29
"ASSALAMMUALAIKUM warahmatullah hi taala
wabarakatuh. Para jemaah yang dimuliakan, hari ini saya akan mengisahkan kepada
para jemaah sekalian tentang Jodoh . Pasti ramai yang suka tentang jodoh ni,
terutamanya bagi yang belum berjodoh, pasti ingin berjodoh. Yang berjodoh
lebih-lebih lagi. Kalau boleh nak dua tiga empat jodohnya."
Ustaz Ubaidullah memulakan
bicaranya. Mak Su Dianah tidak mengangkat muka, emak khusyuk mendengar. Iris
Suhayla memandang ke arah si suami. Seakan tahu yang dirinya sedang diamati,
Izzul Haq menoleh ke belakang lalu menghadiahkan senyuman buatnya.
"Pernah saya ditanya
tentang persoalan jodoh ini. Kalau jodoh ditentukan oleh Allah s.w.t, mengapa
ada juga manusia yang bercerai-berai. Maka, hari ini saya bawakan topik ini
supaya kita sama-sama mengambil perhatian ke atasnya."
"Bismillahirrahmanirrahim...
Wamin ayatihi an halaqa lakum min anfusikum azwaa jan litaskunu ilaiha waja'ala
bainakum mawaddatan warahmatan innafi dzalika la'ayatin liqau min
yatafakkaruna."
" dan di antara
tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan
untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya
kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu
(suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang
demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran)
bagi orang-orang Yang berfikir. Surah Ar-Ruum, Ayat 21."
"Para jemaah sekalian, barangkali
kita biasa mendengar ayat ini, "jodoh di tangan Tuhan." Atau
barangkali begini, "saya berkahwin dengan Polana sebab Polana adalah jodoh
saya." Atau mungkin juga begini. "Dia bukan jodoh saya." Tetapi
pernahkah kita mendalami atau hanya mendengar tanpa membuat kajian ke atasnya
atau kita pakai saut saja. "Buat apa aku fikir, buang masa aku saja."
"Namun apabila kita
mendalaminya, kita akan menjumpai pelbagai nas dan hadis tentangnya dan apabila
kita membuat perbandingan dan persamaan, kita akan mendapatkan jawapan yang
teguh tentang persoalan jodoh. Dari Ubaid bin Sa'ad, Rasulullah s.a.w
bersabda:"Siapa yang menyukai fitrahku hendaklah ia bersunnah dengan
sunnahku dan termasuk sunnahku adalah menikah. Hadis riwayat 'Alayh.
Yang kedua, disebut oleh
Abdullah bin Mas'ud r a, Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai para pemuda, sesiapa
di antara kalian yang mampu ba'ah (memberi tempat tinggal) hendaklah ia
menikah, kerana sesungguhnya bernikah itu dapat menundukkan pandangan serta
menjaga kemaluan. Dan sesiapa yang belum mampu ba'ah, maka hendaklah ia
berpuasa, sesungguhnya puasa itu akan menjadi perisai bagimu. Hadis riwayat
Muslim"
"Bagaimana tidak, di
hujung zaman ini, manusia didedahkan dengan kecanggihan teknologi dan di dalam
kecanggihan teknologi itu adanya bahaya yang semakin menular dan mengancam iman
manusia. Di dalamnya ada nyanyian gadis-gadis muda, yang memperdengarkan
suaranya untuk menjadi artis. Di dalamnya ada media sosial dan manusia saling
berlumba untuk menyebar wajah sendiri untuk ditatap oleh khalayak. Di dalamnya juga
ada banyak hiburan yang melalaikan dan boleh mendorong manusia berakalkan
nafsu."
"Barangkali tuan puan
tertanya-tanya apa kaitan jodoh, puasa dan perkembangan teknologi ini. Saya
kaitkan sedikit tuan puan. Mengapa Rasulullah menyebut bahawa puasa adalah
perisai pemuda ini, yang tidak mampu ba'ah. Manusia ialah sebaik-baik kejadian.
