Home Novel Cinta Kalam Cinta Buat Dhia
Kalam Cinta Buat Dhia
Laila Qaisara
31/10/2013 11:28:03
26,438
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
03

“Dhia,”

“Iya,”

“Kau tak penat ke baca buku? Mata aku letih la,”

“Kalau mata letih, rehat la sekejap. Aku nak habiskan bacaan ni. Sikit je lagi,”

“Okey,” Hafiza membaringkan dirinya di atas katil. Matanya dilelapkan. Dhia menjeling seklias pada rakannya yang seorang itu. Baru balik dari kampung, sudah mahu bersedia untuk ujian yang akan diadakan esok.

“Macam mana kenduri kat kampung kau, Hafiza?”

Pantas Hafiza membuka matanya. “Ni yang aku malas ni,” Dia bangun.

“Malas? Kenapa?”

“Ada sesuatu yang berlaku. Kalau aku cerita kat kau mesti kau gelakkan aku,”

“Okey, aku janji aku tak gelak. Cerita la,”

“Begini, aku tengah kemaskan ruang tamu. Maklumlah, mak aku tu bidan kampung. Mesti ramai yang dijemputnya. Aku baru je lepas mengemas, dia panggil aku,”

“Hafiza!”

“Ye Mak?”

“Pergi ambilkan air setaman,”

“Kat mana, Mak?”

“Kat pintu masuk bilik air tu, dalam baldi,”

Hafiza tanpa banyak soal lagi, terus pergi mengambil baldi yang mengandungi air setaman seperti yang diminta oleh Mak Senah.

Sebentar kemudian…

“Air apa yang kau bawa ni, Hafiza?”

“Air setaman la,”

“Ni bukan air setaman! Ni air sembilan!”

“La, apa bezanya air setaman dengan air sembilan?”

Mak Senah tepuk dahi. “Hafizaku sayang, Kak Ngah kamu ni hamil tujuh bulan. Ikut adat, dia perlu dimandikan dengan air setaman. Yang kamu bawa ni, air sembilan. Air mandi mayat!”

“Hah?” ternganga Hafiza mendengarnya.

Dhia tergelak besar.

“Kau gelakkan aku ye. Aku tau la aku salah…,”

“Okey, okey. Aku minta maaf,” Dhia berhenti ketawa. Namun senyumnya tidak hilang. “Lepas tu apa jadi?”

“Rupa-rupanya abang ipar aku yang ambil dulu, lepas tu tak bagitahu. Bila dia dapat tahu pasal benda ni, dia boleh gelakkan aku sampai terguling-guling,”

“Kalau aku jadi abang ipar kau pun aku gelak juga,”

“Tak payah cakap, kau memang dah gelakkan aku pun,”

“Ala, maaf la. Aku tak sengaja,”

Hafiza memuncungkan muka. Konon-konon mahu merajuk.

“Buruknya muka bila kau muncung begitu,” usik Dhia.

“Dhia!”

Hafiza menerpa ke arah Dhia yang sudah menutup mukanya dengan buku yang dipegang. Kecoh sebentar bilik itu dengan suara mereka berdua.

“Penat la main-main dengan kau,” luah Hafiza. “Dah la esok ujian. Memang tak dapat la jawab soalan esok,”

“Haip! Jangan la cakap macam tu. Kata-kata itu kan satu doa. Apa kata kau cakap macam ni ‘Insya Allah, aku boleh jawab soalan esok.’ Takpun kau cakap je ‘bawa dadu la esok’,”

“Kau! Mengajar yang bukan-bukan!”

Dhia ketawa lagi. Tapi tidak sekuat Hafiza.

“Dah la, aku pun dah penat. Jam pun dah masuk pukul sebelas. Marilah kita tidur,”

“Skemanya kau!”

“Dah la. Jangan banyak bunyi. Esok nak bangun awal. Nanti kena marah pula orang bilik sebelah. Tidurlah,” Dhia menutup lampu.

