pesan supaya Iz hati-hati. Kalau keluar cerita yang baik tak apa,
takut cerita yang diada-adakan, yang tak elok."
"InsyaAllah, Iz akan
hati-hati pasal ni. Lagipun belum sampai masa untuk mewar-warkan berita
ni,"
Jawab Izzul Haq pula. Perkara
itu memang sudah lama dikajinya. Hakimi juga pernah berpesan dan
mengingatkannya. Namun terselit juga sedikit perasaan bimbang jika kedudukan
Iris Suhayla dapat dikesan. Iris Suhayla langsung tidak bersalah untuk menjadi
perhatian masyarakat secara tiba-tiba.
"Baguslah, Iz! Mama Jiya
pun tak pernah berhenti berdoa, moga Iz sentiasa dilindungi dari bahaya,"
"Terima kasih Mama Jiya!
Untung Iz, ada Mama Jiya yang sayang pada Iz."
Ucapnya, lalu meraih tangan
Mama Jiya dan membawanya ke bibir. Tangan tua itu dikucup sekali.Dia mengucap syukur di dalam hati, masih dianugerahkan insan yang prihatin terhadap dirinya di kala ayah sendiri tidak mengendahkannya.