Dia tidak sekadar mempunyai akal fikiran tetapi juga dilengkapkan dengan nafsu
dan selalunya, nafsu ini yang merajai fikiran. Ditambah dengan unsur-unsur teknologi
yang saya sebutkan tadi, gadis-gadis yang menyumbang aurat, yang mendedah aurat
dengan pakaian yang menjolok mata berlambak-lambak hingga lebih mudah dilihat
dengan adanya media sosial seperti televisyen dan internet ini. Ia bukan
membaiki tetapi menambah kerosakan. Itulah bahaya teknologi yang kita gunakan
pada hari ini. Sebab itulah Rasulullah meminta pamuda-pemuda yang ba'ah ini
agar berpuasa kerana puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi
menahan keimanan dari panahan dosa."
"Dari Samurah ra, bahawa
Rasulullah s.a.w melarang kita daripada tabbatul, iaitu orang yang sengaja
membujang untuk selamanya. Ini dipetik dari hadis Ahmad bin Hambal. Hai, biar
betul? Nabi kata nikah itu sunnah tetapi kita sengaja nak membujang. Kalau kita
ini muslimin yang bijaksana, apakah pilihan kita? Sunnah yang menawarkan pahala
atau tabbatul yang mengganjarkan dosa? Bagaimana dengan pendapat-pendapat,
"Allah menentukan jodohku?" Sudahkah persoalan ini dileraikan sedikit
benangnya?"
"Dari surah al-baqarah
ayat 221, Dan janganlah kamu menikahi wanita musyrik sebelum mereka beriman.
Sesungguhnya wanita mukmin lebih baik dari wanita mushrik, walaupun dia menarik
perhatianmu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan
wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita mukmin lebih
baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke
neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan ampunan dengan izinNya. Dan Allah
menerangkan ayat-ayatNya (perintah-perintahNya) kepada manusia supaya mereka
mengambil pelajaran."
"Seterusnya, kalau tuan
puan merujuk surah An Nur, ayat
24:"Lelaki yang berzina tidak menikahi melainkan perempuan yang berzina
atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dinikahi
melainkan oleh lelaki yang berzina atau
lelaki yang musyrik; kerana yang
demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang mukmin."
"dari Abu Hurairah ra,
Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara;
kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya.
Pilihlah yang baik agamanya maka engkau akan beruntung. Hadis riwayat Bukhari
dan Muslim."
"Dari Abu Hurairah ra,
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila datang kepada kalian siapa yang kalian
redhai akhlaknya, maka nikahilah ia. Jika tidak, nescaya akan menjadi fitnah
dan kerosakan muka bumi yang luas. Hadis riwayat Al-Hakim."
"Dari Anas bin malik ra:
Rasulullah s.a.w memerintahkan untuk ba'ah dan melarang pembujangan dengan
larangan yang keras, beliau bersabda:"Nikahilah wanita yang penyayang dan
subur (kerana) aku akan melebihi para nabi (jumlahnya) di hari kiamat kelak.
Hadis Riwayat Ahmad bin Hambal."
"Tuan puan yang saya
kasihi sekalian, begitu banyak nas-nas yang menerangkan tentang pemilihan jodoh
tuan puan. Lelaki yang tidak berkemampuan untuk bernikah hendaklah berpuasa,
tidak boleh sengaja membujang. Jangan menikahi perempuan musyrik yang mengajak
kita ke neraka sebelum mereka beriman. Jangan pula kita menikahi lelaki yang
berzina sebelum mereka bertaubat. Nikahilah perempuan kerana empat perkara,
iaitu hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Bahkan bagi
wanita yang kematian suami sekalipun, Allah telah berfirman: "Orang-orang
yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah
para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari.
Kemudian, apabila telah habis iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali)
membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah
mengetahui apa yang kamu perbuat. Surah Al-baqarah ayat 234."