“Ye la,” Hafiza pantas melompat ke tingkat atas katil untuk beradu. Sebentar kemudian dengkurannya sudah kedengaran. Dhia senyum sambil geleng kepala. Surat yang disembunyikan di bawah bantal, dikeluarkan dengan cermat. Dibaca perlahan.

Assalamualaikum warahmatullah,

Saudari pastinya sedang sibuk di kampus dengan segala macam tugasan dan aktiviti lain yang dianjurkan. Tapi saudari, janganlah sesekali lupa untuk terus dan terus menjadikan ini semua sebagai sejadah dalam pengabdian kita kepadaNya.

Baiklah, apa kata kali ini saya sambung sedikit terjemahan Surah Luqman. Saya tahu, mungkin saudari sudah memiliki terjemahan AlQuran tetapi apa salahnya kalau saya kembali mengingatkan saudari?

Bismillahirahmaanirahiim…

[6]Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

[7]Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.

[8]Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat,

[9]kekalan mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah – janji yang tetap benar; dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

[10]Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.

Moga bermanfaat buat saudari.

Oh ya, satu pesanan dari saya. Setiap apa yang dilakukan, jangan lupa untuk membaca Bismillah pada permulaannya. Kerana itu salah satu cara kita untuk terus bersyukur padaNya.

Sekian. Wasalam.

“Tak tulis lagi nama dia,” gumam Dhia perlahan.

“Nama siapa?”

“Hoi!” Dhia melatah. Berkerut dahinya apabila melihat Hafiza terkekek-kekek ketawa.

“Tidur la!”

“Fuyo! Dhia dah marah!”

“Tidur!”

“Ye la. Ye la,” dan Hafiza menyambung tidurnya.

*****

Mata Mikhail Adam tidak lepas dari menatap skrin komputer. Orang ramai di kiri dan kanannya langsung tidak dipedulikan.

“Sayang buat apa tu?”

“Allahuakbar!” Mikhail mengurut dada. Terlalu terkejut dengan kehadiran Niki yang tidak disangka itu.

“Lain kali boleh bagi salam tak?”

“Alah, I dah bagi salam banyak kali, you aje yang tak sedar. Asyik tengok komputer je. Apa yang you tengok?”

“Tak ada apa-apa la,” Mikhail cuba berdalih.

“Mana boleh tak ada apa-apa. Meh I tengok,” Niki menolak sedikit tubuh Mikhail. Dia mahu tahu apa yang menarik perhatian Mikhail sampaikan lupa orang sekeliling.

“La, Piramid Giza rupanya. Kenapa tiba-tiba berminat dengan benda macam ni pula ni?”

“Saja,” tetikus dilari-larikan. Kemudian dia membuka artikel tentang Tembok Besar China.

“Kenapa tiba-tiba nak baca pasal semua benda ni? Bukannya ada faedah pun,”

“Lebih berfaedah daripada tidak berbuat apa-apa,”

“You perli I ye? I pergi perpustakaan la tadi,”

“Habis sekarang ni kita di mana?”

Niki terdiam. Lupa dia berada di perpustakaan sekarang ini.

“Ni, saya nak tanya. Kenapa awak gaduh dengan Dhia semalam? Apa salah Dhia dengan awak?”

“Siapa? Anak liplap tu?”

“Hah? Anak liplap? Apa tu?”

“Anak liplap tu maksudnya, bukan keturunan baik-baik. Dhia tu bukan keturunan baik-baik la tu. You tahu, mak Dhia tu mati kena bunuh dengan Along,”

“Sebab tu aje awak gaduh dengan dia? Tak logik!”

“Kenapa you tanya pasal dia? You ada hati dengan dia ye?”

“Eh, mana ada la,”

“You jangan… jangan nak duakan I tau,”

“Bila masa kita ni couple? I tak pernah declare apa-apa pun dengan you,”

“You!”

“Dah la,” Mikhail mengemas barangnya.

“You nak pergi mana ni? Kita belum habis bincang lagi ni!”

