10
"SIBUK bah? Mo sia tolong?"
Tanya Nisa ketika dia sibuk
mewarna gambar untuk dijadikan bahan pengajaran pada hari esok. Jam di dinding
telah menunjukkan angka dua petang namun dia masih belum berganjak dari meja
guru.
"Tak apa, saya buat dulu
mana yang boleh, nanti kalau ada bantuan yang saya perlu dari Kak Nisa, saya
beritahu kemudian."
Ujar Iris Suhayla, menyudahkan
sentuhan terakhir pada gambar anggota badan itu. Beberapa kad perkataan tentang
anggota badan sudah disiapkan dan tersusun molek di hadapan Iris Suhayla. Nisa
akan berasa bersalah jika tidak menawarkan diri untuk membantu Iris Suhayla.
Tambahan pula, membantu guru membuat bahan pengajaran merupakan sebahagian dari
fail mejanya.
"Saya nak perkenalkan
huruf sahaja. Minggu lepas, saya sempat uji murid secara rawak. Boleh
dikatakan semua murid belum mengenal abjad."
Beritahu Iris Suhayla kepada
Nisa yang masih setia berdiri di hadapannya. Teringat akan keadaan kesihatan
Nisa, Iris Suhayla menyorong kerusi lantas mempelawa Nisa untuk duduk
bersamanya.
"Terima kasih,
Iris!"
"Sama-sama."
"Kalau ikut pengalaman
lepas, lepas bulan empat baru murid akan kenal abjad sepenuhnya. Itu pun belum
termasuk murid yang malas dan yang ada masalah pembelajaran."
Ulas Nisa, menceritakan
sedikit pengalaman semenjak dia menceburkan diri sebagai Pembantu Pengurusan
Murid. Lima tahun. Barangkali masa itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan
masa yang dihabiskan oleh seorang guru untuk mendidik anak muridnya mengenal abjad,
dan membaca namun sedikit sebanyak, ada juga ilmu yang boleh dikongsi bersama.
"Bulan empat? Lama jugak
tu!"
"Lama, tahun pertama
posting, masa tu di Sarawak. Boleh dikatakan cikgu buat kelas intensif bacaan
setiap hari, setiap pagi, karana mahukan muridnya boleh membaca."
"Itu yang bulan keempat
baru budak boleh membaca, ya?"
"Emm, cikgu tu memang
rajin tapi berdepan karenah budak, kan? Ada yang malas, ada yang kerap tak
hadir sekolah, ada yang pemalu. Semua tu jadi halangan juga."
Cerita Nisa lagi. Iris Suhayla
tekun mendengar cerita yang disampaikan oleh Nisa lalu dia memadankan situasi
itu persekitaran murid di dalam kelasnya.
"Betul, tengok aje murid
dalam kelas kita. Yang tak mahu bukak mulut, mengenal huruf, ada beberapa orang
jugak. Belum kira yang kuat bercakap tapi pemalu bila ke depan."
"Pendek kata, beginilah
ragam yang perlu kita tempuh setiap tahun. Cikgulah yang paling banyak berdepan
cabaran, dapat murid zero pada awal tahun tapi menjelang hujung tahun, mereka
sudah boleh membaca, menulis dan mengira. Awal tahun depan, zero lagi. Mo bintuk yang zero tu yang susa. Makan masa, kadang-kadang stress
juga kiturang."
Beritahu Nisa lagi. Bukan
berniat untuk menakut-nakutkan Iris Suhayla, tetapi ia kenyataan namun boleh
dijadikan panduan.
"Saya nak cari projektor
bila ada kemampuan nanti,"
"Mungkin gambar kartun
yang berwarna-warni boleh menarik perhatian mereka lagi,"
Luah Iris Suhayla, memikirkan
jalan keluar dari masalah itu. Nisa senyum sahaja. Jika itu yang terbaik pada
Iris Suhayla, dia pasti akan menyokong.
"Setakat ni, belum mampu
lagi selain kertas dan warna!"
"Selamatlah niat Iris tu,"
"Amin."
AINI duduk di atas katil Iris Suhayla. Rasanya semenjak
berlepas ke Labuan, baru dua kali Iris Suhayla menghubunginya. Pernah juga dia
meluahkan hal itu kepada si suami, namun tidak mendapat reaksi yang sepatutnya.
"Dia sibuklah tu!"
"Malam pun sibuk jugak
ke, abang?"
"Dah siang penat bekerja,
malam dia tidur awallah agaknya."
