Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
135,300
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

PUKUL sepuluh malam Emily tiba di rumah Anom Sufi. Hon kereta dibunyikannya bertalu-talu memberi petanda dia tidak mahu lama menunggu. Bingit telinga orang yang mendengarnya. Mujur jiran sebelah menyebelah tidak mengamuk sehingga mengangkat batang penyapu.

Anom Sufi yang terlambat dan hanya sempat bersiap ala kadar, terus berlari laju menuruni anak-anak tangga menuju ke bawah. Dia tidak boleh lambat. Dia tahu sangat perangai Emily. Pantang Anom terlambat sedikit, mulut Emily akan meletup lebih hebat daripada bom atom. Naik bernanah telinga mendengarnya.

"Bibik! Nanti pesan kat mama dan papa, saya keluar dengan Emil!" Anom melaung ke arah Bibik Arti, pembantu rumahnya. Belum sempat Bibik Arti membuka mulut, berdesup Anom hilang dari mata.

Melopong mulut Bibik Arti melihat fiil Anom. Orang lain ketika mentari sudah bersemayam, sibuk bersiap menunaikan ibadah, tetapi gadis ini tidak sabar-sabar ingin berkelayapan. Solat maghribnya ke 'laut', solat isyaknya ke 'perigi buta'.

Ada kalanya, Bibik Arti bersimpati dengan anak tuan rumahnya ini. Hidup macam orang hilang arah walhal masih punya keluarga sempurna. Hendak ditegur, dia hanya pembantu rumah. Siapa yang mahu mendengar suaranya? Namun, yang peliknya, mama dan papa Anom sendiri memejamkan mata melihat perangai anak gadisnya itu. Dibiarkan sahaja Anom yang masih muda keluar berpeleseran tidak tentu hala dan hilang pedoman menempuh arus kehidupan. Hmm...mungkin sudah nasib Anom lahir dalam keluarga yang tidak menitik beratkan soal agama.

"Lambat!" Emily sudah memuncung itik sebaik sahaja Anom menghenyakkan punggung di sebelahnya.

"Alah...lambat sikit aje. Dah tak cukup kaki aku berlari tahu tak? Dah putus nafas aku ni," tingkah Anom dengan dahi berkerut.

"Tulah... siapa suruh kau lambat? Membuta aje kerjanya. Dah tu memang hobi kau kan?" perli Emily yang memang hafal sangat dengan perangai Anom. Pantang ada masa terluang, Anom mesti buat tahi mata. Jika Anom setakat tidur-tidur ayam, tidak mengapa. Ini tidak, senapang gajah meletup di telinganya pun belum tentu Anom buka mata.

"Aku tidur kejap ajelah..." Kini giliran Anom pula buat muncung itik. Dia tidak puas hati dengan tuduhan Emily. Sedap sahaja mulut Emily mengata hobinya suka buat tahi mata. Tetapi, pulang ke rumah selepas dihantar Habib tadi, dia memang terlelap sekejap. Otak yang huru-hara mengenangkan Qayyum membuatkan perasaannya tertekan. Itu yang membuatkan dia mencari alternatif lain untuk menstabilkan fikiran.

"Hopefullymalam ni jalan clear. Lecehlah kalau sampai lambat. Sure kena beratur panjang," rungut Emily sambil menurunkan brek tangan.

"Kita nak ke mana malam ni?" tanya Anom, memahami rungutan Emily. Jika waktu sudah melewati angka 11.00, kelab malam akan sesak dengan pengunjung. Kejanglah kaki mereka kerana terpaksa beratur panjang untuk masuk ke dalam.

"Zass." Emily menjawab sambil lewa.

Anom mengangguk. Dia tahu itu memang kelab kesukaan Emily. Kesukaan Qayyum juga. Ah! Qayyum lagi!

"Parentskau tak bising ke kau keluar malam ni?" risik Emily ketika kereta yang dipandunya sudah memasuki lebuhraya untuk ke pusat bandar.

