11
“LENA tidur malam tadi, Kak Ziha?”
Itulah soalan pertama Murni sebaik-baik sahaja mereka berdua menapak turun dari
skuter merah jambu dan mula menyusuri kaki lima kedai untuk mencari tempat
makan yang sesuai bagi menjamu selera pagi itu.
“Mana
boleh tak lena? Kalau badan dah penat, pasti lena ajelah.”
Murni
mengekel.
“Manalah
tau kalau-kalau tak lena pulak? Kalau-kalau tidur akak asyik diganggu oleh
mimpi-mimpi indah bersama Abang Azad!” Murni sudah mula mengusik.
“Hisy,
akak tak sukalah Murni asyik sebut-sebut nama dia!”
“Dia tu
siapa, kak? Abang Azad ke? Ala... takkan nak sebut nama Abang Azad pun tak
boleh? Akak malu ke?”
“Akak tak
sukalah, Murni!” Nur Naziha meninggikan suaranya. Sambil itu kaki mereka berdua
terus melangkah menuju ke sebuah restoran milik peniaga Melayu.
Murni
tergelak kecil.
“Ala...
suka ajelah, kak. Apa kurangnya Bang Azad tu? Baik, handsome... berduit orangnya. Dia pun sukakan akak. Akak aje yang
jual mahal. Jangan letak harga tinggi sangat kak, nanti tak laku baru padan
muka!”
“Dah tu,
Murni! Cukup!! Akak tak sukalah Murni cakap yang bukan-bukan macam ni. Nanti
akak patah balik ke farmasi baru tahu!” Nur Naziha mengugut.
“Opps!!”
Murni segera menutup mulutnya. Baru tersedar akan keceloparan diri.
“Sorry ya, kak. Janganlah merajuk. Murni
tak pandai nak pujuk.”
Nur Naziha
memuncungkan mulutnya tetapi tetap melangkah masuk ke perut restoran yang
hampir dipenuhi pengunjung. Mujurlah masih ada sebuah meja yang kosong. Seorang
pelayan menghampiri mereka sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung di atas
kerusi plastik yang tersedia. Nur Naziha dan Murni masing-masing memilih untuk
makan nasi lemak berlaukkan sambal sotong. Setelah mengambil pesanan mereka,
pelayan itu terus berlalu meninggalkan kedua-dua orang gadis itu berbual kosong
sesama sendiri.
“Bila Kak Ziha
nak datang ke rumah Murni?” soal Murni ke arah Nur Naziha yang hanya berbeza
usia tiga tahun dengannya itu. Telah hampir empat bulan dia mengenali Nur Naziha,
namun sekalipun gadis itu belum pernah singgah ke rumahnya.
“Tunggulah.
Lagipun bilalah akak ada masa nak pergi ke rumah Murni? Kita kan sibuk dengan
kerja. Balik dari farmasi tupun bila matahari dah terbenam.”
“Esok hari
Isnin. Isnin kan cuti. Apa kata kalau esok aje akak datang ke rumah Murni?
Murni jemput akak. Apa macam?”
“Nantilah akak fikirkan dulu. Entah-entah Acik
Su ada rancangan lain untuk esok.” Nur Naziha tidak segera memberikan
persetujuannya.
“Eleh...
kalau tak sudi, cakaplah terus terang. Murni tak marahlah, kak!” getus Murni.
Namun suaranya sedikit meninggi menandakan dia jengkel dengan jawapan Nur Naziha.
Nur Naziha
memandang tepat ke wajah Murni.
“Janganlah
merajuk, dik.”
“Hai,
panas aje hati ni. Bilalah agaknya air yang kita pesan tu nak sampai kan, kak?”
“Kenapa
tiba-tiba aje panas hati pulak? Ala... takkan marahkan akak, kut? Jangan risau,
nanti bila-bila lapang akak pergilah ke rumah Murni.” Nur Naziha memujuk.
