Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,199,805
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 12

12

USAI mengaminkan doa, mereka bertiga menjamu selera. Semenjak mula dihidangkan, lauk itulah yang paling menarik perhatiannya, lantas kepala ikan patin yang telah diasingkan ke dalam mangkuk kecil di hadapannya, dihirup sesudu. Oh, nikmatnya! Lama tidak dinikmati lauk tradisional orang Pahang itu.

"Sedapnya!"

"Su yang masak, ya?"

Tanya Riyad lagi, sekadar menduga walaupun dia tahu Iris Suhayla tidak pandai memasak. Siti Hajar yang duduk di hadapan dijelingnya sekali. Merah bak udang panggang.

"Angah ni! Saja aje, kan? Mentang-mentanglah Su tak pandai masak. Tu, orang Pahang tu! Merah dah muka dia! Pandai sangat usik anak dara orang. Balik nanti Su nak cerita pada mak."

"Ceritalah. Tak takut pun!"

"Oh, sombong! Tak apa, tak apa!"

Balasnya, seakan tidak berpuas hati dengan jawapan Riyad. Dia berkira untuk membalas lagi namun kerana kelaparan, hasrat hatinya tidak diendahkan. Apa yang penting buatnya ialah dua hati yang baru mengenali antara satu sama lain.

"Susah betul nak jumpa patin masak tempoyak yang sedap macam Siti masak ni. Rasa tempoyak tu masuk sampai ke dalam isi ikan."

Ulas Riyad selepas meratah hampir keseluruhan kepala ikan itu. Dia menjeling ke arah kepingan ikan patin yang masih belum diusik di tengah meja namun segan hendak menambah memandangkan dia cuma tetamu di rumah itu.

"Emm. Resepi ni mak yang ajarkan. Orang Pahang masak ikan sungai tak guna bawang."

"Tak guna bawang? Habis tu guna apa?"

Ulang Riyad, tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi Siti Hajar. Selama ini, dia menyangkakan bawang menjadi bahan wajib dalam setiap lauk namun hari ini, dia menerima ilmu sebaliknya pula.

"Emm. Kunyit hidup, cili api, daun kesum, tempoyak."

"Tapi pekat aje kuahnya."

"Air tak pakai banyak. Yang banyak, tempoyak dengan cili api."

"Tapi tempoyak ni taklah masam sangat."

Komen Riyad lagi. Iris Suhayla sekadar mendengar. Hendak disampuk perbualan itu, terasa tidak patut pula. Tambahan, dia tidak arif dalam bidang masakan.

"Tempoyak ni mak yang buat. Mak kata, kalau nak buat tempoyak, jangan guna durian yang dah nak busuk, yang buruk tu. Kalau boleh, gunalah durian yang paling molek, paling gebu."

"Betul jugak, kan? Nak dapat tempoyak sedap, asal bahan tu mesti yang molek juga. Kalau guna yang dah nak buruk, dah tentu rasanya pun sama macam rupanya."

"Su, jangan lupa salin resepi. Angah balik kampung lain kali, nak makan patin masak tempoyak yang Su masak pulak."

Tambah Riyad lagi. Iris Suhayla yang sedang menghirup air suam, terbatuk kecil beberapa kali. Sungguh tak diduga, itu yang mahu diutarakan Riyad dalam sebegitu banyak cadangan lain yang lebih bernas. Dia lantas mengurut dada perlahan-lahan. Tawa Siti Hajar dan Riyad tidak diendahkan.

"Minda Su cergas lagi, angah! Buat rugi aje menyalin tapi dari menyalin, Su ada idea yang lebih bernas. Apa kata angah bawak balik aje tuan punya resepi ni ke Brunei? Dapat makan patin masak tempoyak hari-hari!"

Usiknya, dengan kening terjungkit sebelum bergegas membawa pinggan kotor ke dapur untuk dicuci.

"Mudahnya! Tapi Siti ni kan anak dara orang?"

