Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
135,309
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

"KENAPA kau tak putus aje dengan dia? Ni nak tunggu dia lagi buat apa?"

Dalam kereta, Emily meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan Anom. Qayyum terang-terangan sudah menunjukkan 'belang'nya tetapi Anom masih berlembut dengan Qayyum. Kalau dia yang berada di tempat Anom, sudah lama Qayyum terima habuan setimpal dengan perbuatan curangnya itu. Budak Miza itu pun jangan harap dia akan lepaskan.

Anom tidak menjawab. Sengaja dia biarkan soalan Emily tergantung tanpa jawapan. Berat hati hendak berbincang tentang hubungannya dengan Qayyum. Otak dia tengah huru-hara sekarang ini. Hati pula masih berasap-asap. Silap-silap, orang di sebelahnya ini pula yang rentung dek bahang amarahnya.

"Kau masih sayangkan dia eh?" Emily menalakan soalan lagi kepada teman baiknya.

Anom menyepi namun otaknya bergerak macam roller coster. Betul ke dia masih sayangkan Qayyum? Anom berjeda lagi. Berfikir.

Ya, dia masih sayangkan Qayyum. Kalau tidak, dia tidak akan beri kata dua kepada Qayyum supaya membuat pilihan di antara dia dan Miza. Jauh di sudut hati, dia tetap mengharapkan Qayyum kembali kepadanya. Walaupun Qayyum sudah meluluhkan hatinya, rasa kasih kepada Qayyum tetap menggebu. Tidak mudah untuk dipadamkan rasa cinta itu sementelah Qayyum adalah cinta pertamanya. Bodohkah dia kerana terlalu setia kepada Qayyum?

"Biar ajelah dia tu. Malam ni plan kita on ke?" Malas menjawab soalan Emily, Anom menukar haluan perbualan ke topik lain. Mengingatkan Emily tentang janji mereka sebelum ini untuk keluar mencari hiburan malam.

"Kau masih nak keluar? Kau dah okey ke ni?" tanya Emily ragu-ragu. Tidak percaya begitu cepat Anom leraikan kekusutan fikirannya sedangkan tadi muka teman yang seorang itu monyok macam kehilangan jiwa.

"Nak kata okey tu memanglah tak okey. Tapi kalau aku duduk memerap aje kat rumah, lagi otak aku berserabut. Lebih baik aku keluar. Sekurang-kurangnya, terubat sikit hati aku yang sakit ni."

"Betul juga kata kau tu. Tak adalah kau nak ingatkan sangat si buaya tu. By the way, nak ajak Qay tak? Kan hari tu kita janji nak keluar dengan dia?" Kerana teruja, Emily langsung terlupa tentang Anom yang tengah berperang dengan Qayyum.

"Kau ni betul ke tak? Takkan nak ajak dia? Kita berdua ajelah!" Anom menjegilkan mata ke arah Emily.

Sakit betul hati Anom dengan Emily yang langsung tidak peka dengan perasaannya. Di saat-saat begini, Emily masih mahu mengaitkan dia dengan Qayyum. Tidak fahamkah Emily yang dia tengah 'berpantang' bercakap dengan Qayyum selama dua hari? Kerana mulut Emily, tidak pasal-pasal dia diketawakan Qayyum kerana menjilat ludah sendiri. Huh!

"Oops...sorry! Lupa." Emily menayang giginya sambil menepuk dahi menunjukkan rasa bersalah. Macam manalah dia boleh terlupa yang kedua-dua sahabat baiknya itu sedang berkonfrontasi? Memang patut benarlah Anom mengamuk.

Anom menjuihkan bibir. Dia faham mengapa Emily boleh terbabas menyebut nama Qayyum. Selama ini mereka bertiga kerap keluar berhibur bersama. Jika salah seorang tidak turut serta, aktiviti malam mereka terasa tidak sempurna. Jadi, dalam hal ini bukan salah Emily jika membabitkan Qayyum kerana Qayyum sudah lama menjadi pelengkap hidup mereka bertiga.

Kereta Mazda 3 kepunyaan Emily berhenti di hadapan pondok menunggu bas di hadapan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan. Tempat Anom selalu menunggu papa atau mama menjemputnya pulang ke rumah. Anom membuka pintu kereta dan terus keluar. Pintu kereta ditutup perlahan.

"Kau tak nak aku hantar balik ke?" tanya Emily, menjengukkan kepala dari tingkap yang sudah diturunkan cerminnya.

"Papa aku akan jemput nanti," jawab Anom, tersenyum lemah.

"Kalau macam tu, aku chow dulu!" Emily melambai.

"Okey!" Anom mengangguk dan melambai sama. Sedetik kemudian, menderum bunyi kereta Emily meninggalkan pondok menunggu bas.