Wajah
Murni yang mencuka seketika tadi berubah ceria tatkala melihat pelayan restoran
tiba dengan membawa pesanan mereka. Nasi lemak sambal sotong dan minuman yang
dipinta diletakkan di atas meja. Murni pantas menyambar teh ais yang diletakkan
di depannya lalu menyedut minuman itu dengan rakus.
Nur Naziha
hanya melihat telatah temannya itu. Dia jarang sekali mengambil minuman berais.
Bukan kerana hendak jaga badan tetapi itu adalah amalannya sejak remaja lagi.
Amalan yang dititipkan oleh arwah nenek pada dirinya. Seperti pagi ini, dia
hanya meminta segelas air suam.
“Makan
pelan-pelan, Murni. Nanti tercekik.” Dia mengingatkan Murni yang agak gelojoh
menyuap nasi lemak ke mulutnya.
“Murni
laparlah, kak.”
Nur Naziha
ketawa kecil.
“Arwah
nenek akak pernah pesan, kalau makan tu kena kunyah sampai hancur dulu baru ditelan.
Kalau tak nanti boleh sakit perut. Dah sakit nanti, siapa yang susah?”
“Eleh...
kita kan kerja kat farmasi, gedung ubat. Kalau sakit, capai ajelah mana-mana
ubat yang kita nak.”
Pandai
menjawab budak ni, gerutu hati Nur Naziha. Namun, dia tersenyum cuma.
“Yalah,
akak lupa kita ni kerja kat gedung ubat.” Getusnya perlahan.
Murni
mengekel. Dia memperlahankan suapannya. Dia menyenangi Nur Naziha. Gadis itu
mengingatkannya kepada seorang kakak yang tidak pernah dimilikinya. Dia adalah
anak tunggal perempuan dalam keluarga. Hidup dikelilingi adik-beradik lelaki
membuatkan dirinya juga terikut-ikut dengan rentak mereka. Dia sendiri mengakui
yang dirinya kadangkala agak kasar seperti seorang lelaki. Namun, nalurinya dia
tetap perempuan.
Mengenali
Nur Naziha membuatkan dia celik pada segala petua tradisional dan pantang
larang orang Melayu. Kata Nur Naziha, petua dan pantang larang itu dititipkan
oleh arwah neneknya sejak dia kecil lagi dan telah mengamalkannya sejak mula
menginjak usia remaja.
Antara
pantang larang yang diamalkan oleh Nur Naziha ialah semasa sedang minum atau
makan hendaklah duduk, jangan berdiri. Jangan amalkan makan bersulam air.
Ataupun minum air sejurus selepas makan. Jangan amalkan minum minuman berais
atau bergas. Kalau mandi pula hendaklah bermula daripada bahagian bawah badan membawa
ke atas. Menurut arwah neneknya, semua itu adalah untuk kesihatan diri dan awet
muda.
“Buat apa
nak susah-susah berpantang-larang, kak? Kat Farmasi Nusantara tu semua jenis
jamu, makanan kesihatan dan pil awet muda ada. Telan aje sebiji dua setiap
hari. Semua jenis krim kecantikan ada dijual, tepekkan aje kat muka.” Murni
akan menjawab apabila sering ditegur oleh Nur Naziha.
“Tapi
tengoklah pulak pada harganya, Murni. Kalau produk yang baik dan mujarab tu
bukannya murah, makan beratus harganya. Mampu ke?” Nur Naziha selalunya akan
membalas balik.
“Kalau
kita amalkan petua-petua lama tu, percuma aje. Cuma kena rajin dan yakin.
Hasilnya... walla!”
Dan, Murni
cukup sakit hati apabila melihat Nur Naziha yang memiliki tubuh seperti gitar
itu berpusing-pusing di depannya. Berlagak! Menunjuk! Tetapi, sakit hatinya
pada Nur Naziha tidak lama kerana dia tahu Nur Naziha bukanlah hendak
menunjuk-nunjuk dengannya. Nur Naziha hanya mencurahkan ilmu di dada kepadanya.
