Home Novel Cinta PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
PLEASE... JANGAN TACKLE AKU! (tajuk asal: MY GIRL)
SITI ROZILAH
15/11/2014 10:21:25
142,475
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

18

JARUM jam menuding ke angka 5.45 petang. Tuan Haji Saadun dan Lokman Azad masih lagi berkurung di pejabat. Di luar pula, Murni, Nur Naziha dan Hanim sudah bersiap sedia untuk pulang. Acapkali Murni menoleh ke arah jam berbingkai bulat yang melekap di dinding farmasi itu.

“Kenapa kau ni, Murni? Dah tak sabar nak keluar dating dengan buah hati ke?” Hanim mula bersuara.

Sengaja mencari pasal untuk kesekian kalinya dengan gadis itu. Ugutan yang terkeluar dari mulut Lokman Azad supaya mereka berdua berhenti bertelagah sejurus tadi bagaikan sudah terbang dari ruang ingatan. Sudah dilupakan!

“Eh, apa hal kau ni!” jerkah Murni.

“Yang kau sekejap-sekejap tengok jam tu, kenapa?”

“Eh, ni mata aku! Suka hati akulah nak tengok jam tu seribu kali pun. Yang kau sibuk-sibuk, apa hal?” Murni membalas.

Hanim tidak menjawab. Dia hanya menyengih bagaikan kerang busuk lalu mencapai sebuah kerusi dan duduk di belakang kaunter pembayaran.

“Apa agaknya yang bos-bos bincangkan kat dalam bilik tu, hah?” Murni merungut.

“Emm... jangan haraplah kita dapat baik awal. Selagi jarum panjang tu tak menuding tepat ke angka 12, jangan haraplah kita dapat keluar dari farmasi ni.” Hanim mencelah.

“Kak Ziha nanti balik dengan Murni ke?”

Nur Naziha mengangguk.

“Naik skuter?”

“Iya, naik skuterlah.”

Murni hanya menelinga perbualan mereka dan sesekali menjeling dengan bibir tercebik.

“Yalah, lupa pulak Anim yang Murni tu tak ada kuda.” Getus Hanim dengan nada perli.

“Kalau Murni ada kuda mesti Kak Ziha balik naik kuda kan?”

Kata-kata bodoh yang terkeluar dari mulut Hanim itu membuatkan Nur Naziha ketawa. Murni pula tercebik.

“Nasib baik Murni tak ada gajah. Kalau ada, Kak Ziha terpaksa naik gajahlah nampaknya!” tingkah Nur Naziha sambil menyambung gelak.

“Dah habis melalut?” Murni menyergah. Sakit hatinya mendengar dirinya diperli oleh kedua-dua orang temannya itu.

Nur Naziha segera menyentuh bahu Murni.

“Janganlah marah, Murni. Kami bergurau aje.” Getusnya, sementara Hanim hanya tergelak panjang.

Tiba-tiba kedengaran pintu pejabat Tuan Haji Saadun terkuak. Serentak itu tiga pasang mata menoleh. Wajah Lokman Azad terakam oleh mata mereka bertiga.

“Ziha, masuk sini kejap.” Panggil Lokman Azad.

Kemudian pemuda itu segera menghilangkan dirinya semula ke dalam bilik sebelum sempat Nur Naziha bertanya mengapakah gerangannya dia dipanggil masuk ke bilik itu. Berdebar dada Nur Naziha dipanggil masuk ke bilik Tuan Haji Saadun. Apa yang dimahu oleh Tuan Haji, bisik hatinya. Sebelum ini belum pernah sekalipun dia dipanggil masuk seorang diri ke bilik majikannya itu.

“Kak Ziha, bos panggil tu!” Murni mengingatkannya tatkala melihat dia masih tercegat di tempatnya.

“Apa yang Tuan Haji nak agaknya ya?” soal Nur Naziha sedangkan dia sendiri tahu baik Murni mahupun Hanim tidak tahu jawapan kepada soalan yang dilontarnya itu.

“Agaknya bos nak naikkan gaji Kak Ziha, kut?” Murni menerbak.

“Mungkin jugak nak naikkan pangkat Kak Ziha.” Sampuk Hanim pula.

“Apa-apa pun baik Kak Ziha masuk dulu ke bilik bos.” Hanim menggesa.

Nur Naziha mengangguk. Dia segera mengatur langkah ke bilik majikannya. Pintu bilik diketuk beberapa kali. Setelah mendengar suara Lokman Azad yang menyuruhnya masuk, barulah dia berani memulas tombol tembaga dan menolak daun pintu.

