Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
145,960
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
13.1✓
Tajuk : Don't Judge My Blindness (Bhgn 1)



SEPTEMBER 2013



Trauma Healing Camp? Aku salah dengar ke?


“Attendance are compulsory for everyone, your final marks will be added with this. So.. ada soalan lagi?” 


Suara pensyarah di hadapan kelas membuatkan aku keliru. Serasa aku, aku tak salah dengar. 


Seorang pelajar 2 baris di hadapan kanan aku mengangkat tangan, meminta izin untuk bertanya.


“Kena bayar ke prof?”


Butiran perbualan selepas itu tak jelas kerana aku tak dapat menumpukan perhatian. Fikiran aku menerawang jauh memikirkan sebab dan akibat. Persoalan yang lebih jelas adalah, bagaimana untuk aku tidak hadir ke program tersebut? Aku tahu ini communication class, tapi bukan ke topik trauma tu terlalu mendalam? Aku betul-betul tak pernah terfikir yang aku akan tersekat di dalam program yang paling aku hindar.


“Hai cik adik~ jauh menung?” 


Tangan yang melambai di hadapan muka menyedarkan aku dari lamunan. Aku yang baru tersedar, melihat kebanyakan pelajar sedang berpusu-pusu keluar dari kelas. Nyata kelas malam hari ini sudah habis. Hanya aku yang masih duduk tegap di kerusi merenung ke papan putih di hadapan kelas. 


Perlahan aku pandang lelaki di hadapan aku. Rambut hitam lebatnya yang jatuh menutup dahi juga cermin mata bulat seperti Harry Potter yang dipakainya mengingatkan aku siapa dia. Hanya dia seorang yang memakai cermin mata seperti itu di dalam kelas ini.


“Kenapa tak balik lagi?” soal aku menutup gemuruh.


“Tunggu awak la. Jangan kata awak nak cancel pula?”


Aku mula teringat. Lutfi Ikram berjanji untuk mengajar aku bahasa isyarat tapi dengan syarat aku perlu menemani dia makan setiap kali kelas malam kami habis. Aku rasakan itu bukan syarat yang susah, jadi aku iyakan saja. Lagipun kami hanya berjumpa ketika kelas malam, jadi selepas kelas lebih mudah untuk dia mengajar aku bahasa isyarat. 


“Takde la. Tanya je. Jom lah.”


Malam ini adalah malam ketiga aku diajar bahasa isyarat oleh Lutfi Ikram. Aku masih lemah dalam mengingati setiap perkataan atau ‘sebutan’, mujurlah tenaga pengajar aku ini seorang yang penyabar. 


Milo ais di depan masih berbaki separuh. Nasi goreng kampung telur mata yang aku order tadi masih belum sampai. Mungkin kerana orang yang agak ramai malam ini walaupun hari ini hari Selasa, membuatkan kedai mamak tersebut lambat menghantar order. Lutfi Ikram masih dengan Nescafe panasnya. Sesekali aku lihat dia melihat ke arah mesej yang masuk di telefon. Selalunya pelajaran khas kami akan bermula selepas makan, kerana aku susah untuk beri tumpuan ketika lapar. 


“Lutfi. Tadikan yang prof cakap pasal trauma camp tu… bila ya?”


“Bulan depan. Tapi tarikh prof kata tak confirm lagi. Jumaat ni baru tau. Prof kata nanti dia email semua orang.”


“Awak confirm pergi ke?” soal aku meminta kepastian. Sebenarnya lebih pada mencari ketenangan jika ada orang lain juga yang tak dapat hadir program tersebut. Jika hanya aku yang tidak hadir, terasa janggal.


“Saya pun tak pasti lagi. Kena tengok tarikh. Tapi rasanya kalau tahu tarikh cepat, boleh apply cuti tahunan awal. Lagipun cuti tahunan saya ada lagi 16 hari. Kenapa, awak tak nak join ke? Prof kata compulsory.”


Aku mengeluh perlahan. Lutfi yang bekerja sebagai teknikal engineer pun pergi, sedangkan tugas kerja dia lebih sibuk dari aku. Aku tak tahu alasan apa yang boleh aku berikan kepada pensyarahku untuk menyatakan ketidaksanggupan aku untuk mengikuti program tersebut. Lagi pula markah akhir aku bergantung juga kepada program ini.


“Tak tahu lagi. Tengok cuti approve ke tak.”


Hilang sudah fokus aku malam ini. Aku hanya ingin balik tidur dan berharap esok aku tak akan bangun dari tidur.



Sabtu pagi itu aku terbangun dari tidur selepas diganggu bunyi mesej whatsapp yang masuk bertalu-talu. Aku lihat jam loceng di atas meja. 12:34 tengahari. Bermakna aku hanya tidur selama 4 jam. 


Semalam aku tak mampu untuk tidur dengan aman. Mimpi itu datang lagi. Aku hanya tertidur pada 8:00 pagi tadi. 


Perlahan aku bangun dan capai telefon di atas meja yang sedang aku caj. Mata yang terasa kabur aku gosok dengan jari. Ternyata kawan-kawan kelas malam aku sedang berbual rancak di dalam group whatsapp. Pensyarah telah berkongsi kepada group whatsapp butiran mengenai program Trauma Healing Camp tersebut.  


11 Oktober hingga 13 Oktober.


Aku malas untuk berfikir kala itu. Segera aku matikan telefon dan berjalan semula ke katil untuk menyambung tidur. Sekarang ngantuk menguasai diri aku lebih dari perasaan risau. Aku hanya mahu tidur dengan tenang, dan moga aku tak bangun lagi dari tidur selepas ini. 


Previous: 12✓
Next: 13.2✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.