Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
135,319
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

TERKEJUT Syahid sebaik sahaja papa menyampaikan berita gempar mengenai hubungan Anom Sufi dan Habib. Lebih membuatkan hatinya teruja apabila papa menyebut tentang majlis pertunangan adiknya dengan Habib yang bakal berlangsung sedikit hari lagi. Tidak henti-henti dia tersengih mendengar cerita papa. Gembiranya bukan main. Tidak lama lagi dia bakal mendapat adik ipar dan orangnya pula bukan calang-calang. Jutawan muda! Nampaknya bakal murahlah rezeki mereka sekeluarga dalam bidang perniagaan dengan kehadiran Habib sebagai ahli keluarga.

"Bila majlis sarung cincinnya tu, pa?" tanya Syahid yang masing belum hilang rasa terujanya.

"Kata Habib tadi, sebulan lagi. Keluarganya akan datang meminang Ann dan mereka akan terus bertunang pada hari yang sama. Kiranya buat majlis dua dalam satu. Senang katanya. Tak payah nak datang dua tiga kali," jelas Datuk Adman sambil tersenyum.

Datin Raihana yang duduk di samping suaminya, turut tersenyum lebar. Sudah tergambar di matanya segala persiapan yang perlu dibuat. Semuanya perlu dirancang dengan rapi. Bukannya boleh dibuat sambil lewa. Maklumlah, bakal menantunya itu seorang ahli perniagaan yang disegani di seluruh negara. Malu jika majlis itu nanti ada cacat dan celanya.

"Macam mana pendapat Hana?" Datuk Adman meminta buah fikiran isterinya.

Bercempera angan-angan manis Datin Raihana mendengar soalan suaminya. "Pendapat apa, bang?"

"Hana setuju ke kalau majlis tu nanti kita buat dua dalam satu?" jelas Datuk Adman lebih terperinci.

"Hana lebih suka macam tu, bang. Tak banyak kerja. Memanglah perkara tu melanggar adat, tapi untuk memudahkan kita, tak salah kalau kita buat. Betul ke Ann dah setuju?" tanya Datin Raihana pula. Bimbang sangat jika Anom masih bersikap 'atas pagar'. Maklumlah, ianya melibatkan yang empunya diri. Buatnya tuan punya badan masih ragu-ragu, apa yang hendak dikata? Karang jadi pula topik hangat dalam akhbar tentang pengantin lari dari rumah.

"Tentulah Ann setuju. Kan dia nak kahwin dengan buah hati dia?" Datuk Adman ketawa kecil. Dia tidak hairan jika isterinya risaukan reaksi Anom. Anak perempuannya itu kan lain daripada yang lain? Memang sejak dulu budak itu alah benar dengan topik kahwin-kahwin ini. Pelik juga memikirkan persepsi Anom tentang perkahwinan sudah berubah. Mungkin aura Habib cukup kuat sehingga mampu membuatkan Anom terbuka hati untuk berumahtangga.

Terpegun Datin Raihana mendengarnya. Anom buah hati Habib? Susahnya dia mahu percaya!

"Bila masanya Ann bercinta dengan Habib, pa?" celah Syahid yang turut mencerlung biji mata mendengar jawapan papa. Secara tidak langsung dia sudah menyuarakan gejolak hati mamanya yang ingin tahu lebih lanjut kisah percintaan Anom dan Habib. Tidak kedengaran langsung desas desus mereka bercinta, tiba-tiba sahaja mahu berumahtangga. Siapa yang tidak hairan?

"Entah. Papa pun tak tahu bila masanya mereka mula bercinta. Sebelum ni Habib ada minta nombor telefon Ann daripada papa. Kadang-kadang, Habib minta izin papa untuk jemput dan hantar Ann balik rumah. Papa ingatkan Habib cuma anggap Ann sebagai adik aje. Yalah, Ann tu kan jauh sangat beza umurnya dengan Habib? Tak sama pulak perangainya dengan perempuan lain. Jadi, bila Habib kata nak kahwin dengan Ann, papa memang terkejut sangat," terang Datuk Adman.

Bait-bait kata papa yang di hujung-hujung itu membuat benak Syahid berputar ligat mengupas persoalan. Ada sesuatu menjengah ruang akalnya. Sudah tentulah ianya melibatkan adik kesayangannya. "Papa tak anggap perkara tu pelik ke?" tanyanya, teragak-agak.

"Apa benda yang peliknya, Syahid?" Datin Raihana pula mencelah.

Sejemang Syahid terdiam. Bimbang juga untuk menyatakan apa yang terlintas di otak benaknya. Risau dikatakan terlampau berfikiran pesimistik.