"Aku tak beritahu mama dan papa aku yang aku nak keluar malam ni. Tadi dia orang dalam bilik. Aku cuma pesan kat bibik. Tapi rasanya dia orang tak kisah kot. Kenapa kau tanya? Kau kena bebel dengan parents kau lagi ke?" Anom memantulkan pertanyaan kepada Emily. Keningnya bertaut.

"Hmm....untunglah kau. Aku ni bukan kena bebel aje. Kena tembak dengan peluru berpandu, bom atom, senjata kimia semuanya ada. Hisy! Bosan akulah. Rasa nak lari dari rumah aje." Emily melepaskan keluhan berat sambil memandang keluar tingkap kereta.

Anom Sufi menahan gelak yang mahu tersembur dari rengkung. Kadang-kadang, Emily suka buat lawak bersahaja macam itu. Pun begitu, mendengar ayat terakhir Emily tadi, dia terus menelan air liur. Nak lari dari rumah? Biar betul Emily ni. Seriau hati dia dibuatnya.

Anom Sufi tahu, Emily seringkali rasa tertekan dengan sikap mummy dan daddynya. Mummy dan daddyEmily agak tegas dalam mendidik anak-anak. Bukan macam papa dan mama Anom yang selalu bersikap 'tidak kisah'.

Kalau bab keluar malam, Emily tidak dibenarkan keluar dengan orang sebarangan. Hanya boleh keluar dengan orang yang dikenali keluarganya dan Anom termasuk dalam senarai. Itu pun keluar merambu dengan bersyarat, perlu sampai di rumah sebelum pukul 12.00 malam. Macam Cinderella. Namun, apa yang menjadi masalah, Emily selalu lupa had waktu pulang sehingga terlajak ke pukul 2.00 atau 3.00 pagi. Macam mana mummy dan daddynya tidak mengamuk?

"Habis...kau cakap apa dengan daddy kau?" tanya Anom. Ingin tahu tindakan teman baik yang dikenalinya sebagai seorang yang suka memberontak.

"Aku lawan balik. Aku cakaplah yang aku lewat balik pun bukannya aku mabuk-mabuk. Lagi pun aku keluar dengan kau, bukannya aku keluar dengan jantan tak senonoh. Habis aje cakap, aku terus cabut. Mummy aku sambung berleter entah apa-apa. Aku malas nak dengar dah. Sakit telinga aku ni." Emily merengus. Sebiji macam suara kerbau mendengus pula di telinga Anom.

Anom Sufi mengerling ke muka keruh Emily. Dalam diam, dia bersetuju dengan luahan hati temannya yang seorang ini. Dia dan Emily keluar ke kelab sekadar mencari hiburan. Setelah penat terkinja-kinja dan badan sudah 'harum' berbau peluh, mereka akan pulang ke rumah. Tidak pernah sekali pun mereka sentuh minuman keras. Lebih-lebih lagi pil khayal.

Bukan tiada yang menggoda suruh mengambil benda-benda haram itu, tetapi mereka berdua selalu berwaspada. Bila berada di kelab hiburan, dia dan Emily saling menjaga antara satu sama lain. Tidak ketinggalan Qayyum. Bila berada di sana, Qayyum yang selalu menjadi bodyguard mereka.

Tetapi itu cerita musim lalu. Sekarang, mungkin Qayyum sudah tidak berminat menjejakkan kaki ke kelab malam kerana sudah tersangkut dengan gadis bertudung. Nampaknya, mulai malam ini dia dan Emily perlu menjaga diri sendiri.

"Dah...jangan fikir-fikir lagi. Kau pekakkan telinga aje dengan cakap-cakap mummykau tu. Biasalah orang tua, bukannya faham keinginan remaja macam kita ni. Yang penting malam ni kita enjoy!" Anom cuba memujuk Emily biarpun malam ini hatinya sendiri bergalau pilu dengan moodyang sudah tenggelam ke lautan biru.