Ilmu yang diperturunkan oleh arwah neneknya.
Kadang-kadang
Murni jadi hairan kenapa Nur Naziha asyik bercerita tentang arwah neneknya yang
sudah lama meninggal dunia itu dan langsung tidak menyentuh tentang ahli
keluarganya yang lain seperti ayah, ibu dan adik-beradiknya? Namun dia tidak
sempat bertanya dek kesibukan masing-masing.
“Eh, lupa
pulak akak.” Getus Nur Naziha tiba-tiba seolah-olah baru teringatkan sesuatu.
Dia segera menarik zip beg galasnya.
Murni
hanya memandang ketika gadis di depannya mengeluarkan plastik berisi lima
keping karipap lalu diletakkan di tengah meja.
“Rasalah
karipap sardin tu, Murni. Sedap!” Pelawa Nur Naziha sambil tersenyum nipis.
Terbayang jelas di ingatannya tentang rahsia karipap sardin itu.
“Rezeki
tu, ada orang belanja.”
Murni jungkit
kening.
“Siapa
yang baik hati sanggup belanja akak karipap sardin ni? Lelaki ke perempuan?”
“Banyak
tanyalah Murni ni. Makan ajelah.” Ujar Nur Naziha sambil berusaha menghabiskan
suapan nasi lemak terakhirnya.
Murni yang
sudah selesai makan segera mencapai sekeping karipap lalu disuapkan ke
mulutnya.
“Hmm...
sedap karipap ni, kak.”
Nur Naziha
senyum dan angguk. Dia akui yang karipap itu memang sedap.
“Eh, ni
Murni, kan?”
Kedua-dua
orang perempuan itu tersentak apabila kedengaran satu suara menegur Murni.
Mereka mendongak. Kelihatan seorang jejaka tersenyum lebar ke arah Murni.
“Eh,
Firdaus!”
Jejaka
yang dipanggil Firdaus oleh Murni itu tersenyum lebar.
“Apa
khabar, Murni? Lama tak jumpa.”
“Aku
sihat. Eh, duduklah, Fir. Kau dah minum?”
Nur Naziha
hanya memandang ke arah Murni yang nampaknya begitu galak dan ceria kerana
dipertemukan dengan Firdaus pagi itu. Dalam hati, dia tertanya-tanya siapakah
sebenarnya jejaka bernama Firdaus itu di sisi Murni?
“Aku dah
minum dengan geng-geng aku. Tu pun mereka!” Firdaus menudingkan jarinya ke
suatu sudut. Kelihatan tiga orang lelaki seusia Firdaus sedang duduk di meja
itu.
“Kau nak
belanja aku minum ke, Murni?”
“Eh,
takkan tanya pun tak boleh?”
Firdaus
tergelak besar. “Kalau kau nak belanja aku minum, boleh aje. Malam ni kita
jumpa. Apa macam?”
“Waa...
gelojohnya kau ni! Kan aku ni perempuan. Selalunya lelaki yang belanja
perempuan minum.”
“Sekarang
ni zaman langit terbuka. Bukan macam dulu-dulu lagi, asyik lelaki aje yang kena
seluk poket untuk belanja perempuan minum. Tapi takpelah... kalau kau sudi,
jomlah kita keluar malam ni. Bukan setakat minum, makan besar pun aku boleh
belanja.”
Murni
mengekel. Kesukaan! Seronok sangat nampaknya dapat berbual mesra dengan
Firdaus, jejaka berkulit sawo matang dengan rambut yang bercacak macam duri
landak. Beberapa ketika kemudian dia menjeling ke arah Nur Naziha yang duduk
bagaikan patung di tempatnya.
“Eh, Fir,
lupa pulak aku nak kenalkan kau dengan kawan sekerja aku. Ni Nur Naziha. Kak Ziha,
ni Firdaus, kawan satu sekolah Murni dulu.” Seolah-olah baru menyedari
kewujudan Nur Naziha, barulah Murni memperkenalkannya dengan Firdaus.