Balas Riyad, dari ruang makan. Suaranya dikuatkan supaya Iris Suhayla dan Siti Hajar mendengar apa yang sedang diduganya. Siti Hajar tidak mengangkat muka, dari tadi dia disakat dua beradik itu. Kalau dia biasa dengan Riyad tak mengapa juga, sayangnya Riyad orang luar yang baru dikenali.

"Itu yang bagus, anak dara orang. Tapi tak bagus kalau mak dara orang!"


"IRIS, mo ikut rombongan ke Kota Kinabalu ka?"

Tanya Faiz ketika dia sedang menanda kerja murid. Iris Suhayla mendongak, mencari tuan empunya suara yang disangka jauh, namun sangat dekat rupanya. Dekat, hingga hampir boleh dikira jumlah misainya.

"Rombongan ni untuk apa? Bila?"

Balasnya kemudian.

"Lawatan ilmiah. Anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling. Cadangannya mo bikin dalam bulan lima nanti, sebelum cuti tu bah."

Beritahu Faiz lagi serba ringkas. Terus terbayang di mindanya wajah Zakwan yang kerap menunggunya di pusat sumber. Barangkali ia rencana Zakwan.

"Tak apalah Cikgu Faiz. Kalau ikutkan perancangan, banyak aktiviti yang perlu dijalankan bulan lima ni. Takkan saya nak tinggal Kak Nisa dengan budak-budak seorang diri."

Tolaknya, tanpa berfikir panjang. Sebenarnya dia ingin menjauhkan diri dari Zakwan. Bimbang jika dia kerap menyertai aktiviti yang turut disertai oleh Zakwan, teman sejawatan bakal membawa mulut kelak. Bukan pula hendak memburuk-burukkan mereka namun dia faham sikap manusia. Jika dia di tempat mereka pun, pasti terdetik rasa curiga. Tambahan dia dan Zakwan sama-sama berstatus bujang.

"Betul ka ko tia mo ikut? Nanti menyesal bah. Masa bujang inilah kita jalan-jalan pusing kota."

"Tak mahulah. Sayang nak tinggal budak-budak kecil ni,"

"Okay but by the time Iris tukar fikiran, maklumkan pada sia semula, ya?"

"Okay,"

Jawabnya ringkas sebelum menghantar langkah Faiz ke luar kelas. Tidak lama kemudian, Nisa pula mendekatinya, bertanya apa yang dimahukan Faiz.

"Dia ajak ikut rombongan ke Kota Kinabalu,"

"Habis tu, Iris bilang apa?"

"Tolak je. Malaslah nak ikut rombongan tu,"

Beritahu Iris Suhayla sambil meneruskan kerja penandaannya. Ada beberapa helai lembaran kerja lagi yang perlu ditanda sebelum dia meneruskan kerja penulisan buku rekod mengajar untuk hari esok pula.

"Kalau Iris mo ikut rombongan tu, bagi nama bah. Sia okay. InsyaAllah, sia boleh tolong jaga budak-budak itu nanti,"

Balas Kak Nisa pula. Dia hanya ingin mempermudahkan jika Iris Suhayla berbelah bahagi hendak mengikut rombongan itu. Jika dia ditempat Iris Suhayla, pasti peluang itu tidak akan dipersiakan. Tambahan pula, ia berlaku sekali sekala sahaja.


KETIKA sedang leka menonton rancangan kartun kegemaran, Spongebob Squarepant, Iris Suhayla diterjah lagi soalan tentang rombongan ke Kota Kinabalu. Namun, terhidu juga dek hidungnya bau mi kari segera yang sedang direbus oleh Siti Hajar.

"Makan jom!"

Pelawa Siti Hajar, dari meja makan. Iris Suhayla tidak menjawab. Kusyen yang menjadi alas tangannya dicampak ke sebelah. Senyuman berbunga mekar di bibirnya.

