Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
148,369
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
6✓
Tajuk : Berjalan Di Pagar Sesat.



Tahukah kamu bagaimana otak berfungsi dan sentiasa menakjubkan bagi aku?

Otak aku contohnya. Bagaimana otak ini mampu melahirkan kecelaruan memoriku?


Tolong jangan simpan prasangka bila membaca perihal aku. Biarlah apa yang kamu fikirkan menjadi rahsia antara kita.


Jadi ceritanya aku, adalah manusia biasa. Masih normal (sekurang-kurangnya yang aku sedar). Cuma memoriku keliru.


Aku adalah seorang yang teruk dalam mengingati apa yang berlaku di sekelilingku atau orang sekelilingku. Yang paling ketara adalah aku tak mampu mengingati nama dengan mudah. Jadi jangan berharap jika hari ini kita berbual mesra itu bermakna aku mengingati nama kamu atau siapa kamu. Sudah aku katakan sebelum ini, aku seorang yang mesra alam. Luaran aku.


Apabila sesi pengenalan diri di kelas atau tempat kerja berlaku, aku selalu endah tak endah. Kerana aku tahu dari pengalaman, seberapa aku berusaha untuk mengingati, selepas sejam pasti aku lupa nama kamu.  Kadang-kadang hanya 10 minit. Jadi aku memerlukan masa berbulan-bulan untuk aku mengenali siapa di sekeliling aku. Itu pun kadang belum tentu aku ingat dengan tepat. Pelik bukan? Sungguh aku benci diri aku tentang ini. 


Yang lebih membuatkan aku benci adalah walaupun sudah mengingati nama dan mengenali seseorang bertahun-tahun, kadang-kala aku masih melupai nama mereka atau apa panggilan mereka ketika kami berbual. Menyebalkan.

Apakah aku hilang ingatan atau sememangnya nyanyuk?

Aku masih muda. Sesungguhnya aku benci kecelaruan memori ini.


Namun lebih menyedihkan selepas tidak mampu mengingati nama adalah aku tidak mampu mengingati wajah. Nazak sungguh memori aku. Aku mungkin berjumpa dan bercakap dengan seseorang yang baru aku kenali 5 minit yang lepas. Tapi selepas itu jika kamu mahu aku mencari kembali dengan siapa aku bercakap tadi, itu mustahil. Melainkan orang itu sudah lama aku kenali ciri-cirinya dan memang aku ingati. 


Kenapa memori aku begitu lemah dan menyedihkan?


Lebih malang lagi kelemahan aku bukan hanya pada nama dan wajah, malah peta, tempat, juga keadaan sekeliling. 

Aku masih menggunakan waze (aplikasi penunjuk arah) untuk ke mana sahaja. Aku menggunakan waze selama sebulan untuk ke tempat kerja sebelum aku dapat mengingati jalan yang harus dilalui.


Adakah aku tidak normal? Kerana aku merasakan aku sangat normal. Perkara biasa bagi manusia untuk terlupa sesuatu, kan? Atau bukan?



Prosopagnosia atau lebih dikenali dengan face blindness. Aku antara yang berjuta di seluruh dunia yang memilikinya. Maaf, ia masih menyakitkan bagi aku untuk mengakui apa yang tak mahu aku akui. 


Tapi sejujurnya aku masih berasa bersyukur kerana keadaan aku tidak seteruk seperti sesetengah orang lain yang mengalami prosopagnosia. Sekurang-kurangnya aku masih mampu mengenali ahli keluarga atau saudara mara yang telah berpuluh tahun aku kenali. Aku masih kenal kawan-kawan yang rapat dengan aku, dengan syarat mereka tidak mengubah gaya diri secara drastik. Aku masih mampu mengenali artis di kaca televisyen, walaupun kadang kala aku masih keliru. 


Namun tahukah kamu apa yang paling menyakitkan bagi aku?

Adalah aku mampu mengenali mereka, namun aku juga tak mampu mengenali mereka. Aku tak tahu di mana had aku. Aku tak tahu siapa akan aku ingat atau siapa yang aku lupa. Atau sebetulnya aku tak tahu apakah ciri-ciri yang aku ingati itu adalah orang yang sebetulnya mahu aku ingati. 


Marilah aku beritahu kepada kamu, rahsia yang tidak pernah aku beritahu kepada sesiapa. 

Bagaimana orang seperti aku mengingati atau mengenali orang sekeliling. Ada antara kami yang cuba mengingati ciri-ciri fizikal orang sekeliling seperti tinggi, berat, warna kulit, warna rambut, gaya rambut, jambang dan misai, cara berjalan, cara ketawa, suara, dan sebagainya. Ini adalah perkara asas yang aku juga lakukan. 


Namun bagi diri aku, aku tambah lagi dengan mengingati melalui emosi yang terhasil dari suara. 


Tahukah kamu penat bagi aku untuk mengingati semua orang sebenarnya, kerana itu aku seringkali kehilangan cebisan memori tentang siapa mereka. 


Satu lagi yang perlu aku kongsikan, tahukah kamu bahawa aku tak akan pernah menegur seseorang ketika di luar, melainkan mereka menegur aku dahulu? Iya, kerana aku tak mahu tersalah orang. Mereka disekelilling aku selalu berkata bahawa aku ini, ketika berjalan selalu pandang lurus ke hadapan dan tidak menghiraukan orang sekeliling. 


Dan aku akui ia benar. Kerana aku merasakan, seperti aku berjalan di ruang yang asing tanpa ada seorang pun yang aku kenali.


Dulu pernah terjadi. Aku pergi ke pasar raya bersama kawan. Tiba-tiba kawan aku memandang aku dengan tajam lalu menunjuk jauh ke hadapan. Aku cuba mencari apa yang ditunjukkan. Ada seorang wanita sedang memandang aku. Untuk sejenak aku memerlukan masa bagi mengingati siapa wanita itu. Sejenak yang mengelirukan dan mengecewakan. Walaupun kaki aku masih melangkah ke arah wanita itu, tetapi aku perlahankan langkahan. 


Kemudiannya, sekilas pandangan aku bertembung dengan  mata seorang lelaki yang sedang berdiri di belakang wanita itu. Ketika itu barulah memori aku kembali. Mereka adalah ibu dan bapa aku. Selepas itu seharian aku berfikir, bagaimana kawan dan ibu bapa aku dapat mengenali satu sama lain dengan mudah sedangkan aku tak mampu?


Dulu juga pernah terjadi. Aku tidak dapat mengenali teman lelaki aku ketika kami berjanji untuk berjumpa di luar. Hanya kerana dia memotong dan mengubah gaya rambut. Sedangkan dari jauh sudah aku lihat, seorang lelaki sama seperti dia. Tinggi yang sama. Gaya berjalan yang sama. Tapi aku jadi takut untuk menegur lebih dahulu, hanya kerana gaya rambutnya tidak seperti yang aku ingati. Aku takut jika aku menegur orang yang salah. Lalu aku hanya berdiam diri menunggu ditegur.


Tentu kamu tahu tentang manusia bukan? Mereka tak mahu dilupai. Dan semestinya aku tak mahu melukai seseorang secara sengaja dengan mengakui bahawa aku tak mampu mengingati siapa mereka.

Previous: 5✓
Next: 7✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.