Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
148,363
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
4✓
Tajuk : Sekeping Gambar dan Sebenang Cemburu.


OKTOBER 2011


Kawasan kafe agak lengang dari pengunjung lain. Lagi pula baru pukul 11 pagi. Kelihatan pekerja dan tukang masak sedang bertungkus lumus menyediakan makanan tengahari untuk disusun di ruang hadapan kedai.


Kelihatan hanya beberapa orang pelanggan sahaja yang ada sedang duduk minum sambil menanti makanan mereka sampai. 


“Aku tak faham kenapa dia tak boleh faham aku? Aku tak minta banyak pun. Aku minta dia fokus hanya pada aku. Lupakan ex dia tu. Itu pun susah ke? Kenapa nak simpan gambar ex dia lagi? Siap ada frame lagi tu.”


Bebelan wanita tersebut agak kuat kedengaran pada pendengaran orang sekeliling. Beberapa orang pekerja memandang ke arah bunyi suara tersebut, namun kemudian menyambung kembali kerja mereka. 


Aku menyedut minuman aku beberapa kali sebelum kembali memandang ke kaca televisyen yang terletak di hadapan kedai. Cerita Doraemon sedang ditayangkan. Bagi aku buat masa ini, Doraemon lebih menarik dari bebelan wanita di hadapan aku ini. 


"Hidayah! Kau dengar tak aku cerita ni? Buat bodoh je. Aku bukan cakap sorang-sorang!”


Arah pandangan aku beralih dari kaca televisyen, lalu hinggap di mata wanita tersebut yang sedang duduk di hadapanku. Minuman aku capai lagi lantas aku sambung menyedut. Milo ais memang menyegarkan. Setelah puas membasahkan tekak, aku kembali memandang tepat ke arah mata wanita berkenaan. Sedetik, dua detik, tiga detik, empat detik, lima….


“Kenapa pandang aku macam tu?” tanya wanita itu kurang selesa. 


Jelas di riak wajah wanita itu rasa tidak selesa dan mungkin sedang berfikir salah apa yang telah dia katakan kepada aku tadi.


“Kenapa dia tak boleh simpan gambar ex dia? Dia contact lagi ke ex dia?” perlahan aku bertanya untuk mendapat maklumat lebih jelas.


Akal logik aku belum habis mencerna jenis-jenis tindakan yang perlu aku lakukan atas rungutan wanita itu. 


Wanita itu mendengus kasar mendengar pertanyaan aku.


“Siapa yang suka bila boyfriend sendiri simpan gambar perempuan lain? Jaga elok-elok pula tu. Memanglah Ikmal cakap kat aku dia tak contact lama dah sebab masing-masing dah tukar nombor phone. Cuba kau fikir, hati kau tak sakit ke kalau orang yang kata dia sayang kau, tapi simpan gambar perempuan lain?”


Akal logik aku kembali menyambung telahan sejurus mendengar kenyataan dari wanita itu. Bagi aku, ia hanya sekeping gambar. Tak membawa sebarang perubahan. Perlukah aku sakit hati jika orang yang mengaku dia sayang aku, menyimpan gambar wanita lain? Jika difikirkan, hubungan-hubungan aku sebelum ini, aku biarkan sahaja apa yang pasangan aku mahu buat. Bagi aku mereka sudah dewasa untuk tahu apa yang perlu dibuat atau tak harus dibuat. Aku tiada lagi pengalaman dicurangi atau mencurangi. Setidaknya apa yang aku tahu dan sedar. Di belakang aku itu cerita lain. 


Kebanyakan hubungan aku putus bila masing-masing sibuk dengan hidup sendiri. Atau bila aku mula kurangkan menghubungi mereka. Atau bila aku minta putus hubungan selepas seminggu kerana merasakan amat susah untuk memaparkan emosi tertarik kepada seseorang yang tidak dapat aku lihat dengan jelas emosinya. Atau alasan paling senangnya, tiada jodoh. 