"Untungnya aku jadi teman serumah kau, kan? Bila lapar aje, makanan sampai! Lapar aje, makanan pun sampai."

"Aku boleh baca air muka kau tu, Su! Asal lapar aje, duduk bersila atas sofa, Lepas tu gentel kusyen sampai lunyai. Hah, tengah laparlah tu,"

Iris Suhayla ketawa kuat apabila diusik oleh Siti Hajar namun apa yang dikata oleh teman serumahnya benar belaka. Memang begitulah tabiatnya dari kecil. Menggentel bucu kusyen apabila lapar namun usaha untuk mengenyangkan perut tidak pula dilakukan.

"Tak lama lagi nak jadi bini orang, memasak tak khatam lagi. Macam mana ni?"

Usik Siti Hajar. Ketawa Iris Suhayla berhenti serta merta. Kemudian dia menarik muncung panjang, tidak begitu gemar perihal perkahwinan dibangkitkan.

"Amboi, berubah terus air muka! Tak baik tau tarik muka depan rezeki. Apalah yang kau marah sangat kena kahwin tu? Orang nak masuk jarum pun kau marah jugak. Kau ada konflik personaliti ke Su?"

Usik Siti Hajar di hujung soalannya. Tersedak Iris Suhayla menyambut soalan itu. Cepat-cepat dia menghirup air teh di hadapan. Kemudian dia menyambung lagi suapannya.

"Kau suka ke kahwin dengan orang yang kau tak kenal?"

"Hmm, kalau macam tu, kenapa kau tak cuba kenali tunang kau tu?"

"Buat apa?"

Tanya Iris Suhayla pantas. Dia menyudahkan suapan terakhirnya sebelum membawa pinggan ke sinki untuk dicuci. Kemudian, dia kembali menonton televisyen. Kali ini bersambung dengan slot drama Indonesia pula.

"Buat apa kau tanya aku? Bukan nak menyenangkan kau ke nanti? Taklah kekok berbantalkan lengan suami tu nanti, kan?"

Usik Siti Hajar, menghampirinya dengan tawa kecil. Iris Suhayla mengangkat muka.

"Eeee! Tolonglah!"

Dengus Iris Suhayla saat terbayang wajah kacak Izzul Haq yang sangat asing buat dirinya. Iris Suhayla bangun lantas mencampakkan kusyen ke arah Siti Hajar. Sahabatnya itu menyambut dengan tawa yang berpanjangan.


HAKIMI melihat Izzul Haq dari jauh. Ketua merangkap sahabat itu sedang sibuk melayani rakan-rakan perniagaannya. Semenjak akhir-akhir ini mereka jarang berpeluang untuk menghabiskan masa bersama. Kadang kala, urusan kerja juga banyak diserahkan kepada Aina berbanding dirinya yang merupakan tangan kanan Izzul Haq. Barangkali Izzul Haq lebih percayakan Aina berbanding dirinya.

Malam itu pula, mereka semua diundang ke Malam Amal Bersama Anak Yatim Nur Iman. Seperti kebiasaan, Izzul Haq tidak ketinggalan menyampaikan sumbangan. Kerlipan cahaya kamera tidak lekang menghala ke arah susuk tubuhnya. Barangkali karisma seorang ahli perniagaan muda yang ada pada dirinya serta kemewahan yang dimiliki menyebabkan diri lelaki itu sentiasa mencuri tumpuan umum walau ke mana sahaja dirinya berada.

Hakimi membandingkan dirinya dan Izzul Haq. Bagai langit dengan bumi jauhnya mereka. Kadang kala terpalit juga rasa cemburu namun perasaan itu kerap kali berjaya ditangkisnya. Walaupun mewah, namun lelaki itu tidak pernah melayani orang sekelilingnya dengan angkuh. Itu kelebihan Izzul Haq yang paling dicemburuinya kerana sikap itu membuatkan ramai wanita terpaut pada Izzul Haq. Lihat sahaja malam ini, begitu ramai wanita yang cuba menarik perhatian Izzul Haq, tetapi dia? Tiada siapa yang memandangnya seperti mereka memandang Izzul Haq.

