Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,169,353
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 27

27

MENJELANG pukul tiga petang, mereka tiba di Pantai Datai, Pulau Langkawi. Sebuah bot persiaran mewah sedia menanti. Izzul Haq terus menarik tangan Iris Suhayla, mendekati bot mewah itu melalui jeti kecil sebelum menaikinya melalui anak tangga.

"This is my first time."

Ujar Izzul Haq seraya menanggalkan cermin mata hitam yang melindungi matanya. Iris Suhayla melepaskan nafas, penat namun kata-kata Izzul Haq mengundang tanda tanya.

"Apa yang first time?"

"To navigate the boat."

Beritahu Izzul Haq lagi, berlaku jujur. Iris Suhayla tercengang namun suaminya senyum sahaja sambil menyeluk poket, mengeluarkan kunci lalu menghidupkan enjin bot itu. Ia persis seperti memandu kereta.

"Jom balik."

Ajak Iris Suhayla, menarik tangan Izzul Haq namun lelaki itu menarik pula tangannya. Dia memeluk kejap pinggang isterinya. Iris Suhayla terus diam di dalam pelukan suaminya. Betapa kencang debaran di dada dek pelukan hangat itu.

"Bagusnya duduk diam macam ni. Senang nak buat kerja."

Usik Izzul Haq Dia membaca doa di dalam hati, mengharapkan pelayaran mereka selamat sebelum mengemudi bot itu perlahan-lahan. Dia tidaklah bercadang hendak memandu bot itu jauh, cukup sekadar melalui persisiran Pulau Langkawi.


MALAM itu terus sunyi tanpa kelibat Iris Suhayla. Siti Hajar duduk di ruang tamu sambil melihat gambar-gambar di majlis perkahwinan Iris Suhayla hujung minggu yang lalu. Dia mengamati wajah suami Iris Suhayla. Wajahnya sangat mirip dengan wajah CEO kereta yang diminati Iris Suhayla itu. Kemudian dia memadankan gambar itu dengan gambar Izzul Haq yang diselak dari internet.

"Takkan kebetulan kot."

Siti Hajar berbicara sendiri. Dia teringat akan perbualan mereka tempoh hari tetapi segan untuk bertanya tentang pekerjaan lelaki itu. Ada juga bisik-bisik rakan sejawatan yang bertanya tentang suami Iris Suhayla. Kata mereka rupa lelaki itu saling tak tumpah dengan lelaki yang dikaitkan dengan Putri Ariyana baru-baru ini. Ya, dia juga sependapat dengan mereka.

Siti Hajar teringat akan kad undangan perkahwinan yang diberi Iris Suhayla tempoh hari, lalu dia segera mendapatkannya. Nama pengantin lelaki pada kad tersebut dibacanya.

"Ha, tengok! Nama pun sama. Geramnya aku dengan Su ni. Dia main-mainkan aku rupanya selama ni. Jaga dia!"

Omelnya lalu menyimpan kembali kad undangan perkahwinan tersebut.

Kemudian, dia duduk di atas katil, bersedia untuk menutup tirai hari ini. Tambahan pula, teman serumah tiada di sisi. Terasa sunyi sekali hari-harinya. Siti Hajar bangun kembali lalu menutup suis lampu. Dia baru sahaja hendak berbaring ketika telefon bimbitnya berdering.

"Assalammualaikum."

"Waalaikumussalam. Cik Siti Hajar?"

"Ya, saya."

Jawabnya, berhemah. Dia menanti bicara seterusnya dari suara yang kedengaran asing di telinganya.

"Saya buat panggilan dari Hot Communication Sdn Bhd ya cik. Kami dapati Cik Siti Hajar telah melanggar kontrak langganan Hot Broadband."

"Hot mana pulak ni? Kontrak langganan broadbandapa? Bila saya sain kontrak dengan encik? Ni mesti nak perangkap orang ni."

Tingkah Siti Hajar, meragui ketelusan perbualan itu.

"Cik Siti Hajar baru aje sain kontrak di hati saya, dua bulan yang lepas, masa Cik Siti Hajar masakkan patin masak tempoyak tu. Ingat lagi tak?"

Ujar lelaki itu lagi. Siti Hajar lantas menyelak kembali halaman memori satu per satu sehingga tiba pada saat dia makan semeja bersama Iris Suhayla dan Riyad ketika lelaki itu melawat Iris Suhayla dua bulan yang lepas.