MELANGKAH sahaja ke dalam The Zass, kelab malam terkenal di ibu kota, pengunjung sudah ramai. Muzik rancak berkumandang memecah gegendang telinga. Di lantai tari, penuh dengan manusia pelbagai bangsa yang gila menari. Kebanyakan mereka remaja macam Anom dan Emily. Had kelayakan umur untuk masuk ke kelab malam ialah 18 tahun. Tetapi ada yang kelihatan macam gadis di bawah umur. Tetapi, apa yang hendak dihairankan? Ada duit, semua yang 'haram' boleh jadi 'halal'.

Pakaian masing-masing pula usah cerita. Kebanyakan daripada pengunjung perempuan memakai gaun singkat sehingga menampakkan pangkal paha dan lurah dada. Macam sengaja hendak menayang 'harta benda' yang ada.

Bagi lelaki, cara berpakaian hampir sama, bergaya kasual. Tidak ada lelaki yang datang ke situ berpakaian seminimum mungkin macam kaum perempuan. Pelik. Macam diskriminasi pula. Tetapi, kalaulah ada, mereka mungkin sudah dihalau keluar oleh bouncerkerana disangka gila.Anom pun tidak akan menjejakkan kaki lagi ke sini jika ada lelaki yang sudah 'putus urat kepala' macam itu. Buat tegak bulu roma dia sahaja.

Anom Sufi pula masih dengan cara berpakaiannya yang biasa-biasa. Tetap dengan jeans ketat dan T-shirtnya. Rambut pendek perangnya disikat kemas-kemas. Dia memang sangat kontra dengan Emily yang suka bergaya seksi. Justeru, dia tidak pernah mendapat perhatian lelaki berbanding Emily yang lebih menggoda. Ah! Anom Sufi pun tidak suka lelaki himpit-himpit dia macam mereka himpit Emily. Lemas!

"Let's get into the crowd!" Emily terus mengajak. Badannya sudah bergoyang-goyang dan kepala terangguk-angguk mengikut irama rancak yang berkumandang.

Anom mengikut langkah Emily menuju ke lantai tari. Dia pun gian ingin menari. Sudah agak lama dia tidak menggoyangkan badan dan mengeluarkan peluh macam ini. Malam ini dia akan balas dendam cukup-cukup. Malam ini dia akan lupakan Qayyum dan segala kecurangannya. Huh! Tidak ada Qayyum pun dia boleh hiduplah! Anom Sufi menanam tekad dalam hati.

Lagu bertukar. Biarpun irama berganti, mereka tetap setia di lantai tari. Tidak letih-letih. Badan mula berlengas dan tidak selesa. Tekak pula terasa kering. Anom pantas menarik tangan Emily menuju ke bar di sudut ruang. Mahu menyiram tekak yang kering dengan segelas air.

"Two orange juices, please," pesan Emily bila mereka sudah duduk di atas bangku tinggi di hadapan bar.

Pelayan bar yang merupakan seorang pemuda Cina berumur lewat dua puluhan, tersenyum-senyum memandang dua orang gadis manis di hadapannya tetapi Anom dan Emily buat tidak pandang sahaja. Mereka faham erti senyuman sinis itu. Jarang-jarang orang datang ke kelab malam sekadar untuk minum jus oren. Selalunya pengunjung akan minta minuman keras. Tetapi itu orang lain, bukan mereka. Tujuan mereka datang ke mari untuk mengasah skil menari mereka bukan untuk mabuk-mabuk. Mahu pulang ke rumah dengan mulut berbau arak? Memang cari nahas.

"Tak minum ni? Sekali minum, terus terangkat tau," tegur seorang pemuda Cina yang duduk santai di sebelah Emily. Bibirnya memuncung ke arah gelas gemuk berisi air kuning berbuih yang sudah luak separuh di hadapannya. Di sebelah gelas itu elok terletak sebiji botol besar berwarna hitam.

"We don't drink that," jawab Emily tanpa memandang si pemuda. Badannya masih bergoyang-goyang mengikut rentak lagu menandakan dia belum puas menari.

