17
NUR NAZIHA mencapai kerusi putar lalu
duduk di depan kaunter pembayaran yang ditinggalkan oleh Lokman Azad. Dalam
pada itu telinganya masih dapat mendengar gelak ketawa Lokman Azad dan Murni
yang saling bertingkah di sudut belakang farmasi dengan jelas sekali.
Dia terasa
seolah-olah mereka berdua sedang membicarakan tentang dirinya. Sedang
mempertikaikan tentang kebekuannya selama ini. Ataupun sedang mempersoalkan
tentang kedinginannya yang tidak bertepi.
Lelaki,
kenapa kau sering meletakkan aku dalam dilema? Aku hanya mahu agar diri ini
dibiarkan sendiri. Untuk apa aku ditemani kalau kemudian kau dengan kejamnya
mencapai pisau belati lalu merobek-robek sekepal hatiku ini sehingga aku
sendiri tidak lagi kenal apakah itu rupanya hati yang pernah aku miliki!
“Acik tahu Ziha pernah kecewa suatu ketika
dulu. Mungkin sebab tulah Ziha tak percaya pada ikatan perkahwinan tapi sampai
bila? Takkan selamanya Ziha nak hidup solo macam ni? Takkan selamanya nak hidup
keseorangan di dunia ni? Kalau lelaki tu pernah kecewakan Ziha, pernah sakiti Ziha,
lelaki lain tak semestinya macam dia.” Kata-kata yang diungkapkan oleh Puan
Suzila awal pagi tadi menerpa semula ke ruang fikirannya.
Betul tu Ziha,
yang patah akan tumbuh. Yang hilang akan berganti. Bagaikan ada suara pula
berbisik ke telinganya.
Dia segera
menoleh ke sudut belakang di mana Lokman Azad dan Hanim sedang berbual.
Perlukah aku membuka pintu hatiku ini secara paksa untuk membenarkan seorang
lelaki lain melangkah masuk dan bertakhta di situ? Perlukah?
Tidak
mungkin! Mana mungkin! Cinta bukanlah suatu paksaan. Hatinya menegaskan.
Kring!!
Kringg!!!
Deringan
telefon di depannya membuatkan dia benar-benar terkejut.
“Angkat telefon
tu, Ziha!” Lokman Azad menegurnya setelah mendengar telefon itu berdering
beberapa kali.
Nur Naziha
segera memekapkan telefon itu ke telinganya.
“Hello, Farmasi Nusantara. Boleh saya
bantu?”
“Hello, boleh saya bercakap dengan Cik
Murni?” Satu suara lelaki kedengaran di hujung talian.
“Boleh
saya tau siapa yang bercakap?”
“Saya ni kawan
dia, Firdaus.”
“Err...
Murni tak ada. Dia tengah solat.” Sahut Nur Naziha pantas walaupun dia tidak
tahu apakah yang dibuat oleh Murni berlama-lamaan setelah memberi alasan untuk
ke tandas tadi.
“Ni Kak Ziha,
ke?”
“Err...
iya, saya Ziha.”
“Hmmm kak,
boleh tak tolong beritahu Murni saya nak jumpa dia petang ni. Tolong ya, kak.”
Luahan berupa rayuan kedengaran dari mulut Firdaus.
“Firdaus,
rasanya Murni tak dapat keluar dengan awak petang ni. Sebab lepas hantar saya
balik nanti, dia ada hal di rumahnya. Faham-faham ajelah, hal keluarga.” Nur
Naziha segera memekup mulutnya. Kenapa aku perlu berbohong pada pemuda di
hujung talian ini, bisik hatinya.
“Iya ke?
Alahai, saya berharap sangat nak jumpa dengan dia petang ni. Dah lama betul
kami tak jumpa sejak habis sekolah dulu. Banyak benda yang saya nak ceritakan
pada dia.” Suara jejaka di hujung talian kedengaran kecewa.
“Lain kali
ajelah awak jumpa dia. Okeylah ya, Firdaus, saya sibuk ni!” Nur Naziha segera
menghempaskan telefon ke gagangnya dengan rasa bersalah.
“Siapa
yang telefon tu, Ziha?” tanya Lokman Azad yang masih berada di sudut belakang
farmasi bersama-sama dengan Hanim.
“Tak ada
siapa-siapa!” sahut Nur Naziha bersahaja.
Jawapannya
itu membuatkan terburai gelak dari mulut Hanim.
“Tak ada
siapa-siapa? Habis tu, hantu ke yang telefon?” Lokman Azad membalas.
“Hmmm...
iyalah kut! Hantu kepala hitam.” Hanim segera menghangatkan suasana.
Hahaha...
menghambur gelak dari mulut Lokman Azad dan juga Hanim.
“Abang
Azad, betul tak kata Anim... penangan patin masak tempoyaklah tu!” suara Hanim
menyelar telinga Nur Naziha.
Nur Naziha
tidak menyambut kata-kata Hanim sebaliknya merenung tepat ke wajah Murni yang
baru muncul di ruang yang sama. Dia rasa bersalah pada gadis itu. Dia sendiri
tidak tahu kenapa dia seolah-olah tidak menyukai pemuda bernama Firdaus yang
hendak menghampiri Murni. Apakah aku cemburu kepada Murni dan Firdaus? Apakah
aku tidak mahu kemesraan terjalin di antara Murni dengan Firdaus yang kelak
bakal menyaksikan mereka berdua bertapak ke suatu daerah yang mengasyikkan yang
dipanggil percintaan? Tidak mahu melihat Murni gembira? Enggan melihat Murni
mengecapi bahagia?