"Ayat ini membawa maksud
bahawa wali boleh membenarkan wanita yang kematian suami ini kembali bernikah
atau kekal tidak bernikah selepas kematian suaminya, dengan syarat, ia telah
melepasi tempoh iddah. Jika jodohnya telah ditetapkan, bukankah suami mati
bererti mereka tidak boleh berkahwin lagi kerana jodoh mereka telah
habis?"
NASI lemak sedap
dimakan,
Makan pulak dengan sambal,
Apa dibuat Cik Hajar di Labuan,
Cik Riyad di sini masih berselimut tebal.
Riyad menaip pantun empat
kerat untuk dihantar ke telefon bimbit Siti Hajar. Dia berharap agar pantun itu
dapat menceriakan Siti Hajar. Lama juga dia menanti namun mesej yang dihantar
belum juga dibalas. Akhirnya dia menolak selimut tebal yang membaluti diri.
Melihat jam di dinding. Hampir sepuluh setengah pagi. Dia menggeliat sebelum
kembali berguling di atas katil bujang itu.
Hari ini mereka sekeluarga akan menghantar rombongan ke
majlis sambut menantu yang diadakan oleh keluarga Izzul Haq. Kemudian, Iris
Suhayla akan berangkat semula ke Labuan, menjalani tanggungjawabnya sebagai
guru. Di sana juga, ada wajah yang menggamit kehadirannya.
"Angah, tak bangun lagi
ke?"
Tanya Iris Suhayla di luar. Riyad
tidak menjawab namun hanya memandang ke arah pintu. Kemudian terdengar bunyi
pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitnya.
Masak nasi goreng sayur,
Sayur petola dan sayur peria,
Buanglah selimut, bangkitlah tidur,
Kasihankan selimut, busuk dah ia.
"Ha ha ha ha."
Riyad terkumat-kamit membaca
pantun empat kerat yang dibalas Siti Hajar. Kemudian dia ketawa dengan
kandungan mesej itu. Dia terus terlupa menyahut panggilan Iris Suhayla sebentar
tadi.
"Oi, angah! Orang panggil
tak menyahut. Bahan gelak sorang-sorang
dalam bilik tu buat apa?"
"Eh, ada lagi ke?
Ingatkan tak ada orang dah."
"Cepatlah. Pukul sebelas
karang dah nak bertolak dah."
Panggil Iris Suhayla lagi.
Riyad bangun juga lambat-lambat. Dia membuka tombol pintu. Adiknya sudah siap
berhias dengan gaun pengantin berwarna krim. Riyad tersenyum kerang. Mindanya
sudah menyusun sesuatu untuk ditujukan buat si bongsu itu.
"Emm, nah! Tolong basuh!
Dah bau hapaklah."
Usik Riyad lantas meletak
selimut yang diheretnya tadi ke atas bahu Iris Suhayla. Iris Suhayla
terpinga-pinga pada mulanya namun cepat-cepat menggumpal selimut berat itu
sebelum mencampaknya kembali ke arah Riyad.
"Sempat lagi. Angah ni
memang dengki dengan Su, kan? Tak boleh tengok orang cantik sikit."
Dengusnya, menarik perhatian
Hafiy yang kebetulan melintasi bilik tidur Riyad. Adengan baling-membaling
sempat dirakam matanya sebentar tadi. Dia singgah sebentar, barangkali ada isu
yang boleh dicelah.
"Cantik disolek buat apa?
Orang nak cantik asli macam Siti Hajar tu."
"Aikk. Dah pandai buat
perbandingan. Ini mesti dah angau dengan Siti ni."
Iris Suhayla meneka. Senyuman
Riyad menjawab persoalan itu. Hafiy nampak tidak berpuas hati. Dia kelihatan
seperti tertinggal sesuatu.
"Siapa pulak Siti Hajar
tu? Macam mana along tak kenal tapi angah dengan Su boleh kenal?"