Bila dikenang kembali, ternyata lebih parah rasanya hubungan cinta aku dari masalah sekeping gambar. Perlahan aku mengeluh. Jika aku katakan ia hanya sekeping gambar kepada wanita itu, pasti bebelannya tidak habis hingga tahun hadapan. 


Jujur aku hanya ingin ketenangan dari memikirkan masalah emosi orang sekeliling yang hanya dapat aku dengari monotone nya tapi tak dapat aku rasai. Untuk faham lebih lagi lah mustahil.


Tiba-tiba aku teringat. Idea datang pada waktu yang tepat. Terima kasih Tuhan!


“Kenapa Ikmal tak boleh simpan sekeping gambar yang tak boleh nak bersuara pun, tapi kau boleh berkawan dengan semua ex kau? Bukan tiap-tiap bulan lepak sama ke?” tutur aku tenang sambil memandang ke wajah wanita itu. Menanti reaksi yang akan diberikan.


Jelas riak wajah terkejut wanita itu kerana mungkin tak menyangka aku yang selama ini hanya diam mendengar, mengeluarkan soalan tersebut. Terkulat-kulat wanita itu cuba menahan rasa malu. Seolah budak kecil sedang dimarahi.


Aku mencapai Milo ais lagi lalu menyedut hingga suku gelas. Pandanganku tertumpu semula kepada cerita Doraemon di kaca televisyen. 

Ah… aman dunia. Akhirnya suara bebelan wanita tersebut berhenti.


Aku tak faham emosi dan akal logik manusia. Kenapa perlu cemburu untuk perkara yang tak seharusnya? Sedangkan kalau ikut logik pada aku, sepatutnya Ikmal yang merasa cemburu dan marah kerana wanita itu tidak mahu melepaskan mana-mana ex boyfriendnya. Mereka masih berhubungan dan berjumpa sampai sekarang, walaupun atas dasar kawan. Tapi logiknya, boleh ke lelaki dan perempuan berkawan semula selepas break up?


Yang lebih aku tak faham adalah kenapa wanita itu setiap minggu mengajak aku untuk lepak sama. Dan aku tak pandai menolak. Sedangkan kebanyakan masa aku hanya diam mendengar apa yang dia ceritakan. Tidakkah wanita itu merasa bosan lepak dengan orang yang malas bercakap seperti aku?


Iya, aku hanya betul-betul menampakkan kemalasan untuk bercakap dengan orang-orang tertentu sahaja. Kerana bagi aku tak ada topik penting atau perkara menarik untuk dibincangkan. Atau kerana aku merasakan aku tak perlu berpura mesra alam untuk mengelak. Cukup maklum pada kawan-kawan bahawa aku adalah seorang yang mesra alam dan ramah, setidaknya itu yang mereka kenali tentang aku. Luaranku. Aku banyak bercakap di khalayak ramai tapi topik perbualan aku semuanya berkisarkan kisah mereka. Aku lebih selesa mendengar mereka bercerita tentang diri mereka dan aku hanya perlu memberikan reaksi yang positif untuk mereka meneruskan topik tentang diri mereka. 


Hanya kerana aku tak mahu mereka bertanya tentang diri aku, atau merasa tertarik untuk mengetahui tentang diri aku. Aku benci bila topik perbualan adalah ‘Aku’.


Jadi berbalik pada topik tadi, siapa wanita itu?

Itulah teman wanita kepada sepupu aku, Ikmal. Dan maaf, aku sesungguhnya lupa siapa nama wanita di hadapan aku itu kerana aku jarang mendengar namanya disebut. Dan iya, aku menjadi mangsa keadaan yang dipilih oleh wanita itu untuk mendengar luahan hatinya yang asyik dengan cinta kepada sepupuku. Setiap minggu aku terseksa. Parah telinga aku.



Previous: 3✓
Next: 5✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.