"Dah ingat kan? Ni Riyad. Angah kepada Su. Su ada?"

Siti Hajar ketawa akhirnya. Soalan itu dikira sebagai jenaka dari lelaki bernama Riyad. Teringat ketika bertandang ke rumah Iris Suhayla minggu lepas, lelaki itu sempat meminta nombor telefonnya.

"Lagi mau tanya pasal Su. Bukan Su ada kat kampung ke?"

"Tak ada. Entah ke mana dia dua longgok tu menghilang. Semalam kata nak keluar makan aiskrim, sampai hari ni tak balik-balik."

Jawab Riyad. Semalam dia memang merancang untuk menghubungi Iris Suhayla namun tidak sampai hati hendak mengganggu pasangan pengantin baru itu.

"Eh? Makan aiskrim kat Dubai kot. Tu yang lambat balik tu."

"Ha ah. Mungkin dah sampai ke Asia Timur. Emm...lupakanlah pasal Su tu. Siti apa khabar? Sihat ke?"

Soal Riyad, melarikan tajuk perbualan mereka. Bukan hal Iris Suhayla tidak pulang ke rumah yang menjadi alasan untuk menghubungi Siti Hajar. Sebetulnya, dia memang lama hendak menghubungi Siti Hajar tetapi dia tidak punya nombor telefon gadis itu. Pertemuan kali kedua sempena majlis perkahwinan Iris Suhayla tempoh hari dikira sebagai tuah buatnya lantas dia meminta nombor telefon gadis itu.

"Sihat, alhamdulillah. Cuma kesunyian sikit. Kalau ada Su ceria sikit rumah."

"Su dah jadi bini orang. Siti bila pulak?"

"Bila pulak apa?"

Tanya, pura-pura tidak mengerti walau mukanya terasa hangat dek soalan itu.

"Bila pulak boleh dirisik?"

"Bila-bila pun boleh."

"Yahooooooooooo!!!"

Jerit Riyad, teruja. Tak sangka usaha pertama kali membuahkan hasil. Pertama kali melihat Siti Hajar, hatinya sudah terpaut tetapi dek kesibukan di pelantar minyak, dia membiarkan perasaan itu bercambah tanpa usaha.

"Apa yang suka sangat tu? Saya belum habis cakap lagilah."

"Err...belum lagi ke?"

"Belum. Saya sambung kejap. Bila-bila masa pun boleh tapi belum ada yang sudi."

"Saya sudi. Sebab tu saya tanya."


DIANAH duduk di atas pangkin sambil melihat pokok bunga melambai-lambai dihembus bayu. Kakaknya Aini sedang menyapu sampah. Hari itu hari Rabu. Hampir seminggu dia meninggalkan rumah selepas diceraikan. Selama seminggu itu juga dia berkurung di dalam bilik, merintih akan nasib yang menimpa diri.

"Barang yang lepas jangan dikenang. Ada banyak benda lagi yang menunggu kita di depan."

Pesan Aini, mengumpul sampah di satu tempat . Dia terbongkok-bongkok menghidupkan api. Setelah berhasil, dia menunggu sekejap. Memerhatinya supaya api itu tidak terlalu marak.

"Saya sayangkan lagi abang Bakri tu."

"Apa erti sayang kalau hidup merana? Diah suka disepak terajang seumur hidup?"

Tanya Aini kepada adiknya. Dia melangkah mendekati pangkin itu lalu duduk di sebelah Dianah. Simpati terhadap nasib yang menimpa adiknya menggunung tinggi. Jika dia yang berada di tempat Dianah, mampukah dia memikul beban itu bersendirian? Barangkali hati anak-anak sudah digerak untuk menjemput ibu saudara mereka. Bagaimana jika tiada siapa yang menjemput? Mungkin penderitaan itu akan terus berlangsung untuk sekian lama lagi.

"Mungkin itu erti sayang, kak. Biar diri merana, asal dapat hidup di sisi suami yang dikasihi."

Jawab Dianah, kelat. Matanya kembali bergenang. Kemudian, sedikit demi sedikit air mata itu menuruni pipinya.

"Itu bukan sayang, Diah. Itu zalim. Zalim pada diri sendiri."

Tekan Aini, tidak mahu berputs asa menasihati adik sedarah dagingnya itu. Dianah terus membuang pandangannya jauh-jauh, sehingga terlihat dek matanya bayangan Bakri. Air matanya terus bercucuran laju. Rumah tangga yang dibina bersandarkan cinta dan kasih sayang itu akhirnya runtuh jua.

