26
IRIS Suhayla menanti dengan penuh debaran di atas
pelamin, debaran diijabkabul dan menjadi isteri kepada seorang lelaki. Sedia
ataupun tidak, masanya telah tiba. Masa untuk menumpahkan segala cinta buat
seorang lelaki asing dan tidak dikenali. Ya Allah, permudahkan segala urusanku.
Aku telah berusaha untuk menjauhi namun ternyata dia tertulis untukku. Aku
redha kerana seperti kata mereka, pilihan emak dan ayah penuh barakah. Oleh
itu, tetapkan hatiku, tetap sehingga akhir nafasku.
"Assalammualaikum."
Ucap tetamu di luar. Dadanya
berdetak lebih kencang. Dia memandang Afiqah di sebelah, kemudian menghantar
pandangan ke muka pintu.
"Waalaikumussalam. Jemput
masuk."
Ayah berdiri di tepi pintu
lalu mengajak rombongan pengantin lelaki untuk masuk ke dalam rumah. Seorang
lelaki sebaya barangkali, dan wajahnya mirip sekali Izzul Haq mengetuai rombongan
yang sangat ramai itu. Dia mendahului rombongan lantas naik dan bersalaman
dengan ayah.
"Izhar! Apa khabar?"
Sapa ayah, sayup-sayup.
Keningnya keruh, dia memandang wajah Afiqah yang setia duduk di sisinya. Adakah
mereka saling mengenali? Walaupun perbualan itu ringkas, namun ia kedengaran
begitu mesra ditelinganya. Dia tidak sempat menjawab persoalan itu kerana sekejap
sahaja ruang rumah dipenuhi tetamu yang hadir untuk upacara akad nikah mereka.
Dari atas pelamin, dia dapat melihat hampir keseluruhan tetamu, termasuklah
Izzul Haq yang sudah duduk di hadapan ayah, menunggu masa untuk diijabkabulkan.
Ya Rabb, itu bakal suamiku! Bakal imam serta bakal ayah kepada anak-anakku
kelak.
"Boleh kita mula?"
Tanya ayah kepada keluarga
pengantinnya. Dia hanya nampak ayah Izzul Haq mengangguk sebelum mendengar
ucapan salam di luar.
"Assalammualaikum."
Iris Suhayla dan Afiqah saling
berpandangan. Begitu juga dengan tetamu di dalam rumah.
"Waalaikumussalam
warahmatullah. Jemput masuk, tuan-tuan dan puan-puan."
Giliran Riyad pula menyambut
tetamu. Iris Suhayla turut memanjangkan leher, memerhati kelibat tetamu yang
bakal muncul di depan pintu.
"Su..."
Panggil seseorang, tidak kuat
tetapi kerana suasananya yang hampir sunyi, suara itu sampai ke telinganya.
"Siti. Ahhh!"
Iris Suhayla hampir berteriak
apabila kelibat Siti Hajar dan rakan-rakan sejawatan dari Labuan menambah
bilangan isi rumah itu. Dia menggoyang-goyangkan tangannya, menyapa mereka
dengan begitu teruja. Afiqah menepuk pahanya, perlahan. Emak dan ibu saudara yang
duduk tidak jauh darinya menggeleng sahaja. Izzul Haq yang duduk tenang di
hadapan ayah, menoleh ke arahnya. Sebuah senyuman dihadiahkan buat bakal isterinya
yang masih nakal di hari pernikahan mereka.
"Shhhh!"
Cikgu Khadijah meletakkan jari
di bibir sambil mencari ruang kosong untuk duduk. Kemudian, rakan-rakan yang
lain mula mengambil tempat sehingga keadaan kembali tenang.
"Bismillahirrahmanirrahim.
Assalammualaikum warahamatullahitaala wabarakatuh. Tujuan kita berkumpul pada
hari ini adalah untuk menyatukan dua mempelai, iaitu anak saya, Iris Suhayla
binti Idris dengan pasangannya, Izzul Haq bin Dato' Izhar. InsyaAllah, kita
akan mulakan akadnya."