“Apa
khabar, Kak Ziha?” soal Firdaus.
“Baik.”
Setelah
terkeluar jawapan dari mulut Nur Naziha, Firdaus fokus matanya semula ke arah
Murni. Kelihatan dia benar-benar berminat dengan gadis lincah itu.
“Banyak story aku nak bualkan dengan kau ni,
Murni. Tapi aku tak ada banyak masa ni. Member-member aku dah tunggu tu. Kita orang
ada hal sikitlah. So malam ni macam mana?
Jadi keluar minum tak?”
Murni tersenyum
lebar.
“Hmmm...”
“Kau balik
kerja pukul berapa?”
“Hari ni
jam 6.00 petang.”
“Kau kerja
kat mana? Aku ambil kau kat tempat kerja ajelah, macam mana?” cadang Firdaus
pantas.
“Kat
Farmasi Nusantara.”
“Oh,
farmasi yang terletak kat hujung tu? Aku tahu farmasi tu, cuma tak pernah masuk
aje. Okey, macam ni ajelah... ni kad bisnes aku. Kalau kau sudi keluar dengan
aku, kau telefon aje nombor ni.” Katanya sambil menghulurkan kad kecil empat
persegi itu ke arah Murni.
“Firdaus,
woi... cepatlah, bro! Kita dah lambat
ni!” Kedengaran satu suara memanggilnya.
Firdaus
menoleh ke meja yang menempatkan teman-temannya. Lelaki bertiga itu sudah
bersiap-siap hendak berlalu.
“Woi, tunggu
kejaplah woi!” jerit Fairdaus ke arah teman-temannya. Kemudian, matanya melekap
semula ke wajah Murni.
“Murni,
aku gembira sangat sebab dapat jumpa kau pagi ni. Jangan lupa telefon aku, ya.
Aku kena chiao dulu ni. Dia orang tu
dah sabar-sabar nak blah. Bye-bye Murni. ByeKak Ziha. Jangan lupa telefon tau, Murni.” Ujarnya lembut
seolah-olah merayu.
“Yalah.”
Murni tersipu-sipu.
“Banyak
benda aku nak storydengan kau bila
kita jumpa nanti.” Tukas Firdaus lagi.
“Tapi aku
tak berani janji.” Murni seolah-olah jual mahal.
“Ala...
bolehlah, Murni! Kita keluar minum-minum aje. Takkan tupun tak sudi, kut?”
Merajuk bunyinya.
“Tengoklah
macam mana.” Murni masih bermain sorong tarik dengan jejaka itu.
“Ya ALLAH
ya TUHANku, semoga positiflah jawapanmu. Tolonglah hambaMU ini ya ALLAH!”
Tiba-tiba Firdaus bersuara sambil mengangkat kedua-dua tangannya seolah-olah
sedang berdoa.
Reaksinya
itu membuatkan Murni tergelak lantang.
“Heeeiii...
Fir! Tolonglah jangan berdrama kat sini. Kau tak malu ke semua orang pandang
kau tu?” Tingkah Murni dalam derai tawa yang masih bersisa.
Firdaus
hanya tersenyum lebar.
“Kenapa
pulak nak malu? Telefon tau, Murni!”
Murni
mengangguk. Dan Firdaus tersenyum puas sebaik-baik sahaja melihat anggukan
Murni itu. Dia berlalu pantas mengekori ketiga-tiga orang kawannya.
“KAK Ziha,
kenapa diam aje ni?” soal Murni ketika melihat Nur Naziha asyik mendiamkan diri
sahaja.
“Betul ke
Murni nak keluar dengan Firdaus tu malam ni?”
“Kalau
jawapannya iya, macam mana?”
Nur Naziha
mengeluh. Raut wajahnya menunjukkan yang dia jelas tidak suka mendengar jawapan
yang keluar dari mulut Murni.
