19
Dhia mendail nombor itu sekali lagi. Entah kenapa, Dhia merasakan begitu sukar untuk menghubungi nombor itu hari ini.
"Helo," akhirnya talian bersambut.
"Aleeya Zahirah!"
Sunyi di hujung talian.
"Helo? Helo?"
"Assalamualaikum, Dhia Nadhira,"
"Ops, okey. Waalaikumsalam," Dhia membetulkan ucapannya. "Kau kat mana ni? Banyak kali aku cuba telefon kau tapi tak dapat,"
"Aku ada hal tadi. Kenapa? Ada apa-apa ke jadi kat Hafiza?"
"Eh, taklah! Hafiza okey. Cuma...,"
“Cuma apa?”
“Cuma dia dah tahu hal hari tu,” suara Dhia mulai kendur.
“La, macam mana dia boleh tahu?”
Lalu Dhia menceritakan peristiwa pagi tadi. Sungguh dia tidak menyangka panggilan telefon daripada Aleeya sebentar tadi membongkar kisah yang tidak ingin diceritakan kepada Hafiza, memandangkan gadis itu belum sembuh sepenuhnya.
“Patutlah masa aku telefon kau tadi, sunyi je di hujung talian. Lepas tu, talian terputus. Aku sangkakan talian telefon yang bermasalah. Maafkan aku, Dhia,”
“Tak apa, kau tak tahu pun. apa yang kau cuba bagitahu aku sebenarnya tadi?”
“Aku cuma cakap, Papa Niki akan didakwa hari ni atas tuduhan cubaan mencederakan kau tempoh hari. Bukti dan saksi semasa dia serang kau di surau hospital, cukup untuk sumbat dia dalam penjara,” jelas Aleeya.
Diam.
“Dhia?”
“Ah, ye. Aku dengar. Aku kena masuk mahkamah ke?”
“Nampak gaya gitulah,”
“Bila tu?”
“Tak pasti lagi. Bila Hafiza keluar wad?”
“Hari ni rasanya. Doktor cakap dia dah cukup kuat untuk keluar,”
“Kalau macam tu, jumpa kat rumah je la. Dua tiga hari ni aku sibuk sikit. Dengan kelas dan macam-macam lagi. Nanti aku telefon kau kalau ada apa-apa. Assalamualaikum,”
Klik! Aleeya terus menamatkan panggilan. Terkejut Dhia dibuatnya.
“Hesh Aleeya ni! Aku tak habis cerita pasal Hafiza lagulah!” Dhia bersuara geram. Jam di tangan dikerling sekilas.
“Hai… kena naik mahkamah pula lepas ni,”
“Kena naik mahkamah? Kenapa?”
Suara itu amat dikenalinya. Dhia menoleh. Terkejut dia melihat Aaron Aziz di belakangnya.
*****
“Dia takkan pandang aku. Serius, dia takkan pandang aku,” luah Mikhail. Kecewa.
Berkerut dahi Comot mendengarnya. “Kenapa kau kena cakap macam tu?”
Mikhail menggeleng perlahan.
“Belum apa-apa lagi dah mengalah,” ejek Comot. Dia tersenyum sinis.
“Kau ni kan, tak padan dengan sakitnya. Asyik nak mengusik aku je,”
“Doktor cakap, jangan difikirkan sangat sakit yang datang. Nanti bertambah sakit jadinya,”
Mikhail senyum.
“Dah, jangan nak tukar topik,”
“Eh?”
“Kenapa kau kena cakap macam tu tadi?”
Mikhail mengeluh perlahan. Ingatkan, dia sudah lupa hal itu tadi…
“Aku nampak dia dengan orang tu kat luar tadi. Mesra. Mesra sangat. Aku rasa aku dah tak ada peluang,”
“Mana Mikhail Adam yang aku kenal dulu? Mana semangatnya?”
Mikhail diam.
“Belum cuba belum tahu, Mikhail. Mungkin dia juga ada hati dengan kau, tapi malu nak cakap. Dia kan pemalu,”
Mikhail mengeluh. “Satu kampus ingat aku dengan Niki Ardilla tu. Mana dia nak pandang aku lagi,”
“Si gedik tu?”
Mikhail angguk.
“Dan kau biarkan saja gosip tu?”
“Aku nak buat apa lagi?”
“Buatlah apa saja bagi menafikan gosip tu! Sebab tu aku tanya kau, mana pergi semangat Mikhail Adam yang membara tu?”
Sunyi sejenak.