Suara ayah kedengaran tenang
di telinganya. Iris Suhayla menarik nafas panjang, mengawal pelbagai rasa yang
menekan-nekan dinding hatinya. Terimalah Iris Suhayla, terimalah!
"Izzul Haq bin Dato'
Izhar."
"Saya."
"Aku nikahkan dikau
dengan anak perempuanku, Iris Suhayla binti Idris, dengan mas kahwinnya
senaskhah al quran, dibayar tunai."
"Aku terima nikah akan
Iris Suhayla binti Idris dengan mas kahwinnya senaskhah al quran, dibayar tunai."
Izzul Haq melafazkan ijab
dengan tenang. Iris Suhayla mengangkat muka, melirik padangan ke arah seorang
lelaki yang baru melafaz akad terhadap dirinya namun kelibat Zakwan pula yang
terlihat dek matanya. Cepat-cepat dia melarikan mata kerana tidak mahu menambah
lagi tekanan di dada.
Seakan tahu yang
dirinya sedang diperhatikan, Zakwan membalas pandangan Iris Suhayla. Lama dia
melihat wajah itu, barangkali buat kali yang terakhir kerana dia mahu membuang
nama itu jauh-jauh dari hatinya. Wajah
yang cantik itu hanya menunduk ketika doa dibacakan.
"KENAPA aku rasa muka suami kau macam muka CEO
kereta tu, Su?"
Tanya Siti Hajar kepadanya.
Ketika itu, mereka sedang jalan bersama menuju ke arah bas persiaran yang
sedang menanti tidak jauh dari perkarangan. Iris Suhayla ketawa. Barangkali
Siti Hajar sudah mengecam Izzul Haq. Semenjak upacara membatalkan air
sembahyang lagi, Siti Hajar asyik mengamati wajah Izzul Haq.
"Perasaan kau aje tu. Kau
jugak yang kata, takkanlah si CEO kereta tu nakkan aku."
Balas Iris Suhayla, menimbal
kembali memori lalu. Siti Hajar tidak berpuas hati, dia yakin akan raut wajah
yang kerap dilihat di dalam akhbar tempatan itu. Kereta yang bersidai di
hadapan rumah Iris Suhayla sudah cukup menjadi bukti bahawa suaminya bukan
sembarangan orang. Dan jika bukan kerana tanggungan suami Iris Suhayla, dia
yakin yang mereka tidak akan hadir ke majlis itu. Tak apa! Dia akan menyiasat
hal itu, jika selama ini Iris Suhayla mempermainkannya, jagalah dia!
IRIS Suhayla mendekati
rombongan rakan sejawatannya dari Sekolah Kebangsaan Seri Layang. Mereka bakal
bertolak semula ke KLIA kerana pesawat mereka dijangka berlepas pada pukul lima
petang ini. Iris Suhayla masih mencari kelibat suami di kiri dan kanan
perjalanan singkat itu. Selepas acara bergambar di pelamin tadi, dia tidak
dapat mencari Izzul Haq. Barangkali lelaki itu beramah mesra dengan sahabat
handai atau tetamu.
"Tahniah Iris. Baru
sekejap SKSL berseri dengan adanya seorang lagi anak dara tapi sekarang, anak
dara tu dah jadi isteri orang."
Ucap Puan Hajjah Aminah,
menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya. Iris Suhayla membalasnya dengan senyuman.
Rakan-rakan yang lain turut mendekati, bersalaman dengannya serta mengucap
tahniah sebelum menaiki bas.
"Siti Hajar ada lagi,
puan. Tapi rasanya dia pun bakal ikut jejak saya."
Iris Suhayla membalas, sengaja
mengusik Siti Hajar yang berdiri di sebelahnya.
"Oi!"
Jerkah Siti Hajar, spontan.
Dia memandang Iris Suhayla dengan seribu kerutan namun ketua jabatan mereka
tersenyum sahaja.
"Iya? Emm, bakal
kehilangan bunga kembang mekarlah kami, kalau Siti Hajar pun mengikut jejak
juga."
"Alah puan ni. Macam tak
suka aje saya kahwin."
Siti Hajar menjawab, dengan
muncung sedikit tinggi. Kemudian, mereka bertiga ketawa senang.