Anom melangkah ke bangku panjang. Belum sempat dia menjatuhkan punggung, kedengaran satu suara memberi salam kemudian memanggil nama penuhnya. Lantang nadanya. Pantas Anom menoleh ke sebelah kanan. Terbeliak matanya melihat Habib sedang bersandar di badan kereta Audi R8 berwarna putih dengan kedua belah tangannya menyeluk poket seluar. Terus dia tidak jadi hendak duduk. Berdiri terpacak macam tiang telefon di hadapan bangku panjang dengan mata bulat memandang Habib.

Habib menggamit Anom agar datang mendekatinya namun Anom hanya endah tidak endah. Sudahnya, Habib yang melangkah mendapatkan Anom. "Assalamualaikum, Cik Anom Sufi," sapanya apabila sudah berhadapan dengan Anom.

"Waalaikummussalam," balas Anom, pendek. Dibuang pandangannya ke sebelah kanan. Dua tiga orang siswi yang turut berada di bus stop itu tertoleh-toleh memandang Habib. Namun, Anom langsung tidak berasa pelik jika mata mereka tidak lepas-lepas merenung Habib. Lelaki itu tampan sangat hari ini dengan berseluar panjang hitam dan berkemeja biru muda yang lengannya sudah dilipat sampai ke siku. Datang pula dengan kereta mewah yang mencolok mata. Oleh itu, adalah sesuatu yang lumrah apabila mata orang perempuan terbeliak-beliak memandangnya.

"Sufi apa khabar?" Lembut mata Habib menikam anak mata Anom. Bibir pula pantas menghadiahkan Anom senyuman bergulanya.

Cepat-cepat Anom mengalihkan pandangan dari muka Habib. Soalan Habib tidak dijawab. Aduhai...ini yang dia lemah bila berhadapan dengan Habib. Mengapalah Habib suka sangat buat jantungnya berlari kencang dengan senyuman semanis madunya? Mengapalah Habib gemar benar buat dia sesak nafas macam orang terkena asma? Haisy!

"Baru habis kelas?" Habib bertanya lagi. Muka Anom Sufi ditenungnya lama-lama. Macam ada magnet yang membuatkan pandangannya melekat di situ.

"Hmm...hmm. Datuk buat apa kat sini?" tanya Anom tanpa memandang muka Habib.

"Hei...kan abang dah cakap tadi, abang nak jemput Sufi? Dah lupa eh? Pelupalah, Sufi ni. Macam mak nenek." Habib gelak-gelak kecil mengusik Anom.

Anom mencebirkan bibir. Geram mendengar Habib mengata dia macam mak nenek. "Saya tak cakap saya nak balik dengan Datuk. Lagi pun papa tak ada call pun suruh saya balik dengan Datuk. So, jangan memandai nak buat cerita," tungkas Anom jengkel.

"Memanglah papa tak ada beritahu Sufi sebab dia dah beritahu abang. Sufi tak percaya ke? Nak abang call papa sekarang suruh beritahu Sufi?" Habib terus menyeluk poket kemejanya mengeluarkan IPhone 5nya.

"Datuk ni dah kenapa?" tanya Anom tiba-tiba. Bercekak pinggang. Sakit telinga dia bila Habib masih memanggil papanya dengan panggilan papa.

"Kenapa apa pulak ni? Kan Sufi tak percaya kat abang? Ni abang nak call papalah suruh confirmkan dengan Sufi."

"Boleh tak Datuk berhenti panggil papa saya papa? Bila masa pulak mama saya beranakkan Datuk?" bentak Sufi dengan mata mencerlung memandang Habib. Geram!

Ketawa besar Habib mendengar kata-kata Anom. Meleret-leret tawanya sampaikan mukanya yang putih kemerahan jadi merah padam. Betul-betul sudah macam udang dipanggang dalam microwave.

Bertambah sakit hati Anom Sufi melihat gelagat Habib. Lebih-lebih lagi bila budak-budak perempuan yang duduk di hujung bangku panjang sudah tersengih-sengih memandang tingkah laku mereka. Bengangnya dia! Hendak sahaja dia sepak kaki Habib untuk menyedarkan orang tua itu tentang situasi mereka sekarang. Apa yang digelihatikan sangat, dia pun tidak faham. Bukannya dia buat lawak lucu macam di dalam program Maharaja Lawak sampaikan Habib boleh ketawa macam tidak ingat dunia.

"Boleh tak Datukberhenti ketawa? Suka sangat ke dapat perhatian orang?" Anom naik angin. Suaranya sudah naik satu oktaf. Muka putih kuning dia pun sudah berjangkit muka Habib. Merah semacam.