“Niki Ardilla…,” Mikhail menunjukkan jam tangannya. “Sekarang sudah masuk waktu Zuhur. Saya nak solat. Kalau awak uzur, awak boleh gunakan komputer ni. Tapi, awak kena guna kad matrik awak sebab saya nak ambil balik kad matrik saya. Ke, awak nak ikut saya ke surau?”

“I period la,” balas Niki selamba. “Lagipun, buat apa I guna komputer cabuk ni? I ada laptop sendiri la, lagi canggih daripada ini,”

“Suka hati la,” Mikhail sudah mahu melangkah keluar.

“Mikhail, tunggu!”

Mikhail tidak menunggu lama lagi. Dia terus melangkah ingin keluar dari bilik IT itu. Namun langkahnya terhenti apabila bertembung dengan…

Dhia Nadhira! Dia datang bersama temannya Hafiza.

“Hei, kau buat apa kat sini? Menyibuk je,” tiba-tiba Niki muncul di belakangnya. Tanpa salam, terus ditembaknya Dhia. Gadis itu hanya tersenyum sinis.

“Kenapa kau senyum?”

Dhia menunjukkan kad kebenaran masuk ke bilik IT itu. “Aku ada ni. Kau ada? Mesti tak ada kan, sebab kad matrik kau tergantung je kat leher tu,”

Pantas Niki memandang ke arah kad matriknya seperti yang dinyatakan oleh Dhia. Niki geram. Dia hentak kaki. Dhia menjeling ke arah mereka berdua sebelum melangkah masuk ke dalam bilik IT itu.

“Awak ni kan…,” Mikhail tergeleng-geleng perlahan sebelum berlalu dari situ.

“You! Tunggu la I!”

*****

“Beraninya kau, Dhia!” Ibu jari Hafiza naik. Dhia hanya tersenyum.

“Aku hanya cakap benda yang betul,”

“Kalau dia tak puas hati dengan kau macam mana?”

“Niki Ardilla memang sentiasa tidak puas hati dengan Dhia Nadhira. Puas hati kau?”

Hafiza ketawa kecil.

“Tapi kan, kau tak rasa sesuatu ke bila bermusuh dengan ratu cantik di kolej ni?”

“Nak rasa apa?”

“Ye la, kau kan bergaduh dengan pelajar paling popular di kolej ni. Siapa yang tak kenal dengan Niki Ardilla? Dan kau, siapa kau nak gaduh dengan dia?”

“Sebelum aku skru kepala kau, aku nak betulkan kenyataan kau tu. Pertama, bukan aku yang cari pasal dengan dia. Dia yang cari pasal dengan aku. Kedua, aku peduli apa dengan mata-mata yang memandang dan mulut-mulut yang mengata. Diorang tak tahu perkara yang sebenar. Ketiga, dia tu Niki Ardilla. Aku ni Dhia Nadhira. Engkau tu siapa pulak nak jadi batu api?”

Gedebuk! Kena setepek kat dahi Hafiza.

“Sampai hati kau kata aku ni batu api…,”

“Merajuk pulak…,”

“Kau kata aku ni batu api…,”

“Okey, jangan merajuk lagi, ye? Aku belanja kau aiskrim Cornetto,”

Wajah Hafiza bercahaya. “Aku nak yang paling mahal tau!”

Ibu jari Dhia tegak. Hafiza tersengih lebar.

“Tapi kan Dhia, kau tak jawab soalan aku lagi,”

“Soalan apa?”

“Kau tak rasa sesuatu ke bila…. Ye la… kau dengan Niki…,”

“Aku cuma rasa satu je. Rasa penat. Penat menangkis ayat-ayat berapi dia tu, penat menjawab pertanyaan kau tentang dia,”

“Okey, aku tak tanya lagi,”

Diam sebentar.

“Tapi kan Dhia…,”

“Jangan tanya aku lagi…,”

“Okey, okey,” Hafiza buat gaya zip mulut. Dhia tersenyum.

Previous: 02
Next: 04

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.