"Bukan tak suka tapi tak
sanggup nak melepaskan. Iris pun, bila dah bersuami ni, mesti tak lama di
SKSL."
Balas Puan Hajjah Aminah,
meneka. Iris Suhayla tidak menjawab kerana ia masih terlalu awal untuk
dibicarakan.
"Sampaikan salam saya
pada suami Iris."
"InsyaAllah, puan. Akan
saya sampaikan. Terima kasih juga pada puan dan rakan-rakan sebab sudi datang
ke majlis saya."
"Bukan terima kasih pada
saya. Terima kasih pada Iris dan suami sebab sudi bawa kami ke sini."
Tingkah guru besar, turut berterima
kasih.
"Terima kasih kat saya
ajelah."
Siti Hajar menggeleng sebelum mencelah.
Mereka berempat ketawa. Iris berpelukan dengan Siti Hajar. Begitu juga dengan
Afiqah. Beberapa jam mengenali Siti Hajar sudah cukup untuk bersilaturrahim
dengan teman serumah Iris Suhayla itu. Mereka menghantar langkah Puan Hajjah
Aminah menaiki anak tangga bas. Siti Hajar menurut di belakang. Kemudian, dia
membalas lambaian rakan-rakan lain di dalam bas. Bas pertama mula bertolak, bas
kedua mengikut di belakang. Giliran bas ketiga bergerak perlahan namun ia
berhenti betul-betul di hadapannya. Pintu bas terbuka dan Izzul Haq turun
melaluinya. Ketika dia berjalan mendapatkan Iris Suhayla, seorang gadis turut
menapak ke arah isterinya.
"Selamat pengantin baru,
Iris. Kirim salam pada awek kat sebelah tu."
Cikgu Nizam sempat melaung di
tangga bas sebelum pintu itu tertutup. Afiqah mencebik. Kemudian, mereka ketawa
bersama.
"KURANG asam punya angah. Bukan nak tolong basuh,
dia tolong tengok aje."
Rungut Iris Suhayla sambil
mencuci kawah dengan air bersih. Izzul Haq juga melakukan hal yang sama.
Semenjak majlis selesai sejam yang lalu, mereka berdua ditugaskan untuk mencuci
periuk dan kawah yang digunakan ketika memasak pagi tadi. Riyad yang bersandar
di tiang kanopi ketawa sahaja.
"Alah, sekali seumur
hidup aje, kan."
"Kenduri kau nanti, aku
balas pulak. Jaga kau!"
Izzul Haq membalas. Riyad
ketawa tanpa henti. Reaksi Iris Suhayla yang menggosok periuk dengan kuat tanda
protes mencuit hati, lalu dia mengeluarkan telefon bimbit. Aksi Iris Suhayla dengan
muncung sedepa akan dirakam.
"Nah, ni pinggan mangkuk
untuk lauk pengantin ni pun, korang
basuh jugak ya! Enjoy!"
Hafiy menambah sambil
meletakkan sebuah bakul yang berisi pinggan mangkuk kotor. Iris Suhayla jadi
geram. Dia bangun lalu membaling span yang penuh dengan kotoran makanan ke arah
Hafiy dan Riyad, namun mereka berdua berjaya mengelak. Hafiy ketawa
berdekah-dekah, menyebabkan Iris Suhayla bertambah-tambah rasa geram dan sakit
hati. Tergamak dua abang itu mengerjakannya pada hari dia menjadi raja sehari.
"Enjoy Pak Bewak. Penatlah macam ni. Lepas sebakul, sebakul. Lepas
sebakul karang, datang pulak kawah."
"Kalau penat, pergilah
berehat. Biar saya selesaikan."
Ujar Izzul Haq, menyudahkan
tawa sambil terus menyiram periuk dengan air bersih. Iris Suhayla tidak
menjawab. Namun kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Terus dia berjalan menuju
ke dapur rumah, tidak menoleh-noleh lagi ke arah belakang.
"Apalah kau ni, Izzul. Bukan
selalu dapat menyakat Iris. Kalau macam ni, untunglah dia...ada orang
jaga."