"Kak Aini tahu Diah kuat. Janganlah cepat berputus asa. Kita mulakan cerita yang baru. Diah jangan bimbang. Kak Aini akan bantu Diah."

Tutur Aini lagi namun tiada jawapan yang kedengaran dari mulut Dianah. Perlahan-lahan Dianah bangkit lalu masuk ke dalam rumah. Aini menghantar sahaja langkah itu dengan ekor matanya. Dia kembali membuang pandang ke hadapan, melepaskan nafas yang terasa berat untuk ditanggung.


IRIS Suhayla memijak anak tangga menuju ke dek. Usai solat Asar sebentar tadi, Izzul Haq menghilangkan diri. Hari pertama di atas bot itu, dia berasa gayat dan bimbang kerana bot asyik bergerak setiap kali dilambung ombak. Malam pertama di atas bot itu juga tidak berkesudahan dengan baik. Dia kerap terjaga sedang Izzul Haq di sisi tidur dengan begitu nyenyak namun apabila hari berganti, dia mula dapat menyesuaikan diri di atas bot itu.

Iris Suhayla terus mencari Izzul Haq sehingga kelibat suaminya tertangkap sedang berenang tidak jauh dari bot itu. Iris Suhayla menarik nafas lega. Dia menyangka ditinggalkan sendirian di atas bot itu, rupa-rupanya itu andaian semata-mata. Iris Suhayla kembali ke bilik tidur mereka, mendapatkan telefon bimbitnya. Mindanya sempat merencana sesuatu lantas sekembalinya dia ke dek, dia merakam gelagat Izzul Haq yang sedang asyik berendam di dalam laut itu. Kemudian, dari rakaman itu, dia dapat melihat Izzul Haq kembali berenang ke arah bot.

"Iris, kalau tersebar gambar yang Iris ambil tu jaga, ya!"

Izzul Haq memberi amaran sebelum memanjat tangga bot. Iris Suhayla ketawa lantas melarikan diri. Izzul Haq mendekatinya dengan pantas, cuba merampas telefon bimbit itu dari tangannya. Iris Suhayla pula enggan mengalah, dia menolak Izzul Haq jauh darinya namun lelaki itu tidak berganjak.

"Jauhlah, awak basah. Nanti baju saya basah jugak."

"Padan muka awak. Siapa suruh ambil gambar saya curi-curi."

Balas Izzul Haq, terus menarik Iris Suhayla ke dalam dakapannya.

"Ahhhhhhhh!"

Jerit Iris Suhayla, halus. Dia meronta-ronta cuba melepaskan diri, namun Izzul Haq terus memeluk erat. Kemudian, dia mengambil telefon bimbit itu sebelum menyelak album digital. Dia menekan butang main dan melihat kembali aksinya yang dirakam oleh Iris Suhayla tetapi tidak lama kerana telefon itu berbunyi, menandakan ada pesanan ringkas yang masuk. Izzul Haq pura-pura hendak membaca pesanan ringkas itu namun Iris Suhayla cepat mengambil telefon bimbit itu kembali.

"Amboi, lamanya makan aiskrim. Makan aiskrim kat Dubai ke?"

"Angah yang mesej. Dia kata, lamanya makan aiskrim. Makan kat Dubai ke?"

Tutur Iris Suhayla sambil menunjukkan pesanan ringkas itu kepada Izzul Haq.

"Saya reply tau."

Izzul Haq menaip sesuatu di telefon bimbit Iris Suhayla namun isterinya cepat-cepat merampas telefon bimbit itu. Izzul Haq mengangkat muka sambil tertawa.

"Pergi mandilah. Bersidai bawah matahari ni, karang jadi ikan masin pulak."

"Ikan masin? Ikan masin ni mahal tau, bukan sebarang ikan masin."

Tingkah Izzul Haq sambil mengenyit mata. Iris Suhayla mencebik, dalam mindanya sudah disusun sebaris ayat.

"Bukan sebarang ikan masin? Ikan masin terubuklah tu. Yang banyak tulang. Kalau tengok, tolak ke tepi aje."

"Amboi!"

Balas Izzul Haq lalu mencuit hidungnya. Iris Suhayla menepis dengan spontan, kemudian dia menggigit hujung bibir. Terlepas reaksi dengan tidak sengaja. Izzul Haq memegang hidungnya yang tegak terletak sebelum berpura-pura menjauhkan diri.