"Siti Hajar tu housemate Su. Hari tu kan angah ada ke
Labuan. Bila dia singgah rumah, Siti Hajar masakkan patin masak tempoyak. Apa
lagi, jatuh kasihlah! Eh, dahlah! Pergi bersiap."
Beritahu Iris Suhayla, sambil
matanya menjeling jam di dinding. Hampir lima belas minit sebelum rombongan
bertolak. Iris Suhayla tidak mahu peduli lagi tentang Riyad ataupun Hafiy. Dia
menutup kaunter pertanyaan. Sebarang pertanyaan tidak akan dilayan.
IRIS Suhayla duduk bersama Mama Jiya di ruang tamu usai
majlis sambut menantu di kediaman mentuanya sebentar tadi. Menjejakkan kami ke
dalam banglo mewah dan berhadapan dengan individu yang baru dikenali membuatkan
duduknya serba tidak kena. Mama Jiya nampak keletihan usai majlis itu. Ada lagi
saudara mara yang belum beredar dan mereka semua sedang bersembang sesama
sendiri di luar rumah.
"Alhamdulillah. Selesai
jugak majlis kita hari ni."
Ucap Mama Jiya, memulakan
cerita. Iris Suhayla nampak kekok, barangkali masih berasa malu lalu dia
sebagai ibu perlu membimbing menantunya itu supaya lebih cepat menyesuaikan
diri.
"Tapi Iris jangan
terkejut pulak. Akan datang ada satu lagi majlis sambut menantu."
"Eh, ada lagi?"
Ucapnya, tidak dapat mengawal
emosi terkejut itu. Izzul Haq tidak pula menyebut tentangnya sebelum ini.
"Tetamu kita hari ni
saudara mara sahaja. Kita belum sempat ajak kawan-kawan dan staff Iz, staff papa. Press pun
kita belum jemput. Sebab tu kita kena buat satu lagi majlis untuk mereka."
Jelas Mama Jiya lagi. Iris
Suhayla mendengar sahaja. Di dalam mindanya, pelbagai soalan tersusun dan minta
dijawab, namun ada satu yang bakal ditanya kepada Izzul Haq.
"Kenapa Iris?"
"Err...tak ada apa-apa.
Cuma terkejut aje."
Balas Iris Suhayla, apabila
disedari yang dirinya kurang memberi respon terhadap perbualan Mama Jiya. Mama
Jiya ketawa namun ketawa beransur perlahan apabila ada tetamu yang menghampiri
mereka.
"Mak Teh, kami balik
dulu. Dah lewat sangat ni."
Beritahu seorang gadis muda,
mendahului beberapa orang lagi temannya. Mama Jiya bingkas berdiri, menyambut
tangan yang dihulur oleh gadis itu. Senyuman turut dihadiahkan untuknya.
"Iyalah, terima kasih
banyak sebab sudi datang. Nanti kita jumpa lagi sekali, ya. Kak Iris, Selamat
Pengantin Baharu. Kalau ada masa, jemput ke rumah di Ipoh, ya."
Pelawa gadis muda itu ketika
sedang bersalaman dengannya. Temannya yang lain juga turut begitu. Najihah yang
mengerti akan riak wajah Iris Suhayla segera memperkenalkan anak-anak buahnya.
"Ini anak-anak buah Mama
Jiya. Anak Mak Usu. Mak Usu tak datang hari ni. Dia buat umrah, jadi
anak-anaknya saja yang datang."
"Oh, begitu! InsyaAllah,
kalau ada kesempatan kami pergi ke Ipoh tapi Kak Iris tak boleh janji. Buat
masa sekarang Kak Iris kerja di Labuan. Kalau emmm..."
"Laika, Zulaika. Ini
adik-adik Laika, Zarif, Zahira dan yang bongsu Zahin."
"Oh, semua mula dengan
huruf Z."