Dadanya semakin bergemuruh dengan debaran tatkala direnung tajam oleh kedua-dua orang lelaki yang berada di dalam bilik itu. Tuan Haji Saadun duduk di belakang meja kerjanya, sementara Lokman Azad duduk di depan ayahnya.

“Masuklah, Ziha. Kenapa tercegat aje kat situ? Sila duduk.” Kata Tuan Haji Saadun.

Nur Naziha tidak tahu di mana dia harus duduk di dalam bilik yang sempit itu. Jadi terpaksalah dia duduk di sebuah kerusi kosong yang terletak betul-betul di sebelah Lokman Azad.

Nur Naziha canggung dengan keadaan itu. Kedekatannya dengan jejaka itu sehingga dia dapat menghidu bau minyak wangi yang disembur Lokman Azad ke tubuhnya terasa menggetarkan perasaan. Bau wangian yang harum dan manis itu segera mengimbau memori silamnya bersama...

Argh!!!

“Awak terkejut ke kami panggil awak masuk ke bilik ni?” soal Tuan Haji Saadun.

Nur Naziha segera mengangguk. Memang pun dia terkejut. Tuan Haji Saadun cuma tersenyum.

“Kenapa Tuan Haji panggil saya, ni?” soalnya.

“Dah lebih empat bulan rasanya awak bekerja di sini kan, Ziha? Berapa gaji awak sekarang?”

“Gaji bersih saya setelah dipotong Socso dan KWSP adalah dalam RM700, Tuan Haji.”

“Selama 4 bulan ni saya dah menilai prestasi kerja awak dan saya sangat berpuas hati. Belum pernah sekalipun awak minta cuti. Oleh itu, saya nak bagitau awak yang hujung bulan ni saya bercadang untuk naikkan gaji awak sebanyak RM200. Jadi gaji bersih awak sekarang ialah RM900.”

“Iya ke, Tuan Haji? Syukur alhamdulillah di atas kurniaanNYA ini. Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak pada Tuan Haji.” Ucap Nur Naziha lembut.

“Hmm... ucapkanlah terima kasih pada Azad. Dia yang bagi cadangan supaya saya cepat-cepat naikkan gaji awak ni. Katanya, supaya awak tak cari kerja lain di luar sana.” Haji Saadun menyengih. Dia terlepas cakap sebenarnya, namun dia tidak peduli. Dia sengaja mahu melihat reaksi Nur Naziha.

Nur Naziha terkesima. Dia yang sudah sedia gabrah semakin tidak tentu arah. Namun, ditolehnya juga lelaki di sisinya. Mata yang bertentang lagi untuk kesekian kalinya menerbitkan resah di jiwa Nur Naziha. Dan, menerbitkan keinginan yang mendalam di hati Lokman Azad.

“Err... Ziha tak tahu nak cakap apa.”

“Ucapkanlah terima kasih. Mudah kan?” getus Lokman Azad, lembut sekali.

Nur Naziha mengangguk.

“Terima kasih, Abang Azad.” Kemudian, dia segera melarikan matanya dan menoleh semula ke arah Tuan Haji Saadun di depannya.

“Err... ada apa-apa lagi tak yang Tuan Haji nak cakap dengan saya?” soalnya.

Kalau boleh dia mahu segera meninggalkan bilik itu dan meninggalkan lelaki di sisinya. Dirinya terasa seolah-olah dikepung oleh Lokman Azad dengan renungannya yang memenjara. Dan dengan renungannya yang meresahkan. Dia betul-betul tidak selesa dengan keadaan itu.

Tuan Haji Saadun menggelengkan kepalanya.

“Saya tak ada apa-apa lagi nak cakap. Kamu, Azad? Ada apa-apa kamu nak cakap pada Ziha?”

“Hmm.... memang ada hal yang abang nak cakap dengan Ziha ni. Takut Ziha tak sudi aje.” Getus Lokman Azad dengan nada yang ragu-ragu.

“Ah, cakap ajelah, Azad.” Desak Tuan Haji Saadun.

“Kalau kamu tak lontarkan apa yang ada dalam dada kamu tu, mana kamu tahu jawapannya negatif ke positif.”

Dada Nur Naziha rasa hendak runtuh mendengar kata-kata Tuan Haji Saadun itu. Apakah yang hendak diluahkan oleh jejaka di sisinya?