Balas si suami lagi. Barangkali hendak menyejukkan
hatinya yang kerap gusar akan anak bongsunya yang jauh di mata.
"Abang pun penat jugak
bekerja, malam ada jugak masa ke masjid."
"Eh, awak ni! Samakan
dengan saya pulak. Saya ni buat kerja kampung, berkebun aje. Janganlah samakan
dengan orang yang memerah otak di bandar."
"Sama aje. Bekerja
jugak!"
"Patutlah anak degil,
menurut emak dia rupanya,"
Sindir suaminya, perlahan
namun pedih juga telinga mendengar sindiran itu. Kemudian, suaminya ketawa
melihat riak wajahnya yang berubah bila dikata begitu.
"Sampai hati abang kata
saya degil."
"Alah, bergurau sekali-sekala.
Anak tu tak lupakan awak. Janganlah dirunsingkan sangat! Belum sampai masa
untuk kita khuatir lagi. Lagipun, Su dah besar, bukan anak kecil yang awak
dukung dulu-dulu tu,"
"Dah besar pun, dia tu
anak dara, abang!"
Jawabnya lagi. Kali ini lebih
perlahan. Bimbang juga jika dia dicop degil buat kali kedua.
Aini bangun lalu menuju ke almari pakaian anaknya. Hampir
kosong almari itu kecuali pakaian yang dipakainya ketika bertunang. Pakaian itu
tergantung elok di dalam almari itu.
Teringat kenangan lalu ketika dia menunjukkan pakaian itu kepada Iris Suhayla,
namun anak itu memandang kosong. Tiada perasaan. Kini, ketika dia memandang
baju itu, wajah 'kosong' anak itu pula bagai menari-nari di tubir matanya.
"Jangan dikenang sangat
orang yang jauh. Dia bukan pergi gali kubur pun, kan dia pergi berbakti pada
anak bangsa! Awak tak bangga anak awak jadi pendidik?"
"Bukan persoalan tentang
bangga, abang! Persoalan sekarang, saya rindukan dia!"
"Janganlah ikutkan sangat
perasaan tu, sampai masa nanti, baliklah dia."
Pesan Idris, lembut. Dalam
diam dia dapat mengesan sikap isterinya yang terlalu bimbang. Bukan kali
pertama Iris Suhayla duduk berjauhan dari mereka namun pemergian anak itu kali
ini lebih jauh dari yang dijangka. Bukan sedikit duit yang perlu mereka labur
jika ingin melawat anak itu satu masa nanti. Dan bukan sebarang kenderaan juga
yang boleh tiba ke sana. Barangkali isterinya belum membiasakan diri dengan hal
itu. Dia pasti, lama-lama nama anak itu pasti tidak sekerap ini disebutnya.
DIANAH hanya memandang ketika suaminya membuka kasut di
muka pintu. Jika ditanya, pasti suaminya akan menghamburkan kemarahan seperti
selalu, namun sebagai isteri, dia ingin juga mendapat jawapan tentang pemergian
suami yang terlalu kerap dan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
"Abang dah makan?"
Tanya Dianah, menyalami lantas
mencium tangan itu namun dengan pantas suaminya mengelak.
"Emm,"
"Abang nak minum? Saya
buatkan air, ya?"
"Tak payah, dah
penuh!"
Kasar suara itu menjawab.
Dianah tidak bertanya lagi. Bimbang juga jika suaminya naik angin jika terlalu
banyak yang ditanya. Namun, itu sahajalah masa yang dia punya untuk
berbual-bual dengan suaminya. Selain itu, suaminya sangat kerap menghabiskan
masa di luar. Jika ditanya, jawapannya sama. Sunyi duduk di rumah. Anak pun
tiada.
Bila kerap diungkit
begitu, naluri perempuannya tersentuh juga. Bukan itu yang dipinta, namun
siapalah dia hendak melawan ketentuan itu apabila disahkan tidak boleh
mengandung dan melahirkan. Pada siapa lagi dia hendak berkongsi kesengsaraan
itu jika bukan dengan suami, namun suami pula semakin hari semakin menjauh. Dua
belas tahun usia perkahwinan mereka namun selama itu mereka hidup berdua. Bukan
tidak ada usaha untuk mendapatkan zuriat, malah puluhan ribu ringgit telah
dibelanjakan untuk mendapatkan anak, sehinggalah pada suatu hari, dia
dikhabarkan menghidap penyakit.