"Tahu, tak apa. Dulu
bolehlah kau sakat dia. Sekarang, aku sakat kau pulak nak?"
Suara Izzul Haq kedengaran
dari jauh. Iris Suhayla ketawa lalu mengintai dari tingkap dapur. Terasa ada
satu perasaan halus, menyelinap masuk ke dalam hatinya. Iris Suhayla memegang
dadanya yang berdebar tiba-tiba. Apakah ini petanda bahagia? Atau ini petanda
redha?
"QUL inkuntum tuhibbu-na Allaha fattabi 'u-ni
yuhbibkumullahu wayaghfir lakum dzunu-bakum waallahu ghafu-run-rahiim."
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu
mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta
mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani."
"Bismillah hirrahman nirrahiim…robbana hablana min
az waa jina wazurriyyaa tina qurrota a'yun waj'alna lil muttaqina imamaa. Wahai
Tuhan kami, berilah kami beroleh dari
isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati
melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu)
bertaqwa."
"Rabbana atina fiddunya hasanatan wa fil ahiroti
hasanatan waqina a'za bannari wa sall Allahu a'la saidina Muhammadin wa a'la
alihi wa sahbihi wa sallama walhamdullilah hi rabbil a'laminn."
Iris Suhayla ikut mengaminkan
doa. Doa yang dibaca Izzul Haq amat mengharukan. Ia terus berputaran di dalam
minda dan menyentuh dasar hati. Hari ini, buat pertama kali dia diimamkan oleh
seorang lelaki bernama suami. Izzul Haq memusing badannya ke belakang lantas
menghulurkan tangan untuk bersalam. Iris Suhayla teragak-agak namun dia
menyambut juga tangan itu dan menciumnya buat pertama kali. Allahhu Akbar,
kenapa perasaan ini aneh sekali? Aku tidak dapat bertentang mata dengannya.
Malukah? Dia membuang bimbang yang bertamu di hati. Bukankah aku redha? Dia
bertanya lagi namun belum menemui jawapannya.
Tanpa suara dia
membuka balutan telekung pada tubuhnya, perlahan-lahan. Dia mula menampakkan
aurat rambutnya pada seorang lelaki, dengan nama suami, walaupun teragak-agak. Dan
dia tahu, melalui ekor matanya, lelaki itu sedang memberi tumpuan terhadap
dirinya, hingga terasa bahang panas menyerbu wajah. Oh, pertama kali
berdua-duaan secara halal dengan seorang lelaki membuatkan dirinya jadi tidak
tentu hala.
IZZUL Haq memandang tepat anak mata coklatnya, menghantar
perasaan terujanya melalui pandangan itu. Wajah itu merona kemerahan buat
kesekian kalinya. Izzul Haq senyum lagi. Dia berdiri lantas melipat sejadah
biru yang mengalas solatnya sebentar tadi. Tiada suara. Iris Suhayla juga
begitu, melipat telekung lambat-lambat sebelum menyidainya di rak kayu. Kemudian,
dia duduk di birai katil dengan debaran kencang di dada. Apa dialog mereka
seterusnya? Perlukah dia yang memulakan perbualan mereka atau menunggu sahaja
bicara sang suami. Oh!
"Pinggang tu...masih
sakit lagi ke?"
Suara Izzul Haq kedengaran
menyapa dirinya. Iris Suhayla bagai diterkam suara asing, kaku dan beku. Hanya
seketika kemudian, baharu dia bereaksi.
"Hah? Pinggang? Err...Dah
okay kut."
"Mana boleh kut-kut. Okay
ke tak okay?"
Tingkah Izzul Haq. Kali ini
suaranya lebih tegas. Wajah sang isteri ditenung sebelum dia duduk di samping
Iris Suhayla. Iris Suhayla mengesot ke kanan sedikit. Dia meraba pinggangnya,
menggosok bahagian yang sakit ketika membasuh petang tadi.
"Dah okay."
"Iya ke okay. Ke takut
kena urut?"