Rupa? Dia rupawan juga, sama seperti Izzul Haq namun ia hilang disebalik wajah tampan Izzul Haq. Dia kalah setiap kali kerana Izzul Haq memiliki segala-galanya. Kemewahan, kemahsyuran, kebijaksanaan, ketampanan, ke itu, ke ini. Oh!

"Kimi, kau dah makan ke?"

Hakimi tersentak bila disapa dari belakang.

"Mmm? Dah, dah! Aku dah makan tadi."

"Aku tengok dari tadi kau asyik mengelamun. Ada masalah ke?"

Tanya Izzul Haq, musykil dengan sikap sahabatnya sejak akhir-akhir ini. Hakimi senyum namun dapat dihidu bau hambar pada senyuman itu.

"Masalah apa pulak, Iz? Aku okay aje. Macam selalu."

"Betul ke?"

"Betul!"

"Nah! Ni nombor telefon awek dress biru tu. Dari tadi aku perasan kau dok usha dia. Nak tapi tak nak usaha!"

Ujarnya sambil menyerahkan secebis kertas kepada Hakimi. Hakimi menyambut juga walaupun keberatan pada awalnya. Memang benar, dia leka memerhati gadis yang ditunjuk Izzul Haq, namun melihat kemesraan gadis itu dengan Izzul Haq, hatinya menjadi sakit.

"Thanks, Iz!"

"Not a big deal!"


IZZUL Haq menyelak helaian demi helaian proposal pelancaran model baru jenama mewah Porsche 911 Targa 4s yang diserahkan oleh Shahrul beberapa minit sebelumnya. Shahrul masih menanti reaksinya.

"Macam mana, bos?"

"Panggil semua team. Kita buat meeting pukul tiga petang ni,"

"Kira boleh terima lah ni, bos?"

Shahrul bertanya, mengagak dalam ketidakpastian. Izzul Haq segera mengangkat wajahnya.

"Awak nak saya terima ke tolak?"

"Terimalah bos! Penat saya perah otak ni,"

"Eh, padanlah dengan gaji yang awak dapat. Bukan saya suruh awak perah otak percuma pun!"

Jawab Izzul Haq, sedikit keras namun disambut dengan 'sengih kerang busuk' dari Shahrul. Izzul Haq menyerahkan kembali proposal tersebut kepada Shahrul sebelum memberi arahan yang selanjutnya.

"Buat salinan untuk semua ahli sebelum meetingpetang ni."

"Beres, bos!"

"Kalau tak ada apa-apa hal lagi, kita jumpa petang ni."

"Err, bos tak nak tahu ke siapa selebriti dalam short list kita untuk gimik tu nanti?"

Duga Shahrul, cuba memancing reaksi ketuanya yang selalu nampak bersahaja. Izzul Haq sekadar membalas pandangan Shahrul.

"Perlu ke? Tak payah kot. Bukan saya yang deal dengan dia, kan?"

Balas Izzul Haq pula.

"Peliklah saya dengan bos ni."

"Pelik apa pulak?"

"Peliklah...Orang banyak duit macam bos ni tak minat ke dengan selebriti."

Komen Shahrul membuatkan Izzul Haq ketawa besar. Rupanya ia menjadi isu buat Shahrul sedangkan dirinya tidak pernah memandang semua itu sebagai satu kewajipan yang mesti dipenuhi sebagai seorang lelaki berkerjaya sepertinya.

"Shahrul wey... Islam bukan suruh pilih perempuan dari kalangan selebriti. Islam suruh lelaki-lelaki macam kita ni pilih wanita kerana keturunannya, hartanya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah wanita yang mempunyai agama kerana dia akan menjagamu. Semua tu bukan saya yang tetapkan tapi dari sabda Rasulullah S.A.W sendiri."