"Tak adalah, ma. Syahid cuma terfikir sesuatu. Kenapa dalam ramai-ramai perempuan, Habib pilih Ann sedangkan dia boleh pilih perempuan yang lebih baik daripada Ann? Kalau orang macam dia tu, berduyun-duyun perempuan datang himpit. Ann tu kalau dibandingkan dengan perempuan-perempuan yang Habib jumpa hari-hari dah macam seketul garam kat tengah laut aje, ma. Lelaki lain tak pandang pun Ann tu." Sudahnya, Syahid lahirkan juga apa yang melingkari ruang pemikirannya.

Terpanar Datuk Adman. Terkesan juga penjelasan Syahid di hatinya. Memang dia tidak terfikir langsung hal itu. Dikala Habib memohon keizinan untuk berkahwin dengan Anom, tidak pula dia bertanya apa-apa tentang perasaan Habib kepada anak daranya itu. Entah sayang entah tidak Habib kepada Anom. Entah-entah Habib punya muslihat tersendiri untuk berkahwin dengan Anom. Fikiran Datuk Adman pula sudah meracau bukan-bukan akibat dirasuk kata-kata Syahid tadi.

"Papa tak tahu apa perasaan Habib pada Ann tapi kata Habib hari tu, dia ikhlas nak kahwin dengan Ann. Dia berjanji akan jaga dan bimbing Ann baik-baik. Papa pegang janji dia dan papa harap dia akan bahagiakan hidup Ann." Itu sahaja yang boleh dijawab Datuk Adman bagi menjawab persoalan yang dibawa Syahid.

"Cuba Syahid jangan fikir bukan-bukan. Tentulah Habib nak kahwin dengan Ann sebab dia sayang dan cintakan Ann. Memanglah Ann tak pandai bergaya macam perempuan lain tapi kalau hati dah cinta, mata tentu tak pandang semua tu. Sebab tu orang kata cinta tu buta." Datin Raihana pula berhujah, membela Habib dalam diam.

Anom yang sedang berdiri terpacak di atas tangga mencebik bibir mendengar ujaran mama. Habib cintakan dia? Huih....memandai saja mama buat cerita. Entah betul entah tidak Habib sayang dan cintakan dia. Dia, bakal isterinya pun tidak pernah mendengar ucapan cinta keluar dari mulut Habib inikan pula mama yang baru sekali dua bertemu lelaki itu.

Namun, Anom Sufi mengetap bibir mengingati kata-kata Syahid tadi. Syahid mengibaratkan dirinya macam seketul garam di tengah lautan. Apa maknanya tu? Apa yang Abang Syahid cuba sampaikan? Otak mendapnya ini bukannya faham sangat maksud perumpamaan seperti itu namun dia tahu ia bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Sudah tentulah maknanya menjurus kepada sesuatu yang tidak elok. Hatinya sudah libang libu memikirkannya.

"Hah...dah pakai cantik-cantik ni Ann nak ke mana?" Datin Raihana tiba-tiba menyergah. Bulat matanya tatkala terpandangkan Anom yang sedang berdiri macam tiang telefon di tepi tangga.

"Err...Ann nak keluar kejap." Anom tergagap-gagap. Maklumlah, dia disergah dikala dia belum bersedia. Nyaris tidak keluar perkataan bukan-bukan dari mulutnya tadi. Dia ini kalau bab melatah, boleh tahan juga.

"Yalah...Ann nak ke mana?" ulang Datin Raihana.

Anom berjeda sesaat dua. Mata berkalih dari muka mama ke muka papa. Kemudian berpindah ke muka Syahid. Selepas itu ke muka papa semula. Menatap muka papa yang serius dan tegang macam hendak marah, hatinya terasa seram sejuk. Rasa hendak 'terkucil' pun ada. Alahai...macam mana mahu melepasi pemeriksaan 'imigresen' kalau pegawainya awal-awal sudah curiga semacam? Nampak gayanya, tidak dapatlah dia lepaskan gian ke kelab malam ini.

"Err...Ann nak ke kolej. Ada group discussionmalam ni." Terpaksalah Anom jual temberang untuk mengelabui fikiran papa dan mama. Idea menipu ini sudah lama dia rancangkan dengan Emily. Malam ini dia cuba praktikkan. Semoga dia tidak kecundang. Dia menghela nafas panjang menanti jawapan mama.

Datuk Adman memandang muka jam besar di dinding. Hampir ke pukul 9.30 malam. Sepasang keningnya sudah bercantum. Kerutan di dahi berlapis-lapis. "Dah lewat ni, Ann. Betul ke Ann ada discussion? Ann jangan nak tipu papa." Dia naikkan jari telunjuk, memberi amaran kepada anak gadisnya yang selalu punya banyak helah.

"Betul, pa. Memang mula lewat sebab nak tunggu kawan-kawan dari grup satu lagi habis tutorial," hujah Anom dalam fikiran yang kelam-kabut. Hentam sahajalah jawapan apa pun asalkan boleh diterima akal. Dia pun satu. Kalau sudah tahu papa cerewet begini mengapalah dia tidak keluar awal-awal tadi? Huh...memang mendap betul otaknya ini.