"Wanna try? My treat." Pemuda itu tersengih. Kacak juga orangnya. Kulitnya cerah dan bermisai nipis. Tubuhnya tinggi dan tegap. Pakaiannya pula daripada jenis yang mahal dan berjenama. Sekali pandang macam orang kaya raya.

"No...no...thank you." Cepat-cepat Emily menggelengkan kepala. Tangan kanan pula sudah tergoyang-goyang. Muka berkerut-kerut. Minum air kuning berbuih tu? Oh! Tidak. 'Kalau nak kena cincang dengan daddy dan mummy, cuba-cubalah minum', fikirnya kecut.

Ketawa kecil pemuda tampan itu mendengar jawapan Emily.

Anom diam mendengar perbualan Emily dan pemuda yang entah siapa namanya itu. Namun, wajahnya biasa dia lihat. Selalu juga dia nampak pemuda ini duduk menebeng di bar tetapi tidak pernah bertegur sapa. Baru malam ini pemuda itu ramah menyapa mereka. Menyapa Emily sebenarnya. Dia, lelaki mana hendak tegur? Hanya Qayyum. Tetapi kini, Qayyum pun turut meluat hendak berkawan dengan dia. Betapa pilu hati ini memikirkannya.

"I always see you guys come here with a bodyguard. He's not coming?" Ramah si pemuda menyelidik.

"Nope. He's dead," jawab Emily bersahaja. Muka Anom sempat dijeling sekilas. Mahu melihat reaksi si teman rapatnya.

"Ooh...dah masuk kubur?" Pemuda itu tergelak-gelak. Entah apa yang lucunya pada jawapan Emily tadi sehingga membuatkan dia ketawa sampai pecah perut. "Thank god he's dead. That's mean I can be your new bodyguard," sambungnya dalam hilai tawa yang semakin galak.

Emily tidak membalas. Cuma mengangkat bahu sambil tersenyum nipis.

Anom pula buat muka kosong macam tidak terasa apa-apa walhal hatinya sayu memikirkan Qayyum. Ah! Mengapa Qayyum juga yang dia fikirkan?

"Anyway, I'm Daniel. And you..." Pemuda bernama Daniel itu hulurkan tangan kepada Emily tanda mahu memeterai ikatan persahabatan.

"Emily and this is my buddy, Anom," sambung Emily memperkenalkan diri sendiri dan Anom Sufi sekali.

"Emily and...Anom? What a cute name." Daniel tergelak-gelak lagi.

Panjang muncung Anom melihatkan lagak Daniel. Bengang! Jelas sungguh Danial mentertawakan namanya. Macamlah kelakar sangat. Tetapi, takkan pula dia hendak marahkan Daniel? Bukan sekali dua orang ketawa sebaik sahaja mendengar nama antiknya. Sudah kerap kali. Justeru, dia sudah tidak larat hendak naik angin. Apa yang boleh dilakukan adalah buat muka bersahaja biarpun pipi sudah memerah menahan segala rasa.

Sedang sibuk melayan hati yang sentap, telefon bimbit Anom tiba-tiba berbunyi. Cepat-cepat Anom menarik peranti itu dari poket jeansnya. Bagus juga telefon bimbitnya berbunyi sekarang. Boleh dia larikan diri sebentar daripada perbualan yang tidak masuk ke dalam hati dan akal fikirannya.

Anom melayangkan pandangan ke muka skrin. Habib? Tersentak dia menatap nama yang tertera di situ. Dia tahu itu nombor Habib kerana sejak kali pertama Habib menelefonnya dahulu, dia terus menyimpan nombor lelaki itu.

Ada apa Habib menelefonnya diwaktu malam begini? Tidak puas mengganggu diwaktu siang, Habib kacau pula waktu malamnya. Malasnya dia mahu menjawab. Namun, kalau tidak dijawab, bimbang pula jika ada perkara penting yang ingin dikatakan Habib.