"He he he!"

Shahrul ketawa kecil. Dia berasa malu juga bila dibidas begitu. Nyata tidak semua lelaki kaya inginkan wanita glamor sebagai teman pendamping mereka kerana Izzul Haq telah menyimpulkannya begitu.

"Ada apa-apa lagi kemusykilan?"

"He he he. Tak ada dah bos. Saya keluar dulu, ya?"

"Silakan. Pintu warna coklat tu, ya?"

"He he he."


HAKIMI meletakkan cebisan kertas yang mengandungi nombor telefon gadis yang memakai dress biru di majlis amal tempoh hari. Dia masih berkira sama ada hendak menelefon gadis itu atau pun tidak. Lama dia berfikir, hingga akhirnya dia mendail juga nombor tersebut. Lama dia menanti, sehingga suara operator menyapa di telinga. Hakimi mendail nombor tersebut, sekali, dua kali, dan diangkat pada kali keempat dia mendail. Terdengar bunyi yang sangat bising di hujung talian.

"Hello."

"Hello."

"Err, Ara?"

Tanya Hakimi, antara yakin dan tidak.

"Ya. Yousiapa dan nak apa?"

"I kawan Izzul Haq, Hakimi. Actually I suka you, dan nak berkawan dengan you."

Hakimi memperkenalkan diri. Kemudian, terdengar tawa dari hujung talian. Dia mula resah dan tidak sedap hati.

"I ingatkan Izzul Haq yang telefon. Dari malam tu I tunggu dia. Rupanya kawan dia aje yang nak berkenalan dengan I."

Kata wanita itu dengan nada sinis. Ada juga nama Izzul Haq yang terselit di antara perbualan mereka.

"Ya."

"Tak gentleman lah you ni. You nak kawan dengan I tapi guna Izzul Haq sebagai orang tengah."

"I, err."

"Youkerja apa?"

Tanya Ara, serius sahaja. Hakimi tidak bertangguh lagi. Nanti, terus-terusan dicop tidak gentleman.

"IPRO."

"Owh. Luckily bukan GRO. Hahaha."

Tingkah Ara. Nada wanita itu masih sama, sinis. Hakimi menahan bahang panas yang menyimbah muka. Melayani perbualan itu sama seperti menghina diri sendiri. Benar, dia yang salah membuat keputusan kerana membenarkan marah dirinya diinjak begitu. Hakimi sakit hati lalu menekan butang merah. Biar perbualan belum berakhir, namun dia boleh meneka perjalanan perbualan itu yang seterusnya jika masih meneruskannya. Ini semua Izzul Haq yang punya kerja. Barangkali dia sudah tahu gadis dress biru itu tidak berminat dengan dirinya, tetapi dia sengaja memberi harapan.

"Tak guna punya kawannnn!!!!"


"KUMPULAN mana yang dah siap?"

"Sia, cikgu!"

Syahmi mengangkat tangan bagi pihak rakan-rakannya.

"Bukan sia...Saya. Di kelas, kamu kena guna bahasa kebangsaan."

Tegur Iris Suhayla, membetulkan. Dia memanjangkan leher, menjenguk ke arah kumpulan Best dari jarak dua meter. Kumpulan lain masih sibuk menyiapkan replika rama-rama masing-masing.

"Good! Jadi, siapa yang nak jadi rama-rama?"

"Sia mo jadi rama-rama sebab sia mo nyanyi."

Balas Atif, segera menyarung sayap rama-rama yang telah disiapkan oleh kumpulannya. Syahmi membantu tanpa diminta. Iris Suhayla senyum sahaja melihat gelagat anak-anak muridnya.

"Saya."

Iris Suhayla membetulkan lagi. Atif mengangguk-angguk kemudian mencuba.

"Saya."