"Awak orang pertama yang mencederakan hidung kesayangan saya."

"Tak sengaja."

Katanya, menggigit hujung jari telunjuk pula. Dia rasa bersalah kemudian mendekati Izzul Haq yang sudah berjalan meninggalkan dirinya. Iris cepat mengejar sebelum kaki suaminya sempat mencecah anak tangga.

"Izzul, sorry, tak sengaja."

"Sorry naik lorry." Usiknya, dengan nada agak keras.

"Izzul..."

Iris Suhayla memanggil lagi, dengan rasa serba tak kena. Izzul Haq memandang ke belakang.Oh, dia tak sanggup mendengar suara isterinya merintih begitu. Dia kalah.

"Izzul."

"Iya...saya nak mandi ni."

"Sebelum jadi ikan masin."

Si suami menambah lagi. Iris Suhayla hendak ketawa tetapi dia terus kemam mulut rapat-rapat.

"Hidung awak tu?"

"Lepas mandi nanti awak baiki balik."

Jawabnya, terus melangkah ke arah kamar mereka. Ada sebuah bilik air khusus buat penghuni bot itu dan dia akan menyiram diri di sana sebelum memikir cara untuk terus menikmati hari yang indah bersama isteri tercinta.


IRIS Suhayla masih terkial-kial mengayuh basikal. Tidak cukup tiga ratus enam puluh darjah mengayuh, kakinya tergelincir dari pedal. Kadang-kadang kaki kanan, kadang kala kaki kiri pula.

"Iris, cepatlah! Mari kita keliling Pulau Langkawi dalam tempoh dua jam. Saya cabar awak."

Sakat Izzul Haq dari depan. Dia memberhentikan basikal, dan menongkatnya dengan kaki. Melihat reaksi isteri yang masih terkial-kial, dia memusing kembali basikal lalu mengayuhnya mengelilingi si isteri. Iris Suhayla menjeling tajam.

"Bukan nak tolong orang."

"Tak mahu tolong. Nak tengok awak buat sendiri."

"Saya tak pernah naik basikal lah!"Jawab Iris Suhayla, hampir menjerit. Izzul Haq ketawa kecil. Dia berhenti di tepi dan melihat kegigihan Iris Suhayla menyahut cabaran itu. Sekali lagi Iris Suhayla mencuba, perlahan-lahan walaupun agak goyang, dia terus juga menunggang, kemudian tidak lagi menoleh ke belakang.

"Amboi, bila dah pandai berbasikal. Dia tinggal pulak suami dia di belakang!"

"Moh kita pusing Pulau Langkawi dalam tempoh dua jam. Siapa sampai lambat, kena belanja dinner."

"Amboi!"

Iris Suhayla ketawa kecil. Dia tahu Izzul Haq masih berada di belakang. Barangkali menjaga keselematan isteri dari disodok kenderaan lain.

"Hati-hati bawak basikal tu. Jangan suka sangat goyang kiri-kanan! Kereta-kereta yang lalu lalang ni boleh tahan juga lajunya."

"Tengoklah dulu macam mana." Jawabnya sambil tersenyum.

"Oh, sombong! Kalau jatuh bangun sendiri tahu. Saya tak mahu tolong. Malu nak tolong perempuan tua jatuh basikal."

"Deal! Awak jatuh pun saya tak mahu tolong. "

Jawab Iris Suhayla, tanpa menoleh ke belakang. Dia hanya ingin fokus teradap satu perkara, iaitu mengayuh basikal dengan selamat, kerana sepanjang beberapa minit kayuhan itu, dia terpaksa memberi laluan kepada pengguna utama jalan kecil dan bengkang-bengkok itu. Sedar tak sedar, senyumannya berbunga sepanjang jalan dek suara sumbang suami yang sedang menyanyi di belakang.

"Riang hatiku, badan bertuah

Punya teman yang comel dan manja

Berjanji akan selalu bersama

Menemaniku sepanjang masa"

"Aku hidup serba sederhana

Tiada harta, tiada rupa

Hanya yang ada budi bahasa

Harta sekadar basikal tua

"Orang biasa....basikal tua

Orang biasa...basikal tua

Sedar tak sedar Iris Suhayla turut sama menyanyi. Dia ingat memori manis ketika kecil dahulu. Menyanyi lagu basikal tua ketika membonceng basikal tua yang dikayuh Riyad.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.