"Hello!" Anom menjawab panggilan dengan tangan kiri menekap sebelah telinga. Kononnya, mahu menghalang bunyi bingit dari menerobos deria pendengarannya.

"Hello, Sufi?" Suara Habib melengking. Seperti mahu berlawan dengan bunyi muzik yang menjadi latar percakapan mereka.

"Ya...ada apa?" sahut Anom malas.

"Apa bunyi bising tu? Sufi kat mana ni?" Tanpa menjawab soalan Anom, Habib pantas memalu telinga Anom dengan soalannya yang berderet-deret.

"Saya kat bilik ni, tengah dengar muzik. Ada apa Datuk callsaya?" Rimas Anom mahu menjawab pertanyaan Habib. Orang tua ini memang kepoh. Semua perkara Habib mahu korek. Mengalahkan papa. Papa pun tidak ambil kisah tentang hal peribadinya. Orang tua ini pula yang melebih-lebih.

"Jangan tipu abang, Sufi. Sufi kat mana ni? Cakap betul-betul!" desak Habib, tidak mahu kalah dengan muslihat Anom.

"Betullah...saya kat bilik ni. Tengah dengar muzik. Saya buka volume maksimum ni!" tekan Anom kuat sedikit. Hampir menjerit dia. Benci betul apabila orang tidak mahu percaya cakap dia. Memanglah dia menipu tetapi mustahil hendak beritahu perkara sebenar? Tentu terkejut Habib mendapat tahu dia berpeleseran di kelab malam. Mesti sebu telinganya kena ceramah 'Imam Muda Habib'.

"Abang tak percaya! Sufi kat mana ni? Cakap betul-betul sebelum abang call papa!" Habib mula mengugut. Dia pun naik bengang dengan perangai Anom. Hendak menipu sahaja kerjanya. Macamlah dia bodoh sangat tidak tahu membezakan bunyi radio dengan bunyi muzik yang dimainkan di kelab malam.

Hisy! Anom membentak. Sakit betul hati Anom apabila Habib mahu membabitkan papa. Dia tidak mahu kisahnya berlibur di kelab malam sampai ke telinga papa. Memanglah papa tidak kisah dia ke mari tetapi bila Habib sudah mula campur tangan, tentulah papa naik malu. Silap-silap, papa langsung tidak membenarkan dia keluar malam lagi.

"Cakap, Sufi!" Suara Habib kian meninggi.

"Saya kat Zass!" Terpaksalah Anom menjelaskan apabila Habib sudah mula pandai mengherdik orang.

"Kat mana?" tanya Habib. Resah mendengar nama tempat yang begitu asing baginya. Resah juga membayangkan apa yang sedang dibuat Anom ditempat seperti itu. Huh! Gadis ini suka sangat membuatkan darahnya hampir kering ketakutan!

"Kat The Zass!" Habis bercakap Anom terus memicit butang batal. Malas terus melayan Habib. Terus melayan Habib pun bukannya ada faedah. Paling tidak, dia akan dapat syarahan agama percuma dari mulut Habib. Itu yang paling dia ngeri.

"Siapa?" tanya Emily sebaik sahaja Anom selesai menyumbat telefon bimbitnya ke dalam saku seluar. Dia mengalih pandangan dari muka Danial yang sejak tadi menjadi teman berbualnya.

"Imam Muda Habib." Selamba sahaja muka Anom menjawab.

"Who?" Emily memicingkan mata memandang Anom. Pelik mendengar Anom menyebut imam. Bimbang gegendang telinganya tersilap dengar dan otaknya tersalah tafsir.

"Tak ada siapa-siapa...."

Itu sahaja yang boleh dibalas Anom. Belum mahu mengungkap kisah pemuda bernama Habib kepada Emily. Biarkan sahajalah. Lama kelamaan nanti, Emily akan tahu juga. Tetapi, kalau diceritakan, apa tindak balas Emily? Mesti dia akan jadi bahan gelak Emily berbulan-bulan lamanya.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.