"Macam ni lah anak murid cikgu. Tak payah suruh, tak payah paksa, berani! Baik, yang lain tu, sementara menyiapkan rama-rama masing-masing, kita tengok persembahan kumpulan Bestdulu. Kumpulan yang dapat siapkan rama-rama dengan cepat akan dapat hadiah-"

"Alah. Kita ndasiap lagi, mesti ndadapat hadiah!"

Celah Saufi sambil memuncungkan bibirnya. Iris Suhayla menggosok rambut anak itu beberapa kali. Kemudian, dia berdiri di sebelah Atif yang sudah bersedia untuk menyanyi.

"Baik, semua pandang ke hadapan. Tadi, cikgu belum habis cakap lagi tapi Saufi dah menyampuk. Tak pasal-pasal cikgu kena ulang lagi sekali. Kumpulan yang berjaya siapkan dulu rama-rama memang akan dapat hadiah tapi ada satu lagi. Siapa yang paling pandai buat persembahan di depan, menyanyi dengan bagus, cikgu akan bagi satu lagi hadiah."

"Yeayyyyyyyyyyyyy!"

Sambut anak-anak kecil itu beramai-ramai. Mereka menepuk tangan tanda suka dengan patung teddy bearkecil yang sedang dipegang Iris Suhayla.

"Mesti saya yang dapat teddy bear tu."

Ujar Sofea kepada kawan-kawannya. Jarinya dihala ke arah patung teddy bear yang dipegang Iris Suhayla. Tidak sempat menjawab, baju kurung Pahang berwarna hijau ditarik-tarik oleh Atif.

"Cikgu, cepatlah! Kita mo nyanyi ni."

"Okay kids! Bagi perhatian pada persembahan Atif, ya. Lepas ni giliran kamu-"

"Cikgu, cepatlah!"

Potong Atif tidak sabar-sabar hendak beraksi. Iris Suhayla ketawa lantas beredar sebelum duduk di kerusi Atif. Tersengih Syahmi di sebelahnya. Nampak gigi hadapannya yang rompang sebatang. Barangkali baru dicabut oleh ibu bapanya minggu lepas.

Atif memulakan nyanyiannya sambil membuat gaya terbang seperti rama-rama. Satu kelas dipusingnya sehingga Iris Suhayla terpaksa memberi isyarat supaya dia kembali berdiri di hadapan. Bimbang juga jika Atif keluar dari kelas tiba-tiba.

Rama-rama terbang merata,

Hisap madu di pohon bunga

Sungguh cantik aneka warna

Tapi sayang hidup tak lama,

Begitulah hidup manusia,

Pada Allah kita berdoa,

Agar jadi insan mulia,

Tapi sayang...hidup tak lama

Nyanyi Atif seraya duduk sambil mengangkat tangan tanda berdoa sebelum merebahkan dirinya perlahan-lahan ke lantai. Iris Suhayla kaget namun sekejap cuma. Pada saat Atif bangun, rakan-rakannya bertepuk tangan tanda suka dengan persembahan itu. Iris Suhayla mengurut dada tanda lega.

"Berlakon rupanya. Terkejut aku! Tiba-tiba pulak boleh pengsan dalam kelas aku."

Omelnya sendirian. Dia bangun dan melangkah pantas ke arah Atif namun Nisa memanggilnya. Nisa menggoyang-goyangkan telefon bimbitnya tanda mahu menunjukkan sesuatu.

"Apa dia?"

"Mo tinguk ka video tadi? Pandai bah dia berlakon sama nyanyi. Boleh jadi bintang dia tu."

"Masa bila Kak Nisa ambil video? Bukan Kak Nisa kat dapur ke tadi? Tapi nantilah Kak Nisa, masa rehat nanti saya tengok semula. Nak sambung kerja dulu."

Ujar Iris Suhayla, menolak secara berhemah. Ketika dia berdiri di hadapan kelas, Atif sudah kembali ke tempat duduknya.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.