"Ke Ann nak merayap ke tempat lain? Jangan nak cari pasal, Ann. Ann tu dah nak jadi isteri orang." Datin Raihana mula hendak memetir.

Anom mencebik. "Eleh...masuk meminang pun belum," sahutnya dengan suara perlahan.

"Ann...." Suara Datuk Adman meleret. Mata mencerlung macam mata ikan jerung memandang Anom.

Anom sudah mengetap bibir. Apabila suara papa sudah naik satu oktaf begitu, dia faham maksudnya. Tanda amaran tahap jingga tu!

"Ann kena belajar duduk rumah. Jangan asyik nak jadi kutu embun. Tak lama lagi nak jadi isteri orang. Malu nanti dengan keluarga Habib. Mereka tu orang baik-baik. Habib pun dah pesan dengan papa supaya tengok-tengokkan Ann." Datuk Adman menyambung sesi ceramah kepada anaknya.

Habib berpesan supaya papa tengok-tengokkan dia? Mata Anom mula mengecil memandang papa. Oh...patutlah dua tiga menjak ini papa sudah mula mengawal pergerakannya. Itu atas arahan Habib rupa-rupanya. Huh! Habib memang tidak patut. Belum berkahwin lagi dia sudah kena 'king control'. Kalau sudah berkahwin kelak, pasti dia akan terus hilang kebebasan diri. Seperti dibelenggu dengan rantai besi.

"Ann ni bila nak ubah perangai? Dah nak jadi isteri orang dah, Ann...cuba-cubalah ubah perangai tu sikit. Cuba ikut perangai Abang Syahid ni, tak ada pun keluar sampai jauh malam. Ingat, Ann tu perempuan. Apa-apa jadi kat Ann nanti, mama dan papa yang susah," leter Datin Raihana.

Anom Sufi merengus. Lebih-lebih lagi apabila terpandangkan muka Syahid yang tersengih bangga mendengar pujian mama. Kembanglah hati Abang Syahid. Hisy! Boleh pula mama membanding-bandingkan dia dengan Abang Syahid? Dia dengan Abang Syahid memanglah macam langit dan bumi. Abangnya itu pemalu sedikit orangnya. Mana sama dengan dia yang terlebih peramah dan suka bersosial ini.

"Tapi Ann tak tipu papa. Memang Ann ada discussion malam ni. Kalau papa tak percaya, papa boleh call Emil. Atau kalau tak percaya juga dengan Emil, papa boleh call Zaidi." Anom mengambil langkah berani mati dengan menyebut dua nama teman sekelas yang papa kenali. Tujuannya hanya sekadar mahu meyakinkan papa. Harap-harap janganlah papa terfikir untuk mengikut cakap dia. 'Kantoi' dia kalau papa benar-benar menelefon Zaidi. Kalau Emily, dia tidak risau sangat. Pandai-pandailah Emily kelentong papa.

Anom mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluar dan mengunjuknya kepada papa. Ditayangnya muka 200% yakin di hadapan papa. Di hadapan papa dia kena tunjuk berani. Usah pengecut macam tikus. Barulah papa percaya dengan autanya.

Datuk Adman menggeleng kepala. "Tak mengapalah, Ann. Papa percayakan Ann. Ann boleh pergi discussion tu. Nak suruh papa hantar ke?" Datuk Adman beri kata putus. Menatap muka Anom yang bersungguh benar, dia terus percaya. Dia pun letih mahu terus bersoal-jawab dengan Anom.

Lega Anom mendengarnya! Tidak sangka papa baik hati sangat malam ini. Tidak perlu dia bersusah-payah menghabiskan liur memujuk papa.

"Eh...tak apalah, pa. Ann dah janji nak pergi dengan Emil. Kejap lagi Emil datang jemput Ann kat rumah." Cepat-cepat Anom menjawab begitu. Cepat-cepat juga dia bangun dari kerusi dan melangkah ke pintu. Tidak mahu berlengah-lengah. Di kiri kanan papa kan ada penasihat peribadi? Tidak mustahil keputusan papa boleh berubah sekelip mata apabila ada yang jadi batu api.

"Jaga diri baik-baik, Ann. Lepas habis discussion terus balik. Jangan nak merayap ke tempat lain," pesan Datin Raihana dengan muka berkerut dan mata terjegil. Ketara benar reaksi tidak puas hatinya dengan keputusan si suami membenarkan anak yang banyak tipu muslihat ini keluar rumah.

"Hmm...yalah." Sambil lewa sahaja Anom menjawab. Dia sudah tidak ambil pusing kata-kata mama. Apa yang penting, kebenaran papa sudah dia perolehi. Sekejap lagi dapatlah dia lepaskan gian menari dan dia akan goyangkan badan sampai pagi. Pedulilah apa yang papa, mama, Abang Syahid dan Habib akan kata.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.