Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
148,374
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
1✓
Tajuk : Menguraikan Benang Yang Tersimpul.


Benarkah kita yang mengawal memori dan emosi, atau kita yang dikawal?


Andai kamu dan aku melihat perkara yang sama, pada waktu yang sama, dalam situasi yang sama. Adakah kamu yakin bahawa apa yang kamu lihat dan aku lihat akan menghasilkan memori dan emosi yang sama?


Di hadapan aku wujud seorang wanita. Lingkungan umur 30 tahun. Melutut di atas jalan raya. Memangku tubuh seorang kanak-kanak sekitar umur 5 hingga 7 tahun. Darah terpalit merata di baju, tangan, dan wajah wanita tersebut. Yang nyata ia bukan darah wanita itu. Suara tangisan wanita itu memenuhi ruang yang bising dengan bunyi kenderaan, juga suara orang ramai yang melihat. Detik itu, aku mendengar dengan jelas emosi wanita itu. Dan itulah kali pertama aku tenggelam dalam ‘emosi suara' yang terhasil akibat tindakan sekeliling. Lalu aku menyedari sesuatu. 


Umur aku 5 tahun ketika itu. Kelakar bukan? Bagaimana aku yang berumur 5 tahun mampu memahami perasaan ibu yang kehilangan anak akibat kemalangan, atau mana mungkin aku masih mampu mengenali dan mengingati emosi tersebut sedangkan aku hanya berumur 5 tahun ketika itu? 5 tahun, hingus pun masih meleleh. 


Kajian menyatakan manusia jarang dapat mengingati pengalaman atau peristiwa ketika masih kanak-kanak. Kerana itu kita tidak mengingati apa yang terjadi ketika masih bayi. Namun aku masih mengingati apa yang terjadi ketika aku 5 tahun. Lebih tepat, aku mengingati 'emosi suara' yang ditinggalkan oleh setiap tindakan walaupun bukan secara jelas. 


Pada mulanya aku tidak mengendahkan apa yang aku ingati. Bagi aku itu perkara biasa. Tapi ketika aku berumur 17 tahun aku bertanya kepada kawan aku, adakah dia mengingati apa yang terjadi ketika dia berumur 6 tahun ke bawah? Jawapannya adalah tidak. Dia hanya mula mengingati perkara ketika mula bersekolah. 


Tapi aku katakan lagi pada diri, dunia ini berjuta orang. Mana mungkin hanya aku yang mengingati apa yang berlaku ketika aku berumur 5 tahun. Bagi aku mungkin aku hanya trauma melihat kematian di depan mata dan mendengar suara meratap sedih. Ironinya, aku masih hairan. Walaupun ingatan aku tentang itu tidak seteliti seperti membaca rekod harian, tapi emosi yang ditinggalkan masih jelas padaku. 


Iya, sama sahaja keadaan aku kini sebenarnya. Keadaan memoriku dulu atau sekarang masih sama kurang telitinya tetapi jelas. 


Sama maksud aku adalah, aku masih tak mampu mengingati apa yang aku bual kosong semalam,  atau warna apa baju yang kawanku pakai semalam, atau wajah siapa yang aku lihat minggu lepas ketika menghadiri majlis, atau dengan siapa aku menonton cerita di wayang bulan lepas. 

Tapi anehnya aku mengingati ‘emosi suara’ yang ditinggalkan oleh setiap tindakan (jika ia menghasilkan emosi). Aku mengingati melihat cerita di wayang kerana ia meninggalkan emosi sedih dan takjub. Aku mengingati berbual dengan seseorang berkaitan kesedihan dan kemarahan tapi aku tak dapat mengingati siapa pemilik cerita berkenaan. 


Jadi akhirnya aku mengerti. Aku tak mampu mengingati perkara yang terjadi dengan teliti, tetapi aku mampu mengingati dengan jelas emosi seseorang dari 'emosi suara' yang terhasil. Yang aku ingati adalah emosi, kerana itu yang paling jelas dalam hati aku. Jadi sebenarnya ketika aku 5 tahun itu, aku tak mengingati warna baju apa yang mereka pakai, apakah warna kulit atau rambut mereka, mahupun wajah mereka, atau apakah ekspresi wajah yang mereka lemparkan. Tetapi aku ingati ‘emosi suara’ yang ditinggalkan pada aku hari itu. Makanya, setiap kali aku lewati kawasan itu, emosi itu datang menyapa. Segar seperti baru semalam ia terjadi. 




Empati. Pada mulanya aku sangat yakin empatiku tinggi oleh itu aku dapat merasai emosi sekeliling. Tapi ternyata salah. Untuk aku melihat emosi seseorang dari mimik wajah adalah sangat sukar. Aku tak mampu menafsir emosi seseorang dari wajahnya. Aku cuba untuk memahami dengan melihat tepat ke mata dan mulut mereka ketika bercakap, namun ia masih sukar bagi aku untuk melihat apa yang mereka rasakan sebenarnya. Emosi yang dapat aku lihat hanyalah jika nada suara mereka memberikan emosi yang kuat. 


Aku tak menangis bila mereka sampaikan perihal kematian di sekelilingku, walaupun kaum kerabat terdekat. Aku tak merasa apa-apa apabila jemputan perkahwinan diberikan. Aku tak dapat merasai emosi gembira mereka ketika perayaan berlangsung. Aku tak mampu melihat emosi mereka apabila mereka bercerita tentang perasaan mereka. Kerana mungkin mereka ketika itu juga tidak mampu memberikan emosi suara yang kuat kepada aku. Maka aku tak mampu mendengar emosi mereka atau melihat, lalu aku merasa kosong.


Kekosongan ini melahirkan kekecewaan dalam diri aku.

Aku berusaha untuk tersenyum, tertawa, dan memberikan reaksi yang sepatutnya kepada apa yang terjadi di sekelilingku. Tapi sejujurnya aku tidak mampu melihat emosi mereka dengan jelas. Yang aku tahu adalah aku perlu menjadi ramah kepada mereka supaya mereka menerima kehadiranku. Apakah aku hipokrit? Tapi jujur aku berusaha. Aku tidak menipu dengan apa yang aku katakan pada mereka. Aku tidak berkata A kemudian melakukan B. Cuma aku tak mampu melihat walau setitik pun emosi di wajah mereka. Selepas menulis ini aku merasakan aku sememangnya kurang empati bukan?


Aku tak pasti bagaimana otak aku berfungsi memilih jenis emosi yang aku ingati. 


Namun yang pasti bagi aku, aku yakin aku punya emosi sendiri kerana aku merasa sakit bila dimarahi, atau merasa sedih bila ditinggalkan. Cuma aku tak mampu melihat emosi mereka disekelilingku. Ini membuatkan aku sukar bergaul sebenarnya. Kerana akal logik aku akan sentiasa berfikir jenis tindakan yang harus aku lakukan atas setiap emosi yang ditinggalkan mereka, namun tanpa dapat memahami apa perasaan mereka. Umpama berjalan di dalam gelap. Kerana aku yakin satu hari nanti aku akan jatuh ke dasar gaung. 


Keliru bukan? Aku juga. 

Namun aku masih manusia normal. Dan dunia bukan berpusing untuk aku. Dan cerita aku tidak penting dalam cerita kamu. 


Next: 2✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.