Iris Suhayla mengusik. Dia
mengerah minda, cuba mengingat apa yang ingin disampaikan kepada Zulaika dan
adik-adiknya namun tiak berhasil.
"Ha ah. Kalau kat sekolah
dulu, dah biasa nama kami duduk di hujung-hujung."
"Kak Iris nanti jangan
letak nama anak bermula dengan Z pulak. Tak best.
Kalau que, selalu kat belakang."
Usik Zulaika, menyelit
pengalaman diri. Iris Suhayla dan Mama Jiya ketawa sahaja. Bagi Iris Suhayla,
pesanan itu dianggap gurauan sahaja. Dia dan Izzul Haq belum berbincang sejauh
itu lagi. Sedang Izzul Haq juga baru dikenali, inikan pula, perihal nama
anak-anak.
"Kami gerak dulu, Mama
Jiya."
"Iyalah, hati-hati
memandu."
USAI solat isyak berjemaah, dia berehat di atas katil,
melihat gerak tubuh Iris Suhayla yang sedang berkemas untuk kembali ke Labuan
esok. Dia masih belum mendapatkan kata putus daripada isterinya tentang isu
yang ditimbulkan tempoh hari. Dia ingin mengungkitnya lagi memandangkan
isterinya bakal ke Labuan esok.
"Iris dah fikirkan hal
kita?"
Soal Izzul Haq, memulakan
bicara. Iris Suhayla berhenti mengemas bagasi. Dia berpusing lalu duduk
menghadap sang suami. Dia mencari makna disebalik wajah itu.
"Hal kita?"
"Hal kita. Hal jarak
beratus batu. Awak di sana, saya di sini."
Ujar Izzul Haq, ingin memancing
reaksi Iris Suhayla. Iris Suhayla hanya mendiamkan diri, tiada kata buat
beberapa ketika.
"Kita belum mula pun hal
awak di sini, saya di sana, kan?"
"Saya perlukan isteri
saya di sini."
Kata Izzul Haq lagi, membuat
duduknya serba tidak kena. Iris Suhayla kembali termenung panjang. Menyedari
dirinya yang kini sudah menjadi isteri yang tidak sekadar memegang status
isteri tetapi perlu menunaikan tanggungjawabnya, Iris Suhayla jadi berbelah
bagi. Separuh hatinya, ingin di sini, dan sebahagian lagi memanggil ke sana. Di
sana atau di sini? Izzul Haq insan yang baru dikenali lantas dia tidak tahu
bagaimana hendak memujuk.
"Beri saya masa Izzul.
Saya perlukan masa."
"Baik. Saya bagi tempoh
tiga bulan lagi untuk awak fikirkan. Menjelang bulan enam, awak mesti pulang ke
sini dengan keputusan. Di sini atau di sana!"
"Kalau tidak?"
Iris Suhayla sengaja bertanya.
Izzul Haq memandang terus ke dalam matanya hingga terkesan sifat serius
suaminya di sebalik renungan itu.
"Saya yang akan buat
keputusan."
Jawab Izzul Haq, ringkas. Iris
Suhayla menelan liur, dadanya terasa sesak dengan kata-kata bak keramat itu
namun dia tidak mahu memanjangkan cerita. Entah mengapa, selepas sah bergelar
isteri kepada lelaki itu, dia tidak berani bersikap angkuh lagi. Tidak seperti
sebelumnya. Dan yang dia perasan, setiap kali bertentang mata dengan Izzul Haq,
dadanya berdetak pantas. Serba tak kena dan tidak tentu hala. Barangkali dia
mula mencintai lelaki itu. Ah! Begitukah cinta? Serba tidak kena dan tidak
tentu hala. Walau berada di depan mata, namun debarannya tak terluah dek kata.
Antara sedar dan tidak, kerap juga dia mengintai suaminya dalam diam. Ketika
tidurnya, ketika sujudnya, ketika makannya, ketika senyumnya, ketika dia ketawa
hatta ketika dia di depan mata sekalipun.