Tidak ada peluang buat
dirinya mendapat zuriat, kata seorang pakar sakit puan. Setelah menerima
perkhabaran itu, Bakri lah orang yang paling kecewa. Bakri mula memencilkan
diri, kadang kala menunding jari menyalahkannya. Kekecewaan yang dirasa bukan
sedikit malah berganda dengan layanan buruk yang diberi suami, namun dia
bertekad untuk tidak membiarkan kekecewaan terus menyakitinya.
"Abang nak ke mana?"
Tanya Dianah apabila melihat
suaminya menuruni anak tangga dengan pakaian yang baru diganti. Rumah ibarat
bilik persalinan buat Bakri.
"Ke mana saya pergi,
bukan urusan awak!"
"Bukan urusan saya? Tapi
saya isteri abang?"
"Isteri di atas kertas.
Kalau betul isteri, kenapa tak boleh bagi anak pada aku?"
Soal Bakri, memandang tajam ke
arahnya. Dianah menundukkan wajahnya ke bawah.
"Bukan kehendak saya,
abang!"
Jawab Dianah, masih
menundukkan wajah. Tidak berani dia menetang wajah penuh amarah itu.
"Habis tu, kehendak aku?"
Soal suaminya semula sebelum
keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Dianah duduk di atas sofa dengan
esakan yang tidak dapat ditahan. Ingin sekali dia berkongsi cerita itu namun
tidak tahu kepada siapa harus diadu.
IRIS Suhayla membuka mata apabila dirasakan sudah cukup
lama dia tidur sepanjang malam. Dia bangun dari baringan dengan rasa malas
namun masih belum berganjak dari katil itu. Jam di dinding, dilihat sekali
imbas. Hampir sembilan pagi! Patutlah tidurnya terasa begitu panjang, rupa-rupanya,
kapal yang dikemudi terlajak beberapa pulau dari perhentian yang sepatutnya.
"Su, cepat basuh muka!
Sarapan jom!"
"Sarapan? Tunggulah aku
mandi dulu. Takkan nak pergi kedai cuci muka aje kot. Bau badan yang dah hapak
ni?"
Soal Iris Suhayla, mengundang
senyuman teman serumah. Tidak dipedulikan reaksi Siti Hajar, sebaliknya dia
terus membuat pusingan U dan masuk semula ke dalam bilik. Tuala merah jambu
sudah disangkut di atas bahu kanan lantas dia berjalan menuju ke arah bilik
mandi.
"Tak payah mandilah! Aku
dah masak ni, nasi lemak dengan sambal petai."
"Hah? Sambal petai? Nasi
lemak? Wah, bestnya! Tunggu kejap,
aku cuci muka dulu,"
"Itulah, dari tadi lagi
aku dah pesan, cuci muka aje. Sombong! Kalau tidak, dah lima minit lepas perut
kita berisi makanan. Cepat, aku bilang sampai lima. Lambat, aku ngap
dulu!"
"Satu, dua, tiga, empat,
empat poin kosong lima, empat poin sepuluh, empat poin lima belas, empat poin
dua puluh, tetttttttt! Tata, aku makan dulu,"
Ujar Siti Hajar, berpura-pura menekan loceng. Dia sengaja menarik
perhatian Iris Suhayla yang sedang mecuci muka di dalam bilik. Dengan pantas
dia berlari lalu duduk di hadapan sahabatnya. Dia menggosok-gosok tangannya
tanda suka dengan hidangan mereka pada pagi Sabtu itu. Siti Hajar sudahpun makan
suku pinggan sedang dia baru menghidu aroma sambal petai yang memang menjadi
kesukaannya sejak dulu.
"Sambal petai ni cuma
boleh makan hari Sabtu aje."
"Kenapa pulak?"
"Iyalah, kalau makan hari
Ahad, nanti mulut berbau. Malu dengan anak murid."
Jelas Siti Hajar, membuatkan
Iris Suhayla ketawa. Ingatkan malu dengan rakan-rakan, rupanya malu dengan anak
murid.
"Tak apa. Anak murid aku
kecil lagi."
"Weh, yang kecil tu
bahaya! Dia orang ni mulut cili padi, tak ada insurans kata orang tua-tua.
Silap haribulan, dengan mak bapak pun dia cerita pasal kau. Pakai baju terbalik
ke, kain koyak ke, selipar besar sebelah ke. Baik kau jaga-jaga!"
Pesan Siti Hajar selesai
mengunyah makanan di dalam mulutnya. Kemudian, dia menyua sesuap lagi nasi.
menikmatinya dengan penuh keterujaan.