Sakat Izzul Haq, tersenyum
lagi dengan telatah isteri. Mendengar perkataan urut, Iris Suhayla diterpa
cemas. Dia cepat-cepat berdiri lalu memulas tombol pintu.
"Jom makan."
"Jom makan? Ingatkan jom tidur.
Jom makan rupanya."
Balas Izzul Haq, terus
bercanda. Iris Suhayla buat-buat tidak dengar tetapi mukanya tidak dapat
menipu. Terasa bahang panas menyimbah ke muka sedang si suami terus dengan
ledakan tawanya.
DIA membuka kelopak mata apabila jemarinya dijamah
seseorang. Matanya berkedip, berkali-kali sehingga terlihat dek anak matanya
bayang seorang lelaki duduk di sebelahnya. Iris Suhayla bangun juga walaupun
hatinya berbisik supaya terus menyambung mimpi.
"Jom solat Subuh."
Ajak Izzul Haq sambil mengelus
lembut rambutnya. Dia menurut tanpa karenah. Semenjak bergelar isteri, rutinnya
terus berubah. Segala-galanya dilakukan secara berjemaah dengan Izzul Haq
kecuali memasak. Tugasan itu masih dilakukan oleh emak. Walaupun tidak memasak,
dia membantu juga emak di dapur. Sekurang-kurangnya dengan mengopek bawang.
Iris Suhayla kembali ke dalam kamar peraduannya. Izzul
Haq sudah menanti di atas tikar sejadah. Jika tadi bilik mereka gelap gelita,
kini pancaran cahaya menerangi seisi bilik. Ketika melihat diri isterinya
sedang mengenakan pakaian solat, dia bingkas bangun.
"Allahhu akbar, Allahhu
Akbar. Ash-hadu anla ilaha Illallah. Ash-hadu anna Muhammadan rasullulah. Hayya
'alal salah. Hayya 'alal falah. Qad qa matis salah tu Qad qa matis salah.
Allahhu akbar, Allahhu Akbar. La illa ha Illallah."
Mereka sama-sama menadah
tangan dan membaca doa selepas iqamah. Iris Suhayla membuang dunia sebaik
takbir dilafaz. Izzul Haq memimpin solat jemaah sehingga selesai memberi salam.
Usai doa, dia berpusing seperti selalu, menghulur tangan untuk bermaafan.
Ketika Iris Suhayla tunduk mencium tangan suaminya, terasa tangan sang suami
menyentuh ubun-ubunnya sebelum sebuah kucupan singgah di dahi. Syahdu.
"Iris nak mintak apa dari
saya?"
Tanya Izzul Haq. Keruh
dahinya, tidak mengerti apa yang ingin disampaikan oleh sang suami.
"Maksudnya?"
"Iyalah. Isteri saya ni
macam tak sudi nak aje nak dekat dengan suami dia. Tak lama lagi dah nak balik
ke Labuan, kan? Tanya sepatah jawab sepatah. Kalau tak tanya, terus senyap.
Macam banyak emas pulak dalam mulut tu. Iris ada apa-apa keperluan atau
permintaan ke? Nak honeymoon ke? Nak shopping ke?"
Tanya Izzul Haq kembali. Dia
masih terasa ada jurang antara mereka. Jika bukan dia yang memulakan perbualan,
Iris Suhayla nampak kekok sekali mendekatinya apatah lagi untuk bermesra
seperti pasangan suami isteri yang lain. Namun dia mengerti. Iris Suhayla
begitu kerana fasa baharu mereka. Fasa yang begitu intim selepas melalui satu
fasa perkenalan yang amat ringkas.
"Tak ada apa pun. Nak ke
mana? Nak beli apa? Cuti pun dah nak habis."
"Okay. Lepas sarapan
nanti kita keluar, ya?"
Putus Izzul Haq. Tiada rencana
di dalam mindanya tetapi mungkin rencana itu hanya muncul apabila kereta mula
dipandu kelak.
"Emm. Makan aiskrim
nak?"
Luah Iris Suhayla, mengundang
tawa si suami. Iris Suhayla senyum sahaja. Dia lantas memegang sejadah yang
mengalas duduk Izzul Haq sebelum melipatnya dengan cermat.