Tawa Habib terhenti tetapi pipi masih mengembung macam orang sedang meniup belon. Sedaya upaya dia menahan gelak daripada meletus keluar. Berputar kepalanya memandang keliling. Baru dia perasan dia kini menjadi tumpuan gadis-gadis manis di situ. Terus dia tersengih lebar menghamparkan perasaan malunya.

"Salah Sufi juga ni. Sufi yang buat abang dapat perhatian orang," kata Habib perlahan di telinga Anom.

"Kenapa salah saya pulak?" Anom menjegilkan mata. Tidak gentar langsung berlawan pandang dengan Habib.

"Sebab Sufi lucu. Tengok Sufi dengan bibir terherot macam tu, abang nak tergelak. Bila Sufi besarkan mata, abang rasa terhibur. Sufi lucu dengan cara Sufi sendiri. Sufi selalu buatkan abang selalu nak dekat dengan Sufi." Suara Habib kian perlahan. Kian romantik. Sepasang mata helangnya pula kian tajam mengepung anak mata Anom. Menunggu reaksi si gadis yang dua tiga hari ini seringkali datang mengusik lenanya.

Terkedu Anom Sufi melihat tingkah Habib yang berubah luar biasa. Bisu terus bibir dia dengan muka bertukar merah jambu. Alahai...malunya dia bila Habib buat suara macam tengah bercakap dalam kelambu. Apa maksud Habib berkata begitu? Sungguh dia keliru.

"Abang nak bongkarkan pada Sufi satu rahsia," sambung Habib. Semakin bersemangat meneruskan usikan tatkala menatap wajah putih gebu itu sudah merona merah jambu. Manisnya dia!

Anom menundukkan kepala. Cuak mendengar Habib menyebut perkataan rahsia. Janganlah Habib sebut perkataan pelik-pelik untuk menjatuhkan aibnya. Memang dia akan menjerit macam Tarzan nanti.

"Abang memang sengaja panggil papa Sufi tu, papa. Untung-untung papa Sufi betul-betul akan jadi papa abang suatu hari nanti kan?" Habib mengangkat-angkat kening sambil tersengih. Melihat muka Anom yang merahnya berganda-ganda, ketawanya lepas.

"Huh! Malas melayan orang tua merepek," dengus Anom lalu melangkah laju meninggalkan Habib masih berdiri terpacak di dalam bus stop.

Ke mana langkahnya? Anom sendiri tidak pasti. Hendak menumpang kereta Audi R8 tu? Tidaklah jawabnya. Tuan punyanya langsung tidak mengajak. Dia pun tidak sudi kerana masih tunjuk protes atas lawak bodoh Habib tadi.

"Sufi nak ke mana tu?" Habib mengejar Anom dari belakang. Selangkah sahaja di belakang Anom, dia terus menarik tali beg galas gadis itu.

Terhuyung-hayang Anom macam orang mabuk. Mujur dia tidak tergolek ke tanah. "Datuk ni dah kenapa tarik-tarik orang ni! Nasib baik saya tak terjatuh tadi!" Jeritan Anom bergema. Siswa-siswi di bus stop yang semakin ramai sudah pandang-memandang mendengar dia menjerit mengalahkan Tarzan. Namun, dia buat tidak peduli. Memang nahas kalau suka cari pasal dengan Anom Sufi. Dapat balalah jawabnya.

"Apa salahnya kalau Sufi jatuh? Abang boleh sambut. Sufi pun bukannya berat sangat. Macam roti Gardenia aje," jawab Habib selamba sambil menayang giginya yang putih macam model iklan ubat gigi Colgate.

"Eeii...!" Anom menghentak-hentakkan kaki ke tanah. Satu kebiasaan yang dilakukannya jika terlampau marah. Ada ke dia disamakan dengan roti? Hisy! Lelaki ni dah tak betul agaknya! Hati Anom memekik.

Sedang Anom sibuk 'berperang' dengan Habib, muncul motosikal Ducati 848 berwarna kuning, laju meluncur di hadapannya. Qayyum! Anom berdetik. Matanya bulat memandang ke arah Qayyum.

Namun, hati yang berbunga terus layu tatkala terpandangkan gadis yang melekap di belakang Qayyum. Miza! Kepala yang terasa lapang tadi kembali berdenyut apabila terlihat Qayyum berkepit dengan Miza. Pedihnya hati dia menelan semua itu. Tidak perlu menanti selama dua hari, dia bagaikan sudah dapat mengagak siapa pilihan Qayyum. Pastinya bukan dia.

Sudahnya, Anom jatuh terduduk di jalan aspal. Longlai seluruh badan.

"Sufi!" jerit Habib lantas berlari laju mendapatkan Anom Sufi.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.