"Ha ah, kan! Betul jugak lah
apa yang kau kata. Hari tu pun budak-budak tu boleh tanya aku, Cikgu, kenapa
cikgu pakai selipar datang sekolah? Malu aku dibuatnya."
"Dah tu, lagi nak makan
petai hari Ahad? Nanti ada pulak yang datang tanya, cikgu, kenapa mulut cikgu
busuk? Cikgu tak gosok gigi ke?"
"Ha ha ha!"
Iris Suhayla menghamburkan
tawa. Entah mengapa bayangan wajah Syahmi yang muncul sebagai murid yang
bertanya tentang mulut busuk itu. Barangkali kerana kepetahan dan sikap berani
Syahmi yang sentiasa mahu mencuba tak kira betul atau salah jawapannya.
"Dahlah, ketawa
banyak-banyak, terlekat pulak biji petai tu!"
Tegur Siti Hajar, sambil
menambah nasi buat kali yang kedua. Iris Suhayla tidak mahu ketinggalan. Dia
ikut menambah selepas menghabiskan suapan yang terakhir.
"Sedaplah, Siti! Pandai
jugak kau masak, ya?"
"Eh, nama aku Siti Hajar
lah! Nama klasik! Tak pandai masak, tak boleh jadi Siti,"
"Ada ke? Tak logik
langsung!"
"Ha ha ha! Tak logik ke?
Bandingkan pulak dengan nama kau, Iris Suhayla! Nama moden kemain, sebab tu kau
tak pandai ke dapur kan, buat makanan sendiri?"
Usik Siti Hajar. Kali ini Iris
Suhayla pula yang ketawa. Benar apa yang dikata Siti Hajar kepadanya. Dia tidak
pernah memasak ketika berada di kampung sedangkan emaknya tenaga pengajar
masakan di KEMAS.
"Nilah resepi mak aku.
Nanti kalau balik Semenanjung, jemput singgah ke Temerloh. Boleh cuba patin
masak tempoyak pulak!"
"Wah, menarik tu!"
FAIL-fail pengurusan prasekolah telah siap dilabelkan.
Sedang Nisa sibuk melabel, dia pula menyemak satu persatu isi kandungan fail
tersebut. Ada isinya yang telah tujuh atau lapan tahun disimpan di dalam fail
tersebut. Walaupun itu kali pertama dia terlibat dengan pengurusan fail, namun
sempat juga dia merujuk Encik Osman pagi tadi. Encik Osman senyum sahaja bila
ditanya tempoh sepatutnya dokumen-dokumen disimpan dalam fail.
"Nak lebih tepat Cikgu
Iris boleh rujuk Arkib Negara untuk tujuan pelupusan, tapi sebenarnya kandungan
dalam fail tak sepatutnya lebih dari tiga tahun. Umur dah tua, kita pencenkan
aje dia. Buat menyemak aje mata memandang. Ada orang terlebih rajin, dokumen
berwarna coklat pun masih nak simpan. Ingat Muzium Negara ke apa fail-fail
tu?"
Soal Encik Osman, menghabiskan
penjelasannya dengan soalan khusus untuk dijawab sendiri oleh Iris Suhayla.
Entah mengapa topik ini agak sensitif buat Encik Osman. Selalunya, GPK
Pentadbiran amat ramah menjawab setiap pertanyaannya. Kali ini, penjelasannya
agak keras lantas dia berterima kasih sebelum beredar dari bilik Encik Osman.
"Esok saya nak balut
fail-fail ni dengan pembalut putih. Hari ni kita sort isi aje dulu,"
"Nanti sia belikan pembalut tu. Berapa
keping?"
"Kak Nisa nak tolong
belikan, ya? Boleh jugak! Kak Nisa beli sebanyak fail yang ada nilah, ya?"
"Okay! Esok kita balut
fail, ya? Habis tu, dokumen-dokumen lama ni Iris nak lupus ka, mo simpan lagi?"
Tanya Nisa, tidak pasti dengan
tindakan yang bakal diambil oleh Iris Suhayla terhadap dokumen-dokumen itu.
Iris Suhayla tersenyum sambil mengangkat semua dokumen lama itu lantas memakai
selipar di luar kelas. Sekejap sahaja dia keluar dari kawasan pagar prasekolah.