Tidak! Itu
bukan aku. Sudah tentu aku mahu melihat gadis yang sudah aku anggap sebagai
adikku sendiri itu menikmati kegembiraan dan kebahagiaannya. Cuma, aku tak mahu
dia bertapak ke suatu daerah yang dipanggil
cinta dengan pemuda bernama Firdaus.
Tapi, apa
kurangnya Firdaus?
Tidak ada
apa-apa yang kurang dengan dirinya. Cuma penampilannya dengan rambut bercacak
tak ubah seperti duri landak, serta pakaiannya yang ruggeditu buat aku tidak percaya pada kejujurannya terhadap Murni.
Murni gadis yang polos. Murni mempunyai hati yang suci. Dan, aku tidak mahu
pemuda bernama Firdaus menyodok keladak ke sudut hatinya. Yang bakal
menyaksikan Murni hilang kepolosan. Hilang kesuciannya!
Ziha, kenapa
kau menilai peribadi seseorang itu melalui rambutnya dan cara dia berpakaian?
Apakah orang yang berserban itu bagimu sebaik seorang wali? Apakah orang yang
berpakaian kemas dan segak itu semuanya baik dan berhati mulia? Seperti Lokman
Azad, contohnya?
Atau, jejaka
itu? Jejaka yang pernah menghancurlumatkan hatimu dan memusnahkan masa depanmu?
Nur Naziha
segera memekup mulut dengan kedua-dua telapak tangannya. Ini hal peribadi
Murni. Kenapa aku harus masuk campur, hatinya bersoal-jawab. Fikirannya bercelaru!
“Kenapa, kak?”
soal Murni lembut menusuk telinganya.
“Err...
tak ada apa-apa.” Nur Naziha menjawab.
Mana
mungkin dia mendedahkan pada Murni bahawa seketika tadi seorang pemuda bernama
Firdaus telah menelefon, mencari Murni. Dan, dia pula memandai-mandai
memberikan alasan bahawa Murni tidak dapat bertemu dengan pemuda itu petang
ini.
“Kau pergi
mana tadi, Murni? Bertapa ke dalam jamban tu? Sembelit ke?” suara Hanim
kedengaran melaung dari sudut belakang.
“Wei,
mulut busuk macam tong sampah!” jerit Murni pula.
“Cukup-cukuplah
tu!” suara Lokman Azad kedengaran membidas.
“Sepupu
abang tu asyik menyakitkan hati kita orang aje sejak tadi, kalau abang nak
tahu!” Murni mengadu.
Lokman
Azad melangkah keluar dari belakang rak lalu menghampiri kaunter pembayaran. Hanim juga memberanikan dirinya keluar
dengan mengekori langkah Lokman Azad.
“Buah hati
kau telefon masa kau tengah memerut tadi!” Hanim bersuara setelah dia berdiri
di sisi Nur Naziha.
“Buah
hati? Kau jangan nak menipu ya, mulut tong sampah! Aku mana ada buah hati?”
“Tanya Kak
Ziha. Betul kan, kak? Tulah... lain kali kalau masuk jamban janganlah bertapa
lama-lama.”
Nur Naziha
semakin serba-salah apatah lagi setelah melihat renungan Murni mencerun ke
wajahnya.
“Betul ke
ada orang telefon Murni, kak?” Murni meminta penjelasannya.
Nur Naziha
menggeleng pantas.
“Mana
ada!”
“Wei, kau jangan
cari pasal dengan aku, ya. Buku lima aku naik ke muka kau nanti, baru kau tau!”
Murni menuding jari telunjuknya ke arah Hanim. Hanim juih bibir dan bikin muka
selamba.
Nur Naziha
pula berpura-pura sibuk menyelak sebuah buku besar yang digunakan untuk mengisi
senarai nama para pelanggan yang pernah berurusan dengan Farmasi Nusantara.
Dalam pada itu hatinya ligat berfikir, kalau pembohongan yang aku buat tadi
terbongkar apakah buku lima Murni akan melayang ke pipiku?
“Kau orang
berdua ni jangan asyik bertengkar aje!” Lokman Azad menghentakkan suara. Jelas
kedengaran ketegasan dalam nada suaranya.
“Lain kali
abang tak nak dengar pertengkaran macam ni lagi. Macam budak-budaklah kau orang
berdua ni!”
“Anim yang
mulakan, bang! Bukan Murni!” Murni segera menjawab.
“Betina ni
yang kurang ajar dengan Anim, bang!” Hanim pula membalas.
“Diam!!!”
Lokman Azad terpekik dan menghempaskan buku limanya sehingga bergegar meja pembayaran
itu menerima hentaman tersebut.
Suasana
hening seketika. Hanya bunyi sebatang pen yang terpelanting dari genggaman Nur
Naziha sahaja masih kedengaran berputar di lantai simen.
“Mulai
hari ni abang tak nak dengar lagi Murni atau Anim bergaduh atau bertengkar. Cuba
berbaik-baik antara satu sama lain. Atau, abang akan adukan pada Tuan Haji.”
Lokman Azad mengugut.
“Murni
minta maaf, bang.” Murni bersuara perlahan.
“Anim?”
“Err...
Anim pun minta maaf jugak, ya bang.”
“Okey,
abang maafkan. Lepas ni jangan buat lagi. Belajarlah untuk jadi dewasa, betul
tak Ziha?”
Nur Naziha
membelingas ke arahnya setelah mendengar namanya disebut Lokman Azad. Dia
mengangguk perlahan. Dalam sibuk-sibuk bebelkan Murni dan Anim, sempat jugak
Abang Azad ni sekolahkan aku, bisik hatinya.
Sebelum
berlalu meninggalkan mereka bertiga, Lokman Azad sempat memungut pen yang
terjatuh di lantai lalu diletakkan di depan Nur Naziha. Mata mereka berdua
sempat bertaut untuk seketika. Namun seketika cuma.