“Kak Ziha
tak suka ke Murni keluar dengan Firdaus?”
“Ya, akak
kurang senanglah dengan Firdaus tu. Lagipun Murni dah lama tak jumpa dengan dia,
kan? Entah macam mana perangai sebenar dia agaknya. Murni nampak tak
kawan-kawan dia tadi? Semuanya berambut panjang.” Nur Naziha menyuarakan rasa
kurang senangnya.
“Kawan-kawan
dia aje yang berambut panjang. Rambut Firdaus tu tercacak macam duri landak.”
Murni ketawa kecil, sendirian.
“Agaknya
kawan-kawan Firdaus tu artis kut, kak? Artis kan suka simpan rambut panjang
supaya mereka nampak unik berbanding orang lain. Lagipun kita jangan cop
seseorang tu jahat sebaik aje tengok penampilannya. Kat dunia ni ramai jugak
yang segak bergaya tapi perangai macam hantu.” Bahas Murni seolah-olah membela
Firdaus dan teman-temannya.
“Akak
bukannya nak busy body tapi akak tak
nak Murni tersalah pilih kawan terutamanya kawan lelaki. Kelak menyesal
kemudian hari. Orang lelaki ni Murni, memang handal memujuk perempuan. Mereka
tahu hati perempuan ni cepat cair, mudah jatuh cinta. Lepas tu senanglah mereka
nak ambil kesempatan terhadap diri perempuan yang mencintai mereka tu.”
“Dari gaya
akak bercakap ni, macam pernah terkena aje?” Terpantul soalan itu dari mulut
Murni.
“Akak ada
pengalaman dikecewakan lelaki ke? Siapa lelaki yang dah kecewakan akak tu?
Tentu handsome kan? Yalah... Kak Ziha
ni kan cantik orangnya!”
Nur Naziha
tergamam.
“Errr...
akak bukannya merujuk tentang diri akak. Tapi ni pandangan akak secara umum
aje.” Dalihnya.
“Kak Ziha
pernah bercinta? Tu ke sebabnya akak jual mahal dengan Abang Azad?”
Nur Naziha
mula menggelabah setiap kali diajukan soalan itu. Dia segera menoleh jam di
lengannya.
“Murni,
jom! Dah lama kita kat sini.”
Murni
menggelengkan kepalanya.
“Kak Ziha
ni kan, selalu mengelak bila kita tanya bab hati dan perasaan ni.”
Nur Naziha
ketawa kecil. “Dah tentulah akak pernah bercinta, Murni. Tapi tu hanya cinta
monyet. Akak dah lupakan segalanya.”
“Handsome ke cinta monyet Kak Ziha tu?”
Wajah seseorang
tergambar di ruang ingatan Nur Naziha. Dia tersenyum, kelat. Namun senyumannya
tidak mampu ditafsirkan oleh Murni.
“Hmmm...
bolehlah.” Sahutnya perlahan.
Murni
tergelak besar. “Mesti handsome
jejaka tu kan? Ada macam Brad Pitt... Johnny Depp dan Remy Ishak tak?”
“Entahlah!”
“Siapa
namanya, kak? Ceritalah dengan Murni.”
“Si
Monyet.” Jawab Nur Naziha, acuh tak acuh.
Murni
berdekah.
“Tak baik
tau, akak ni! Kongsilah dengan Murni, siapa nama ex-boyakak tu?”
“Dahlah!
Akak malas nak ungkit kisah lama yang dah akak lupakan. Wajahnya pun akak dah
ingat-ingat lupa.” Dia berbohong kepada Murni walau hakikatnya seraut wajah itu
masih kebal dalam kotak ingatannya.
Murni
merenung lurus ke arah Nur Naziha. Dilihatnya wajah gadis itu serius sahaja.
Itulah reaksi Nur Naziha setiap kali diajukan persoalan cinta kepadanya.