Ketika dia mencari tong sampah yang paling berhampiran, ternampak Zakwan dan
beberapa orang guru lelaki yang kelihatan sedang menunjuk sesuatu ke arah
tangga blok A yang paling atas. Dia melambatkan langkah sambil mengintai apa
yang ditunjuk-tunjuk oleh sekumpulan guru lelaki itu. Ops, besarnya sarang
tebuan!
"Su jangan guna laluan
tangga tu, ya? Kita tutup sementara."
Ujar Zakwan yang perasan akan
kehadirannya di situ. Cikgu Nizam turut menoleh ke arahnya. Begitu juga dengan
dua orang lagi guru lelaki yang kurang dipastikan nama mereka. Raut wajah miang
keladi Cikgu Nizam nyata tidak disenangi Iris Suhayla.
"Cikgu Iris! Lama nda
jumpa bah."
"Tak lamalah, Cikgu Nizam."
Tingkahnya pula. Zakwan hilang
fokus tentang isu sarang tebuan sebaliknya sibuk memerhati gelagat sahabatnya,
Cikgu Nizam.
"Banyak urusan? Oh! Sia tolong mo tak?"
"Tak ada. Terima
kasih!"
Tolaknya, ringkas. Kumpulan
guru lelaki itu dilintasinya sebelum dia berpatah balik untuk menuju ke kelas
prasekolah.
"Jangan layan sangat
Cikgu Nizam tu, Su! Kerja dia banyak tapi sibuk nak tolong orang,"
Seorang guru lelaki di sebelah
kiri Zakwan berpesan. Kemudian, dia menangkap gelak ketawa kumpulan itu. Zakwan
tidak menokok perbualan itu tetapi leka memerhati Iris Suhayla dari tadi. Comelnya!
Entah bila dia dapat mendekati Iris Suhayla yang mahal itu.
PAGI ini dia tiba ke sekolah lebih awal, bertujuan untuk
memastikan tiada murid prasekolah yang melalui kawasan sarang tebuan itu. Yang
paling dikhutirkan ialah sarang tebuan. Dia tidak mahu bertanggungjawab tanpa
sebab.
"Eh, mana sarang tebuan
tu?"
"Kami dah panggil orang
yang mahir untuk halau tebuan-tebuan tu petang semalam."
Jawab seseorang, barangkali
mendengar soalan yang ditanya untuk diri sendiri. Bila dia memusingkan badan,
Zakwan sedang menghampiri. Oh, lelaki ini!
"Iya ke? Alhamdulillah.
Dah hilang satu ancaman."
"Eh, lain macam aje
bunyinya. Hilang satu ancaman? Ada beberapa ancaman ke sebelum ni?"
"Mungkin."
"Seperti?"
"Seperti lelaki miang
keladi."
"Seperti?"
Soal Zakwan semula. Iris
Suhayla tersenyum. Barangkali ini masa untuk mengenakan Zakwan, memandangkan
lelaki itu kerap melempar pandangan menggusarkan hati perempuannya.
"Seperti siapa-siapa
sahaja yang difikirkan sesuai,"
"Cikgu Nizam kot!"
Selamba Zakwan menjawab. Iris
Suhayla kemam mulutnya rapat-rapat. Dia ingin menghambur tawa namun ditahannya,
tidak mahu kelihatan begitu mesra pada pandangan Zakwan.
"Tak kisahlah siapa pun,
asalkan tahu batas."
"Tapi saya belum kahwin
lagi, Su! Takkan saya pun ancaman jugak?"
"Assalammualaikum, Cikgu
Iris! Suami cikgu ke ni?"
Syahmi menyapa di celah
perbualan Iris Suhayla dan Zakwan. Zakwan ketawa sedang Iris Suhayla berkerut
kening mendengar soalan yang tidak disangka-sangka itu. Kemudian teringat kata
Siti Hajar, mereka ini kecil cili padi. Mulut tak ada insurans
"Waalaikumussalam,
Syahmi. Ini bukan suami cikgu! Cikgu belum kahwin lagi."
"Kalau Cikgu Zack jadi
calon suami Cikgu Iris pun, apa salahnya, kan?"
Tambah Zakwan, mengusik sambil
ingin melihat reaksi Iris Suhayla. Nyata gadis itu tidak mudah diusik. Riak
iris Suhayla tidak mudah berubah, tambah pula jika yang mengusik itu adalah
dirinya.
"Jom Syahmi, kita ke
kelas!"
Ajak Iris Suhayla. Syahmi
mengangguk, lalu dia memaut bahu anak kecil itu menuju ke kelas mereka, nun di
hujung sekolah.