“Ziha, ni abang nak tanya sikit.”

“Iya?”

“Esok hari Isnin, farmasi tutup. Abang ingat nak belanja Ziha makan tengah hari. Macam mana? Ziha setuju tak keluar dengan abang?”

“Err...”

Melihatkan gadis yang teragak-agak hendak menjawab itu, Lokman Azad teringin untuk mengucapkan ungkapan begini, “abang ikhlas nak keluar dengan Ziha, ni. Abang nak kenal Ziha dengan lebih rapat lagi. Tolonglah berikan persetujuanmu, duhai gadisku, kerana dirimu telah mula mengetuk pintu hatiku yang terkunci rapat selama ini.”

Namun begitu, dia tidak mampu meluahkannya.

Sebaliknya dia berkata, “kalau Ziha segan nak keluar dengan abang, ajaklah Murni sekali. Abang tak kisah. Kebetulan pula esok birthday abang.”

“Maaflah, bang. Ziha tak boleh nak janji. Manalah tau kalau-kalau Ziha ada hal lain pulak esok.” Nur Naziha menjawab.

“Hmm... kalau macam tu, lain kali ajelah.” Lokman Azad akhirnya mengalah.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, izinkan Ziha keluar.” Gadis itu bersuara.

“Tak ada apa-apa lagi. Awak boleh keluar.” Tuan Haji Saadun membenarkan.

Nur Naziha tidak menunggu lagi sebaik sahaja kebenaran itu terlontar dari mulut majikannya. Dia mencicit keluar. Namun, dia terkejut besar apabila melihat sesusuk tubuh asing berada bersama-sama dengan Murni dan Hanim. Ya ALLAH, kenapa Firdaus ni boleh singgah ke sini, soal hatinya.

Dia menjadi semakin serba-salah apabila ketiga-tiga pasang mata itu menjunam ke arahnya.

“Panggilan telefon yang akak jawab tadi daripada mamat ni ke?” suara Hanim mendahului sambil jari telunjuknya menuding ke arah Firdaus.

“Kenapa Kak Ziha kata ‘hantu’ yang telefon?”

“Anim, bila masanya pulak akak cakap macam tu? Yang cakap macam tu ialah...” Dia menuding jari telunjuknya ke arah bilik Tuan Haji Saadun tempat di mana Lokman Azad masih berada.

Seingat-ingatnya, bukan dia yang menyebut perkataan ‘hantu’. Tetapi perkataan itu muncul dari mulut Lokman Azad.

“Hantu? Kenapa Kak Ziha sanggup panggil Firdaus ni hantu?” sergah Murni tanpa usul periksa. Jelas wajahnya memaparkan rasa kurang senang.

“Sebab rambut saya yang tercacak-cacak ni ya, kak?” suara Firdaus pula menyapa telinganya. Penuh sinis.

“Err...” Nur Naziha tidak mampu menjawab sebab memang dia bersalah. Wajahnya mula berubah. Takut. Gentar.

“Kenapa Kak Ziha langsung tak bagitau Murni yang Firdaus ada call ke mari, cari Murni? Kenapa, kak? Akak cemburu ke? Kalaupun akak tak sukakan lelaki tapi janganlah buat Murni macam ni!” Suara Murni semakin meninggi. Sakit hatinya diperlakukan sebegitu oleh Nur Naziha.

“Akak minta maaf, Murni.” Suaranya bergetar.

Firdaus menarik tangan Murni membuatkan gadis itu menoleh ke arahnya. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Dahlah tu, Murni. Janganlah perbesarkan hal ni. Mungkin Kak Ziha ada alasannya sendiri kenapa dia buat semua ni. Janganlah buang masa kat sini lagi.”

Murni menghunjam renungan yang lebih berupa sebuah pemusuhan ke arah Nur Naziha sebelum melangkah laju mengekori Firdaus yang sedang bergerak meninggalkan ruang farmasi itu.

“Eh, Murni, kau nak ke mana dengan mamat tu? Hati-hati ya, Murni!” Hanim bersuara, mengingatkannya.

Murni tidak menjawab. Menoleh ke belakang pun dia tidak sudi. Berkeriut bunyi pintu farmasi tatkala dikuak Firdaus. Dan, Murni segera membolos keluar seolah-olah ingin segera meninggalkan ruang farmasi itu. Hanim yang ditinggalkan di belakang hanya mampu memandang sambil jungkit bahu.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.