“Susah sangat, aku dengan kau je la. Boleh juga aku bertanggungjawab atas apa yang terjadi pada kau,”
“Mikhail, jangan mulakan. Kita dah bincang perkara ni…,”
“Habis tu? Kau juga yang cakap orang yang merogol kau tu masih lepas bebas di luar sana. Dan aku percaya, dia juga yang serang kau tempoh hari, kan? Kau dalam bahaya, tahu tak?”
Prang! Pecah kaca berderai. Spontan kedua-duanya menoleh ke pintu. Terkejut Mikhail apabila melihat susuk tubuh yang dikenalinya.
“Dhia…,”
Mata Dhia berkaca.
“Hafiza…,”
*****
“Kenapa kau tak pernah cakap dengan aku?”
Hafiza diam. Mikhail pun. masing-masing menikus bila lihat Dhia sebegitu.
“Kau kawan aku. Semua kisah aku kau tahu. Kenapa aku tak tahu kisah kau yang ini?”
“Kerinduan kau pada Ibu kau, ada aku tahu?”
Dhia terkejut. Macam mana…
“Aku terbaca diari kau. Dalam senyum kau, dalam tawa kau bila aku buat lawak, kau menyimpan rindu yang dalam. Sarat. Aku…,” air mata Hafiza tumpah lagi. Dia menekan perutnya.
“Comot,” tegur Mikhail. Dia risau bila melihat keadaan itu.
“Kau selalu ingatkan diri kau yang kehilangan Ibu. Kau lupa, aku juga kehilangan Ibu aku. Cuma, aku tak bagitahu apa yang menyebabkan kematian Ibu aku,” suara Hafiza sudah sebak.
“Ibu aku meninggal dunia kerana sakit jantung lepas tonton video intim aku dengan dia!”
Dhia terkejut. Mikhail tambah terkejut. Bukankah dia kata…
“Ibu aku tak menyangka yang aku sanggup buat semua itu walaupun berkali-kali aku katakana yang semua itu bukan atas kerelaan aku!”
“Maksud kau…,”
“Dia rogol aku dan dia rakam semuanya!”
“Allahu…!” pantas Hafiza diraih ke dalam pelukannya.
“Ibu aku mati sebab aku, Dhia! Sebab aku!”
“Sebab tu kau tak bagitahu sesiapa? Dan tanggung penderitaan ni seorang?”
“Aku malu…,”
Pelukan dieratkan.
“Aku sangkakan aku dah boleh terima kenyataan tu. Tapi hari tu…!” ingatan terhadap peristiwa itu kembali lagi.
“Aku ingatkan kau yang ada di atas katil,”
“Dia pecah masuk rumah kita?” tanya Dhia. Bermakna bukan Niki yang serang Hafiza!
“Dia nak ulangi apa yang dia buat kat aku dulu,” esak tangis Hafiza semakin kuat.
“Aku melawan. Dan aku tak sangka dia ada pisau di tangan,”
“Mana pisau tu?”
“Aku tak tahu. Dia bawa lari rasanya. Sebab aku perasan, dia ada pegang sesuatu masa dia berlari keluar. Lepas tu, aku tak sedarkan diri,”
“Hafiza,” Dhia pandang wajah Hafiza dalam-dalam. “Boleh kau ulangi apa yang kau cakap tadi dengan polis?”
“Hah?”
*****
Niki Ardilla melangkah keluar dengan muka sombong. Sebentar tadi, seorang anggota polis wanita memberitahu yang dia akan dibebaskan daripada pertuduhan menyerang Hafiza. Tersenyum dia sampai ke telinga. Dia pasti, pasti Papanya telah melakukan sesuatu bagi membebaskan namanya.
“Aku belum habis lagi dengan kau,” sempat dia bersuara keras kepada Kaisara yang turut ditahan bagi membantu siasatan dan kini dibebaskan bersama Niki. Kaisara telan liur. Tak serikke tidur dalam lokap?
“Saya akan saman semua orang yang memfitnah saya!”
Kaisara hanya mampu menggelengkan kepala. Dia kesal dengan perangai Niki yang tidak pernah berubah.
“Tolong telefon Papa saya. Saya nak balik rumah sekarang. Badan saya melekit-lekit ni,” arah Niki kepada anggota polis wanita yang bertugas di kaunter.
“Datuk Affandi?”
“Ye la, siapa lagi?”
“Maaf cik, tapi baru sebentar tadi Datuk Affandi dibawa ke mahkamah,”
“Apa? Papa saya tak bersalah langsung! Kenapa nak tangkap dia sampai bawa ke mahkamah?”
“Er… dia ditahan atas tuduhan cubaan mencederakan Dhia Nadhira Azlan di surau hospital,”
Bulat mata Kaisara mendengarnya. Riak wajah Niki Ardilla mula menyinga.
Dhia Nadhira!!!
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.